Jom Kita Jadi Geng

Monday, November 25, 2013

LAGU MAKYUNG DALAM KLASIKAL


Semalam pergi menonton konsert Koir Kebangsaan Malaysia di Matic. Konsert kali ini bertemakan Kembara Muzikal Teater dan Filem. Amri Zain bertindak sebagai konduktor manakala Syafinaz Selamat selaku pengarah persembahan dan artistik. Sebenarnya sudah lama saya tidak menonton persembahan koir, rasanya sejak Koir Kebangsaan dipindahkan di bawah JKKN. Saya terlepas persembahan-persembahan sebelum ini termasuklah Tribute to Sudirman dan No Wrong Notes.

Bila masuk panggung Matic, saya dapat rasa kesungguhan JKKN menghidupkan seni persembahan koir ini. Malam tadi pun panggung Matic 'full house'. Jadi ia bukanlah acara yang tidak laku sebab masa saya mahu beli online, saya lihat hanya beberapa 'seat' sahaja yang ada dan tempatnya kurang menarik lalu saya hubungi rakan saya Rosnan untuk mengadu nasib. Alhamdulillah nasib saya baik, ada pas untuk tetamu. Maka dapatlah saya tonton konsert semalam. Memang sepanjang malam selama hampir dua jam itu, kita dialunkan dengan lagu-lagu yang cukup mesra telinga. Lagu dari muzikal popular seperti Phantom of the Opera dan Olivier sudah dijangka. Dan jarang sekali kita dengar lagu-lagu dari filem dinyanyikan secara harmoni seperti lagu dari filem Star Wars, Azura, Pontianak Harum Sundal Malam ataupun lagu dari filem James Bond. Saya kira ini langkah popular dalam strategi menarik khalayk baru meminati persembahan  koir.

Tapi yang membuka mata dan telinga saya adalah apabila lagu Menghadap Rebab didendangkan dalam nyanyian klasikal. It was a goosebump performance. Gandingan Syafinaz dan Rosnan yang memukau telinga saya. Ia tidak kedengaran pelik malah sangat istimewa. Tidak janggal di telinga saya. Kiranya kalau ada lagu makyung lain dinyanyikan Syafinaz atau lain penyanyi pun ia kira boleh menjadi. Lagu Menghadap Rebab itu kadangkala ia kedengaran seperti sebuah lagu dalam bahasa latin bila Syafinaz sebut baris ini "Eeee... bembae gugo di tapok, sludae cik we mningga mayae... ayooo tue we... sepeti sulo memain angin gaak...". Gaya lagu ini sangat classy dan elegant sekali. Apatah lagi Syafinaz dengan kostum gaun malam yang menawan berganding dengan Rosnan yang lengkap berkostum pakyung. Ia satu duet yang cukup dramatik.

Persembahan malam itu dipecahkan kepada dua segmen. Saya layan sahaja kedua-dua segmen itu. Cuma saya tidak berapa gemar bila ada aksi lakon oleh ahli koir seperti muncul watak Julia Robert untuk lagu Pretty Woman. Saya kira biar sahaja nyanyian dan sedikit koreografi untuk persembahan. Jika mahu suntikan lakon, maka ia perlu jadi dramatik bukan sekadar menempel dan kelihatan amatur. Walau bagaimana pun ia tidaklah mencacatkan konsert. Ada beberapa lagu yang saya kira gubahannya bagus dan sedap sekali, antaranya ialah Pulangkan, Sound of Music dan Sivaji the Boss. Saya kira Sivaji the Boss adalah klimaks yang sangat menjadi, satu panggung bertepuk dan bangkit bergoyang. Its a brilliant composition.


Mendengar lagu koir kita tidak boleh pisahkan dengan susunan lagu yang menghampiri gaya klasikal. Apatah lagi range vokal juga dikelompokkan mengikut range seperti klasikal, ada soprano, alto, bass dan tenor. Jadi bila kita dengar lagu-lagu inggeris dalam koir, ia bukanlah sesuatu yang istimewa. Malam itu, hanya beberapa lagu melayu sahaja dipersembahkan. Tentu lebih istimewa kalau lagu dari filem Melayu klasik dan filem-filem mutakhir dipersembahkan dilebihkan. Bagaimana jadinya jika lagu dari filem Laila Majnun, Ali Setan, KL Drift atau lagu Hati dari filem Hati Malaya dipersembahkan?

Tahniahlah buat Kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia yang terus bertahan. Tahniah ini tentu sekali buat insan yang sangat 'passion' pada kumpulan ini iaitu Syafinaz Selamat danTunku Marina.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...