Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, March 14, 2017

PENEROKAAN SENI NORZIZI




Artikel tulisan saya ini telah dimuatkan dalam ruangan Hiburan Utusan Malaysia pada 2 Mac 2016 yang lalu. Terima kasih diucapkan kepada Saudara Saharudin Mustafa.

SEBAIK memasuki Panggung Eksperimen, Akademi Seni dan Warisan (Aswara) suasana pentas suram, set yang sederhana hanya dua bentuk gunung menggunakan platform dan di bawahnya ada lorong yang boleh dilalui dan di atas gunung yang paling tinggi itu sudah ada dua pelakon sedang duduk saling memandang. Seperti lukisan mitos Melayu yang berkait dengan gunung dan lembah, kuasa atau semangat, alam atas dan alam bawah.

Set yang penuh simbolik itu direka oleh pelukis tersohor, Bayu Utomo Radjikin manakala penataan cahaya oleh Azizul Zahid Jamal. Kekaguman yang dibina pada pre-set persembahan cukup mengujakan.

Norzizi Zulkifli sudah beberapa kali mengarahkan teater yang berasaskan teater tradisional makyung cuma kali ini sedikit berbeza kerana sebuah produksi yang unik iaitu kolaborasi antara karyawan Malaysia dan pelakon Australia dari Universityof Wollongong.

Setelah berjaya bereksperimentasi dengan makyung sejak pengarahannya yang pertama melalui makyung Anak Raja Gondang pada 2002, Norzizi tidak berhenti berkarya malah teater arahannya mencipta sejarah sendiri.

Makyung Raja Tangkai Hati menjadi makyung pertama mengisi Panggung Sari, Istana Budaya dan beliau adalah pengarah teater termuda yang berpeluang mengarah di panggung hebat itu.
Titis Sakti pula adalah makyung yang mengangkat adaptasi karya William Shakespeare, A Midsummer Night’s Dream sementara Throne of Thorns adalah cubaan Norzizi terkini yang menggunakan teks asal Tempest karya penulis agung yang sama.

Menariknya, Throne of Thorns tidak menampakkan struktur makyung yang jelas tetapi elemen-elemen makyung cukup kuat untuk menjadikannya sebuah produksi sebagai syarat pengajian Doktor Falsafah beliau. Produksi terbitan Pusat Seni Pentas Tradisional Aswara (Putra) ini juga sangat segar dengan penerokaan seni tradisi dalam karya kontemporari.

Penerbitan produksi ini juga bertepatan dengan gagasan untuk melestarikan seni tradisi seperti makyung, usaha-usaha eksperimentasi tradisional perlu diraikan agar sealiran dengan kemahuan dan cita rasa generasi baharu. Seandainya tiada usaha sedemikian diambil, kesenian seperti makyung akan statik dan diminati kelompok tertentu sahaja.


Dalam pengarahan Norzizi kali ini, para pelakon dari Australia dengan selesa menggerakkan gerak tari makyung yang dapat dilihat pada persembahan pembukaan dan pengarah itu mengambil gerakan asas tari Menghadap Rebab dan membuka ruang kepada pelakon meneroka mengikut interpretasi mereka.
Terdapat juga formasi dan penggunaan gerakan tradisional Melayu seperti silat dan randai. Yang terlihat Inggerisnya hanyalah pada bahasanya dan gaya pertuturan Shakespeare.

Hal ini menampakkan inter-cultural berlaku apabila hampir 60 peratus gerakan berasaskan gerakan Melayu dan beberapa sebutan makyung seperti ‘yo lah’ yang dilafaz oleh pelakon utama pada awal ucap tetapnya. Menurut Norzizi, adaptasi ini bukanlah mengangkat keseluruhan teks Tempest ke pentas tetapi sebuah respons atau tindak balas beliau berdasarkan naskhah Shakespeare ini.
Shakespeare yang terkenal dengan gaya bahasa yang hebat tetapi beliau menterjemahkannya ke dalam gerakan atau formasi atau tarian.

Sepanjang menonton persembahan Throne of Thorns, mata tidak terlepas melihat kehebatan lakonan para pelajar dan mahasiswa University of Wollongong beraksi yang memperlihat dinamika lakon, ekspresi dan tenaga yang maksimum.

Menurut Norzizi, teater ini telah dipentaskan di Australia pada Februari 2015 selepas menjalani latihan selama enam bulan sementara untuk pementasan di Kuala Lumpur, para pelakon menjalani latihan bawah penyeliaan Dr. Janys Hayes di Wollongong.

Untuk pementasan ini, Norzizi menambah beberapa perkara termasuk membawa masuk ke pentas pelakon, Zamzuriah Zahari dan pemuzik Baisah Hussin yang bertujuan menyuntik lebih rasa Melayu dan menguatkan roh makyung dalam cerita.

Hal ini ternampak apabila ruang lakon Zamzuriah sebagai roh hanya di ruang atas dan berdialog dalam bahasa Melayu serta air lagu dan geraknya kuat roh Melayu apatah lagi muziknya hanya didengar tanpa terlihat kinestetiknya. Ini sangat berinspirasi daripada mainan wayang kulit. Penonton melihat aksi namun ada penggerak di balik tabir yang mencetus gerak dan rasa.

Zamzuriah dan Baisah merupakan pensyarah Aswara yang memiliki pengalaman yang luas dalam seni persembahan tradisional sementara Kraig Grady selaku pengarah muzik persembahan menggunakan beberapa instrumen tanpa wayar dengan alat utamanya diperbuat sendiri seperti sebuah alat marimba, gong, gendang Kelantan, serunai dan rebab.

Memang kedengaran alunan rebab bersilang dengan bunyi yang agak unik namun membawa setiap babak sangat signifikan sebagai contoh penggunaan tiupan serunai sewaktu raja kembali ditabal, roh Melayu sangat tebal dan sayup-sayup kedengaran bunyi alat seperti marimba itu.


Keseluruhannya, teater Throne of Thorns ini kelihatan sangat sederhana pada mata kasar namun sebenarnya sebuah permulaan yang baik buat seni teater untuk 2017. Sudah jarang teater sebegini ada di Kuala Lumpur. Teks yang baik, pengarahan yang cemerlang dan lakonan yang maksimum membuatkan harga tiket RM20 dirasakan terlalu murah.

Syabas diucapkan kepada Norzizi, Putra Aswara dan University of Wollongong atas usaha sama yang berhasil. Kerjasama dua institusi pendidikan ini mampu membawa seni persembahan di Malaysia maju dan bertukar kepakaran. Yang pasti, melalui produksi ini Norzizi dan Aswara terlihat begitu berperanan.

Sebagai lulusan diploma ASK/Aswara Norzizi buktikan bahawa kita sebenarnya kaya dengan bahan untuk dihasilkan, pengalaman di luar negara tidak menjadikan beliau lupa untuk terus meneroka seni budaya bangsa.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/hiburan/penerokaan-seni-norzizi-1.451276#ixzz4bIxXiO9s

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...