Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, September 3, 2013

KONSERT SITI NURHALIZA "LANTERA TIMUR"


Sudah lama saya menunggu Siti Nurhaliza tampil kembali dengan irama tradisional dan apabila Siti umumkan akan menjayakan sebuah konsert irama tradisional bersama Orkestra Tradisional Malaysia, hati saya kata 'wahh.. ini bonus 2013".

Saya sebenarnya masih samar dengan konsep dan pilihan muzik yang akan dipersembahkan. Sebab kalau konotasi tradisional ia kedengaran sangat authentic dan berat berbanding dengan irama Malaysia. Dua konsep itu bunyinya macam sama dan tentu orang akan cakap 'bukankah tradisional itu masuk dalam irama Malaysia?'. Memang betul, tetapi semenjak konsep irama Malaysia diperkenalkan dalam industri hiburan lewat tahun 90an, konsep itu menjadi satu konsep bersifat folk. Apatah lagi bila muncul pula konsep 'etnik kreatif' yang tambah luas dan mengelirukan. Semua jenis irama dari melayu, cina, india hingga andalusia pun termasuk dalam kategori ini. Jadi bila Siti kata akan pentaskan konsert sulung irama tradisional, maka saya bayangkan irama pergendangan Melayu, rebab, sape, kulintangan mahu pun tak lempong dan lain-lain.

Katanya, pada konsert itu nanti akan menampilkan kesenian makyung, syabas untuk Siti kerana membuat pilihan tepat. Tetapi saya tidak pasti apakah Siti hanya tampil menari sahaja. Andainya Siti memilih untuk mengalunkan lagu Mengadap Rebab atau Kisah Barat, saya betul-betul beri tabik 'spring' kat Siti. Dua lagu itu dalam ensembel makyung adalah antara yang sukar tetapi cukup indah jika dapat dialunkan. Saya fikir, irama tradisional perlu diisi dengan satu atau dua lagu sebegitu. Tentu konsert ini akan jadi sangat eksklusif.

Kalau sebut lagu-lagu irama Malaysia dendangan Siti, tentu sekali tidak boleh mengetepikan nama Pak Ngah @Datuk Suhaimi Mohd. Zain. Menurut berita, Siti akan tampilkan Pak Ngah dalam konsert ini. Baguslah, dua tokoh bertemu kembali. Bercakap pasal Pak Ngah, selepas kejatuhan irama Malaysia, Pak Ngah sudah tidak aktif mencipta lagu lagi. Ia satu kerugian kerana Pak Ngah telah menempa nama dengan cukup gemilang di persada muzik Malaysia. Menaikkan semula nama Noraniza Idris sehingga menjadi ikon dan meletakkan Irama Malaysia berada di tempat tertinggi dengan standard penghasilan yang berkualiti. Jadi kenalah Siti alunkan lagu Cindai, Nirmala, Balqis, Ya Maulai dan beberapa lagi dalam konsert itu nanti. Jika tidak pasti tidak lengkap.

Satu sahaja harapan saya pada konsert Lantera Timur ini, saya sangat berharap dengan penganjuran konsert tradisional oleh penyanyi no.1 Malaysia ini, ia mampu mengembalikan semula irama Malaysia di tempatnya. Hari ini, saya yakin masih ramai meminati irama Malaysia kerana generasi 90an yang membesar di era itu adalah mereka yang dewasa pada hari ini. Tetapi jika penghasilan irama ini terhenti di era itu sahaja dan dipinggirkan di dekad akan datang, tentu sekali lagu-lagu seperti samarenda, Nazam Berkasih, Dikir Puteri, Ngajat Tampi, Tinting dan lagu yang seumpama itu hanya akan mengisi Radio Klasik dan berada di dalam koleksi kenangan sebagaimana lagu-lagu dendangan Kamariah Noor, Kartina Dahari, S.M.Salim dan lain-lain. Melihat kepada trend hari ini, penyanyi hanya mengeluarkan single dan lagu-lagu lebih mengisi irama kontemporari dan tidak menampakkan langsung ada usaha di kalangan penyanyi atau komposer berdagang dengan irama bernuansa tradisional. Takut barangkali tapi ironinya, penyanyi Indonesia Firman sangat yakin dengan lagu Jangan Pikirin Abang yang lagunya sangat bercitarasa Melayu.

Saya selalu terfikir, kenapa irama Malaysia/tradisional tidak boleh jadi macam lagu-lagu arab yang mendominasi muzik Timur Tengah walhal muzik barat juga popular. Betapa kaya dan luasnya pengaruh-pengaruh yang ada dalam irama Malaysia, dari pengaruh nusantara, arab, India, Cina, Borneo hinggalah muzik masyarakat asli, tetapi hanya mampu muncul sebagai trend kemudian malap dan tetap dianggap muzik kampung. Sedih sebab kita masih belum merdeka!

Klik sini untuk artikel Kosmo

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...