Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, September 23, 2008

PASIR MAS: STESEN ITU TAMAN PERMAINAN

bangunan Stesen keretapi pasir mas dahulunya menjadi pusat aktiviti perniagaan dan sistem perhubungan terpenting bagi perjalanan jauh. Kalau diperhatikan bentuk tiangnya dan lurus bangunan itu, saya rasa arkitek yang membinanya sangat mahir. Ini antara warisan sejarah Pasir mas.
(foto ini saya ambil dari mohdzawi.blogspot.com)
Saya baru tiba dari Pasir Mas pagi tadi menaiki keretapi. kami ambil kabin yang boleh memuatkan 4 orang. cukuplah walaupun sendat sikit tapi bolehlah sementara 2 anak saya masih kecil. keretapi memang rapat dengan saya. Wan saya kerja sebagai buruh cat KTM dan setiap pagi sewaktu darjah satu dia akan menghantar saya ke sekolah dengan basikalnya melintasi jalan keretapi berdekatan dengan Rumah Tg. Iskandar (Dusun Green) dan mulai darjah dua sehingga darjah enam saya ke sekolah Dato' Abdul hamid berjalan kaki melintasi stesen keretapi pasir mas.
sudut hadapan stesen lama...

Setiap hari saya memerhati aktiviti sekitarnya. bagaimana tok peraih berniaga beras, anak-anak muda bekerja mengangkat beras ke gerabak, bunyi loceng stesen kletung kleting setiap kali keretapi mahu tiba atau berangkat. dan setiap kali itulah aktiviti di stesen akan sibuk sesibuk pasar pasir mas. Ada sekali tu, masa saya darjah 5, dek ghalib berjalan, semasa melintas jalan keretapi...saya dijeritkan oleh Mok Tuo suruh saya melintas cepat...Ya Allah rupanya keretapi tak sampai 100meter dari jarak saya berdiri. Pernah saya hampir terjatuh dari jambatan keretapi sewaktu berjalan meniti selipar kayunya. peristiwa ini semasa saya darjah 3, Jambatan tu letaknya di belakang sekolah cina, bawahnya ada alur dan ada juga kubur cina di tebingnya...memang kalau malam-malam agak seram juga. Semasa berjalan dengan beberapa kawan, saya tersalah langkah sehingga terjatuh...saya sempat berpaut pada selipar rel tapi kaki dah tergantung ke bawah. Alhamdulillah syukur. Jika tidak...

Ini rupa baru stesen pasir mas

Ada sekali sekala saya duduk di stesen waktu tengahari, saja duduk-duduk berhenti penat kerana jarak dari sekolah ke rumah jauhlah juga. Seronoknya duduk di stesen keretapi pasir mas ni kerana binaannya batu-bata, teguh, ada jejantas kayu tinggi, besar dan panjang bangunannya, jadi bila berteduh dan duduk di tunggul tiang kita rasa sejuknya, di hadapan stesen ada padang jadi angin sering menderu. Saya duduk-duduk aje tak pernah sampai tertidur, takut juga nanti wan nampak. Di sinilah saya memerhati tingkah laku orang-orang pasir mas, kuat memahat azam saya untuk tidak menjadi sebahagian daripada mereka, saya tak mahu jadi budak pemunggah barang, tak nak jadi peraih, tak nak jadi pengayuh beca, tak nak jadi penjual minuman atau makanan kepada penumpang keretapi... itu memang saya tak mahu! Saya bukan menghina punca rezeki itu tapi saya perlu jadi seseorang. Saya rasa mereka juga punya cita-cita tetapi banyak halangan yang memerapkan mereka di situ. Syukur pada Allah.
dulu tiangnya batu dan bumbungnya bata. tiangnya boleh duduk berehat. yang baru ni nampak lebih tinggi
Tambahan lagi masa tu wan saya kerjanya buruh cat KTM dan mek saya pula berniaga ketupat palas di pasar pasir mas, saya cukup faham akan derita mereka. Jadi bila ada peluang pulang ke kampung kubang panjang seboleh mungkin saya mahu naik keretapi. saya jadi seronok berada di dalamnya, walau banyak masa saya isi dengan baring-baring. tapi suasana itu banyak mengimbau nostalgia.
rumah kedai kayu ni, kalau tidak dipelihara akan hilang kecantikan pekan nya

Hari ni stesen pasir mas dah lain, bangunan lama yang saya kira bersejarah dah diubah suai lebih 70% dari bentuk asalnya. Ia kelihatan moden dan hilang sejarahnya, jejantas pun dah tak ada. Sukar nak terima kerana senibina stesen dahulu memang menarik. Nak buat macamana orang yang mentadbir sekarang kurang senang dengan sejarah agaknya. Bandar Pasir Mas pun kini dah sendat, banyak bangunan nak dibina, sistem jalan yang huru hara, kereta melimpah, parking banyak diblok oleh pemilik kedai dan banyak lagi. Jadi saya lihat Pasir Mas macam bandar yang sedang makeover, bila dalam keadaan tu maka rupanya berserabut, tiang sana sini, debu melimpah, jalan simpang siur dan memang rasa chaos nya.
Saya pulang tempoh hari kerana ingin menziarahi pusara arwah wan dan mek, kakak saya ipah dan saudara mara lain. memang setiap tahun saya pulang semasa ramadhan memandangkan raya pertama saya pulang ke kepala batas.
Bak kata orang 'tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat dibesar' Segala kenangan dan hidup saya di Pasir Mas sentiasa mekar dan abadi, Isteri saya adakala lahirkan rasa pelik pada tingkah saya bila pulang, saya tidak tahu bagaimana nak berkongsi, susahnya kerana setiap manusia itu punya latar pengalaman berbeza. Pengalaman batin itu yang mengikat kita dengan sesuatu dan itu tidak akan sama selamanya. Mungkin saya ni seperti bangau, jauh terbang akhirnya balik ke denai juga . Saya pasti anda pun punya cerita seperti ini.

Entri akan datang akan saya ceritakan tentang kampung saya kampung Kubang panjang/tasik Putera/ Jln Mara...

13 comments:

Pak Zawi said...

ce'kem,
Seingat saya jejantas menyeberangi laluan keretapi tersebut adalah dibuat dari besi. Cuma lantainya kayu. Kini jejantas tersebut telah dirobohkan kerana lantainya reput dan jejantas itu tidak ada fungsi lagi.
Banyak nostalgia mengenai Pasir Mas pada diri saya juga kerana saya dibesarkan disini juga dan bersekolah di SIS Pasir Mas hingga tingkatan 5.

Che Kem said...

betul tu abe zawi, jejantas tu dibina dgn besi dan lantainya kayu. Saya rasa stesen keretapi pasir mas sepatutnya jadi macam satu tarikan kerana bangunannya tapi sejak pasar besar dipindahkan di hadapan stesen membuatkan keindahan stesen itu hilang dan mencacatkan pemandangannya. Jejantaspun dah hilang fungsi kerana orang ramai melintas jalan keretapi melalui banyak punca berbahaya.Saya rasa pihak MDPM dan KTM patut menambahkan kerja mengingdahkan kawasan sekitar stesen.
Saya bersekolah di SIS untuk tingkatan 6 sahaja.terima kasih bang.

Anonymous said...

Dah masuk Kelantan Bloggers list, boleh tolong copy n paste logo. Thx

Joseph Gonzales said...

this should be a part of a collection fo strories about life in Malaysia...so eloquent and profoundly touching! Selamat Berpuasa my friend.

Che Kem said...

ya lah joseph,
bila saya ingat balik kenangan masa kanak-kanak, ingat suasana di pasir mas. Pasir Mas banyak menolak diri saya untuk melonjak lebih jauh dan mengejar cita-cita hari ni. Kalau nak dikira ada beberapa catatan yang menarik dalam hidup saya, suka dan duka melimpah ruah... macam awak yang dulunya tinggal di sentul

areMaL said...

Skoloh Dato' Hamid? 1 ko 2.. Uish.. ore lamo niee :D

ryann said...

selamat hari raya. semoga berbahagia sentiasa

pendita said...

assalamualaikum.. dop seko kawe ruponya demo ni ore sohor asal pasir mah... sengoti, bandar pasirmah sokmo wi semangat ko kawe untuk teruh berjuang.. kelik kg pasti kawe akan pulah mutor buruk gi round bandar pasir mah, amik aura..

Che Kem said...

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. TERIMA KASIH KEPADA ANDA YANG SUDI SINGGAH KE LAMAN SAYA.

SITI ZAINON ISMAIL said...

Aduuuh Ce'kem yang lama kerap hilang tinggal bayang. Pasir Mas sudah kehilangan mas. Kita pun cari tapak yang hilang naik keretapi hanya nak cari wap berkabus di puncak Gua Musang. Ingatkan mereka yang berlindung di musim perang. Tatkala subuh sudah terlihat puncak bermalam. Cik Melor tidur berdengkur, di kabin tingkat atas. kejutkan agar dia lihat kabus subuh, makin kuat dengkurnya.Hingga tiba di steyen Pasir Mas terbayang pula stesyen Palekbang hilang juga. Jangan mimpilah naik feri untuk ke seberai ooooi....mana buah keranii, mana etok-etok. Hingga tiba di hujung Jalan Bayam, mencari jejak pusara Almarhumah Seniman Negara Khatijah Awang- aduh hanya rimbun mengkudu meredup pusara beliau yang hanya bergaris kasar di kepala pusara...tanpa papan tanda, tanpa kenangan untuk mengenang pusara seniman yang dilupakan. Alfatiha juga dalam sedan tengahari menyeringai di kota ajaib budaya yang kusayangi...kota bharu yang semakin baru.

Che Kem said...

begitulah Dr.ada kelompok-kelompok orang yang berbeza. mungkin dr dan saya menginginkan suasana dan keindahan semulajadi. Bila saya lihat pasir mas yang hilang semangatnya saya jadi kecewa... tapi itulah tanah singgahan . Pemergian Mak Jah dan apa yang dijanjikan untuk allahyarham hanyalah satu permainan orang-orang untuk menunjukkan mereka berbuat sesuatu dan akhirnya hari ini terbukti mereka hanya emmbuat sekadar melepas batuk ditanggan. sudah banyak senima yang pergi dibairkan pergi begitu saja.

orange scent said...

Nostalgic! Terutama stesyen keretapi lama...kalau ada time machine memang nak melawat semula zaman itu :)

Unknown said...

Pasir Mas memang bandar asal tumpah darah saya. Stesen kereta api tu memang menggamit kenangan lama saya. Dulu masa saya darjah enam tahun 1970, tiga murid dari Sekolah Kebangsaan Pasir Mas (Laki2), dapat melanjutkan pelajaran ke luar negeri, STAR dan SDAR, seluruh keluarga dari kampung masing2 datang menghantar mereka macam satu pesta. Dalam hati saya berkata, nanti tingkatan tiga aku mesti berusaha utk dapat belajar keluar negeri. Tapi sampai masanya, saya masih lagi tidak dapat kemana... tapi bila lepas MCE (sekarang SPM) pun lagi saya tak kemana, sehingga kena pergi masuk, tingkatan 6, di SIC, Kota Bharu.
Masuk aliran sains tingkatan 6, sangatlah "challenging". Rasa tak tentu arah dibuatnya. .. akhirnya tawaran panggilan kedua dari UPM sampai. ... dari situlah bermula fasa baru dalam kehidupan saya. Janji nak berusaha belajar bersungguh sungguh masa akhir tahun darjah enam baru terjawab. Lepas itu saya tak memandang ke belakang lagi, terus berusaha, untuk keluar dari belenggu kemiskinan dan membela keluarga. Itulah satu kenangan saya dengan stesen kereta api Pasir Mas.
Sekarang bandar lama Pasir Mas, masih lagi tidak begitu membangun. Bandar ini samalah nasibnya dengan dua bandar lain di Malaysia ni, iaitu Baling dan Pengkalan Hulu. Dari segi geografinya, ketiga2 bandar ini sama kedudukannya mengikut garsi latitud (+/ -). Apa sebabnya saya masih belum dapat pastikan teori yang boleh diambil kira menepati keadaan dan fenomena yang terjadi kepada bandar ini. Walau bagaimana pun setiap tempat itu masing2 ada kelebihannya yang dipanggil "genius loci", dalam istilah biasa, semangat setempat. Hanya penduduk asal saja yang tahu, atau memahami dan boleh merasainya. Inilah yang dikatakan distingtif tempatan (local distictiveness). Sekiranya kita tidak dapat memahaminya, sifat2 unik setiap bandar dan kampung akan kehilangan nilai distingtif nya. Maka sekira nya ia terus diabaikan bandar dan kampung kita akan kehilangan jati dirinya dan hanyut dalam arus pembangunan sehingga ia menjadi satu perubahan yang akan menukar ruh (spirit) setempatnya. Bukan tidak boleh membangun dan mengalami perubahan. Akan tetapi perubahan hendaklah mengambil kira suasana asal tempat, bandar atau negeri berkenaan. Supaya perancangan yang kita buat berpijak di bumi nyata. Lantaran itu lah negara2 yang memberi nilai yang tinggi kepada ruh setempat akan terus dikunjungi kerana keunggulannya masing2. Di negara kita masih lagi tidak mempunyai kesedaran tentang semangat setempat ini . Apa yang penting ialah kita sama2 memberi nilai kesedaran bahawa perancangan mestilah mengambil kira aspek distingtif tempatan sebagai salah satu petunjuk tentang karakter landskap yang dapat membantu mengembalikan ruh setempat sesuatu kawasan itu diberi ruang yang sama dengan asas2 lain utk kita membangun. Sekian sedikit pandangan saya anak jati Pasir Mas.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...