Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, November 12, 2013

SUPERMOKH KE SUPERKENNY?

ambil dari Kosmo
Bukan kerja mudah untuk pentaskan kisah hidup orang yang pernah hidup dan mereka yang pernah disekelilingnya masih ada. Saya alami itu bila mahu jadi Tunku. Perasaan takut lebih besar dari keyakinan. Lesen kreatif sebenarnya tidak banyak bila lakonkan kisah manusia sebenar. Mungkin 30% atau kurang yang boleh kita gunakan lerjemahan kreatif selebihnya harus berpandukan fakta dan peribadi sebenar. Bila Awie mainkan Mokhtar Dahari, saya agak cuak kerana faktor fizikalnya agak kurang tepat. Awie jadi titik tumpu persembahan. Dia utama dan sangat penting. Bila menonton malam semalam saya kira Awie sedaya mungkin cuba mendekati fizikal Mokhtar. Sesekali ada wajah Mokhtar muncul di pentas. Susah juga mahu cari wajah sedekat itu apatah lagi perlu ambil kira kebolehan pelakon untuk menyanyi dan berlakon. Yang mana Awie punya itu semua.

Hampir semua teater Tall Order saya tonton kecuali Lawak ke Der. Dari Cuci - Lat dan kini Supermokh saya kira Hans Isaac selaku penerbit sudah cukup pengalaman untuk menerbitkan teater. Dulu masa Cuci agaknya ia lebih mudah sebab fiksyen dan cerita komedi. Jadi formula masukkan Nabil dan Afdlin menjadi. Malah lawak mereka berjela-jela hingga showpun habis dekat jam 12 malam. Tapi kali ini, Supermokh, ia bukan cerita ringan, ia satu biografi untuk mengangkat kehebatan seorang lagenda. Elemen komedi tidak boleh jadi umpan. Tidak boleh juga terlalu serius hingga tegang aja sepanjang malam. Pengalaman saya mementaskan Muzikal Tun Razak lebih rumit berbanding Supermokh. Ia tiada bahan hiburan atau universal yang boleh dikongsi semua. Tun Razak penuh dengan dasar dan politik yang saya kira bila mahu mengangkat ketokohannya ia berpusat kepada sumbangannya, seperti Supermokh bolasepak itu jadi 'tool' untuk mendekatkan audien akan kehebatan Mokhtar.

Tapi saya nampak cerita Supermokh berhempas pulas untuk mencipta drama. Macam tiada drama, kurang konflik yang boleh menjelmakan Mokhtar itu sebagai wira. Walhal Mokhtar sudahpun dianggap Supermokh dan Wira Bola negara. Namun saya kira naskhah ringan, konfliknya nampak kecil hingga kesan kenapa dia dianggap Supermokh lemah. Ia berbeza bila tonton dokumentari National Geographic Mokhtar Dahari. Perjuangan Mokhtar untuk menjadi pemain handal dan terbilang jelas dan berkesan. Adakah teater muzikal ini cuba meringankan perjuangan Mokhtar? Jadi sangsi pula bila Mokhtar enggan wakil Malaysia tapi mahu main untuk Selangor sahaja, kenapa? Banyak kali soal lencana dibangkit tapi lencana apa? Malaysia atau Selangor? Apa yang buat Mokhtar itu terbilang bagi negara? Latar belakang Mokhtar tidak kukuh, saya tidak tahu apa yang menolak Mokhtar untuk jadi pemain bola handal? Kenapa dia berkahwin dengan bola? Desakan apa yang buat dia pilih jadi pemain bola? Apa konflik besar Mokhtar selain hanya berdepan dengan kritikan wartawan? Konflik marahkan isteri sebab marahkan penyokong - itu konflik cukup besarkah? Banyak kali diulang Mokhtar tidak suka Ina ke stadium. Bagaimana Mokhtar yang tarik diri pada tahun 1979 dan terbuka bermain semula untuk Malaysia boleh tercetus? Adakah hanya peristiwa tiga kanak-kanak main bola depan rumah Mokhtar? Politik wang dalam bolasepak - ia mungkin isu besar yang ditentang Mokhtar tapi diterjemah dengan cara yang ringan. Walhal itu penting dan relevan dengan isu hari ini. Konflik Mokhtar melawan penyakitnya walau dia tidak tahu dia menghidap motor neuron disease, dia terus menyumbang tenaga. Itu bukan konflik kah? Tapi apapun teater adalah pilihan pengarah untuk memilih 'event' mana bagi menyerlahkan penceritaanya.

Kalau saya kata pengarah dan penulis cerita ini bukanlah peminat Mokhtar Dahari, jahatlah pulak pernyataannya. Itu andaian saya sahaja. Mungkin Harith Iskandar peminat sejati dan mengagumi Mokhtar. Tapi plot dan peralihan babak ke babak macam longgar dan lemah objektifnya. Memang ada babak-babak penting dalam dunia bolasepak seperti 'coach' marahkan pemain waktu rehat separuh masa pertama. Tapi babak di kelab, babak depan pintu masuk Home Team, babak gerai makan, babak depan budak tiga orang macam tawar - macam kurang idea untuk wujudkan spirit hero di situ.

4 babak pertama saya kira sedap dan menarik, mengenalkan 'alam' yang bakal penonton terokai, alam bola sepak, wira bola sebagai pekerja dan wira bola sebagai suami. Babak pertama di stadium nampak meriah, chaos dan bersemangat. Saya kata menarik juga stadium masuk panggung. Tapi bila masuk sahaja babak di kelab- Arumugam nyanyi saya dah rasa lain macam. Babak paling menarik yang saya rasa ia sebuah muzikal apabila Kenny bertemu Mokhtar dan rakan-rakan di pejabat. Babak itu dicipta cukup harmonis daripada segi koreografi, dialog dan lakonnya. Satu lagi babak yang kira menarik ialah babak di supermarket. Dina menonjol dan dominasi tiap kali muncul. Ada dua tiga kali waktu peralihan babak, ia seolah diada-adakan, mengisi masa set bertukar contohnya masa Kenny takut seorang diri di pejabat. Itu tak perlu tapi untung bagi Douglas kerana memberi ruang untuknya menyerlah. Lain babak yang saya kira macam 'perlu ke' bila transisi muzik joget.

Sepanjang malam itu, yang paling ditunggu dan menyerlah adalah Douglas Lim. Saya tidak pasti apakah Kenny itu watak fiksyen atau pernah hidup. Tapi setiap kali Kenny keluar, penonton terhibur. Kenny menenggelamkan watak lain termasuk Awie. Kenny menguasai pentas dengan dialog dan lakon yang menyengat. Mokhtar Dahari pun terpaksa bagi laluan pada Kenny. Watak Dina juga menarik tapi dah jadi typecast lah pulak. Maya tidak berbeza dengan lakonnya di layar. Awie sedap nyanyiannya tapi sesekali rasa disconnect dengan teater, rasa macam nyanyi untuk show. Ada seorang dua pelakon nyanyiannya sumbang dan flat. Muzik oleh Micheal Veerapan rasanya kurang sesuai untuk sebuah muzikal. Ia macam terpisah. Lagu terakhir soliloki Ina itu sepatutnya jadi lagu berhantu, ia luahan isteri tentang suami/kekasih, malangnya lagu itu jadi tawar. Tapi lagu duet Mokhtar dan Ina di rumah cukup manis dan mesra telinga. Lagu-lagu solo Mokhtar boleh jadi potensi lagu popular. Tarian oleh Azwa tiada menawan mata saya. Cuma gerak orang berlari sahaja yang saya ingat. Cubaan membawa koreografi illuminate atau Tron Dance bagi babak perlawanan Selangor lawan Johor saya kira menarik tetapi masih ada kelemahannya. Perlu dielakkan krew melintas dan ternampak waktu mengangkat penari. Tapi saya tahu ia bukan koreografi yang mudah.

Apapun Supermokh sebuah muzikal bukanlah teater yang gagal. Ia menghiburkan dan boleh ditonton. Mungkin saya agak kritis. Bagi saya Supermokh boleh dianggap sebagai sebuah teater pencetus di dalam mengangkat tokoh-tokoh negara selain pemimpin. Bila Tall Order mengangkat Mokhtar saya kira selepas ini bolehlah tokoh-tokoh lain diangkat. Ramai lagi insan terbilang di Malaysia yang kita tidak kenal perjuangannya. Sebelum ini Tall Order angkat Lat. Mungkin selepas ini akan ada kisah pejuang seni atau sasterawan atau tentang kisah insan biasa dijadikan teater. Kita tidak tahu di dalam tiap rumah ada drama yang cukup dramatik.


Supermokh akan berlangsung di Istana Budaya sehingga 18 November 2013. Rujuk foto di atas untuk dapatkan tiket.

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...