Jom Kita Jadi Geng

Sunday, November 10, 2013

BULAN LEBIH INDAH

diambil dari Rumah Anak Teater
Mungkin saya masih terperangkap dalam terowong lama dan tidak berkembang dan tidak berubah-ubah bila melihat bentuk yang baru. Mungkin sekali saya suka dan yang itulah jadi 'benchmark' nya. Mungkin saya ada prejudis? Tidak mungkin lah sebab waktu mahu menontonnya fikiran saya sangat terbuka. Saya hanya mahu lihat kerja orang hebat. Kerja kawan lama...

Trilogi yang dipersembahkan adalah cerita lama yang berkembang dari satu cerita pendek untuk tujuan malam anugerah Boh Cameronian Award. Malam itu, naskhah dan karya Namron diangkat mewakili generasi baru dan generasi alternatif di pentas berprestij seperti Boh Awards. Mardiana mainkan watak Bintang. Dengan rambut tidak rapi, berkemeja putih besar dengan suara lantang dan bertenaga dia meniti penuh hati-hati di atas satu garis yang saya anggap itu titian yang membelah dosa pahalanya. Mardiana membuka malam itu dengan hebat sekali. Dewan Mandarin Oriental menaakul maksud cerita Namron walau itu cerita mirip kisah yang menjadi tatapan muka depan akhbar.

Malam menonton Aku Nak Jadi Bintang persembahan Sharifah Amani, perasaan saya jadi jahat. Saya heret semula pengalaman menonton Mardiana walhal sepatutnya saya tidak harus begitu. Tapi imej Mardiana terlalu kuat untuk saya lepaskan. Amani bermain dengan ringan sekali. Dia seperti pari-pari yang terbang dari satu bintang ke bintang. Perasaannya cantik, comel, manis sekali. Dia tidak kelihatan seperti seorang yang mirip 'Norita' (Itu pun yang dibisikkan kepada saya oleh seorang pelakon dan pengarah filem hebat pada malam itu). Sesekali Amani meniti tapi titiannya tidaklah satu beban yang berat. Kisahnya mahu jadi bintang jadi satu fantasi seorang perempuan cantik.

diambil dari Rumah Anak Teater
Cerita kedua adalah Laut Yang Tenang. Kisah ini jadi pelengkap dua cerita terawal iaitu Aku Nak jadi Bintang dan Laut lebih Indah dari Bulan. Dua pelakon yang sudah punya pengalaman di pentas beraksi, Vanida dan Aqasha.

Aqasha punya sosok tubuh yang cocok untuk jadi Laut (seperti Haniff - lelaki disabit bunuh Norita) dan ada ciri bijaksana. Namun permainan soal jawab antara Aqasha dan Vanidah semacam ada yang tidak cukup. Ia seolah berlaku dalam mahkamah, seperti seorang pendakwa menyoal tertuduh. Sesi ini jadi sangat tegang walaupun dalam bicara itu ada hal-hal yang boleh diringankan. Kisah peribadi kedua-dua watak saya kira menarik, tapi dua aktor ini memilih untuk persembah cara begitu. Dua naskhah awal malam itu bawa fikiran saya jadi berat. Dalam hati kata 'cepatlah Sofia keluar'.


Waktu Sofia memulakan cerita Laut Lebih Indah Dari Bulan, saya kata 'oh dia pilih sebagai orang yang naif' tapi saya salah. Bila dia bersoal tentang 'jadi baik' dan 'jadi jahat' saya kata kenapa nadanya begitu? Marlenney lebih baiklah. Tapi Bulan di tangan Sofia meningkat dan berkembang dari plot ke plot. Sofia membedah perwatakan Bulan jadi seorang isteri dan wanita yang cukup menawan. Dengan hanya sebuah kerusi dan majalah yang bertaburan, permainan Sofia meyakinkan. Dia memberi imaginasi pada setiap ruang dan aktivitinya. Saya melihat Bulan sakit luar dan dalamnya apabila satu persatu kejahatan Laut terbongkar. Sakit dan sakit sungguh saya lihat Bulan ketika itu.

Memang bulan itu metafora kepada wanita dan Namron menafsir watak bulan pada naskhah ini cukup baik. Sofia pula memberi nyawa pada Bulan. Mewarnai karakter Bulan dengan sifat dan sikap yang meyakinkan. Bulan mesra dengan sinar , mudah menyerap dan menyeri gelap malam. Bulan adakala gerhana dan ketika itulah Sofia melontar dan menghujah satu-satu kecewanya. Percayanya pada Laut luluh satu-persatu. Lakonan Sofia beranjak dimensi ke dimensi. Penonton pun hanyut melayan kisah Bulan. Bulan mencuit dan berbahasa pada penonton. Ceritanya turun naik buat saya selaku penonton pun turun naik. Syabas Sofia!

Apapun produksi Teater Kompilasi Namron ini menghidangkan yang istimewa. Syabas buat Namron dan Rumah Anak Teater. Kalau boleh pentaskan semula Lembu dan Mat Deri Kola Perlih. Atau mungkin ada naskhah baru yang bawa semula gandingan Eijat + Namron atau Mardiana + Namron.

3 comments:

jatt eijat said...

MENUNGGU LAMPU HIJAU DARI NAMRON

Cekem Mirza said...

akan ada projek baru ke Jatt... good!

Imran Tahrin said...

Siapa tak kenal MARDIANA ISMAIL. Ratu pentas... "Queen of Stage"... Hidup mardiana hidup tijot... Hidup mardiana tijot... Hidupppp

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...