Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, August 16, 2022

LAWAK TAK BEROTAK

Sudah lama saya perhatikan senario dunia lawak kita sejak 15 tahun kebelakangan. Meriah dengan gelak tawa. Banyak sekali program tv dan radio dijayakan mereka malah pagi-pagi pelawak yang meriuhkan pemanduan ke pejabat. Ia seolah satu fenomena setiap acara mesti ada pelawak bahkan penyanyi dan pelakon pun ada mengembang bakat lawak mereka. Meriah.


Dalam kemeriahan meraikan bakat bakat baru lawak jenaka, secara perlahan pendengaran dan penontonan kita dibiasakan dengan perkara yang tidak biasa. Soal adab soal bahasa soal sensitiviti soal tanggungjawab sebagai manusia juga semakin menipis. Hari ini media telah menghalalkan banyak hal yang taboo. Taboo bermaksud sesuatu yang dapat mengawal adab, sopan susila, sensitiviti bukannya hal hal kuno dan konservatif. Namun atas nama parodi atas nama jenaka atas nama hiburan, ia menjadi normal dan baik baik saja.
.
Jadi kita dengar dan lihat di tv di media, pelawak menengking, memaki hamun, melontar kata kesat dan kata berbaur lucah tanpa rasa tanggungjawab. Itu semua atas tiket jenaka dan mereka hanya berlawak. Alasan media akan kata kalau tak suka tukarlah channel. Ego nya cukup tinggi dan subteksnya - Kita yang bermasalah.

Era 90an memang kita kekurangan pelawak tapi dalam kekurangan itu kita ada Senario yang masih berlawak dengan tanggungjawab di mana stesen tv masih mengawal. Kini lawak ditayang secara langsung, kalau terlepas kira halal saja. Sebelum senario kita ada grup Santan Berlada dan geng Pi Mai Tang Tu pun bagus dan menghiburkan. Kita ada generasi Badul, R Jaafar Hamid Gurkha Yahya Sulong Jamali shaadat Ayappan dan kalau mahu dijangkau jauh ada ramai lagi sezaman Aman Belon. Hari ini mereka lebih selesa digelar pelakon komedi bukan pelawak tapi asasnya sama Jenaka.

.
Maka bila terbit video wanita persenda Islam dan video video lain di gelanggang komedi, kita mula buka mata. Bahayanya jika tidak ada kawalan. Siapa patut mengawal? Kerajaan ke? Takkan lah sampai begitu. Di era lebih 60 tahun merdeka ini rasanya tanggungjawab membina bangsa, tanggungjawab kepada manusia lain itu sepatutnya tugas semua yang waras. Saya harap mereka yang berdiri di pentas lawak itu orang yang waras tidak dipengaruhi alkohol dan dadah.
-
Jangan pula ada kata ‘susahlah malaysia ni semua nak sensitif, semua tak boleh’ . Kat America sudah popular acara selebriti membaham seseorang tokoh terpilih secara jenaka tanpa batas bahasa asal penonton gelak. Saya nampak dalam satu program lawak macam sidang parlimen kat tv kita. Para politikus jangan selesa dengan perkembangan begini. Hari ini sudah terbukti pendidikan yang baik dan tinggi tidak menjamin seseorang itu bertanggungjawab dan menjadi berhemah. Apatah lagi pelawak di tv macam macam latar hidupnya. Kalau jenis tak suka baca buku maka lawaknya akan berkisar hal vape dan motor dan awek cun dan pickup line. Soal bahasanya, jangan haraplah nak bagus.
.
Ini bukan soal perjuangan bahasa ya. Ini hal tanggungjawab orang seni.

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...