Jom Kita Jadi Geng

Saturday, August 23, 2014

THE JOURNEY - HARIAN KOSMO

Artikel ini telah memetik beberapa pandangan saya mengenai filem ini.
KUTIPAN filem berbahasa Cina tempatan, The Journey yang mencecah RM13.11 juta sehingga 24 Februari lalu menjadi buah mulut ramai. Orang yang tidak pernah ambil tahu mengenai filem juga tiba-tiba beratur untuk membeli tiket The Journey yang khabarnya masih berjaya memenuhkan panggung walaupun sudah lebih sebulan ditayangkan.
Kejayaan filem arahan Chiu Keng Guan yang sebelum ini menghasilkan Woohoo! pada 2010 dan Great Day (2011) itu memadam rekod filem paling laris Malaysia sebelum ini. Rekod filem KL Gangster dengan RM11.74 juta dan Ombak Rindu (RM10.9 juta) sudah terhapus dalam sejarah. Itu sesuatu yang luar biasa bahkan dilihat sebagai satu fenomena baharu.
Ketika filem-filem Melayu mengeluh, The Journey yang ditayangkan sejak 30 Januari lalu tiba-tiba sudah jauh berada di hadapan. Siapa sangka, filem kekeluargaan, konflik perkahwinan campur dan cinta itu masih boleh menjadi kegilaan. Pendek katanya, 'boleh jual'. Sedangkan kalau dalam filem-filem Melayu, konflik sebegitulah yang dianggap konservatif, klise, membosankan dan ketinggalan zaman
Tahun ini, filem-filem Melayu seperti Balistik bergegar dengan tembakan bedil di sana sini sekadar cukup makan dengan kutipan sebanyak RM1.83 juta. Filem Muka Surat Cinta hanya memperoleh jualan tiket sebanyak RM80,000, Laga (RM160,000), Jangan Pandang Belakang Boleh? (RM1.09 juta) dan Kami Histeria (RM670,000) pula menerima nasib malang sebagaimana filem-filem Melayu sebelum ini yang sekadar datang dan pergi begitu sahaja. Angka-angka itu menunjukkan betapa tidak bersemangatnya gegaran filem tempatan untuk dua bulan pertama 2014 ini.
Barangkali, Sejoli lakonan Bront Palarae, Maya Karin dan Remy Ishak yang memulakan tayangan 20 Februari lalu masih membawa secarik harapan. Itu pun hanya secarik! Penulis tidak berani untuk bercakap lebih tentang filem Melayu kerana tiada jaminan yang boleh disandarkan kepada mana-mana judul pun. Filem yang baik pengisiannya, bagus ulasannya, tidak pula mendapat kejayaan yang seiring di panggung. Sebaliknya, filem yang biasa-biasa sahaja, itulah yang ditonton.
Kebangkitan tempatan
Sebenarnya, The Journey bukan satu-satunya filem Cina tempatan yang ditayangkan ketika ini. Filem-filem lain seperti Ah Beng the Movie dan Bullets Over Petaling Street (Mandarin) juga tidak menghampakan. Ah Beng the Movie mengutip sebanyak RM3.16 juta manakala Bullet Over Petaling Street masih bertahan dengan kutipan sebanyak RM1.44 juta.
"Tanggapan bahawa orang Cina tempatan tidak menonton karya bahasa Cina tempatan juga sudah tidak rasional. Dahulu mungkin benar, sekarang tidak. Kebangkitan penerimaan filem-filem berbahasa Cina tempatan ketika ini dibawa oleh filem-filem Cina dari Singapura.
"Rasanya orang Cina sendiri mahu tengok budaya Nusantara dalam karya Kantonis atau Mandarin, bukan semata-mata aksi kung fu atau kongsi gelap macam dalam filem Hong Kong dan China lagi," ungkap aktivis teater, Kamarulzaman Taib atau lebih dikenali sebagai Che Kem.
Katanya kejujuran rasa dan perasaan yang terzahir daripada The Journey membuatkan penonton tidak sedar bahawa filem itu sebuah filem tentang orang-orang Cina. Sebaliknya, The Journey boleh menjadi cerminan diri kepada sesiapa sahaja, daripada mana-mana etnik sekalipun.
"Saya ada seorang kawan yang turut menonton The Journey. Katanya, kejujuran perilaku, perbuatan, dialog dan cerita filem meresap tanpa dipaksa-paksa. The Journey sebuah filem orang Cina yang mengkritik budaya sendiri tanpa menimbulkan kemarahan dan menyentuh sensitiviti budaya mana-mana bangsa. Ia santai, ringan dan comel, tetapi isu yang dibawanya sangat besar.
Bosan hantu hodoh
"Kadang-kadang saya pelik juga, kalau filem Melayu, ada sahaja isu yang mengkritik cara hidup orang Melayu, akan muncul kontroversi dan perdebatan pendapat. Di situlah letaknya kebijaksanaan sentuhan dan pemikiran seseorang pengarah," beritahu Che Kem ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.
Mengulas semula artikelnya yang bertajuk The Journey formulanya berbeza dalam blog Ngadap Seni, Che Kem ada menyuarakan pendapatnya. Dia membandingkan formula filem Melayu yang mencacat Box-Office berbanding formula The Journey yang tidak disangka itu.
"Filem ini sangat merendah diri, tiada hal-hal yang gempak yang boleh disebut sebagai gimik. Tiada bintang paling popular, tiada tema popular malah tiada aksi ganas atau muka hantu yang hodoh.
"Apa yang difikir oleh pembikin filem Melayu hanya khayalan dan meramal apa yang penonton suka. Saya rasa, pencapaian The Journey ialah satu tamparan hebat kepada semua pembikin filem berbahasa Melayu," jelas Che Kem lagi.
The Journey dibintangi pelakon teater dari Australia, Andrew Pfeiffer dan bekas Ratu Cantik Miss Astro Chinese International, Joanne Yew dan Sai Peng Lee. Ia mengisahkan Pak Cik Chuan, seorang bapa konservatif yang tidak suka dengan pilihan hati anak perempuannya, Bee kerana dia berdegil mahu mengahwini pemuda Inggeris, Benji.
Dalam usaha mengambil hati si bapa, anak perempuan dan bakal menantu Chuan bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan termasuk melangsungkan perkahwinan mengikut cara lama dan menghantar sendiri kad undangan perkahwinan mereka.
Pengarah filem The Journey, Chiu Keng Guan sendiri melahirkan rasa terkejut kerana tidak menyangka filem ketiga arahannya itu mendapat kejayaan luar biasa.
"Tiada resipi khusus tetapi filem ini memaparkan kehidupan sebenar masyarakat di Malaysia," katanya Ken Guan yang berhasrat untuk cuba menghasilkan filem bahasa Melayu pula suatu hari nanti.
The Journey juga menunggu waktu untuk ditayangkan di Singapura dan Taiwan sekitar bulan ini dan April nanti.

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...