Jom Kita Jadi Geng

Saturday, January 7, 2012

BUBUR ASYURA TAHUN MASEHI

Adakah saudara tahu apa itu bubur asyyura atau Adakah saudara pernah memasak bubur Asyyura? Saya sengaja mengemukakan soalan itu. Di tengah kehidupan yang serba moden ini, sewaktu masyarakat Malaysia sibuk membangunkan diri dan ketika nilai murni hidup bermasyarakat kian lupus dari anggotanya maka jarang sekalilah kita mendengar adanya majlis gotong royong membuat bubur asyyura. Apatah lagi kalau hidup di KL. Lagilah susah untuk kita merasa dan membuat asyyura. Jarang sekali dan mungkin kerana cara hidup sudah berbeza di mana kita kini lebih gemar membeli dari memasak apatah lagi kalau makanan yang sifatnya memerlukan berjam-jam tempoh menyediakannya. Jadi asyyura sudah dilihat sebagai makanan eksotik yang dimiliki oleh masyarakatnya. Ia berbeza antara bubur assyura daripada satu negeri dengan negeri yang lain. Kalau di Utara, asyyuranya lebih seperti manisan puding, kalau Johor lebih seperti bubur lambuk berempah, Terengganu seakan Kelantan tetapi kekal dengan identiti ikannya. Kelantan semacam bingka dengan 'flavour' rempah, daging dan manisnya begitu dominan. Entri kali ini, saya nak bercerita tentang bubur Assyura Kelantan versi Kampung Kubang Panjang Pasir Mas yang disebut sebagai Sugho@Suro.

Bahan Suro: Beras, Kacang Hijau, Ubi Stelo, Isi jagung, Daging ,
Bawang merah, halia, serai, lengkuas, jintan manis, santan, garam, gula, ketumbar, hada dan
rempah suro yang dibeli khusus dari Pasir mas.
Sebenarnya kami merancang untuk berpakat membuat Suro semasa dalam bulan sambutan Awal Muharram namun kerana dek kesibukan masing-masing di mana hampir setiap hujung minggu ada antara kami tidak lapang maka ditunda lah ke satu tarikh yang sesuai. Kami setuju biarlah walau bukan dalam sambutannya tetapi kami mesti bersama memasak Suro atas keinginan yang membuak-buak nak makan suro versi kami. Maka bertemulah kami pada tarikh 1 Januari 2012 di rumah abang saya Ghazali di Pinggiran Bukit Antarabangsa. Jadilah program kami sebagai Majlis Bubur Asyyura Tahun Baru Masehi. Tak mengapalah asalkan semangat dan hasrat itu mengikat pertalian kami.


Cadangnya kami mula mengacau Suro selepas makan tengahari di mana kami potluck saja dari rumah. Masing-masing bawa lauk. Namun rancangan mengacau selepas tengahari terbantut apabila dapur untuk masak belum ada hehehe. Kenalah Ghazali dan Zulkifli ke pasar mencari dapur serta beberapa keperluan lain. hehehe apatah lagi kuali yang dibawa zulkifli kurang sesuai untuk masakan lasak seperti suro. Sementara menunggu dapur balik, saya mengetuai kerja di dapur. Kenapa saya? sebaba isteri-isteri abang dan isteri saya tiada langsung pengalaman memasak Suro malah boleh dikatakan 'no-idea'. Isteri saya pernah makan tapi tak tahu apa bahannya. Jadi saya cadangkan semua bahan yang nak dimasukkan dimasak dahulu. Ia boleh menjimatkan masa mengacau. Biasanya Suro ni mengambil masa lebih daripada 6 jam untuk masak. Lalu saya dan kaum wanita merebus kacang hijau, kukus ubi stelo, blend beras,rebus dan ceraikan daging, kisar jagung, kisar rempah ratusnya. Bila dapur di atas tungkus terus beras dan air masuk untuk dijadikan bubur. Jimatlah masa sedikit kerana tak perlu tunggu beras tu hancur jadi bubur sebab sudah dikisar dan boleh aja masukkan kacang hijau yang direbus. Teksturnya seperti foto di atas.

Semua bahan-bahan tadi dimasukkan satu persatu. dimulakan dengan kacang hijau, ubi stelo, jagung, rempah, santan dan daging. gula dan sedikit garam masuk pada peringkat akhir. Bahan tersebut perlu dimasukkan satu persatu bagi memastikan bubur betul-betul bergaul dengan bahan itu. Apabila masukkan santan dan rempah, tekstur bubur akan kembali cair jadi perlulah dikacau sehingga sedikit kering dan mendidih ini memastikan santan itu betul-betul masak bersama rempah tadi. Ada setengah resepi, mereka memasak santan dan rempah sehingga pecah minyaknya barulah dimasukkan ke dalam Suro. Itupun boleh juga dan sebenarnya ia lebih baguslah.

 Kemudian masukkan daging. Hari tu daging kami sekilo sahaja. Rasa macam kurang jadi kami campurkan dengan daging ayam. Sedap juga. Kacaukan seketika barulah masukkan garam dan gula. Peringkat ini kita perlu kacau suro sehingga ianya kering. Indikatornya ialah apabila letakkan atas daun pisang, isi suro tidak lagi melekat. Maka bolehlah diangkat. Tapi hari itu Suro kami tidak jadi begitu, walau dikacau hampir 5 jam ia tetap melekit dan walau disejukkan pun ia tetap lebih. Kami jadi hairan dan saya tidak temu puncanya sebab kami 'follow' kaedah memasaknya. Namu bolehlah dimakan dan memang sedap sama seperti suro kami makan masa kecil-kecil dahulu...hmmm nyam nyam.
Baju hijau tu Ghazali. Yang tangan terbuka tu Zulkifli. Kami tiga beradik sederet.
Zulkifli ke4, Ghazali ke5 dan saya ke6.

 Hari tu, bukan keluarga kami bertiga sahaja tetapi Ghazali turut menjemput keluarga angkat dan rakan sepejabat mereka. Riuh rendah lah jadinya dengan suara budak-budak. Masing-masing penuh sabar mengacau sambil berkongsi macam-macam cerita. Inilah seronoknya gotong royong masak Suro, ia sebenarnya membuka lebih banyak ruang untuk kita mengenali rakan dan menyelami saudara. Sebenarnya semasa kami mahu mula memasak. Saya, Ghazali dan Zulkifli tidak begitu pasti akan kaedahnya. Ia hanya berbekalkan memori dan nostalgia. Kami flashback apa yang kami lalui semasa zaman budak dahulu dan terjemahkan pada hari ini. Namun hasilnya voila! Malah kakak saya dari Kuala Krai, Sarimah yang turun KL pada Rabu lalu turut mengakui bahawa Suro kami sedap dan sama macam kat Kubang Panjang.
kalau dilihat pada warna dan teksturnya, memang tahu Suro ni dah JADI.
Untuk lebih sedap, suro ni dimakan dengan kelapa goreng yang ditumbuk dengan halia, bawang dan garam.
Kalau rajin buat telur dadar dan potongnya nipis-nipis hmmmm
Tetapi saya tetap kurang berpuas hati dengan kadar kelikatan suro kami. Puas saya fikir dan renung di mana silap kami. adakah kami tertinggal proses atau tersalah rempah. Sampailah saya ter'flashback' adegan didapur sewaktu menyediakan bahan-bahan. Sewaktu memotong ubi stelo hati saya terdetik lalu kata ''eh Kak Na ni bukae ubi stelo ni'' Kak Na sanggah ''Ubi stelo lah ni, ubi stelo jepun''. Saya setuju. Dan selepas mengukus untuk mengekalkan bentuk ubi stelo hati saya tetap mengatakan itu bukan ubi stelo. Saya pasti itu ubi kacukan antara ubi stelo dengan ubi badok. Thats wahy lah suro kami tak mengeras walaupun disejukkan.

Apapun terima kasih kepada semua yang turun padang. We had such a great time and great moments. Without u all...the Suro maybe turns disaster. Untuk saudara semua, saya cadangkan buatlah aktiviti begini, ia sebenarnya bukan sekadar nak makan Suro itu tetapi ia menghidupkan warisan dan menurunkan kepada anak-anak. Jikalau saya tidak melihat pakcik makcik di kampung masak Suro, tidak mungkin saya punya kekuatan untuk menyediakan maskaan warisan ini. Begitulah, apabila kita melibatkan anak-anak dengan harapan mereka kenal, ingat dan warisi kepada anak-anak mereka kelak. 

3 comments:

Al-Nafis said...

assalamualaikum...tahniah lah kerana berjaya menwujudkann lagi makanan eksotik kelantanese ni......benda yang sedap dan di tunggu2 masa saya masih kecil dan saya juga berpeluang mengacau nya juga di kampung kubang panjang pasir mas... tak silap saya dalam tahun 2002....

chekem mirza said...

terima kasih Al-Nafis. Dulu di Kubang panjang pakat-pakat buat sampai skali masak 8 kawah

Al-Nafis said...

Che kem....buleh dok ambo nok tahu nisbah rempah dio dengan nisbah beras...

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...