Jom Kita Jadi Geng

Monday, March 2, 2015

ANUGERAH MeleTop 2015 - MACAM FUNFAIR

Harap lakonan Ayda Jebat meletup lepas ni sebagaimana
anugerah dia dapat.  
Saya kira tulisan artikel di bawah ini menarik untuk dibaca dan kita renung semula akan keadaan yang bagaimana sedang melanda industri seni tanahair. Memang industri seni Malaysia tidak besar dan jangkauannya pun tidaklah luas. Cukup sekadar sampai ke Brunei dan cecah pada segelintir rakyat Singapura. Mahu masuk Indonesia pun macam suam-suam. Kalau di Hollywood atau di Korea Selatan sekalipun, jangkauan industrinya sangat mengagumkan melata ke seluruh dunia. Jadi tidak hairanlah bila kita tonton program-program hiburannya ada macam-macam. Hollywood 'toksah' cakaplah sebab ia macam induk kepada hedonisme ini. Jadi Hollywood atau USA menghidangkan banyak pilihan dari seni terbaik sehinggalah karya-karya yang meloyakan. Malah program yang disajikan mengikut sasaran khalayaknya juga sangat tinggi standardnya.  Sama juga dengan program TV Korea Selatan, drama, filem, rancangan hiburan, realiti dan program majalahnya sangat menarik. Kalau tonton program masakan tradisionalnya, kita jadi lupa yang mereka sedang menggunakan bahan atau subjek yang bersifat local. Jadi sama ada Hollywood atau K-Pop, mereka membuktikan bahawa kualiti hidangan mereka sangat bermutu dan mereka tahu sasarannya di mana. 

Apa masalah program TV kita? Hmmm tak ada masalah pun sebab semua nampak okay. Tiada industri filem lucah atau pun hal melampau seperti terrorism atau aksi bunuh yang dahsyat. Kira okaylah tu. Kalau setakat kisah hantu, mat rempit, cinta tiga segi, kisah suami pondan, suami tak perfect atau cerita selebriti jalan-jalan di red carpet. Semua itu sangat okay. Tak ada masalah pun. Pihak kerajaan pun tak larang apa pun. Jadi bila program-program tv yang sekarang ini banyak benar dijayakan oleh pelakon-pelakon komedi maka kira sangat okay. Sebab dek kerana mereka ada alat komedi maka hal-hal yang tidak sesuai seperti penggunaan perkataan kasar dan kurang sopan sangat dialu-alukan. Semua itu atas tiket komedi. Lalu bila adanya majlis anugerah yang pada hari ini rata-rata dikendalikan oleh juara-juara lawak maka ia jadi sangat 'hebat' di mata sesetengah pihak. Dan itulah standard industri kita hari ini. Akhirnya majlis-majlis itu jadi medan untuk kita saksikan aksi-aksi mereka. 

Jauh benar kita merentas masa dan cara mengendalikan acara, dari zaman Zainal Alam, Taufik Latiff ke zaman Wan Zaleha Radzi dan Mahadzir Lokman ke zaman Azwan Ali, Aznil Hj. Nawawi, Afdlin Shauki dan Bob Lokman hinggalah hari ini kita saksikan majlis kendalian Zizan Razak dan AC Mizal. Anehnya kita selalu merujuk dan melihat contoh-contoh penganjuran acara yang hebat, malangnya kita suka meniru acara-acara picisan. Sekali-sekala gelak ketawa itu seronok tapi sepanjang masa nak suruh khalayak gelak, itu monyet sarkas namanya.

Bacalah ulasan Roslan Hanafi, ada sesuatu yang cuba beliau lemparkan. Memang bukan mudah untuk pihak yang terlibat menerima. Namun dalam keadaan dunia tidak berbatas, bangsa semakin celaru identitinya dan pihak berwajib tidak mampu lagi mengawal hidangan di kaca TV, kesedaran kapitalis industri dalam membentuk bangsa Malaysia haruslah tinggi. Para selebriti akan terima sahaja pekerjaan demi 'rezeki halal' katanya maka soal peranan, soal imej dan khalayak yang menonton dengan seluruh pancaindera kurang diambil kira.

INIKAH SAJIAN PEMIKIRAN GENERASI MUDA?
oleh Roslan Hanafi - Mingguan Malaysia 1 Mac 2015

Umur saya pada relatifnya masih muda, dalam kelompok awal 30-an. Saya selalu membaca tanggapan bahawa orang muda seusia dengan saya menggemari hiburan dan gaya hidup yang urban dan malas berfikir. Walaupun tanggapan itu tidak disertai dengan fakta dan kajian akademik, saya setuju generasi muda memang suka dengan hiburan dan gaya hidup urban. Tetapi saya tidak setuju dengan dakwaan generasi muda malas berfikir. Bagi saya, itu bukan kerana individu itu generasi muda. Orangh tua pun ada yang malas berfikir. Sebab itulah program televisyen untuk orang malas berfikir bertambah banyak.

Bagi saya menganggap generasi muda menggemari hiburan adalah terlalu umum. Memang benar kami menggemari hiburan tetapi hiburan yang bagaimana? Adalah silap kalau mengkelaskan generasi muda menggemari hiburan yang bertaraf rendah, menghina intelektual dan menyuburkan hedonisme. Saya percaya kalau generasi muda dilihat semudah itu, sebenarnya ini sangat tidak adil kepada mereka. Sikit sahaja yang gemar hiburan membodohkan diri, selebihnya tidak.

Barangkali disebabkan pandangan umum generasi muda suka hiburan sedemikian, maka stesen televisyen belumba-lumba menurunkan taraf intelektual program hiburan hingga serendah-rendahnya. Salah satunya lahir program hiburan MeleTop (ejaan pun sengaja disilapkan) di Astro. Baru-baru ini program MeleTop memberi anugerah kepada artis dalam majlis yang spektakular. Dari aspek produksi, saya melihat sudah boleh diangkat ke taraf antarabangsa. Tetapi itu kulit bukan isi.

Maaflah kalau tulisan saya tidak sehebat wartawan hiburan yang membuat liputan penganjuran acara MeleTop itu minggu lalu. Tetapi saya percaya kemampuan saya melihat jauh lebih ke dalam, bukan menyapu lapisan luar sahaja. Daripada sebahagian besar tulisan itu, kebimbangan saya ialah wartawan hiburan pun turut larut dalam kancah hedonisme yang menjadi ancaman utama generasi muda. Mereka kembirikan keazaman untuk berfikir di luar kotak apabila tidak ada tulisan yang analitikal.

Hingga tulisan ini dihasilkan, saya belum membaca lagi ulasan yang "luar biasa" mengenai acara MeleTop. Saya faham laras bahasa penulisan hiburan, itu bukan masalahnya. Yang dipersoalkan ialah pemikiran. Tetapi apabila memuji MeleTop secara melulu, saya fikir ini bukan satu sikap yang bertanggungjawab terutama kepada generasi muda.

Saya cuba meluangkan masa di depan televisyen untuk menonton program yang disasarkan kepada khalayak yang segenerasi saya. Anugerah MeleTop yang saya tonton bertali arus dengan persoalan, "Inikah sajian kepada generasi saya". Bolehlah dijadikan satu kajian kes tentang rendahnya nilai pemikiran dalam program yang disasarkan kepada generasi muda.

Kalau dilihat bab pengacara majlis pun sudah cukup menunjukkan rendahnya pemikiran pelawak-pelawak kita. Seni bagi mereka adalah terloncat-loncat dan terkinja-kinja di atas pentas. Sedarkah apa yang mereka lakukan di atas pentas mencerminkan tahap pemikiran kepada umum? Artis yang boleh dipuji seperti Neelofa dan Siti Nurhaliza juga terseret dalam program yang memberikan tanggapan salah terhadap generasi muda.

Artis atau pelawak yang “suka bagai nak gila” apabila menerima Anugerah Meletop itu memang sudah dijangka. Ini kerana lingkungan alam fikir mereka sempit dan kecil. Tidak hairanlah mereka seolah-olah menjulang trofi Anugerah Meletop seperti trofi Oscar di Anugerah Academy. Bagi mereka ini pencapaian terlalu besar. Itu menunjukkan kualiti yang ada kepada sebahagian artis yang dijadikan umpan untuk menaikkan penarafan (rating) program hiburan tempatan. Kalaulah Anugerah Meletop pun mereka gembira bagai nak gila, tidak tahulah saya gagasan masa depan mereka.

Adalah tidak tepat dan tidak adil membuat kesimpulan mudah bahawa generasi muda menggemari corak hiburan dan gelagat para artis seperti yang ditunjukkan dalam program Anugerah MeleTop. Buktinya saya bukanlah tergolong dalam kelompok generasi muda yang bercita rasa terlalu tinggi. Cita rasa saya terhadap hiburan adalah pada paras orang kebanyakan yang lain. Tetapi saya menolak hiburan begini. Maknanya orang lain juga sama.
Oleh kerana itu para artis harus mempertingkatkan nilai dalam persembahan. Mereka tidak boleh selesa dengan program hiburan bercita rasa rendah. Ini bukan tanda aras kejayaan. Saya melihat penyusutan nilai pemikiran generasi muda makin ketara dalam dunia hiburan.

Sudah pasti kita semua sangat bimbang dengan senario yang menyelubungi generasi muda hari ini. Tentulah tidak munasabah untuk ditanya peranan program seperti Anugerah MeleTop, Melodi dan sebagainya dalam konteks pembinaan negara oleh generasi muda. Tetapi pada masa yang sama tentulah tidak wajar kita membiarkan kerosakan-kerosakan dilakukan ke atas generasi muda dengan alasan ada segelintir merelakan mereka dirosakkan dan diperbodohkan.
Saya bukan dengan sengaja menyasarkan kritikan kepada MeleTop sahaja tetapi ini salah satu contoh sikap kesengajaan stesen televisyen dalam konteks membina generasi muda. Malah banyak program hiburan lain yang menyumbang kepada kerendahan nilai pemikiran generasi muda. Tidak sepatutnya hiburan dipisahkan terus daripada citra seni. Malangnya hiburan kita terlalu nipis seninya sekalipun para artis secara bawah sedar mengaku diri sebagai anak seni.

Saya percaya pengamal media dan stesen televisyen mempunyai keupayaan untuk mengubah keadaan yang semakin tenat ini. Sudah tentu kita semua tidak mahu generasi muda yang akan menggalas tanggungjawab membina negara menjadi mangsa kepada sajian hiburan yang tidak membina.

Perkara ini akan membuatkan mereka berada dalam dunia asing yang selesa sedangkan realiti adalah sebaliknya. Kakak-kakak dan abang-abang wartawan hiburan boleh menyuntikkan perubahan. Gunakanlah pena di tangan untuk mengubah masa depan anak bangsa.


- See more at: http://www.utusan.com.my/hiburan/inikah-sajian-pemikiran-generasi-muda-1.64969#sthash.yPdIVixS.dpuf

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...