Jom Kita Jadi Geng

Friday, April 22, 2011

MAKYUNG : TANAM TEBU TEPI BIBIR

Mungkin di ASWARA sudah ramai yang jemu atau bosan dengan persembahan makyung, kerana melihat pengulangan permainan yang makin lama-makin longgar cara permainannya atau bosan pada alunan muzik yang meleret-leret serta komik yang langsung tak melegakan. Saya yang punya kesempatan menonton orang lama bermain makyung semasa kecil di kampung dahulu,  kemudiaa menonton pelajar ASWARA  melalui pendidikan secara formal. Melihat Allahyarham Khatijah Awang bermain makyung kita boleh leka dan asyik pada tutur bahasa dan alun suaranya.  Memang tidak dinafikan ada berlaku perbezaan satu guru dengan guru yang lain. namun apa yang pasti, struktur dan ciri makyung itu haruslah dikekalkan keindahannya. 
Jika ada pelajar ASWARA  hari ini melihat makyung sebagai permainan yang boleh dimain-main, seeloknya perlu beralih dan melihat seni makyung daripada sudut yang lebih serius dengan mengaitkannya sebagai asas kepada seni tradisional Melayu. Saya sengaja meletakkan video makyung Riau supaya kita mengambil teladan bagaimana seni makyung boleh berubah dan dianggap punah oleh masyarakat pemilik di sana. Bagaimana kelompok masyarakat kecil di Riau masih sayang dan berusaha mengekalkan seni itu. Kita yang punya institusi yang berusaha mengekalkan makyung dan seni tradisi lain masih dipandang sepi peranannya malah dianggap sebagai beban kepada pelajar
ASWARA meletakkan makyung sebagai mata pelajaran wajib bukanlah dengan tujuan untuk mendera atau menghukum pelajar tetapi daripada kacamata yang lebih besar pelajarlah orang-orang yang dilihat berpotensi di dalam mengembangkan kesenian ini, Jika 100 orang dididik dalam ilmu ini, kalau hanya seorang sahaja mempunyai penghayatan dan cinta yang tinggi sudah cukup apatah lagi kalau 100 orang itu mencintainya. pada sejarah, Makyung pernah pupus dan kini makin susut keasliannya. Jika ianya dicampur aduk dengan norma-norma kontemporari secara melulu, estetikanya akan pudar dan ia kan menjadi satu bentuk seni yang suka-suka coraknya. Tidak perlu dihormati apatah lagi dimartabatkan.
Begitu juga pentadbir seni, walaupun arus teknologi telah merubah kehidupan dan penghayatan manusia pada seni makyung tetapi tidak seharusnya meletakkan makyung seperti melukut. Mengutamakan teknologi animasi mahupun multimedia sehingga melupakan keupayaan seni tradisi di dalam memupuk jiwa dan semangat pada bangsa. Tiada guna jika mulut berkata seni tradisi itu sebagai tunjang tapi ia tidak bersekali dengan niat dan perbuatan. Bagaimana anak-anak mahu melekat kecintaannya pada seni tradisi sedangkan saban hari pentadbir asyik memikirkan bagaimana nak membelanjakan wang yang banyak pada teknologi. Kata orang putih 'Content is King' dan itu kita akui. Tapi kita menidakkan keistimewaan dan keunikan yang kita punyai. Teknologi itu hanyalah menyokong idea, pemikiran, hasrat dan semangat yang mahu diterjemahkan. 
Bangsa Melayu di Malaysia tidak lagi punya keistimewaan. Bahasanya sudah dirojakkan malah sudah diperlekehkan bukan sahaja oleh orang asing malah oleh Melayu itu sendiri. Apalagi yang kita ada? Tanyalah pada diri sendiri. Lihatlah apa jadi pada Melayu Singapura yang sudah tiada tempat hendak berpaut sehingga terkapai-kapai mencari identiti bangsanya. Sisa-sisa tradisi yang melambangkan identiti bangsa seperti Makyung tidak kita pelihara, janganlah marah andai generasi hadapan langsung tak kenal rupa Melayu itu. Jangan dek kesilapan kamu dan saya pada hari ini...anak cicit kita enggan mengaku bangsanya.

MAKYUNG 'RAJA BONGSU SAKTI' oleh Pelajar Diploma Tahun 3 ASWARA akan berlangsung mulai 22-24 April 2011 di ET,ASWARA pada jam 8.30 malam. Tiket RM10/RM5(pelajar).

2 comments:

benuasuluk said...

Salam cekem,
terima kasih atas entri yang bagus.
Saya tak layak bercakap di sini, saya bukan siapa-siapa dalam bidangnya. Tapi, pandangan saya, bahagian teras sepatutnya boleh duduk kembali untuk melihat kelas teori dan memberi penekanan dalam beberapa hal yang dianggap remeh oleh pelajar kita.Bagi saya, selain praktikalnya, pelajar kita perlu lebih awal hadam dulu teorinya; kerana dari sinilah segala-galanya hadir dan mengalir

chekem mirza said...

setuju Wan. Saya sedang menimbang balik aspek teori kerana ekoran kelemahan pada semester lalu. Bagai kata awak, memang jika pelajar dapat selam dan memahami teorinya pasti mereka tak ke laut bila buat amalinya...wallahualam.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...