Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, November 10, 2009

AL-KISAH RAJA SEKUMANTARA


Al-kisah di sebuah negeri bernama Sekumantara di sebuah Negara Semalatala. I’Lam ketahui oleh sekelian rakyat di dunia bukanlah sekadar pada zaman dahulukala malah di masa zaman tanah saujana langit berlitar gelombang semesta empunya cerita. Negeri tumbuh di perbukitan kecil di sebuah istana lama tinggalan Raja turunan Jugra dulu-dulu, tempat bermain puteri-puteri dan putera-putera berkuda. Negeri kecil dikurnia daulat dek kerana kemasyhurannya mengangkat dan menjujung kedaulatan bangsa Semalatala , maka tertaballah seorang pembesar yang mentadbir Sekumantara membawa gelar Raja Sang Putaladiri atau digelar rakyat sebagai Sang Jeneral.

Maka ada seorang pembesar dan bukanlah calang-calang pembesar telah diutuskan oleh Raja Agung dari Negara Semalatala untuk turun mendengar perkhabaran berita yang telah lama bertiup, mendesas-desus di telinga para pembesar dan Raja Agung bahawa rupanya ada angin menjemba dan bumi terjungkit sehingga teraniaya sekelian rakyat dek pemerintahan Sang Jeneral. Maka diutuskan berita kepada Sang jeneral bahawa akan turun seorang pembesar ke negeri Sekumantara bagi menampi betul benar kisah yang tertebar.
Mendengar khabar seorang pembesar dari Negara penaung mahu berangkat turun, maka Sang Jeneral menitahkan kepada Biduandanya agar dikhabarkan kepada sekelian pembesar negeri dari Laksamana hinggalah penghulu baruh dan wakaf agar bersiap diri menerima kahadiran seorang pembesar Negara. Malangnya si Biduanda cuma mengkhabarkan kepada pembesar yang tua-tua semata tidak pula kepada yang pembesar-pembesar muda yang baru mendapat tangga dan belum tahu duduk cerita. Diumumkanlah ke seluruh negeri agar kesemua pembesar yang tua yang muda, yang leper yang bulat sedepa agar berhimpun di Balairong negeri Sekumantara. Sang Jeneral pun mempersiap diri, ditulis dibaca segala jampi mentera, ditilik dibuka apa cela apa dusta, berlatih tubi bersedia menghadapi si pembesar yang sebenarnya bukanlah besar di mata Sang Jeneral.
Maka angin pun bercerita, seluruh negeri tahulah akan cerita bahawa seorang pembesar Negara akan turun membuka yang cela, menampi yang dusta, mencelikkan yang buta. bermacamlah helaian tafsir dan tamsil bermain di fikiran rakyat jelata. Apakah betul segala yang berputar di telinga?
Siang beransur menukar warna menjadi malam, dan fajar terbit membawa pagi. Tibalah hari Sang Pembesar Negara Semalatala mencemar kaki ke negeri Sekumantara. Telah berhimpun semua pembesar tua dan muda, bijak dan celaka segalanya ada di Balairong negeri. Sang Pembesar tiba tepat masa yang diberita, malangnya Sang Jeneral tidak juga muncul tiba maka terpaksalah Sang Pembesar menunggu Raja Sang Putaladiri turun mencemar diri. Kecil sungguh si pembesar Negara merasakan diri. Melihatkan riak muka Sang Jeneral bagai pawana. Tidak disambut kedatang pembesar Negara dengan wajah berbunga. Rakyat yang melihat berasa gundah gulana dek malu melihat tingkah dan air muka rajanya.
Maka ditanyalah sang pembesar kepada sekelian pembesar tua muda yang hadir
“apakah terjaga segala tanah bendang, rumah tangga dan binatang peliharaan. Bagaimana pula putera puteri di bawah jagaan, apakah terlaksana segala wawasan?”
Pembesar yang ada hanya diam. Takut dan bimbang dek riak wajah Sang Jeneral.

Bertanya lagi sang pembesar “Sekumantara ini sebuah negeri yang masyhur melahirkan anak-anak muda tahan jiwa dan bijak minda dalam perjuangan bangsa Semalatala, saya ingin bertanya apakah cukup segala persiapan anggota?” Semua pembesar diam.
“Apakah lengkap senjata dan apakah pembesar yang ada yang ingin mendidik dan melatih anak-anak muda di negeri ini sudah bersiap dengan ilmu di dada?” Pembesar yang ada mula gelisah. “Kalau kail panjang sejengkal masakan terduga laut bergelora? Sekumantara perlukan benteng dan pelatih yang berwibawa?” Benarlah apa yang dikatakan Sang pembesar. “Apakah pembesar-pembesar yang ada tidak berminat untuk menambah ilmu di dada?” Sang pembesar mula menyerang pembesar-pembesar negeri, gelisah di fikiran mereka merambu-ramba.

“Datuk!” terpancul suara dari kalangan pembesar. Mata Sang Jeneral memanah pembesar yang bersuara. “Memanglah menjadi impian dan igauan kami pembesar Sekumantara, untuk menambah ilmu di dada, tetapi sekira tiada jelas duduk cerita, bagaimana nak dimula?”
“Ah… bukankah sudah beta titahkan, hendak menambah ilmu di dada, ikut sahaja undang-undang yang ada, yang sudah diwarta oleh Negara Semalatala!” Sang Jeneral cuba menepis kata-kata pembesar celaka itu. “Kita ini negeri berdaulat, sudah ada perlembagaannya, jangan samakan negeri ini dengan negeri yang lain, kita istimewa!” Tambah Sang Jeneral. Pembesar yang ada berpandang mata sesama. Mereka diam tidak mahu bercerita.

“Datuk!” muncul suara dari pembeza yang kedua pula. “Bukankah kita ini negeri yang sudah didaulatkan, tidakkah segala undang-undang jadi berbeza. Jadi, sebagai negeri yang termasyhur melahirkan pejuang muda… kita juga harus mempersiapkan ilmu kepada mereka bukannya mengambil pelatih entah dari mana asalnya dan tidak pula punya upaya, bahkan kita pula kena menanggung memajukan diri mereka, patik melihat pembesar yang lama yang sudah menunjukkan wibawa dan taat setia seperti dipersia, begitu mudahkah budibicaranya?

Sang pembesar Negara terdiam dan memikirkan apa yang dikata pembesar kedua tadi. “Betul apa yang diutarakan oleh pembesar, apakah negeri ini belum ada apa-apa warta untuk pembesar mendapat biaya?”

“Ah… Datuk Pembesar, Sekumantara ada peruntukan berjuta-juta untuk memberi biaya. Pembesar negeri perlulah memohon dan mencari di mana tempat untuk bertapa! Ikut sahaja undang-undang Negara Semalatala dalam soal mencari biaya untuk bertapa!” Wajah Sang Jeneral seperti singa mahu menelan mereka-mereka yang bersuara. Di kepalanya berkata memang pembesar ini mahu mencari cela.Jeneral menambah "lagipun pelatih yang ada memang tidak ada kelayakan, pengajian setakat reban ayam, seorang saja yang layak...Tabib Sukipuri!".

“Datuk!” bersuara pula pembesar negeri yang ketiga, kali ini perempuan pula. “Memang kami pembesar di negeri tidak jelas duduk cerita, bagaimana kedudukan saya? Apakah ada sebarang perjanjian selepas pulang bertapa? Apakah syarat dan peraturan, apakah kelayakan yang boleh kami minta untuk mendapat biaya. Semuanya tidak jelas cerita”.
Jika bertalu-talulah perkara dikemuka maka berjela-jelalah kata-kata yang dilagukan Sang jeneral. Walaupun semuanya berbayang-bayang tidak nyata dek mata . Itulah kehebatan Sang jeneral dan kerana itulah juga dia berada di takhta.

Sebelum berangkat pulang, Sang pembesar Negara diaju tanya “ Sebenarnya apa tujuan datuk datang ke negeri Beta? Apakah termaksud apa yang dicari?”. Sememang jelas siapakah Sang Pembesar Negara di mata Sang Jeneral.
Adapun pada hari ini, kisah negeri Sekumantara belum terjawab kesudahannya. Luahan para pembesar dan rakyat jelata hanyalah lagu-lagu gering yang sesekali berdendang. Raja yang didaulat adalah Raja yang hidup atas doa dan harapan rakyatnya.Semoga teruslah bertakhta wahai Duli Yang maha Mulia Raja Putaladiri Sekumantara @ Sang Jeneral.

6 comments:

benuasuluk said...

alkisah maka patik ssebagai pendekar silat di istana menutup gelanggang silat semata-mata nak mengahdiri pertemuan yang membuang masa patik sebagai pendekar. Tak ada apa-apa pun melainkan bongkak, takbur dan perasan bagus kahkahkahkah
P/s ce'kem, baguslah satira ni. Berentilah jadi pegawai artistik, meh jadi penulis, :)

chekem mirza said...

kah kakah one... Saya pun rasa mcm sidang balairong yang dihadiri pembesar tu sia-sia saja. Buat apalah pembesar negara turun kalau isu negeri sekumantara tak muncul, yang nampak kesombongan raja putaladiri saja.
P/s seronok juga ya menulis tapi penatlaah nak selami jiwa sombong watak dan derita para pembesar negeri. Letih sungguh

Hisham said...

timbul la jugak nak royak akan crita..aaaa...ambo 3 kali dah baca tapi ado 2-3 perkataan hok tok paham mana......

aaaaayyyyiiiibbbb

chekem mirza said...

hahahahahhh soh, bakpo tok pehem?

cubo gak baco betul-betul kisoh ni. pekataan mana hok tok pehem, acu royak maghi

Anonymous said...

Saya rasa ini skrip 'devised theatre' yang amat menarik dan saya berbangga dapat menyumbang kepada cerita ini! Your talent is astounding!

Che Kem said...

mr anonymous,
Terima kasih... Cerita ni bukanlah untuk tujuan mempersendakan sesiapa tetapi saya harap siapapun yg membaca mereka akan dapat manfaat supaya, sombong itu musuh dalam hireaki dan musuh pada mengharmonikan hidup, kita takkan rugi kalau mengaku silap, itu akan menguatkan sifat mulia seseorang manusia

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...