Harun Salim Bachik (1959-2005) |
Ahad 8 Mac 2015, Sebutir lagi permata seni pergi meninggalkan kita. Harun Salim Bachik yang kita kenal sebagai pelakon komedi sebenarnya lebih dari sekadar itu. Beliau seorang seniman yang berkaliber, saya menonton lakonannya sejak di bangku sekolah. Keluarga Bachik memang melahirkan ramai anak-anak seni yang berbakat besar. Seingat saya, Allahyarham Harun bermula dengan drama-drama RTM kemudian mendaki popular setelah terlibat dalam drama bersiri seperti Rumah Kedai. Kehebatan beliau terserlah dalam lakonan serius dan nyanyian.
Kali terakhir saya bersua dengan beliau adalah pada mesyuarat agung SENIMAN 2013. Sewaktu mesyuarat itu, beliau membacakan satu ucapan yang panjang berbaur emosi ekoran pelbagai tuduhan dan usaha menjatuhkan beliau sebagai Presiden SENIMAN, yang akhirnya membawa persatuan itu ke mahkamah. Apa yang saya rasa, getir perasaannya sehingga tidak dapat memaafkan mereka yang memperlakukan hal demikian terhadap beliau. Itu ujian besar buat Allahyarham.
Petang semalam beliau pergi buat selama-lamanya. Kejutan buat Malaysia. Kita mula merasa betapa besar bakat yang dimiliki dan masih banyak perkara yang mahu kita cungkil daripada insan ini. Namun perkiraan Allah mengatasi
segalanya.
Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham Harun Salim Bachik. Jika ada kesilapan beliau, sama-sama kita maafkan. Semoga perjalanannya tenang menuju alam abadi.
1 comment:
http://adisarahberkisah.blogspot.com/2014/06/teater-dia-panggil-abang-lama-tak-ke.html
Post a Comment