Pak Ibrahim Senik juga merupakan tokoh makyung yang pernah diundang oleh PuTRA untuk Gema Seni Tradisional 'Bertabik' tahun 2016 |
Rasa berbaloi bila dapat satukan beberapa orang tokoh tradisional dalam satu ruang. Bukan sembang kosong tapi masing-masing menyumbang kepada pengertian yang sama. Ini bunyi macam syok sendiri sebab kita yang anjur dan kita yang puji.
Tapi perkara ini jarang sekali berlaku dan orang tidak minat untuk menganjurkan acara begini. Apatah lagi mahu berilmiah dengan orang-orang tradisional. Ramai yang beranggapan ianya akan habis dengan bualan penuh emosi dan mengimbau zaman lampau. Maka yang kita sering jumpa adalah seminar atau wacana oleh para ahli akademik yang berhasil menganalisa kajian mereka. Walhal kajian itu bagi saya adalah sekunder berbanding mendengar dan peroleh dari tokoh secara bersemuka. Ya memang tidak dinafikan tokoh-tokoh inilah juga yang menjadi rujukan kepada sebahagian ahli akademik.
Bila berbengkel bersubjekkan makyung, sangat klise bila pakyung yang bercakap dan memberi pandangan bagi pihak kesenian itu keseluruhannya. Makyung adalah satu teater holistik yang merangkumi banyak aspek - gerak, lakon, lagu, muzik, ucatan, pentas, ritual, kostum dan macam-macam lagi. Kebiasaanya bila mendengar seseorang pakyung bercerita, ianya lebih berlingkar soal lakon, lagu dan gerak. Jadi hal-hal yang agak terpencil di sidang akademik adalah tertib, adab dan pantang-larang dalam permainan muzik. Ia kedengaran remeh dan tidak penting kan?
Masterclass Pergendangan Makyung berhasil mengupas beberapa topik yang pada asalnya tidak terduga oleh kami hasilnya sangat mustahak. Ini saya katakan kerana rupanya ada perkara mengenai hal-hal kecil tidak dibincangkan walhal ianya merupakan sebahagian daripada sifat penting makyung. Dalam sesi dua hari itu saya seperti budak baru mengenal makyung. Bila saya ketahui lagu Yong itu adalah lagu penting, apa yang dimaksudkan dengan sumbang gendang, tertib dalam lagu menghadap rebab dan macam-macam lagi. Perkara-perkara ini mungkin jarang disentuh dalam kajian ilmiah.
Rektor ASWARA, Prof Dato Dr Hj Mohd Rizon Johari hadir dalam acara penutup dan penyampaian sijil |
Rupanya antara tokoh pun turut sama mengutip ilmu antara satu sama lain. Ini semua kerana pengalaman dari pelbagai guru, ilmu bermain dalam panggung dan beberapa faktor lain. Kalau dah tokoh pun masih mengutip ilmu apatah lagi kita yang singkat pengalaman ini, tentulah banyak perkara yang dapat dipelajari.
Masterclass ini menerima sambutan yang baik daripada penggiat dan pemuzik. Asalnya memang kami tidak menjangkakan sambutan akan ramai memandangkan ianya sangat spesifik kepada permainan makyung tetapi sepanjang dua hari itu kami menerima peserta terdiri daripada para pelajar muzik Sunway University, penggiat muzik dari Singapura, tiga orang pelajar pascasiswazah dari China, pensyarah UPSI, individu-individu pencinta seni budaya Kelantan dan pelajar ASWARA. Nampak gaya, bengkel seperti ini perlu dianjurkan lagi.
No comments:
Post a Comment