Jom Kita Jadi Geng

Friday, November 29, 2013

TRAGEDI DALAM MAKYUNG

Saya cukup suka dengan poster ini. Nampak misteri.
Juhara yang memainkan dua watak Puteri Cempaka Emas
dan jelmaan Puteri Bota. Mata antara Jari jemari itu adalah
rahsia sebenar yang tersirat. Sangat tipikal jika poster makyung
sekadar wajah pakyung dan puteri tanpa mengungkap
cerita atau konflik dalam naskah.
Ini kali kedua saya di pentas Panggung Sari dalam produksi makyung. kali ini saya terbang dan tergantung di tempat yang sangat tinggi. Saya sebagai hala Mak Rimau Besar Sejang Kilat Sejalur Wangi. Ia seolah membawa saya ke tahun 2003.

Saya ingat lagi dalam Raja Tangkai Hati, Zizi sangat berobjektif pada setiap babak yang mahu diangkat ke pentas. Dia tidak suka babak yang tidak memberi kesan. Teknologi Istana Budaya semasa itu, tahun 2003 digunakan sepenuhnya. Masa itu belum ada lagi harness belt. Jadi Zizi banyak manipulate kecanggihan pentas IB. Pentas yang boleh turun naik, ke kiri kanan dan belakang depan. Oleh kerana saya ini wataknya Dewa Betara Guru yang memiliki kesaktian luar biasa lalu Zizi cuba visualkan kesaktian dan kebesaran watak saya itu. Lalu saya diturunkan dari wagon yang sudah diangkat tinggi. Visualnya memang cantik dengan bantuan tatacahaya yang hebat oleh arwah Jalil Ngah dan smokes. Dewa Betara Guru seolah-olah berada di dunia lain dan melihat kecurangan di dunia. Saya beraksi dalam 'timing' wagon diturunkan. Memang saya gemar sekali. Tambah masa itu kostum saya direka oleh Fifi dari UiTM. Tujuan Betara Guru turun adalah untuk menyelamatkan dua beradik yang telah dicampak jatuh ke laut oleh Puteri Bota.

Dua beradik itu Malim Bisnun dan Malim Bongsu, dimainkan oleh Mardiana Ismail dan Yuni Norleitey jatuh dan dibenamkan di wagon kedua. Jadi apabila Dewa Betara Guru datang menyelamat, Effectnya adalah Dewa Betara Guru menggunakan kuasa saktinya menarik dua beradik itu (timingnya ialah wagon yang dibenamkan naik ke aras pentas). Memang menariklah cara babak ini menyerlahkan kesaktian Dewa Betara Guru. Tapi nak dijadikan cerita waktu saya sudah 'berpikir dalam hati' menyeru sakti dan mahu 'mengangkat' wagon ke atas - wagon tersekat dan tidak bergerak. Sepatutnya saya membuat gerakan kiri dan kanan lalu wagon itu muncul di permukaan tapi malangnya saya melakukan gerakan kiri kanan berkali-kali secara improvisasi. mata saya sudah nampak Mardiana dan Yuni yang 'lost' kerana wagon tak naik. Sambil melakukan gerakan saya nampak Eijatt selaku SM dan Zizi seakan memberi isyarat kepada saya bahawa wagon rosak. 

Jadi saya yang di tengah pentas yang tidak mahu jadi orang bodoh terus bermain. Otak saya berpusing-pusing mencari idea. memikirkan bahawa jika wagon itu rosak ia beri kesan kepada babak-babak seterusnya. Kerana watak dua beradik itu sepatutnya saya campak dan jatuhkan ke sebuah kapal. Saya lihat tangan Zizi di tepi pentas sudah menunjuk ke atas. Saya tidak dengar dan tidak faham. Mata meliar melihat sambil badan beraksi dan mulut mengucap dialog yang entah apa saya lupa, supaya penonton tidak sedar bahawa kami sedang bergelut dengan masalah besar. Semasa itulah idea datang lalu saya mencipta dialog demi menyelamatkan persembahan malam itu. Seingat saya dialog saya ketika itu memberitahu bahawa saya sudah menyelamatkan dua beradik dengan menukarkan menjadi teritik dan menyangkut di sebuah kapal.... blablabla sehinggalah kedua beradik terdampar di sebuah pulau (Ye ke Zizi?). Tujuannya adalah supaya babak yang melibatkan wagon dapat dilangkau. Jika saya tidak kata begitu, cerita akan tersekat. 

Memang ketika di pentas waktu itu, tiada siapa yang boleh tolong saya. Muzik terus tungtang-tungtang, arahan Eijatt dan Zizi tak membantu saya kerana saya tak faham. Maka yang tinggal hanyalah otak dan badan sahaja. Nasib baik ia cerita makyung di mana pemain harus selalu bersedia untuk improvisasi. Bukan saya mahu kata saya ini bagus tapi saya yakin bahawa pengalaman banyak membantu saya ketika itu. Show kena jalan. Apabila anda berlakon anda sebenarnya petugas yang harus menjayakan objektif persembahan. Anda tidak boleh selfish, hanya mengambil tahu bahagian sendiri sahaja! Pelakon perlu bertanggungjawab walaupun diluar perwatakannya. Itu es-pri-d-cor yang secara konvensyen nya dipersetujui dalam produksi. 

Di malam terakhir persembahan, sekeping kad saya terima. Kad terima kasih dari Zizi. Saya terharu atas kata-katanya. masih saya simpan. Dalam banyak perkara saya menghormati Zizi sebagai pengarah. Dia sangat berwawasan dalam kerjanya. Mesti ada sentuhan yang magik darinya.


Kini Istana Budaya sekali lagi membawakan makyung ke Panggung Sari selepas Raja Tangkai hati dan Anak Raja Dua Serupa. Kesaktian Anak Raja Gondang adalah cerita asal Batak Raja Gondang. Teknologi pentas semakin meningkat dan sinografer sudah meneroka luas ke bermacam dimensi. Jadi datanglah menonton makyung di Istana Budaya dari 29 Nov - 2 Dis 2013 8.30 malam.  

3 comments:

Unknown said...

hahaha.
ya kenangan pahit n manis dal Mak Yong Rata Tangkai Hati... thx Chekem masih simpan kad itu. sy jeles chekem dpt blakon lagi... dah byk produksi mak yong dah! aishhhh.. dahsyat!!!

Unknown said...

hahhaa.. thx atas entri ini. kenangan banyak show ini. pahit manis.. nak mjayakan Raja Tangkai Hati... sy jeles chekem blakon sokmo mak yong!!!

chekem mirza said...

tu lah zi, kita bila dpt main makyung seronoknya lain. Ini makyung selepas saya main titis sakti. Ijat pun ada buat catatan di blognya Jatt Eijat

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...