Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, August 31, 2010

IPAH ...

Jika tidak silap foto ini pada tahun 1994

Ini kakak saya, namanya Saripah Bt Taib. Dilahirkan pada tahun 1965. Orangnya tinggi lampai dan kurus badannya. Di kampung semasa zaman anak gadisnya, dia dikenali kerana ketinggiannya. Sebenarnya saya mempunyai dua orang kakak dan seorang adik perempuan. Selain Saripah, kakak saya yang sulung namanya Sarimah dan adik perempuan saya namanya Siti Maimon. Saripah atau kami sekeluarga memanggilnya Ipah adalah anak yang ke 3 daripada sembilan orang adik beradik (jika dihitung berdasarkan ibu dan ayah yang samalah...hmm sebenarnya panjang betul nak diceritakan). Ipah sering juga kami gelarkannya sebagai 'kughuh' kerana badannya tidak pernah gemuk. Semasa remajanya Ipah dan kakak sulung saya Imah memiliki rambut yang panjang. Boleh dikatakan kalau mereka berdua berjalan tak ada mata yang tidak memandang dek keunikan rambut mereka. Panjangnya rambut mereka mencecah bawah peha. Adakala Ipah digelar 'rambut ekor kuda'. Saya sering saya bergurau dan menyakat Ipah kerana Ipah sering saja dibuli oleh abang-abang saya yang lain. Ipah tidaklah memiliki pendidikan yang tinggi hanya setakat SRP sahaja. Kerana itulah dia bekerja di Kilang Berlian di Jalan Lundang Kota Bharu sejak usianya 18 tahun. Jadi setiap pagi selepas subuh Ipah akan keluar rumah mengejar satu-satunya bas yang akan membawanya ke kilang dan dia akan pulang tika maghrib. Walaupun kerjanya hanya sebagai operator namun Ipah banyak berjasa pada kami sekeluarga. Ipah gemar membeli kelengkapan rumah melalui bayaran ansuran. Ipahlah yang mula-mula sekali membeli TV warna untuk kami dan Ipah juga turut membeli set sofa dalam foto di atas. Walaupun gajinya hanya sekitar RM180.00 sebulan. Minat Ipah pada kerja-kerja mengemas rumah memang ketara sehinggakan dia mampu menyusun atur perabut rumah seorang diri...malah almari pakaian turut dialihkan tanpa bantuan orang lain. Ipah memang suka mengemas...mungkin dalam sebulan kedudukan perabut akan bertukar. Jika dilihat pada saiz badannya memang tak sangka keupayaannya. Saya rasa Ipah dah terbiasa dengan kerja-kerja rumah kerana sejak sekolah rendah dia sudah membantu Mek memasak, mengemas dan membasuh pakaian kami adik-beradik. Dulu masa kecil manalah ada mesin basuh...semuanya pakai berus (payah nak diceritakan kisah kami sekeluarga dulu).

jika tidak silap foto ini diambil dalam tahun 1987; rumah lama
Setiap kali menjelang Raya, Ipah orang paling sibuk dalam keluarga kami yang memikirkan bagaimana nak menceriakan rumah. Dia juga suka membeli pinggan mangkuk, dan tentu sekali Ipah adalah orang yang tekun menghias dan mengemas rumah pada malam Raya. Ipah juga membantu Mek menyediakan tempahan ketupat, Ipah cekap membuka daun palas. Kalau saya tiga helai daun palas itu sudah rumit tapi Ipah mampu membuka 5-8 helai serentak. Sering saja bila malam-malam menjelang Raya Ipah akan tidur tergolek di mana-mana...penat. Saya pernah mereka beberapa rekaan baju kurungnya, jadi bila Ipah mengenakannya tentulah nampak menawan sebab badannya tinggi lampai. Kadangkala dia marah juga pada saya sebab rekaan saya agak mengarut sikit hahaha...mana tidaknya masa tu saya baru di tingkatan 2 atau 3.

Jodoh Ipah sampai agak lewat ketika usianya mencecah 30 tahun. Dulu kalau sudah melewati 25 tahun, sudah digelar andartu. Memang Ipah tidak begitu berjaya dalam soal cinta. Ipah berhijrah ke Johor dan bekerja di kilang elektronik di sana. Pernah semasa saya belajar di UM, dia datang KL dan bermalam di bilik sewaan saya. Semasa di Pasir Gudang, Johor lah Ipah bertemu jodoh dengan Abang Mie, seorang pemuda kelahiran Segamat. Abang Mie keturunan Jawa tulen. Awalnya memang dibangkang oleh keluarga mana tidaknya orang Kelantan bertemu orang Jawa...itukan musuh dalam cerita (kononnya). Tapi kehendak Ipah, Wan dan Mek turuti tanpa ada banyak drama...cuma kebimbangan tetap ada di hati Wan dan Mek. Ya lah nak melepaskan anak dara. Ipah bernikah pada tahun 1995.

Namun Ipah diterima baik olek keluarga suaminya. Abang Mie melayani Ipah dengan baik sekali. Malah kasih sayang ibu mertua Ipah jelas terlihat apatah lagi bapa mertua yang lembut tutur bahasanya. Kami pun turut gembira. Sesekali Ipah ada merungut mengenai sakit senggugutnya dan hal ini sering dialami sebelum dia berhijrah ke Johor lagi. Sakit dalam perutnya sering saja datang. Abang saya, Ghazali menasihati dia agar bertemu doktor atau pakar mengenai sakitnya, bimbang jika ada sesuatu yang serius. Satu hari Ghazali membawa Ipah ke hospital di Pasir Gudang dan doktor mengesahkan ada ketumbuhan kecil dalam perut. Ia mungkin kesan sakit yang berulang. Atas nasihat doktor, Ipah bersetuju untuk membuang ketumbuhan itu kerana ianya tidaklah berisiko. 

Bulan Ogos 1997, Ipah menjalani pembedahan di hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Semasa itu saya di KL. Wan,Mek, Siti bersama keluarga sebelah mertua menemani Ipah di sana. Ipah seperti biasa berbual sebelum menjalani pembedahan. Jadi tidaklah merisaukan Wan dan Mek. Namun ianya berlaku sebaliknya, selesai pembedahan Ipah koma dan ditempatkan di ICU. Saya menerima panggilan dari Siti memberitahu tentang Ipah. Saya bergegas ke Johor Bahru menaiki bas. Di hospital saya lihat walaupun Ipah ditempatkan di ICU tapi Ipah seperti tidak diendahkan malah ramai doktor pelatih yang menjaganya.

Tanggal 30 Ogos 1997 sekitar jam 8.00 malam Ipah disahkan meninggal dunia tanpa sebab yang jelas oleh pihak hospital. keceriaan Ipah sebelum dibedah dengan selepas pembedahan adalah dua individu yang berbeza. Saya tidak menuduh tetapi terdetik di fikiran saya bahawa Ipah tidak melalui pembedahan yang sepatutnya. Tidak ada doktor yang boleh menerangkan kedudukan ini. Kami redha dengan pemergian Ipah tapi sebagaimana kata arwah Wan 'aku tak maafkan orang yang buat anak aku'.

Genap 13 tahun Ipah pergi. Waktu malam pemergiannya, bandaraya Johor Bahru bercahaya dengan pancutan bunga api menyambut malam merdeka dan kami sekeluarga banjir air mata di perkarangan hospital. Kasih sayang keluarga mertua Ipah merayu pada Mek agar dikebumikan Ipah di Segamat namun kami nekad membawa nya pulang. Malam itu saya mengharungi bermacam liku...di dalam kepala hanya satu 'Ipah harus pulang'. Kini Ipah bersemadi di tanah perkuburan Pasir Mas di sisi Wan dan Mek.

Ipah.....mana pun Mu....aku ingat (nyata saya tak mampu teruskan ucapan ini)

Al-Fatihah....

"Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu dan kepada Nyalah kamu dikembalikan"

9 comments:

GraFiQuE said...

salam takziah dari yang memahami...

semoga roh beliau dicucuri rahmat, kenangan yang indah itu yang harus disemadikan d dalam benak sanubari kita...

chekem mirza said...

terima kasih afkha. kita sama ..kehilangan saudara kandung.

AfiQ said...

Al-fatihah... salam takziah...

intan said...

alfatihah buat arwah.........

suzzsuzie said...

sedih pulak baca kisah arwah semasa koma tu...alFatihah kepada arwah dan semoga rohnya ditempatkan di sisi orang2 beriman...Amin

chekem mirza said...

terima kasih Afiq, Mamalong dan Suzie. Memang hidup ini sudah ditulis sejak azali siapa yang pergi mendahului kita. Cara bagaimanapun pemergiannya...itulah ketentuanNya.
Namun kita yang berkongsi kasih sukar sekali menerima kehilangannya.
Tiap kali cuba berkata sesuatu tentang mereka...ia hanya terhenti di situ..

Hisham said...

saya ingat sangat2 masa ni...dar penang saya pulang tapa bg tau sesiapa..nk suprise kononnya tp saya yg kna kejutan,hanya awi dirumah dan semua di Johor untuk teman saripah..bila tahu arwah meninggal,saya n awi yg tpaksa bkemas n bagi tau org kampung

chekem mirza said...

tu lah...kat rumah masa tu xda orang pun. awi yang tinggal. nasib baik mu ada skali...

alhamdulillah kita sempurnakan pemergian arwah...

saya masa tu...bila arwah sampai rumah dari JB (after 10hours journey dari johor ...saya mek, mak abg Mie, husin dan driver van menemani arwah)saya dah tak boleh tahan menangis bila tengok rumah kita kurang seorang ahli...

aie said...

Alfatihah untuk arwah.. moga arwah dicucuri rahmat. Amin.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...