Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, June 20, 2023

TULISAN MUZLINA ABU BAKAR MENGENAI CHE KEM


 Saya cukup terharu membaca tulisan oleh seorang wartawan yang disegani Muzlina Ab Bakar mengenai pengalaman dan proses saya mengerjakan Muzikal Wajah Rahsia Hati. Kesudian Kak Lin menulis mengenai saya, cukup mengesankan meski sebelum ini saya hanya mendengar nama dan membaca tulisannya sahaja sejak dari zaman remaja. Tak sangka juga, ada serba sedikit yang beliau tahu mengenai kerja kerja seni saya. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan amat berbesar hati atas kesudian dan kesungguhan Kak Lin meluangkan waktu hadir ke sesi latihan dan bertanya untuk kesahihan perkara. Alhamdulillah Muzikal Wajah Rahsia Hati mendapat sambutan hebat di Singapura. Satu malam yang cukup manis untuk dikenang. Bersama ini saya kongsi tulisan Muzlina Abu Bakar yang disiarkan di Bebas News https://bebasnews.my/2023/02/10/pengarah-jangan-ego-che-kem/

PENGARAH JANGAN EGO - CHE KEM

SEJUJURNYA saya tidak pernah kenal beliau ‘in person’ tetapi sekadar melihat lakonannya dalam beberapa babak dari filem “1957: Hati Malaya” (2007) dan “Tanda Putera” (2013) yang pernah ditayangkan di stesen TV. Ketika itu, beliau bukan sahaja menyakinkan dengan penampilannya sebagai Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, malah pertuturan dan tonasinya dalam melontarkan setiap patah perkataan mengingatkan saya kepada ‘Bapa Kemerdekaan’ Malaysia itu!

Disebabkan itu, apabila wartawan tersohor dan penulis skrip “Muzikal Wajah Rahsia Hati,” SlenFadzil mengundang saya menyaksikan latihan pementasan berkenaan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada Jumaat lalu saya tidak mampu menolak.

Apabila sampai di tingkat enam tempat latihan selain SlenFadzil dan Zurina Waji, orang pertama yang menyapa saya dan di luar lingkup dari dunia kewartawan adalah ‘carbon copy Bapa Kemerdekaan’ yang juga pengarah muzikal berkenaan, Che Kem, diikuti dua figura yang saya kenal iaitu Fauziah Ahmad Daud dan koreografer, Pat Ibrahim.

Sapaannya dengan loghat Kedah benar-benar mengingatkan saya pada wataknya dari dua filem berkenaan walaupun beliau sebenarnya berasal dari Pasir Mas, Kelantan. Dari jarak 10 langkah saya memerhatikan beliau dan koreografer, Pat Ibrahim kerana tidak mahu mengganggu konsentrasi mereka pada latihan Fauziah bersama enam ensemble yang merupakan siswa dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Malaysia (ASWARA).

Sebelum memulakan latihan beliau berkata sesuatu dengan lembut dan penuh diplomasi. Itulah Che Kem atau nama sebenarnya Kamarulzaman Taib, lulusan Sarjana Muda Kesusasteraan Melayu, Universiti Malaya yang kini bertugas sebagai Pensyarah bidang teater dan kesenian tradisional di Aswara. Waktu rehatnya selama 14 minit 21 saat, saya gunakan sebaik mungkin untuk berkongsi pengalamannya bekerjasama dengan Fauziah Ahmad Daud yang terkenal dengan sifat ‘cerewet’ dalam menghasilkan karya demi kesempurnaan dan apabila ditanya mengenai itu tanpa berselindung, Che Kem berkata;

“Sebelum latihan dimulakan skrip asal diolah beberapa kali dan masuk skrip keempat dan ketika latihan masih bertukar lagi kerana terlalu banyak kata-kata sehingga menghilangkan muzikalnya.

“Apabila draf kedua Kak Ogy baca dan tengok pendekatannya yang beliau mahu kongsikan di pentas dan apabila sampai draft ketiga kami memberi pandangan kemudian kita masukkan lagu-lagu yang sesuai dan dipendekkan beberapa storyline.

“Bila sampai draft keempat kami berbincang dengan pengarah muzik, Mansor Mohamed dari Singapura dan barulah kami memulakan latihan.”

Menurut Che Kem, walaupun melalui empat kali proses mengolah skrip itu tetapi ia sedikitpun tidak menyentuh kredibilitinya sebagai pengarah muzikal berkenaan.

“Saya seorang yang berfikiran terbuka dan sebagai pengarah tak boleh ego. Muzikal ini cerita tentang Fauziah Ahmad Daud dan saya harus hormati apa yang beliau mahu kongsikan dengan penonton.

“Apabila penulis skrip SlenFadzil dan Zurina Waji buat dialog untuk babak-babak tertentu mereka meminta pandangan Ogy dan beliau akan ‘buang’ mana yang tidak perlu.

“Saya hormati Ogy kerana beliau bukan edit sesuka hati tetapi dari kacamata pengarah. Semasa latihan kami banyak berkerjasama untuk disesuaikan sebagai sebuah muzikal dan masih ada rombakan kecil pada skrip bagi menyesuaikan dialog dengan emosi sesuatu babak.

“Perjalanan sebuah kehidupan bukan semuanya indah, ia ada elemen sedih dan inilah yang akan menjadi ‘killer scene’ untuk muzikal ini dan penonton akan dapat ‘merasai’ pada babak kedua,” jelas Che Kem.

Disamping itu beliau turut mengutarakan jalan cerita kisah perkahwinan dengan Eman Manan, dan Ogy menerimanya dengan hati terbuka.

“Tetapi pandangan awal saya salah. Saya bayangkan muzikal ini tentang kisah cinta dan keruntuhan rumahtangga menjadi beban dalam hidup beliau tetapi tidak. Sebenarnya kehilangan ayah dan emak begitu membebankan jiwanya apalagi beliau begitu rapat dengan arwah emak.

“Jika penonton menghayati muzikal ini dengan sepenuh jiwa anda akan dapat rasakan ia bukan kisah cinta sebaliknya derita seorang anak kehilangan emak dan ayah. Ia juga bukan tentang seniwati sebaliknya kisah Fauziah Ahmad Daud seorang insan yang harus berjuang demi kehidupan dan yang membezakan beliau adalah seorang bintang,” cerita Che Kem.

Apabila ditanya apakah melalui muzikal ini beliau mengenali siapa sebenarnya Fauziah Ahmad Daud, Che Kem memberitahu;

“Tidak seratus peratus tetapi ia membuatkan saya memahami wanita bernama Fauziah Ahmad Daud, seorang yang kuat, cekal dan degil dalam perjuangannya.

“Sebenarnya apabila beliau menghubungi saya dan mahukan saya mengarah saya tertanya-tanya. Setelah berjumpa, beliau juga tidak beritahu kenapa memilih saya. Tetapi ada orang ‘warning’ berhati-hati tetapi saya tidak menghadapi masalah kerana sebagai pengarah kita tak boleh ego dan mesti ada sikap tolak ansur dengan artis.”

Menurut Che Kem walaupun pernah sekali berlakon iklan MARA dengan Ogy namun beliau pernah bertanya pada Datuk Rahim Razali bagaimana nak ‘handle’ Ogy jawapan beliau belajarlah.

“Akhirnya dengan muzikal ini baru saya kenal Ogy. Bagi saya apabila kita ada hujah kita kena pastikan hujah kita dan beliau seorang yang berfikiran terbuka.

“Saya bukan sahaja bersyukur dapat bekerjasama dengan Ogy malah kagum kerana pada usia 60 tahun beliau masih mampu menari, menyanyi dan bermonolog dengan baik. Ogy memang ‘show girl!” kata Che Kem.

Che Kem bersama Pat Ibrahim dan Roslen Fadzil


BAGI koreografer tersohor Pat Ibrahim kesediaan Fauziah Ahmad Daud yang lebih mesra disapa Ogy, memilih beliau menyertai pementasan Muzikal Wajah Rahsia Hati adalah satu penghormatan yang sukar dizahirkan dengan kata-kata.

PAT IBRAHIM

“Saya ‘mengenali’ Ogy sejak remaja apabila sering melihat lakonan dan nyanyiannya di stesen TV. Bagi saya Ogy adalah ‘rare talent’ yang Malaysia ada kerana beliau boleh menyanyi, bermonolog dan menari dengan baik.

“Setelah lebih empat dekad dalam dunia seni, Ogy adalah seorang bintang yang hebat dan masih bertahan sehingga hari ini. Pengalaman dan kejayaannya dalam bidang seni terutama lakonan amat menakjubkan.

“Disebabkan itu, seminggu sebelum latihan apabila beliau menghubungi dan menawarkan saya sebagai koreografer pementasan ini saya terus terima,” kata Pat Ibrahim yang telah menceburi bidang ini lebih 30 tahun.

Menurut Pat Ibrahim walaupun tiga minggu sesi latihan bersama Ogy, beliau amat kagum pada usianya mencecah 60 tahun Ogy masih kekal sebagai ‘show girl’ seperti yang dikatakan oleh Che Kem.

“Bukan itu sahaja, malah beliau adalah seorang penghibur yang kekal dengan sifatnya yang pentingkan kesempurnaan.

“Walau mungkin ada yang menganggap Ogy ‘cerewet’ tetapi beliau ada reputasi dan tahu apa yang dia mahukan. Ini amat jelas apabila beliau berbincang dengan saya dan Che Kem sebelum memulakan dan setelah sesi latihan.

“Saya kagum sikap Ogy yang sentiasa berfikiran terbuka dan sanggup menerima pandangan kami. Bagi saya, Ogy adalah penghibur sejati kerana dia tahu apa yang dia mahukan.

“Saya rasa amat bertuah dan bangga kerana beliau mempercayai saya menyertai pementasan muzikal ini,” kata Pat Ibrahim.

Tidak mudah hasilkan skrip muzikal – SlenFadzil

WALAUPUN pernah menulis skrip filem pendek dan cerekarama namun untuk menghasilkan skrip “Muzikal Wajah Rahsia Hati” tidak semudah yang disangka.

“Pada mulanya apabila Ogy mahukan saya menulis skrip berkenaan saya menganggap ia bagaikan bulan jatuh ke riba apalagi saya memang sukakan sesuatu yang baru dan mencabar.

“Namun saya akui ia tidak semudah membilang satu, dua dan tiga. Bagaimanapun saya bersyukur kerana pengalaman sebelum ini membantu saya menghasilkan karya berkenaan apalagi saya juga telah mengenalinya sejak sekian lama.

 “Bagi pementasan Muzikal Wajah Rahsia Hati, penghasilan skripnya memang mencabar kerana perlu menggabungkan elemen lakonan, nyanyian dan tarian berdasarkan fakta sebenar perjalanan hidup Fauziah Ahmad Daud, insan biasa dan anak seni,” kata SlenFadzil yang menulis skrip berkenaan bersama sahabatnya, Zurina Waji.

Sebelum ini, SlenFadzil pernah menghasilkan tiga skrip filem pendek iaitu Asrar, Iqra’ , Aidil & Atok dan sebuah telemovie “Dosa Tak Terampun.”

“Apabila skrip ini siap, Ogy berbincang dengan saya siapa yang boleh menggalas tugas sebagai pengarah. Kemudian Ogy menamakan Che Kem sebagai pengarah dan saya bersetuju.

“Bagi saya walaupun Che Kem seorang yang ‘low-profile’ tetapi latarbelakang dan pencapaiannya dalam bidang seni bukan calang-calang. Bersandarkan itu, kami sebulat suara memilih Che Kem,” cerita SlenFadzil.

Menurut SlenFadzil, bersama Zurina Waji, Che Kem dan Ogy mereka merombak skrip berkenaan beberapa kali agar pementasan ini tampak menarik dan menghiburkan.

“Ia juga disusun dengan padat dan kemas agar dapat memberikan ruang kepada Ogy untuk menonjolkan pelbagai emosi dalaman beliau.

“Saya pasti para peminat puashati kerana dalam menyelami pelbagai rasa dan rahsia serta naluri hati seorang Fauziah Ahmad Daud, anda akan dihiburkan dengan lagu-lagu merdu dan popular nyanyiannya dan secara tidak langsung menghilangkan rindu anda kepada anak pasangan seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan Allahyarham seniwati Saadiah,” kata SlenFadzil.

 


Bila ditanya mengenai Che Kem sebagai pengarah, SlenFadzil memberitahu;

“Che Kem dipilih kerana latarbelakang serta pencapaiannya sebagai pelakon dan pengalamannya dalam bidangan pengarahan pentas yang amat menyakinkan.”

Bagi orang luar mungkin namanya tidak glamour sebagai pelakon hari ini tetapi Che Kem yang kini bertugas sebagai Pensyarah bidang teater dan kesenian tradisional di Aswara pernah dianugerahkan antaranya Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) pada tahun 2008 kerana lakonannya dalam filem “1957: Hati Malaya” arahan Shuhaimi Baba.

Bukan itu sahaja, malah lakonannya dalam filem yang sama beliau juga dianugerahkan Aktor Terbaik dalam Filem pada Anugerah Oskar PPFM 2008. Disamping itu, Che Kem juga berjiwa seni dan berbakat dalam bidang muzik malah pernah menulis beberapa lirik lagu antaranya “Nirmala” nyanyian Datuk Sri Siti Nurhaliza ciptaan Pak Ngah. Lagu tersebut memenangi Anugerah Juara Lagu ke-17 (2003) bagi Kategori Irama Malaysia.

Disamping itu, beliau juga pernah mengarah teater antaranya Muzikal Khas Pertabalan Yang Dipertuan Agong pada tahun 2007 dan Teater Wayang Sakti yang dipentaskan di Istana Budaya pada tahun 2021.

Sementara itu, penulis bersama skrip pementasan muzikal berkenaan Zurina Waji menganggap satu pengalaman menarik dapat bekerjasama dengan Fauziah Ahmad Daud kerana aras tinggi profesionalisme yang datang bersama namanya.

Bagi Zurina, Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa Ogy mempunyai reputasi bukan sahaja sebagai seorang yang berkaliber dalam dunia seni tetapi juga ‘menakutkan’ bagi yang tidak mengenalinya.

“Semasa bertugas sebagai wartawan hiburan sepenuh masa, saya hanya bertemu Ogy beberapa kali di majlis. Tetapi mengikut SlenFadzil ke lokasi filem pendek ‘Aidil & Atok’ arahan Ogy pada tahun lalu ia memberi peluang pertama saya menulis tentang Ogy dan karyanya.

“Disebabkan itu, apabila SlenFadzil mengajak saya berkolaborasi untuk menulis skrip pementasan ini saya setuju kerana subjeknya adalah kisah hidup Ogy yang dikenali bukan sahaja bakat tetapi reputasi yang dimilikkinya.

“Bersandarkan persetujuan itu, banyak diskusi antara saya dengan SlenFadzil antaranya kami didorong rasa mahu tahu bagaimana Ogy melalui perjalanannya sebagai anak seni.

“Bukan itu sahaja, malah kami juga ingin tahu sedalam mana ‘dua orang hebat seni’ iaitu seniman Ahmad Daud dan seniwati Saadiah mempengaruhi Ogy dalam hidup dan karyanya dan yang lebih penting sebagai ‘seorang Fauziah Ahmad Daud.’

“Walaupun tidak pernah menghasilkan skrip muzikal saya dan SlenFadzil adalah peminat muzikal termasuk antarabangsa kerana kami sama-sama minat filem terutama filem klasik,” kata Zurina Waji yang pertama kali berkolaborasi dengan SlenFadzil menghasilkan skrip “Suri Katriana” drama rantaian 49 episod yang pernah ditayangkan di slot Tiara Astro Prima bermula 30 Oktober 2019 dan berakhir pada 6 Januari 2020.

Menurut Zurina, kepercayaan yang diberikan Ogy adalah satu penghormatan dan proses selama beberapa bulan itu adalah pengalaman baru yang amat menarik.

“Bezanya dengan drama, kami berpendapat sebuah muzikal harus menjadi satu pementasan yang menghiburkan serta mampu memberi pelbagai rasa dan kepuasan kepada audien. Tetapi apa yang lebih penting mencapai matlamat dan dalam aspek ini harus beri keadilan kepada penceritaan kisah hidup Ogy. Antara cabarannya kerana Ogy bukan sahaja pelakon utama tetapi dia juga harus menyanyi, menari dan membabitkan banyak emosi.

“Sebenarnya banyak perkara yang harus dipertimbangkan dan kami banyak buat kajian seawal era filem Melayu Jalan Ampas sehingga cerita Ahmad Daud dan Saadiah selain Ogy dan puluhan sesi pertemuan dan interbiu beberapa orang seni dan terima kasih kepada Kak Chah (Datuk Habsah Hassan),” jelas Zurina yang pernah terlibat dalam misi kemanusiaan di sempadan Jordon-Syria pada tahun 2019.

Menurut Zurina, skrip berkenaan harus dirombak beberapa kali untuk menjadikan sebuah muzikal yang lebih padat selain dipadankan dengan lagu-lagu dan penceritaan.

“Saya merasa ‘beruntung’ ada Che Kem sebagai pengarah kerana pengalaman beliau dalam pengarahan dan persembahan teater turut membantu dalam olahan skrip selain Ogy. Kehadiran Pat Ibrahim sebagai koreografer berpengalaman dapat mencantikkan kisah yang dipersembahkan apalagi team pemuzik Singapura yang dipimpin oleh pengarahnya, Mansor Mohamed.

“Harapan saya, SlenFadzil dan semua yang terlbat dalam muzikal ini agar ia dapat memberi keadilan kepada Ogy, pada kisahnya juga pada legasi Ahmad Daud dan Saadiah kerana ia adalah satu persembahan jujur yang datang dari hati,” kata Zurina Waji.

Bagi para peminat Fauziah Ahmad Daud, setelah persembahan di Singapura adalah difahamkan “Muzikal Wajah Rahsia Hati” akan dipentaskan di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

“Muzikal Wajah Rahsia Hati” akan dipentaskan di Gateway Theatre, Singapura pada Sabtu ini, 11 Februari 2023 pada pukul 8.00 malam. .



Thursday, November 24, 2022

SUPIAT MUKRI - ARKITEK SENI PERSEMBAHAN MALAYSIA

 

Tuan Haji Supiat bersama isteri, Puan Umi
dan anak didiknya Zulkarnain Ramly dan saya. 


Kata orang ‘kalau ada yang baharu tentulah ada yang lama’ . Yang lama tentulah memulakan banyak perkara , apatah lagi fitrah manusia menghasilkan sesuatu untuk mengisi kehidupan. Maka manusia berinteraksi dengan alam, peradaban dan kemajuan sezaman.

Tuan Haji Supiat Mukri adalah ‘master mind’ kepada kegiatan kesenian di tahun-tahun tujuh puluhan sehingga tamat perkhidmatan beliau sebagai penjawat awam. Meski pun berada di kerusi pentadbir, kesenimanan beliau terserlah melangkaui bidang tugasnya. ‘Passion’ telah menolak beliau menggali, meneroka dan menyumbang lebih besar kepada kesenian tanahair. 

Beliau mula menunjukkan minat yang tinggi dalam kesenian apabila terlibat secara aktif dalam beberapa pertubuhan dan kelab seni sekitar tahun enam puluhan. Beliau menyertai Angkatan Pelukis Semenanjung, Badan Kesenian Ibu Kota dan Drama Council. Kecenderungan beliau bukan hanya pada bidang teater tetapi beberapa bidang lain seperti seni tari, seni lukis dan teknikal pentas. Beliau pernah bergelar koreografer terbaik, pengarah terbaik, pereka set terbaik dan kumpulan tarian terbaik.

Di atas kecenderungan yang tinggi, dalam tahun 1974, beliau di tempatkan di Kementerian Belia dan Sukan untuk menguruskan kegiatan seni budaya bertaraf nasional. Di sinilah kewibawaan dalam memimpin seni budaya terserlah. Beliau bersama-sama seniman di Taman Budaya membentuk standard baharu dalam persembahan seni tari dan muzik di Malaysia. Nama-nama seperti Dato Ahmad Tamimi Siregar, Dato Zulkifli Zain, Dato Hail Amir, Uji Rashid, Datin Normala Omar, Bob Khalil, Nik Mustapha Nik Salleh adalah antara penari dan pemuzik yang menyinar di situ. Dari sini juga wujud manual-manual dalam permainan muzik tradisional dan pengajaran seni tari Melayu.

Daripada sebuah unit yang kecil, taman budaya berkembang fungsi dan aktivitinya. Tuan Haji Supiat bersama tokoh seperti Datuk Rahim Razali menggerakkan teater. Pada tahun-tahun 70an, sewaktu gerakan teater oleh orang-orang muda seperti Johan Jaafar, Hatta Azad Khan, Dinsman dan gerakan Anak Alam menampakkan taringnya. Tuan Haji Supiat dan Datuk Rahim Razali menyatukan beberapa nama besar seperti Sasterawan Negara Usman Awang, Seniman Negara Syed Ahmad Jamal, Dato Krishen Jit, Dato Faridah Merican, Dato Syed Alwi dan ramai lagi untuk membantu menyemarakkan teater di Malaysia. Lahirlah muzikal Uda dan Dara dan Muzikal Kuala Lumpur Kuala Lumpur. Ia meletakkan standard tinggi kepada seni persembahan di Malaysia. Saban hari di majalah dan akhbar orang memperkatakan tentang teater.

Wawasan Tuan Haji Supiat dalam seni budaya bukan hanya pada kegiatan persembahan sahaja. Seperti kata Allahyarham Pak Ngah "KBN adalah universiti saya". Benar sekali, KBN menjadi sebuah makmal yang melaksanakan eksperimen dan membentuk satu sistem dalam persembahan pentas. Terhasil dari sini karya-karya kontemporari. KBN berkolaborasi dengan Federal Academy of Ballet, Temple of Fine Arts, LIDRA, MATG, Dramatic Arts, British Council dan banyak lagi. 

Melihat pendidikan adalah pemangkin kepada kelahiran karyawan berilmu, KBN mewujudkan Institut Bimbingan Seni (IBS) . Daripada IBS, ia meyakinkan para pembuat dasar bahawa betapa pentingnya pendidikan seni dalam melahirkan seniman berilmu. Lalu berkembang menjadi Sijil Seni Kreatif di Universiti Sains Malaysia dan seterusnya tertubuh Akademi Seni Kebangsaan di bawah kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia (1994). Hari ini ASK bergelar ASWARA yang berjaya menawarkan pengajian sehingga Ijazah kedoktoran.

Tahun-tahun lapan puluhan, dunia teater menempuh fasa kemalapan. Penonton mula menjauhi panggung teater dan seni teater dilihat terlalu rumit dan mengaburkan. Vakum 80an seperti kehilangan arah dan tersalah kemudi. Dalam tempoh itu, Tuan Haji Supiat mengembara mempertajamkan ilmu di dalam seni di East West Centre, University of Hawaii dan menerima Fellowship melalui Fullbright, UNESCO, Japan Foundation, Australian Drama Council dan British Council. Setelah pulang, beliau ditempatkan semula di Kompleks Budaya Negara sebagai persiapan menuju Panggung Negara.

Tahun 1987, sebagai Pengarah KBN, beliau menggerakkan satu strategi drastik  dengan memperkenalkan program drama sebabak. Beliau mengajak semula tokoh tokoh teater dan membawa masuk nama-nama popular bertaraf selebriti sebagai pemancing audien. Strategi ini merubah landskap seni budaya di Malaysia. Penonton mendekati semula seni pentas dan demografi khalayak mula berkembang. Strategi membangun teater dan mengembangkan seni budaya tanahair masih terlaksana sehingga hari ini. Susulan daripada itu, ramai artis popular menyertai teater dan menjadi antara penggerak kepada populariti teater. Media massa mewujudkan ruangan dan liputan khusus mengenai teater, bahkan lahir ramai pengkritik dan pengulas teater selepas Krishen Jit.

Dari tahun 1974 hingga menamatkan perkhidmatan di kerusi ketua Pengarah Istana Budaya pertama (1999), jasa dan sumbangan beliau di dalam perkembangan seni budaya tanahair cukup bermakna. Daripada wawasan hebat beliau, kita dapat melihat lahirnya tokoh-tokoh besar di bawah bimbingannya. Nama-nama seperti Pak Ngah @Datuk Suhaimi Mohd Zain, Dato Ahmad Tarmimi Siregar, Dato Hail Amir, Dato Zulkifli Zain, Datin Sharifah Mahani Syed Kassim, Datin Normala Omar, Maziah Omar, Mahmood Ibrahim, Yusof Wahab, Lokman Ghani, Prof Madya Aminah Rhapor, Prof Kipli Abd Rahman, Juhara Ayob, Wan Maimunah dan ramai lagi. Jika mahu disebut nama dan program yang lahir sewaktu beliau tentu banyak sekali.  

Pada tahun 2011, Di atas perananya sebagai arkitek seni pentas Malaysia, beliau telah dianugerahkan Anugerah Ijazah Sarjana Kehormat ASWARA.

Hari ini, di usia 81 tahun. Meski beliau kelihatan jauh daripada perkembangan seni budaya tanahair. Namun, apabila diajak untuk menyumbang buah fikiran ternyata wawasan dan idenya masih tajam dan signifikan. Ternyata jiwa seninya belum pudar. Pada 22 Oktober 2022 , Tuan Haji Supiat Mukri telah dianugerahi gelar Tokoh Teater Sepanjang Zaman dalam Anugerah Teater Malaysia anjura Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Syabas!


Padi tuan di atas junjung,

Letak melintang diikat tali;

Budi tuan tetap kami sanjung,

Seperti bintang di langit tinggi.

Tuesday, September 6, 2022

ARTIS TUA TAK MAKAN AJAR

(Bukan orang sebenar - hiasan)

Dia membuktikan bahawa pengalaman berpuluh tahun tidak semesti menjadikan seseorang itu makin bagus dan bijak. Dari awal kemunculannya, hidup dengan sensasi, ironinya media menjual ceritanya. Industri kena layan dan terima. Sepanjang kerjayanya, pernah tak dia menghasilkan sesuatu yang boleh kita bangga dan hormat? Awal dulu saya taruh percaya juga yang dia serius jadi anak seni. Manusia kan boleh belajar membaiki diri. Itu dulu, sekarang di usia kematu, tinggal harapan lah ya.


Dulu dia pernah mewakili Malaysia berada di kerusi Juri di Indonesia sebaris Mas Idayu, lis Dahlia dan artis hebat Indonesia, dia pukul canang dan statementnya seperti hari ini “kau siapa nak cakap” Betullah tu. Ada orang boleh capai macam macam dalam hidupnya. Dan guna macam macam cara untuk ke tempat itu.

Hujungnya orang akan ukur kredibiliti. Saya ingat semasa dia memberi ulasan di kejuaraan DAA itu ia sungguh menjatuhkan air muka orang kita. Tarannum pun salah disebut apatah lagi menghurai persembahan. Kadangkala kebodohan terbit sewaktu kebijaksaan dibuat buat. Macam juga dalam hal hal dia kebelakangan ini, ia benar benar menelanjangkan siapa dia yang mendabik dada sebagai orang lama dalam industri.

Kalau Ustaz dan Ustazah menegur pun dia menepis dan menyerang balik malah menunjuk nunjuk, apalah sangat Hattan dan budak baru yang menegur. Silapnya kita lupa yang dia belajar tak tinggi, dan tak tahu nak belajar menguasai muzikalitinya, lalu pemikirannya hanya di sekitar baju, kasut, beg, make up dan gimik gimik. Bijaknya dia ialah dia tahu orang kita layan hal bodoh bodoh. Jadi lepas ini kalau ustaz ustazah atau bijakpandai nak tegur dia, kita kena bodohkan diri dulu supaya teguran kita mudah dia faham.

Bagi saya, Ia seperti daki,
jika tidak ditanggalkan,
Badan jadi busuk dan berpenyakit

Tuesday, August 16, 2022

LAWAK TAK BEROTAK

Sudah lama saya perhatikan senario dunia lawak kita sejak 15 tahun kebelakangan. Meriah dengan gelak tawa. Banyak sekali program tv dan radio dijayakan mereka malah pagi-pagi pelawak yang meriuhkan pemanduan ke pejabat. Ia seolah satu fenomena setiap acara mesti ada pelawak bahkan penyanyi dan pelakon pun ada mengembang bakat lawak mereka. Meriah.


Dalam kemeriahan meraikan bakat bakat baru lawak jenaka, secara perlahan pendengaran dan penontonan kita dibiasakan dengan perkara yang tidak biasa. Soal adab soal bahasa soal sensitiviti soal tanggungjawab sebagai manusia juga semakin menipis. Hari ini media telah menghalalkan banyak hal yang taboo. Taboo bermaksud sesuatu yang dapat mengawal adab, sopan susila, sensitiviti bukannya hal hal kuno dan konservatif. Namun atas nama parodi atas nama jenaka atas nama hiburan, ia menjadi normal dan baik baik saja.
.
Jadi kita dengar dan lihat di tv di media, pelawak menengking, memaki hamun, melontar kata kesat dan kata berbaur lucah tanpa rasa tanggungjawab. Itu semua atas tiket jenaka dan mereka hanya berlawak. Alasan media akan kata kalau tak suka tukarlah channel. Ego nya cukup tinggi dan subteksnya - Kita yang bermasalah.

Era 90an memang kita kekurangan pelawak tapi dalam kekurangan itu kita ada Senario yang masih berlawak dengan tanggungjawab di mana stesen tv masih mengawal. Kini lawak ditayang secara langsung, kalau terlepas kira halal saja. Sebelum senario kita ada grup Santan Berlada dan geng Pi Mai Tang Tu pun bagus dan menghiburkan. Kita ada generasi Badul, R Jaafar Hamid Gurkha Yahya Sulong Jamali shaadat Ayappan dan kalau mahu dijangkau jauh ada ramai lagi sezaman Aman Belon. Hari ini mereka lebih selesa digelar pelakon komedi bukan pelawak tapi asasnya sama Jenaka.

.
Maka bila terbit video wanita persenda Islam dan video video lain di gelanggang komedi, kita mula buka mata. Bahayanya jika tidak ada kawalan. Siapa patut mengawal? Kerajaan ke? Takkan lah sampai begitu. Di era lebih 60 tahun merdeka ini rasanya tanggungjawab membina bangsa, tanggungjawab kepada manusia lain itu sepatutnya tugas semua yang waras. Saya harap mereka yang berdiri di pentas lawak itu orang yang waras tidak dipengaruhi alkohol dan dadah.
-
Jangan pula ada kata ‘susahlah malaysia ni semua nak sensitif, semua tak boleh’ . Kat America sudah popular acara selebriti membaham seseorang tokoh terpilih secara jenaka tanpa batas bahasa asal penonton gelak. Saya nampak dalam satu program lawak macam sidang parlimen kat tv kita. Para politikus jangan selesa dengan perkembangan begini. Hari ini sudah terbukti pendidikan yang baik dan tinggi tidak menjamin seseorang itu bertanggungjawab dan menjadi berhemah. Apatah lagi pelawak di tv macam macam latar hidupnya. Kalau jenis tak suka baca buku maka lawaknya akan berkisar hal vape dan motor dan awek cun dan pickup line. Soal bahasanya, jangan haraplah nak bagus.
.
Ini bukan soal perjuangan bahasa ya. Ini hal tanggungjawab orang seni.

NAMA SAYA DISEBUT

Rasa terharu bila nama saya disebut sebagai antara pelakon yang memberi kesan dalam melakonkan watak ikonik. Rasa usaha dihargai.

JIWAI WATAK IKONIK

Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


BERLAKON adalah tugas dan tanggungjawab yang tidak semudah disangka. Untuk menyentuh hati penonton, pelakon tidak sekadar menjiwai watak, tetapi juga dari segi penampilan.

Menerusi penampilan, ada ‘roh’ watak yang menyerap masuk dalam tubuh mereka saat menjayakan sesuatu watak terutama jika watak yang dibawakan itu adalah tokoh yang ikonik.

Berikut adalah antara 10 selebriti tempatan dan luar negara yang berjaya memberikan penampilan hampir mirip dengan watak ikonik yang mereka bawakan.

Nad Zainal - Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali

Sebut saja nama Tun Dr Siti Hasmah, tentunya seluruh negara cukup kenal dengan sosok isteri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed itu.

Menariknya, Nad Zainal bakal muncul sebagai tokoh ikonik itu dalam filem biopik berjudul Hasmah dan kini mula menjadi bualan kerana dikatakan benar-benar mirip dengan penampilan sebenar Siti Hasmah ketika zaman mudanya.

Namun, ramai yang masih tertanya-tanya mengenai siapa pengarahnya kerana ada yang mengatakan bahawa filem yang masih menjadi rahsia ini diarahkan pengarah hebat dari Indonesia.


 

Mohd Kamarulzaman@Che Kem - Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj

Satu lagi watak tokoh ikonik yang berjaya dibawakan dengan baik ialah Tunku Abdul Rahman lakonan Mohd Kamarulzaman atau Che Kem dalam filem 1957: Hati Malaya.

Lakonan Kamarulzaman dalam filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu nampaknya benar-benar kelihatan seperti keperibadian Perdana Menteri pertama itu.

Esma Daniel - Tun Dr Mahathir Mohamed

Pementasan teater muzikal Tun Mahathir pada 2010 juga pernah menjadi bualan ramai apabila pelakon, Esma Daniel berjaya membawakan watak Tun Mahathir dengan sangat baik. Tak sekadar menjiwai watak, Esma juga tampil mirip dengan Perdana Menteri itu, sekali gus membuatkan ramai penonton kagum.

Menempa kejayaan, teater muzikal itu dipentaskan semula pada 2011 atas permintaan ramai di Panggung Sari, Istana Budaya.

Azhan Rani - AR Tompel

Bagi yang pernah menonton telefilem biopik, Saloma, tentunya watak Allahyarham AR Tompel yang dibawakan pelakon versatil Azhan Rani tidak akan dilupakan.

Membawa watak sebagai pelakon legenda bukan tugas mudah, namun Azhan membuktikan bahawa usahanya berhasil dan menerima pujian penonton.

Dari segi pergerakan, cara percakapan, bahkan suaranya juga kedengaran begitu mirip dengan ikon filem Melayu yang sezaman dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu.


Monday, August 15, 2022

SEPERTI LAHIR SEMULA


Ya Allah lamanya tak buka blog ini. Saya sebenarnya lupa passwordnya dan tentu sekali sibuk dengan laman sosial yang lain. Maklumlah di laman-laman itu lebih cepat mendapat respon. Namun saya akui menulis di Ngadapseni ini lebih puas. Banyak idea dan kritikal boleh saya curahkan. Doa-doakan lah saya rajin memuat naik hal-hal yang baharu ya. 

 

Friday, March 2, 2018

ARENA GHAZAL : mencari ghazal dalam dangdut


Ini tulisan yang ditulis untuk siaran media. Dr. Kamarulzaman (Man Tabla) telah menulis catatang mengenai Ghazal dan Muzik Dangdut. 


Untuk progam Arena Ghazal, PuTRA bergabung usaha dengan Persatuan Ghazal Johor Malaysia (GHAJMAS) di dalam mengetengahkan muzik ghazal. Istimewanya program ini ia bukan sekadar diisi dengan persembahan nyanyian tetapi bakal menghidangkan dua sesi menarik yang mengetengahkan keunikan ghazal.

4.00 petang Sesi 1 : Forum : ‘Ghazal Dalam Arena Muzik Dangdut’
5.30 petang Sesi 2 : Showcase menampilkan Fitri Hiswandi (Juara Dangdutstar/  DAA1), Azizul Haqim (3 Juara/ DAA3), Rojer (Finalis Dangdutstar/ DAA2) dan tokoh ghazal Pak Karim Seri Melati bersama GHAJMAS.

Ghazal dan muzik dangdut

Muzik Ghazal di Malaysia sangat sinonim dengan pengaruh muzik Hindustan dari India dan muzik Qawwali dari Pakistan. Perkembangannya di Malaysia sejak tahun 1950-an adalah sangat memberangsangkan dan menjadi identiti utama bagi masyarakat negeri Johor.  Dewasa ini, perkembangan muzik Ghazal dilihat semakin hangat diperkatakan dalam arena industri muzik Dangdut. Sejak munculnya acara Dangdut Academy Asia (DAA) oleh sebuah siaran televisyen Indonesia iaitu Indosiar pada tahun 2015, kemudian diikuti dengan acara Dangdut Star oleh ASTRO Malaysia, istilah ‘Ghazal’ sering menjadi ‘buah-mulut’ barisan juri dan pengulas acara dalam menilai penampilan peserta pertandingan tersebut.
Di dalam acara DAA, nama-nama peserta yang mewakili Malaysia seperti Shiha Zikir, Fitri, Rojer Kajol, Elda Susanti, Asmidar, Syura dan Azizul Haqim sering dianggap sebagai peserta yang mempunyai bakat yang tinggi dalam menyampaikan teknik ‘cengkok’ atau ‘lenggok’ Melayu diantaranya adalah teknik Ghazal. Mereka sering dijadikan contoh kepada peserta negara lain dalam penguasaan teknik tersebut. Ironinya, di dalam acara Dangdut Star ASTRO Malaysia, teknik Ghazal selalu diasingkan daripada teknik nyanyian Dangdut dan seringkali dinilai tidak menepati gaya nyanyian Dangdut yang diinginkan.
Berdasarkan sejarah perkembangan muzik Ghazal Melayu Johor, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa elemen-elemen Dangdut memang sudah terdapat dalam muzik Ghazal sejak awal kewujudannya. Ia jelas terlihat pada ritma dan melodi yang dimainkan oleh alat muzik utamanya seperti tabla, harmonium dan vokal. Tambahan pula, muzik Dangdut sememangnya tidak lepas dari pengaruh budaya muzik yang sama iaitu muzik Hindustan. Lebih jauh lagi, keserasian antara Ghazal dan Dangdut telah menjadi inspirasi buat kumpulan Seri Melati Ghazal Johor Bahru dimana pada sekitar tahun 1980-an, mereka merupakan kumpulan Ghazal pertama di Malaysia yang merakamkan album Ghazal dengan tema Irama Dangdut.
Persoalannya adalah, apakah elemen-elemen Ghazal merupakan ciri khas bagi muzik Dangdut atau sebaliknya? Bagaimana teknik Ghazal dapat dibezakan dengan teknik nyanyian Dangdut? Apakah cabaran yang dihadapi oleh peserta-peserta Malaysia dalam memperjuangkan identiti muzik Dangdut Malaysia di pertandingan berprestij seperti DAA?


BERIKUT ADALAH CATATAN DR. MAN TABLA MENGENAI FORUM "MUZIK GHAZAL DALAM ARENA DANGDUT" YANG DIKONGSI DI FACEBOOK BELIAU

Refleksi Ghazal dlm Arena Dangdut (selepas forum). Usaha merespon 2 kesenian hibrid dari akar budaya yg sama dalam masa yg singkat. Terima kasih Putra Aswara Chekem Mirza kerana memberikan ruang. Semoga bermanfaat.

1. Penting utk melihat budaya berdasarkn timeline kelahiran budaya tersebut.
2. Budaya terdahulu pastilah akan mempengaruhi budaya berikutnya. Ghazal Melayu pastilah mempengaruhi kewujudan muzik Dangdut di Nusantara.
3. Melihat muzik tidak cukup hanya pd aspek melodi dan struktur (form) nya sahaja, masih byk elemen muzik lain yg perlu dipertimbangkan seperti harmoni, ritma, dinamik, tekstur, timbre, durasi dll.
4. Perlu membezakan antara pendekatan kreatif atau pendekatan analitik (ilmiah) dlm proses berfikir. Pendekatan kreatif tidak bergantung kpd konsep/ teori kerana teori selalu lahir selepas kreativiti dihasilkan. Manakala pendekatan analitik sgt memerlukan fenomena2 kreatif dari seniman yg masih abstrak bg melahirkan rumusan ilmiah.
5. Ghazal dan Dangdut bukanlah spt dua pohon dr ladang yg berbeza, kedua2nya berkongsi tanah yg sama. Didlm perbezaan ada persamaan dan dlm persamaan ada perbezaan.
6. Perbezaan yg ada pd kedua2nya terletak pd teknik pengolahan dan instrumentasinya shj tetapi kedua2nya masih berkongsi idiom2 muzik yg sama.
7. Idiom2 muzik yg berbeza pula kebanyakkan berada pd muzik ghazal kerana sifatnya yg lebih kompleks seperti toda, timbang, sambut, sulam, patah lagu, bunga, dll lagi.
8. Muzik dangdut yg lebih bersifat sederhana (bkn bermaksud ringan) boleh dikatakan belum banyak mempunyai istilah2 terhadap idiom muziknya.
9. Obsesi trhadap aspek perbezaan antara kedua2 genre trsebut menunjukkan kecenderungan sesetengah org yg suka melihat sebuah budaya campuran (hibrid) secara terpisah-pisah dan terlalu bergantung kpd terminologi Barat tanpa mempertimbangkan estetika Melayu yg lebih bersifat cair dan mudah menyerap dgn unsur lain.

Arena Ghazal merupakan anjuran bersama Pusat Seni Pentas Tradisonal  ASWARA (PuTRA) dan Persatuan Ghazal Johor Malaysia (GHAJMAS) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Friday, February 9, 2018

ASWARA KE BESUT ? NO COMMENT!



Wartawan: Benarkah ASWARA akan berpindah ke Besut?
Che Kem: No Comment!
Wartawan : Apakah Taman Ilmu, Besut akan menjadi kampus induk ASWARA (Universiti P.Ramlee)
Che Kem : hmmm... No Comment!
Wartawan : Bukankah di kampus ASWARA kini sedang dalam pembinaan sebuah bangunan baru?
Che Kem : Ya... tapi No Comment!
Wartawan : Benarkah selepas ini ASWARA (UPR) bukan lagi di bawah Kementerian Kebudayaan & Pelancongan dan diletakkan di bawah KPT?
Che Kem : aaa...No Comment!
Wartawan : Jika begitu ASWARA (UPR) tidak lagi institusi yang eksklusif, sama seperti IPT lain.
Che Kem : hmm hmm No Comment!
Wartawan : Jadi lepas ini ASWARA (UPR) tiada lagi kaitan dengan perancangan seni budaya dan industri kreatif di bawah MOTAC lah?
Che Kem : No Comment!
Wartawan : Buat masa ini semua pensyarah bersandarkan skim B Pegawai Kebudayaan, bila di bawah KPT adakah skim yang sama akan mengajar atau seperti IPT lain iaitu Skim DS?
Che Kem : No Comment!
Wartawan : Dari tadi Che Kem tiada jawapan. Takut eekk?
Che Kem : No Comment!
Wartawan : Takkan takut pun no comment Che Kem?
Che Kem : Ok lah Che Kem soalan akhir, apa pandangan Che Kem untuk masa depan ?
Che Kem : Sekarang saya rabun dekat jadi yang jauh jauh tu saya tak mau fikir, yang dekat ni kabur dan tak boleh baca.
Wartawan: Kesian Che Kem.

Friday, January 26, 2018

ASWARA-K-ARTS : GLOBAL YOUNG ARTIST PROJECT


Ini projek julung kalinya diadakan kerjasama antara ASWARA dan Korea National University of Arts atau disebut sebagai K-Arts. Dahulu universiti kesenian ulung di Korea Selatan ini dikenali sebagai KNUA. Kunjungan K-Arts kali ini diketuai oleh Profesor Kim Won-min yang merupakan profesor di Sekolah Kesenian Tradisional Korea. Ia merupakan salah satu fakulti pengajian di bawah KArts. Delegasi ini turut disertai oleh sembilan orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Kesenian Tradisional Korea dan seorang pelajar sarjana (Kim Hwang Dong) yang bertindak sebagai Pegawai Projek.


Sebenarnya kerjasama antara ASWARA dan KArts sudah terjalin sejak 10 tahun yang lalu apabila beberapa orang graduan diploma dan Ijazah Sarjana Muda ASWARA menerima biasiswa pengajian dari K-Arts. Atas usaha Profesor Dr Joseph Gonzales (bekas Dekan Fakulti Tari) yang membina jambatan antara ASWARA - KArts maka ia membuka peluang kepada graduan ASWARA menerima tajaan pengajian. Dan tidak dinafikan, para graduan ASWARA/ASK yang terpilih adalah mereka yang berketrampilan. Antara mereka ialah Maz Irwan (Ijazah filem), Azizi Sulaiman, Ng Xinying, Mohd Khairi dan Lee Wen Yen (Tari Moden).

Saya kira kedatangan delegasi KArts ke ASWARA memberi ruang yang baik di dalam memesrakan hubungan. Kunjungan kali ini menampakkan kesefahaman antara dua universiti yang mempunyai pengajian tradisional. Para pelajar berkongsi ilmu dalam pengajian masing-masing dan bertukar pengalaman.


Pelajar KArts menerima bimbingan dalam kelas wayang kulit, makyung dan tarian rakyat. Manakala pelajar ASWARA mengikuti kelas tarian topeng dan pungmol. Pengisian program Global Young Artist ini ialah bengkel, demonstrasi, lawatan dan showcase. Walaupun tempoh tujuh hari di ASWARA, banyak perkara telah dimanfaatkan dengan baik sekali.


Dengarnya, salah satu tujuan Profesor Kim ke ASWARA adalah untuk membawa rombongan ASWARA ke sana September ini. Kita tunggu lah ya.

Thursday, January 11, 2018

LEMBU DICUCUK HIDUNG

Eh ini kerbau ke lembu? 

'Seperti Lembu dicucuk hidung' , kenapa peribahasa ini seolah-olah bernada negatif walhal apa salahnya kalau lembu dicucuk hidungnya? Itukan salah satu kaedah pengembala mengendalikan karenah dan peel perangai sang lembu agar menurut perintahnya.

Dari sudut pandang pengembala, itulah cara terbaik untuk menguasai  yang lemah apatah lagi kalau yang dikuasai itu sejenis bodoh piang. Ikut saja mengkhinzir buta asalkan dapat makan rumput setiap hari. Si pengembala tentu sekali punya rancangan untuk sang lembu yang bodoh itu, tak kiralah berapa banyak lembu itu nak meragut rumput dan berapa ramai orang terpijak tahi lembu yang bodoh itu. Yang penting, pengembala yakin pasti, dihujungnya lembu itu akan dikorbankan dan dagingnya dijual.

Dari sudut sang lembu pula berbeza, Dalam hati lembu berkata "kau cucuklah hidung aku, takpa. Kau heretlah aku, takpa aku ikut. Kau suruh aku makan, aku makan. Kau suruh aku minum air parit, aku minum. Asalkan perut aku kenyang dan dapat makan rumput di tempat subur dan di padang ragut paling hijau". Si lembu ini dalam hidupnya hanya satu rancangan atau cita-cita. Nak jadi besar. Hidup mati itu bukan kerja dia. Nasib orang lain bukan dia punya hal. 

Tapi sang lembu akan buat-buatlah bodoh (meski orang semua tengok dia bodoh) supaya orang keliling kesian tengok dia, tak mau aniaya dia dan layan saja perangai dia. Kerana bodoh jugalah, lembu ini pakai masuk saja di padang mana pun. Walau padang itu kepunyaan kerbau atau kambing atau babi sekali pun. Kerana dia bodoh maka orang-orang keliling pun gelak-gelak saja, geleng kepala saja tengok telatahnya. Tapi yang bagusnya, si lembu yang bodoh dapat makan di padang rumput idamannya. Yang tukang gelak. gelak ajalah. 

Fikir-fikir, cerdik juga lembu ini kerana mengorbankan hidungnya untuk dicucuk, diheret si pengembala ke mana saja, tak heran satu hari pengembala akan bawa lembu makan rumput di halam istana.

Ni bukan manusia dan bukan lembu

Tapi kita yang manusia ini, janganlah jadi macam lembu. Kita kena ada pendirian, namanya khalifah di muka bumi. Kalau khalifah tak mungkin dibiarkan hidungnya dicucuk.

Tuesday, May 23, 2017

MASTERCLASS MAKYUNG

Pak Ibrahim Senik juga merupakan tokoh makyung
yang pernah diundang oleh PuTRA untuk
Gema Seni Tradisional 'Bertabik' tahun 2016

Rasa berbaloi bila dapat satukan beberapa orang tokoh tradisional dalam satu ruang. Bukan sembang kosong tapi masing-masing menyumbang kepada pengertian yang sama. Ini bunyi macam syok sendiri sebab kita yang anjur dan kita yang puji.

Tapi perkara ini jarang sekali berlaku dan orang tidak minat untuk menganjurkan acara begini. Apatah lagi mahu berilmiah dengan orang-orang tradisional. Ramai yang beranggapan ianya akan habis dengan bualan penuh emosi dan mengimbau zaman lampau. Maka yang kita sering jumpa adalah seminar atau wacana oleh para ahli akademik yang berhasil menganalisa kajian mereka. Walhal kajian itu bagi saya adalah sekunder berbanding mendengar dan peroleh dari tokoh secara bersemuka. Ya memang tidak dinafikan tokoh-tokoh inilah juga yang menjadi rujukan kepada sebahagian ahli akademik.

Bila berbengkel bersubjekkan makyung, sangat klise bila pakyung yang bercakap dan memberi pandangan bagi pihak kesenian itu keseluruhannya. Makyung adalah satu teater holistik yang merangkumi banyak aspek - gerak, lakon, lagu, muzik, ucatan, pentas, ritual, kostum dan macam-macam lagi. Kebiasaanya bila mendengar seseorang pakyung bercerita, ianya lebih berlingkar soal lakon, lagu dan gerak. Jadi hal-hal yang agak terpencil di sidang akademik adalah tertib, adab dan pantang-larang dalam permainan muzik. Ia kedengaran remeh dan tidak penting kan?


Ritual dan makyung itu satu tapi selama dua hari tu bengkel memisahkan hal-hal ritual. Topik-topik dikemudi oleh Che Mat Jusoh cukup berhemah. Guru-guru lain dipandu oleh Che Mat dengan baik menjadikan sesi sangat teratur tetapi adakala saya terasa tidak cukup dan mahu tahu lagi namun masa membataskan banyak hal. Bukan senang hendak mendengar Pak Man Teluk Rejuna (Drahman Pulau) atau dikenal sebagai Raja Gendang Kelantan berbicara di hadapan khalayak, begitu juga melihat aksi dan analisa oleh Che Amad serta mainan gendang Pak Husin yang tangkas. Bengkel ini turut dimudahkan dengan kerjasama dua adiguru PuTRA Pak Nasir dan Pak Wahab.

Masterclass Pergendangan Makyung berhasil mengupas beberapa topik yang pada asalnya tidak terduga oleh kami hasilnya sangat mustahak. Ini saya katakan kerana rupanya ada perkara mengenai hal-hal kecil tidak dibincangkan walhal ianya merupakan sebahagian daripada sifat penting makyung. Dalam sesi dua hari itu saya seperti budak baru mengenal makyung. Bila saya ketahui lagu Yong itu adalah lagu penting, apa yang dimaksudkan dengan sumbang gendang, tertib dalam lagu menghadap rebab dan macam-macam lagi. Perkara-perkara ini mungkin jarang disentuh dalam kajian ilmiah.
Rektor ASWARA, Prof Dato Dr Hj Mohd Rizon Johari
hadir dalam acara penutup dan penyampaian sijil

Rupanya antara tokoh pun turut sama mengutip ilmu antara satu sama lain. Ini semua kerana pengalaman dari pelbagai guru, ilmu bermain dalam panggung dan beberapa faktor lain. Kalau dah tokoh pun masih mengutip ilmu apatah lagi kita yang singkat pengalaman ini, tentulah banyak perkara yang dapat dipelajari.

Masterclass ini menerima sambutan yang baik daripada penggiat dan pemuzik. Asalnya memang kami tidak menjangkakan sambutan akan ramai memandangkan ianya sangat spesifik kepada permainan makyung tetapi sepanjang dua hari itu kami menerima peserta terdiri daripada para pelajar muzik Sunway University, penggiat muzik dari Singapura, tiga orang pelajar pascasiswazah dari China, pensyarah UPSI, individu-individu pencinta seni budaya Kelantan dan pelajar ASWARA. Nampak gaya, bengkel seperti ini perlu dianjurkan lagi.


Thursday, March 16, 2017

SERTAI ASWARA: THE BEST ARTS SCHOOL

Amyra Rosli dalam penilaian kursus Bangsawan.
Produksi Bangsawan 'Pendekar Sukma 2011'
Sekarang ASWARA sedang rancak mempromosi pengambilan pelajar baru bagi kemasukan September 2017. Kesemua program pengajian yang ditawarkan telah mendapat pengiktirafan Akreditasi oleh MQA. Jadi tiada masalah jika selepas ini mahu menyambung pengajian atau mencari pekerjaan.

- Asasi Seni Kreatif
- Diploma
- Ijazah Sarjana Muda

Jadi kalau berminat mahu belajar di ASWARA boleh mohon sekarang klik di pautan ini Permohonan Online ASWARA .

Exchange Programme ASWARA-Kyoto University Arts Design.
Program ini berlangsung sejak tahun 2015

 ASASI SENI KREATIF adalah platform kepada calon yang ingin melanjutkan pelajaran ke program Ijazah Sarjana Muda tanpa melalui pengajian Diploma. Pelajar hanya perlu melalui satu tahun pengajian (3 semester) yang merangkumi pengajian teori dan praktikal di mana pelajar akan didedahkan kepada asas-asas dan bidang seni. Yang pasti di peringkat ini, pelajar sudah dapat bekerjasama dengan tokoh dan penggiat dalam industri. Ini istimewanya di ASWARA. Program Asasi ini memerlukan syarat minima LULUS SPM/SPMV dengan mendapat sekurang-kurangnya kepujian lima (5) mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu dan beberapa syarat lain (rujuk laman web ASWARA www.aswara.edu.my)


MAGIS 2016 : Malam anugerah meraikan pelajar gemilang. 

DIPLOMA menawarkan 8 diploma pelbagai bidang iaitu Seni tari, Teater, Muzik, Seni Halus, Rekaan Komunikasi Visual, Animasi, Filem dan Penulisan Kreatif. Diploma ASWARA/ASK telah terbukti melahirkan ramai penggiat dan karyawan seni yang hebat dan popular di Malaysia malah berjaya memenangi beberapa pertandingan di peringkat antarabangsa. Teater: Sherry Al-Hadad, Amyra Rosli, Zulhuzaimy,  Dr.Rosdeen, Norzizi, Namron, Zahiril Adzim, Toemoe, Naque Ariffin ramai lagi (sekadar menyebut nama) Tari; Yunus Ismail, Syed Mustapha, Hanafi Rosdi, Raziman, ASWARA Dance Company ramai lagi (sekadar menyebut nama). Penulisan Kreatif: Siti Jasmina, Dr.Marlenny Deen Irwan, MF Kencana, Filem; Khalid Nadzri,  Eric Fuzi, Shaurin, Taufiq Hanafi ramai lagi, Muzik; Miss World Talent Dewi , #Juara Azizul Haqim, Hazra 3Juara, Juara Dangdut Star Fitri Hiswandy, Sabihah Abd Wahid, Eddie Nazrin, Sarah Ismail, Juanita Ismail, Dr Colleen Wong, Dr.Raja Iskandar, Teuku Umar Illany ramai lagi Seni Halus; Fahmi Taib, Ejatt dan ramai lagi. 


hari ko-kurikulum: Antara aktiviti yang disertai para pelajar.
IJAZAH SARJANA MUDA: Ada 9 jenis pengajian yang ditawarkan;


AAM1 - Ijazah Sarjana Muda Animasi dengan Kepujian 
AAM2 - Ijazah Sarjana Muda Seni Permainan Digital dengan Kepujian 
AFT1 - Ijazah Sarjana Muda Filem dan Televisyen dengan Kepujian 
AMZ1 - Ijazah Sarjana Muda Muzik dengan Kepujian 
APN1 - Ijazah Sarjana Muda Penulisan dengan Kepujian
ATE1 - Ijazah Sarjana Muda Teater dengan Kepujian 
ATR1 - Ijazah Sarjana Muda Tari dengan Kepujian 
APBW1 - Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni dan Budaya dengan Kepujian 

ARKV1 - Ijazah Sarjana Muda Rekaan Komunikasi Visual dengan Kepujian 

Setiap program di atas ada syarat kemasukan yang berbeza, jadi eloklah lawat laman web ASWARA www.aswara.edu.my

Saya pasti anda mencari tempat belajar yang seronok, penuh pengalaman dan meninggalkan kenangan paling manis. ASWARA is the place!!!!


Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...