Gambar hiasan |
Selamat berpuasa. Saya ni bukanlah jenis yang cerewet pasal memilih makanan tapi lidah ni akan menolak jika tak mengikut piawaian yang ditetapkan. Misalnya kalau kuihnya popia maka ia mestilah cukup jenis sayurannya, kulitnya tidak keras, sosnya tidak terlalu pedas, kalau ada udang atau ayam maka bonuslah penjual tu dapat. Hmmm inilah halnya bila saya singgah untuk membeli juadah berbuka di pasar Ramadhan, semenjak bermastautin di KL dari tahun 1991 maka pancaroba inilah yang dihadapi oleh saya. Masa mula-mula berpuasa di KL, agak janggal bagi saya apabila berbuka dengan kuih karipap apatah lagi kalau kuihnya donat. Apa nak buat selama 20 tahun membesar dan tidak keluar dari tanah kelahiran Pasir Mas, lidah ni dah sebati dan lali dengan kuih dan manisan semasa berbuka, bunga tanjung, nekbat, nonde, akok kedut dan bermacam lagilah jenis kuih manisan. Namun yang lebih bermasalah apabila berbuka dengan nasi kerabu dan yang dibeli tetapi tidak menepati citarasa langsung. Susahnya kerana saya ni anak peniaga nasi kerabu di Kampung Kubang Panjang Pasir Mas. Tiap-tiap pagi waktu bersekolah dahulu, itulah yang saya hadap sebagai sarapan. Jadi saya menguasai pemakanan nasi kerabu dan agak mahir dengan citarasa saya (pastinya disuburkan oleh air tangan Mek saya lah).
antara bahan-bahan asas (tidak termasuk pisang) |
Bulan Ramadhan ni, memang ramai betul orang berminat untuk berniaga dan ramailah pula yang ingin menunjukkan bakat dengan tujuan untuk memenuhi kehendak rakyat Kelantan yang berhijrah ke KL selain daripada mengambil kesempatan ke atas kehendak melampau orang-orang Kelantan kepada makanan kebanggaan mereka. Yang menghampakan, sering sahaja saya terbeli nasi kerabu yang cantik di mata...warnanya membiru dengan pelbagai jenis lauk pauk yang mahu digandingkan dengan nasi kerabu. Namun hakikatnya indah khabar dari rupa, bila saya dapati ulamnya penuh dengan taugeh dan kobis (kobis tu bukan ulam itu sayur) dan dicampur juga dengan daun selom serta semestinya cik kalsom. Kecewa betul! Tambahan lagi kalau kerabunya kelapa lebih banyak daripada ikan manakala budunya hanyalah semata-mata budu. Tambah lebih mengecewakan nasi kerabu diletakkan sambal belacan! Belacan ok belacan! manalah tak menyirap darah keturunan Noriah bt Mat ini. Saya tak hairan kalau nasi kerabu makan bersama daging bakar, ikan goreng, ikan masin ke, telur masin ke tapi saya cukup tak berkenan kalau nasi kerabu diganding dengan gulai ayam atau ikan goreng pedas, ini memang pantang dan menyalahi undang-undang nasi kerabu!
daun serai kayu |
Mari saya ceritakan kenapa saya jadi sangat emosional pasal nasi kerabu ni. Seperti saya ceritakan di atas yang Mek saya peniaga nasi kerabu, arwah mula berniaga semasa saya di darjah 4. Dan ianya membanggakan kami kerana ramai yang memuji nasi kerabu Mek di mana kesedapannya terletak pada Tumisnya...lemak manis. Maknanya nasi kerabu arwah Mek ni popular menjangkaui kampung-kampung lain. Masa saya di darjah 5 dan 6 saya sering disuruh oleh arwah mek untuk ke pasar bagi membeli bahan-bahan untuk jualan esoknya. Jadi Arwah Mek akan minta saya tuliskan bahan-bahan yang nak dibeli dan saya tulis satu persatu bahan-bahan untuk setiap masakan. bahan-bahan untuk nasi kerabu, untuk nasi berlauk dan kadang kala untuk nasi dagang. Sekali dua memang pilihan saya tidak memenuhi apa yang Mek jangkakan (Ya lah budak darjah 5 pergi pasar besar Pasir Mas). Tapi dari situlah saya mula kenal jenis-jenis ikan, jenis-jenis ulam dan bagaimana mencari yang sesuai mengikut kemahuan Mek saya. Ingat lagi handle basikal saya penuh dengan plastik ghokghat bawa balik ke rumah...(tak terbayang oleh saya untuk harapkan anak bujang saya Aish ke pasar). Jarak antara rumah ke pasar (dulu pasar Pasir Mas adalah Bazaar sekarang) tidaklah jauh tapi jauhlah bagi saya yang berusia 11 tahun pada ketika itu. Masih saya ingat saya akan ulang ke gerai atau makcik-makcik yang menjual sayur...sehingga ada yang sudah cam dengan saya dan mereka akan berikan yang elok-elok.
saja masukkan montage Rumah hehehe |
Tapi bukan saya yang membantu Mek untuk menyediakan bahan untuk jualan, saya mestinya sibuk di padang dan halaman rumah bermain. Arwah Mek dan Wan akan bangun seawal 4 pagi untuk menyiapkan jualan, biasanya kakak-kakak saya yang akan membantu. Kalaupun saya disuruh hanyalah untuk kerja-kerja seperti menumbuk serai, menggoreng kelapa, kacau tumis maksudnya yang ringan-ringanlah. Pernah saya dimarah Mek sebab membiarkan santan mendidih...habis pecah minyak santan Mek. Dari situ saya belajar bagaimana menjaga santan Tumis dan menganggar semasak mana kelapa bila digoreng.
Kalau saudara dapat menyelam bagaimana akrabnya saya dan nasi kerabu, itulah sebabnya saya tidak boleh terima kalau mereka yang menjual nasi kerabu sekadar cukup syarat... ala kadar saja. Memang angin lah saya. Memang saya tidak nafikan citarasa masing-masing, tapi kalau dah ulamnya kobis mana nak sedapnya nasi kerabu tuu. Sebab itulah kalau nak puaskan hati, saya dan adik beradik akan buat dan masak sendiri nasi kerabu. Tambah-tambah di bulan puasa ni...banyak yang menghambat, bukan sahaja keinginan nak makan nasi itu tapi ia turut terbawa dek nostalgia dan memori semasa di kampung. Maka bergotong royonglah kami memasak nasi kerabu!
Biasanya kami masak nasi kerabu putih sahaja, memang adakala Mek menjual nasi kerabu kuning atau hitam (actually biru lah). Masa tu seingat saya Mek akan minta saya kutip pucuk mengkudu (mesti kenal kan) untuk dijadikan pewarna nasi, biasanya apabila menggunakan daun mengkudu, nasi akan bertukar menjadi warna biru kelabu. Adakalanya Mek menggunakan Bunga Telang (yang warna purple/biru) untuk mewarnakan nasi tapi yang ini agak jarang sekali sebabnya agak susah untuk mendaptkan bunga ini (dulu ada kat rumah Pokli Mokcik Som). Maklumlah kita kat kampung jadi banyak dicari di dalam belukar atau rumah-rumah jiran sahaja.
mengkudu |
bunga telang |
Untuk Ulam, Mek akan pastkan jenis-jenis ulamnya. Tak perlu banyak tapi cukup rasanya. Ia mestilah daun kesom, kacang panjang, timun batang (yang kurang bijinya) dan daun serai kayu (daun samak: kenal ke? memang susah nak dapat sekarang) serta kadang kala dicampur juga bunga kantan. Kalau ada bunga kantan memang sedaplah.Biasanya untuk kerabu, Mek akan gaulkan isi ikan kembung bakar, serai, bawang, kelapa goreng, garam dan gula. Dan nasi kerabu mek tak kan tinggalkan sambal Tumis, biasanya santan tumis Mek pekat dan naik minyaknya. Ia hasil ramuan kepala santan, cili kering, serai, bawang, asam, gula melaka dan garam...hmmm sedap nii. Tak lengkap rasanya makan nasi kerabu tanpa Tumis. Sebab itulah kalau saya mencari nasi kerabu, saya cari gerai yang ada Tumis. Budunya pulak, jika tidak dimasak, Mek akan letakkan limau kerat lentang dan cili burung. Tapi jika dimasak maka budu itu dimasak bersama serai, bawang dan gula melaka..hmm sedap ni wangi betul.
etok (bukan nama makcik tu ya!) |
Nasi kerabu akan berpalut jika makan bersama etok...tapi mana nak cari di KL ni. Kalau tidakpun makanlah dengan ikan selayang goreng atau telur masin atau solok lada atau bawang putih jeruk atau solok ikan atau daging atau ayam bakar. Hmm memang berpalut molek!!!
Hari Ahad yang lalu 22 September, saya dan abang saya, Dr. Ghazali berpakat untuk masak nasi kerabu bagi juadah berbuka. Jika nak dibanding, Ghazali lebih pakarlah berbanding saya sebabnya dia lebih banyak membantu Mek dulu. Saya lebih mahir ke pasar membeli bahan-bahannya. Jadi pada Ahad yang lepas kami menikmati nasi kerabu, nasi ulam, ayam percik, pegedil ikan dan solok lada. Hmmm puas hati. Ayam percik tu kiranya untuk habuan anak-anaklah.
11 comments:
cerita nasik kerabu ni membuatkan aku teringin cepat2 nak cari nasi kerabu tumis.....tapi kena ore pasir mas juga yang buatnya...owh...nasib baik ingatkan nama makcik tu....
setuju sesangat la kamal...nasi krabu kl ni sekadar nama jer sajer...xleh lawan yg mama punya kt kg..itulah lebih baik buat sendiri dr dibeli kalau kt kl ni.
Suzie,
tu lah suzie kat KL ni konsep nasi krabu hitam tak bertumis...it so dry. Cikgu Intan mesti pakar dalam hal ni
mamalong,
Kann... dua tiga kali kena helah dgn penjual...dah jadi cuak lah nak membelinya. kecuali betul2 pasti gerai ada nasi kerabu sedap...barulah ku membelinya.
craving for nasi kerabu... waaaa... da lame x makan... sedap nye.... huhuhuhuh
Afiq:
ya ke makan nasi kerabu... bukan ke suka amkan nasi dagang...
pergi lah cari...kat pantai dalam rasanya banyak pilihan tu
heheheeh.. nasi dagang sedap!!! pas ni nk wat entry nasi dagang la plop... hahaha.. tp da lame x mkn nasi kerabu.. tu la, esok gak nk p cari nasi kerabu.. =)
sedapnya nasi kerabu... kat kl ni susahnya nak cari nasi kerabu yg menepati citarasa tekak kelantan. nasi kerabu mak sendiri juga menjadi idaman kalbu...
Cik Puan Izan,
Air tangan bonda sendiri mana boleh lawan...dari kecil kita menikmati kasih sayang nya melalui masakan... macam saya yang sudah tiada Mek, maka terpaksalah masak sendiri kalau nak puaskan citarasa..
betul tu....ambo keno duo kali serik doh .....tapi ada satu gerai tu ....org yang meniaga bukan org kelantan.... tapi jadi molek.....baru yo lo
Post a Comment