Jom Kita Jadi Geng

Thursday, January 31, 2008

NATURALISASI TIDAK NATURAL


Jumaat lepas (25 Januari) saya menonton persembahan teater yang dipersembahkan oleh sekumpulan anak muda ASWARA. Teater ini pernah dipentaskan sebelum Raya Haji yang lepas tetapi saya tak sempat menontonnya. Membaca judul dan melihat posternya, ia memang memikat dan menarik minat orang untuk menontonnya. Berada di dalam panggung, memang memaku punggung kita di kerusi untuk melihat kesudahannya.
Naturalisasi adalah karya Namron yang dihasilkan semasa beliau masih menuntut. Bila Namron menulis, isunya berani dan jarang diungkap di dalam teater Melayu, kalau diungkap pun lebih tertumpu kepada kisah lelaki lembut sepertimana teater Ghazal Parti. Bagi saya Isu ini mengungkap kebenaran yang ada tetapi seakan tersorok atau terbuku di dalam jiwa Melayu yang memulihara kesopanan timur. Tiada aksi yang melampau dan tiada dialog yang cela. Ia disusun dan dipilih dangan baik malah dipersembahkan dengan manis sekali namun di sebaliknya ia berkias dengan tikaman.
Apabila naskhah ini diserah ke tangan orang muda yang bernama Fared Ayam dan dimainkan pula oleh tiga pelakon iaitu Amirul, Zahiril dan Qurratul Ain, ia menjadi semacam tidak lengkap asam garamnya. Mungkin mereka mentah atau tidak masak pengalaman untuk mengungkap persoalan yang ingin diungkap oleh Namron. Kerja Fared lebih tertumpu kepada mengatur dan meletak pelakon, yang mana kita boleh mengagak di mana dan ke mana pelakon akan berada, apatah lagi aturan setnya begitu predictable. Saya rasa Fared kurang mampu mengolah dan menyuntik jiwa ke dalam dua pelakon utama yang akhirnya saya melihat Amirul dan Zahiril bermain dalam lentok lakon yang pernah dilihat, mereka tidak membina graf lakon sehingga tidak wujud dimensi dan tempo yang menarik. saya lebih tertarik kepada ceritanya bukan kepada arahan dan lakon. Bila saya menonton persembahan ini, saya teringat percakapan saya dengan Joseph yang sedang sibuk dengan PhD seni persembahan di mana kami berbicara tentang kata-kata seorang tokoh teater yang mengatakan bahawa pemusatan teater itu adalah kepada lakonan kerana ia yang melontar dan menterjemah lambang, mesej dan makna. Jadi aspek lain hanya menyokong kepada penceritaan.
Apapun pementasan ini tidak mengecewakan dan Blackbox pada malam tu padat dengan pelajar ASWARA, UiTM dan Sunway College. Saya juga melihat kehadiran beberapa personaliti turut hadir. Bagi saya Kebolehan Fared dan teamnya mementaskan naskhah ini patut dipuji, cuma mereka perlukan masa untuk menjadi seperti namron atau mereka yang lain. Teruskan perjuangan!

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...