Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, August 31, 2010

IPAH ...

Jika tidak silap foto ini pada tahun 1994

Ini kakak saya, namanya Saripah Bt Taib. Dilahirkan pada tahun 1965. Orangnya tinggi lampai dan kurus badannya. Di kampung semasa zaman anak gadisnya, dia dikenali kerana ketinggiannya. Sebenarnya saya mempunyai dua orang kakak dan seorang adik perempuan. Selain Saripah, kakak saya yang sulung namanya Sarimah dan adik perempuan saya namanya Siti Maimon. Saripah atau kami sekeluarga memanggilnya Ipah adalah anak yang ke 3 daripada sembilan orang adik beradik (jika dihitung berdasarkan ibu dan ayah yang samalah...hmm sebenarnya panjang betul nak diceritakan). Ipah sering juga kami gelarkannya sebagai 'kughuh' kerana badannya tidak pernah gemuk. Semasa remajanya Ipah dan kakak sulung saya Imah memiliki rambut yang panjang. Boleh dikatakan kalau mereka berdua berjalan tak ada mata yang tidak memandang dek keunikan rambut mereka. Panjangnya rambut mereka mencecah bawah peha. Adakala Ipah digelar 'rambut ekor kuda'. Saya sering saya bergurau dan menyakat Ipah kerana Ipah sering saja dibuli oleh abang-abang saya yang lain. Ipah tidaklah memiliki pendidikan yang tinggi hanya setakat SRP sahaja. Kerana itulah dia bekerja di Kilang Berlian di Jalan Lundang Kota Bharu sejak usianya 18 tahun. Jadi setiap pagi selepas subuh Ipah akan keluar rumah mengejar satu-satunya bas yang akan membawanya ke kilang dan dia akan pulang tika maghrib. Walaupun kerjanya hanya sebagai operator namun Ipah banyak berjasa pada kami sekeluarga. Ipah gemar membeli kelengkapan rumah melalui bayaran ansuran. Ipahlah yang mula-mula sekali membeli TV warna untuk kami dan Ipah juga turut membeli set sofa dalam foto di atas. Walaupun gajinya hanya sekitar RM180.00 sebulan. Minat Ipah pada kerja-kerja mengemas rumah memang ketara sehinggakan dia mampu menyusun atur perabut rumah seorang diri...malah almari pakaian turut dialihkan tanpa bantuan orang lain. Ipah memang suka mengemas...mungkin dalam sebulan kedudukan perabut akan bertukar. Jika dilihat pada saiz badannya memang tak sangka keupayaannya. Saya rasa Ipah dah terbiasa dengan kerja-kerja rumah kerana sejak sekolah rendah dia sudah membantu Mek memasak, mengemas dan membasuh pakaian kami adik-beradik. Dulu masa kecil manalah ada mesin basuh...semuanya pakai berus (payah nak diceritakan kisah kami sekeluarga dulu).

jika tidak silap foto ini diambil dalam tahun 1987; rumah lama
Setiap kali menjelang Raya, Ipah orang paling sibuk dalam keluarga kami yang memikirkan bagaimana nak menceriakan rumah. Dia juga suka membeli pinggan mangkuk, dan tentu sekali Ipah adalah orang yang tekun menghias dan mengemas rumah pada malam Raya. Ipah juga membantu Mek menyediakan tempahan ketupat, Ipah cekap membuka daun palas. Kalau saya tiga helai daun palas itu sudah rumit tapi Ipah mampu membuka 5-8 helai serentak. Sering saja bila malam-malam menjelang Raya Ipah akan tidur tergolek di mana-mana...penat. Saya pernah mereka beberapa rekaan baju kurungnya, jadi bila Ipah mengenakannya tentulah nampak menawan sebab badannya tinggi lampai. Kadangkala dia marah juga pada saya sebab rekaan saya agak mengarut sikit hahaha...mana tidaknya masa tu saya baru di tingkatan 2 atau 3.

Jodoh Ipah sampai agak lewat ketika usianya mencecah 30 tahun. Dulu kalau sudah melewati 25 tahun, sudah digelar andartu. Memang Ipah tidak begitu berjaya dalam soal cinta. Ipah berhijrah ke Johor dan bekerja di kilang elektronik di sana. Pernah semasa saya belajar di UM, dia datang KL dan bermalam di bilik sewaan saya. Semasa di Pasir Gudang, Johor lah Ipah bertemu jodoh dengan Abang Mie, seorang pemuda kelahiran Segamat. Abang Mie keturunan Jawa tulen. Awalnya memang dibangkang oleh keluarga mana tidaknya orang Kelantan bertemu orang Jawa...itukan musuh dalam cerita (kononnya). Tapi kehendak Ipah, Wan dan Mek turuti tanpa ada banyak drama...cuma kebimbangan tetap ada di hati Wan dan Mek. Ya lah nak melepaskan anak dara. Ipah bernikah pada tahun 1995.

Namun Ipah diterima baik olek keluarga suaminya. Abang Mie melayani Ipah dengan baik sekali. Malah kasih sayang ibu mertua Ipah jelas terlihat apatah lagi bapa mertua yang lembut tutur bahasanya. Kami pun turut gembira. Sesekali Ipah ada merungut mengenai sakit senggugutnya dan hal ini sering dialami sebelum dia berhijrah ke Johor lagi. Sakit dalam perutnya sering saja datang. Abang saya, Ghazali menasihati dia agar bertemu doktor atau pakar mengenai sakitnya, bimbang jika ada sesuatu yang serius. Satu hari Ghazali membawa Ipah ke hospital di Pasir Gudang dan doktor mengesahkan ada ketumbuhan kecil dalam perut. Ia mungkin kesan sakit yang berulang. Atas nasihat doktor, Ipah bersetuju untuk membuang ketumbuhan itu kerana ianya tidaklah berisiko. 

Bulan Ogos 1997, Ipah menjalani pembedahan di hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Semasa itu saya di KL. Wan,Mek, Siti bersama keluarga sebelah mertua menemani Ipah di sana. Ipah seperti biasa berbual sebelum menjalani pembedahan. Jadi tidaklah merisaukan Wan dan Mek. Namun ianya berlaku sebaliknya, selesai pembedahan Ipah koma dan ditempatkan di ICU. Saya menerima panggilan dari Siti memberitahu tentang Ipah. Saya bergegas ke Johor Bahru menaiki bas. Di hospital saya lihat walaupun Ipah ditempatkan di ICU tapi Ipah seperti tidak diendahkan malah ramai doktor pelatih yang menjaganya.

Tanggal 30 Ogos 1997 sekitar jam 8.00 malam Ipah disahkan meninggal dunia tanpa sebab yang jelas oleh pihak hospital. keceriaan Ipah sebelum dibedah dengan selepas pembedahan adalah dua individu yang berbeza. Saya tidak menuduh tetapi terdetik di fikiran saya bahawa Ipah tidak melalui pembedahan yang sepatutnya. Tidak ada doktor yang boleh menerangkan kedudukan ini. Kami redha dengan pemergian Ipah tapi sebagaimana kata arwah Wan 'aku tak maafkan orang yang buat anak aku'.

Genap 13 tahun Ipah pergi. Waktu malam pemergiannya, bandaraya Johor Bahru bercahaya dengan pancutan bunga api menyambut malam merdeka dan kami sekeluarga banjir air mata di perkarangan hospital. Kasih sayang keluarga mertua Ipah merayu pada Mek agar dikebumikan Ipah di Segamat namun kami nekad membawa nya pulang. Malam itu saya mengharungi bermacam liku...di dalam kepala hanya satu 'Ipah harus pulang'. Kini Ipah bersemadi di tanah perkuburan Pasir Mas di sisi Wan dan Mek.

Ipah.....mana pun Mu....aku ingat (nyata saya tak mampu teruskan ucapan ini)

Al-Fatihah....

"Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu dan kepada Nyalah kamu dikembalikan"

Thursday, August 26, 2010

NASI KERABU DAN SAYA

Gambar hiasan 
Selamat berpuasa. Saya ni bukanlah jenis yang cerewet pasal memilih makanan tapi lidah ni akan menolak jika tak mengikut piawaian yang ditetapkan. Misalnya kalau kuihnya popia maka ia mestilah cukup jenis sayurannya, kulitnya tidak keras, sosnya tidak terlalu pedas, kalau ada udang atau ayam maka bonuslah penjual tu dapat. Hmmm inilah halnya bila saya singgah untuk membeli juadah berbuka di pasar Ramadhan, semenjak bermastautin di KL dari tahun 1991 maka pancaroba inilah yang dihadapi oleh saya. Masa mula-mula berpuasa di KL, agak janggal bagi saya apabila berbuka dengan kuih karipap apatah lagi kalau kuihnya donat. Apa nak buat selama 20 tahun membesar dan tidak keluar dari tanah kelahiran Pasir Mas, lidah ni dah sebati dan lali dengan kuih dan manisan semasa berbuka, bunga tanjung, nekbat, nonde, akok kedut dan bermacam lagilah jenis kuih manisan. Namun yang lebih bermasalah apabila berbuka dengan nasi kerabu dan yang dibeli tetapi tidak menepati citarasa langsung. Susahnya kerana saya ni anak peniaga nasi kerabu di Kampung Kubang Panjang Pasir Mas. Tiap-tiap pagi waktu bersekolah dahulu, itulah yang saya hadap sebagai sarapan. Jadi saya menguasai pemakanan nasi kerabu dan agak mahir dengan citarasa saya (pastinya disuburkan oleh air tangan Mek saya lah).
antara bahan-bahan asas (tidak termasuk pisang)
Bulan Ramadhan ni, memang ramai betul orang berminat untuk berniaga dan ramailah pula yang ingin menunjukkan bakat dengan tujuan untuk memenuhi kehendak rakyat Kelantan yang berhijrah ke KL selain daripada mengambil kesempatan ke atas kehendak melampau orang-orang Kelantan kepada makanan kebanggaan mereka. Yang menghampakan, sering sahaja saya terbeli nasi kerabu yang cantik di mata...warnanya membiru dengan pelbagai jenis lauk pauk yang mahu digandingkan dengan nasi kerabu. Namun hakikatnya indah khabar dari rupa, bila saya dapati ulamnya penuh dengan taugeh dan kobis (kobis tu bukan ulam itu sayur) dan dicampur juga dengan daun selom serta semestinya cik kalsom. Kecewa betul! Tambahan lagi kalau kerabunya kelapa lebih banyak daripada ikan manakala budunya hanyalah semata-mata budu. Tambah lebih mengecewakan nasi kerabu diletakkan sambal belacan! Belacan ok belacan! manalah tak menyirap darah keturunan Noriah bt Mat ini. Saya tak hairan kalau nasi kerabu makan bersama daging bakar, ikan goreng, ikan masin ke, telur masin ke tapi saya cukup tak berkenan kalau nasi kerabu diganding dengan gulai ayam atau ikan goreng pedas, ini memang pantang dan menyalahi undang-undang nasi kerabu! 
daun serai kayu
Mari saya ceritakan kenapa saya jadi sangat emosional pasal nasi kerabu ni. Seperti saya ceritakan di atas yang Mek saya peniaga nasi kerabu, arwah mula berniaga semasa saya di darjah 4. Dan ianya membanggakan kami kerana ramai yang memuji nasi kerabu Mek di mana kesedapannya terletak pada Tumisnya...lemak manis. Maknanya nasi kerabu arwah Mek ni popular menjangkaui kampung-kampung lain. Masa saya di darjah 5 dan 6 saya sering disuruh oleh arwah mek untuk ke pasar bagi membeli bahan-bahan untuk jualan esoknya. Jadi Arwah Mek akan minta saya tuliskan bahan-bahan yang nak dibeli dan saya tulis satu persatu bahan-bahan untuk setiap masakan. bahan-bahan untuk nasi kerabu, untuk nasi berlauk dan kadang kala untuk nasi dagang. Sekali dua memang pilihan saya tidak memenuhi apa yang Mek jangkakan (Ya lah budak darjah 5 pergi pasar besar Pasir Mas). Tapi dari situlah saya mula kenal jenis-jenis ikan, jenis-jenis ulam dan bagaimana mencari yang sesuai mengikut kemahuan Mek saya. Ingat lagi handle basikal saya penuh dengan plastik ghokghat bawa balik ke rumah...(tak terbayang oleh saya untuk harapkan anak bujang saya Aish ke pasar). Jarak antara rumah ke pasar (dulu pasar Pasir Mas adalah Bazaar sekarang) tidaklah jauh tapi jauhlah bagi saya yang berusia 11 tahun pada ketika itu. Masih saya ingat saya akan ulang ke gerai atau makcik-makcik yang menjual sayur...sehingga ada yang sudah cam dengan saya dan mereka akan berikan yang elok-elok. 
saja masukkan montage Rumah hehehe
Tapi bukan saya yang membantu Mek untuk menyediakan bahan untuk jualan, saya mestinya sibuk di padang dan halaman rumah bermain. Arwah Mek dan Wan akan bangun seawal 4 pagi untuk menyiapkan jualan, biasanya kakak-kakak saya yang akan membantu. Kalaupun saya disuruh hanyalah untuk kerja-kerja seperti menumbuk serai, menggoreng kelapa, kacau tumis maksudnya yang ringan-ringanlah. Pernah saya dimarah Mek sebab membiarkan santan mendidih...habis pecah minyak santan Mek. Dari situ saya belajar bagaimana menjaga santan Tumis dan menganggar semasak mana kelapa bila digoreng.
Kalau saudara dapat menyelam bagaimana akrabnya saya dan nasi kerabu, itulah sebabnya saya tidak boleh terima kalau mereka yang menjual nasi kerabu sekadar cukup syarat... ala kadar saja. Memang angin lah saya.  Memang saya tidak nafikan citarasa masing-masing, tapi kalau dah ulamnya kobis mana nak sedapnya nasi kerabu tuu. Sebab itulah kalau nak puaskan hati, saya dan adik beradik akan buat dan masak sendiri nasi kerabu. Tambah-tambah di bulan puasa ni...banyak yang menghambat, bukan sahaja keinginan nak makan nasi itu tapi ia turut terbawa dek nostalgia dan memori semasa di kampung. Maka bergotong royonglah kami memasak nasi kerabu!
Biasanya kami masak nasi kerabu putih sahaja, memang adakala Mek menjual nasi kerabu kuning atau hitam (actually biru lah). Masa tu seingat saya Mek akan minta saya kutip pucuk mengkudu (mesti kenal kan) untuk dijadikan pewarna nasi, biasanya apabila menggunakan daun mengkudu, nasi akan bertukar menjadi warna biru kelabu. Adakalanya Mek menggunakan Bunga Telang (yang warna purple/biru) untuk mewarnakan nasi tapi yang ini agak jarang sekali sebabnya agak susah untuk mendaptkan bunga ini (dulu ada kat rumah Pokli Mokcik Som). Maklumlah kita kat kampung jadi banyak dicari di dalam belukar atau rumah-rumah jiran sahaja.
mengkudu
bunga telang

Untuk Ulam, Mek akan pastkan jenis-jenis ulamnya. Tak perlu banyak tapi cukup rasanya. Ia mestilah daun kesom, kacang panjang, timun batang (yang kurang bijinya) dan daun serai kayu (daun samak: kenal ke? memang susah nak dapat sekarang) serta kadang kala dicampur juga bunga kantan. Kalau ada bunga kantan memang sedaplah.Biasanya untuk kerabu, Mek akan gaulkan isi ikan kembung bakar, serai, bawang, kelapa goreng, garam dan gula. Dan nasi kerabu mek tak kan tinggalkan sambal Tumis, biasanya santan tumis Mek pekat dan naik minyaknya. Ia hasil ramuan kepala santan, cili kering, serai, bawang, asam, gula melaka dan garam...hmmm sedap nii. Tak lengkap rasanya makan nasi kerabu tanpa Tumis. Sebab itulah kalau saya mencari nasi kerabu, saya cari gerai yang ada Tumis. Budunya pulak, jika tidak dimasak, Mek akan letakkan limau kerat lentang dan cili burung. Tapi jika dimasak maka budu itu dimasak bersama serai, bawang dan gula melaka..hmm sedap ni wangi betul.

etok (bukan nama makcik tu ya!)
Nasi kerabu akan berpalut jika makan bersama etok...tapi mana nak cari di KL ni. Kalau tidakpun makanlah dengan ikan selayang goreng atau telur masin atau solok lada atau bawang putih jeruk atau solok ikan atau daging atau ayam bakar. Hmm memang berpalut molek!!!


Hari Ahad yang lalu 22 September, saya dan abang saya, Dr. Ghazali berpakat untuk masak nasi kerabu bagi juadah berbuka. Jika nak dibanding, Ghazali lebih pakarlah berbanding saya sebabnya dia lebih banyak membantu Mek dulu. Saya lebih mahir ke pasar membeli bahan-bahannya.  Jadi pada Ahad yang lepas kami menikmati nasi kerabu, nasi ulam, ayam percik, pegedil ikan dan solok lada. Hmmm puas hati. Ayam percik tu kiranya untuk habuan anak-anaklah.

Saturday, July 31, 2010

RAI DAN MERAIKAN

Memang sudah lama saya tidak memasukkan cerita dan kisah-kisah di blog ni. Saya rasa antara punca utama adalah kealpaan melayan Facebook yang nyatanya sudah menjadi media paling sibuk mutakhir ini. Wahh bunyi macam serius lah kan. Memang FB dah jadi macam agenda utama dalam seharian, mencari dan menerima berita dan maklumat daripada kawan-kawan. Jadi kerja-kerja mengemaskini blog ini...seakan jadi secondary pulak. kesian lah pulak rasanya pada tapak blog ni. Tapi saya tidaklah melupakan laman yang saya sudah bertapak sejak tahun 2006 ni. Saya tahu ramai yang masih mendapatkan maklumat dan mengikuti perkembangan saya melalui laman ini. Terima kasih.
Sejak tidak mengemaskini blog ini, memang banyak sungguh keraian yang berlangsung. Macam-macam lah. Di pejabat, di rumah malah majlis-majlis bersama rakan lama pun berlangsung. Saya juga akui kesibukan dengan beberapa perubahan yang berlaku di pejabat turut menjejaskan mood saya untuk menulis di laman ini. Jika nak ditulis tentang pengalaman seni. apresiasi saya pada seni persembahan ...memang banyaklah nak dikongsi tapi malaslah...


mengambil foto adalah kerja yang saya gemari bila berada dalam sesuatu majlis. macam-macam cara untuk mendapat shot yang menarik. apatah lagi handphone pun sudah ada aplikasi kamera jadi ia memang amat memudahkan untuk kerja-kerja merakam moment-moment terindah. Terima kasihlah mereka yang jadi model ya.

Biasalah kalu buat keraian.. makan lah paling penting kalau tak macamana badan nak besar ya. Makanan kat atas ni adalah hidangan semasa meraikan majlis harijadi isteri saya dan anak saya yang disambut pada 13hb Mei dan 15hb mei yang lalu. Yang istimewanya Mama dan Abah turut turun dari Kepala Batas.

Inilah rakaman kami sekeluarga. Terima kasihlah pada keluarga abang saya Zulkifli dan adik saya Zawawi serta anak saudara saya Siti Nurhayati yang menjadi orang penting dalam memastikan majlis berlangsung. Majlis ni tidaklah dirancang dari awal...tiba-tiba sahaja terdetik nak meraikannya. Pukul 3.00petang saya decide... pukul 5.00petang semua berkumpul. Sayangnya abang saya Ghazali tidak dapat hadir.

Ini pulak makan-makan pada 12 Jun sempena Hishamyang turun ke KL masa cuti sekolah. Sempatlah dia sekeluarga melawat adik-beradik di sini dan beberapa tempat menarik termasuklah Putrajaya dan KLCC. Napok gayo tok daghat doh dio lepah ni hehehe. Gambar atas ni adalah empat orang sepupu dari kiri Umairah, Kalish, Faqihah dan Rhea.
Gambar atas ni pulak adalah foto di rumah abang saya Zulkifli. Saya dan famili membuat kejutan dengan membawa sebiji kek untuk meraikan harijadinya yang ke 43. Memang jarang sekali abang saya ni meraikan harijadinya. kesibukannya berniaga membuatkan dia lupa untuk diri sendiri. Apa salahnya sekali sekala meraikan saudara sendiri. Sebiji kek walau kecil besar maknanya dalam mengerat silaturrahim. Sambutan harijadinya pada 28 Mei lepas.
Gambar paling atas yang dua dari kiri adalah foto-foto semasa kami sekeluarga dan anak saudara, Along meraikan harijadi saya yang ke 39. Kami raikan di Delicious at Dua. Itupun seminggu selepas 15 Jun kerana semasa tarikh tersebut saya bertugas di Singapura sempena Communicasia 2010.
Memang membahagiakan bila kita dileklilingi mereka yang menyayangi. Hidup ini tidak akan meriah dan ceria jika kita tidak berusaha mewarnainya. Bahagia tidak akan hadir kalau kita duduk dan menunggu ianya berlaku...kita harus mencorak, mewarna dan mencipta keseronokkan itu. Terima kasih keluargaku, sahabatku dan anda sekelian yang menjadi sebahagian daripada warna dalam hidupku.

Friday, July 9, 2010

LAMA SUDAH

LAMA SUNGGUH TIDAK KE BENDANG,
HABISLAH PADI DILILIT KANGKUNG;
LAMA SUDAH TIDAK MENGARANG,
HABISLAH JARI KERAS KEKUNG.


***
DARI SELAMA KE INDERAGIRI,
DIGIGIT NYAMUK DI BUKIT PUTUS;
SUDAH LAMA TIDAK KE MARI,
BANYAK YANG GEMUK DARI YANG KURUS

Tuesday, June 1, 2010

RAHIM JANTAN : MENGENANGMU

(1947-2010)

31 Mei 2010 jam 11.30 malam, telah pergi sebutir lagi bintang seni suara tanahair, Rahim Jantan. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di kediamannya dan dibawa pulang ke Melaka untuk disemadikan di kampung halamannya. Berapa lagi yang tinggal yang mewarisi seni suara tradisional? Semasa hidupnya, Allahyarham begitu bersemangat melatih dan mendidik generasi muda hari ini menguasai selok-belok nyanyian lagu-lagu tradisional. hasil didikan beliau lahirlah generasi muda seperti Sabihah Abdul Wahid, Norazura Abu Bakar, Mardiana Alwi, Hasraniza Dollah. Nor Asmira dan ramai lagi.

Orangnya sangat lembut dalam berbahasa, tuturnya tidak menengking tidak menghempas...caranya menyenangkan...adakala guraunya cukup mesra. Ya kita akan mengenanginya sebagai insan seni yang berjasa pada irama Malaysia.
saya petik lirik lagu Terkenang-kenang nyanyian Kartina dahari

Terkenang-kenang wajahmu
dengan rupa yang manis
terbayang senyuman mu di mataku
rasa hatiku sedih

Thursday, May 13, 2010

AISH SUDAH 10 TAHUN

Selamat Hari jadi Aish Mirza. hari ini genap usia Aish Mirza yang ke 10 tahun. Cepat sungguh masa berlalu rupanya budak bulat inilah yang saya timang buat pertama kali pada sekitar jam 11.00 malam di PUSRAWI tangga 13 Mei 2000 dulu. Saya ingat lagi, waktu itu hanya tinggal isteri saya seorang sahaja yang masig berada di bilik pembedahan, diluar wad saya berlegar seorang diri tidak tahu nak hala. Allah sahaja yang paling dekat dengan saya waktu itu, untuk saya meminta pertolongan dan memberi keselamatan kepada isteri dan anak yang bakal dilahirkan.


Saya masih ingat situasi lucu pabila saya terkejut melihat jururawat memangku seorang bayi besar keluar dari bilik operasi. Dalam hati saya kata "allah, baby siapa besar tu" tup tup..nurse sebut nama isteri saya.."laa anak aku ke". kali pertama memangku Aish...emosi dalam saya begerak-gerak menolak dan menarik...mencari tempat pasti...transisi merasai detik pertama menjadi bapa. Indah saat itu. Aish yang menangis kuat sambil menandang-nandang...diam dan tenang bila saya alunkan azan ke telinganya. Aish dilahirkan dengan seberat 3.9kg dan merupakan bayi terbesar pada malam itu.

Hari ini, saya merasai perubahan dalam diri Aish. Jiwa anak-anaknya masih tebal. Setiap kali ke tandas perlu diteman. memang dia penakut mengalahkan Rhea yang berusia 5 tahun. Namun dia seorang abang yang penyayang. sangat dekat dan rapat dengan adiknya. Sering sahaja mereka berpakat dan bermuslihat untuk mengenakan kami berdua. Nakalnya tak habis. Waktu dia berusia 5 tahun dan semasa Maminya sedang sarat mengandungkan Rhea, Aish minta supaya bila adiknya lahir jangan dipanggil dia Abang long atau Along. Dia kata panggilan seperti itu kedengaran 'tua'. jadi kami tanya 'nak panggil apa?' dia jawab "panggil abang cukup".



Memang sepanjang membesarkan Aish, kami banyak membuka kebebasan untuk dia memilih dan menentukan kecenderungannya. Saya masih ingat sewaktu dia bersekolah di tadika Q-Dees di usia 4-5 tahun, dia merasakan kurang selesa dengan perhatian guru kepadanya. Dia minta agar ditukarkan ke sekolah lain dan dia memilih Smart Reader Kids. Nyatanya semasa di Smart Reader dia menunjukkan perbezaan minat dan komitmen. Tapi Aish jenis yang takut mengecewakan kami secara sengaja, maksudnya jikalau maminya sudah tempatkan dia di sesuatu kelas dia akan ikut walaupun tidak suka. Sehinggalah kami bertanya barulah dia nyatakan rasa hatinya yang sebenar. Memang Aish terlalu 'attached' dengan famili dan dia selalunya tidak akan berbuat sesuatu di luar izin kami.

Terlalu banyak nak dituturkan mengenai budak yang berusia 10 tahun ini. Dia masih lemah daripada segi menguasai mata pelajarannya. Dia mempunyai kelemahan untuk memberi penumpuan yang lama kepada sesuatu topik atau pengajian. Kerana itu apabila kami menghantarnya ke kelas piano, dia tidak mampu mempamerkan kebolehan berbeza dengan kelas drum yang menunjukkan kesukaannya. Hari ini, kreativitinya sangat terselah, saya lihat dia sudah bijak mengaplikasi video dan mengedit'nya sendiri untuk menghasilkan drama atau animasinya. Di nursery dia mengarahkan rakan-rakannya mengikut arahannya ...dan terhasil video yang saya kira genius bagi budak seusianya. Tidak hairanlah diusia 10 tahun ini dia memberitahu untuk menjadi 'director'.... tidak pernah ada dalam kepala saya di waktu usia saya 17tahun pun....
"Selamat mengembara AISH MIRZA. Terokailah alam ini, lihatlah dengan matahati mu... kau akan bertemu alam ini sebenarnya untuk mu".




Wednesday, May 12, 2010

OHHHHH LALA...SATU LAGI AWARD

Tak sangka! sungguh tidak ku sangka. Blog ini dipilih sebagai Beautiful Blogger Award. Ohhh la la...tambah satu lagi award dalam almariku. Hmmm. Terima kasih Fendiosman kerana menamakan saya sebagai salah satu pilihannya. Nampaknya kenalah berusaha keras untuk mengekalkan gelaran ni.



Apa? Saya bayar fendiosman? Heh sukahati kamu saja mahu menuduh aku... kau ingat si fendiosman tu menilai blog ni secara membabi buta. Heh kauorang jangan nak main tuduh-tuduh, saya tak ada apa-apa hubungan terlarang atau intim dengan fendiosman. Saya tak bayar dia. Saya tak bagi tiket percuma ke bangkok untuknya! Saya tak sponsor percutian dia ke 4 destinasi ASEAN..tidak sama sekali! Opps! maaf ya fendiosman. Mereka ni tak percaya kenapa saya layak dapat anugerah ni...ya memanglah kami pernah bergambar bersama tapi itukan untuk majalah saya...hanya sekadar publisiti. saya harap fendiosman dapat mengawal tuduhan ini.

Bila dah dinamakan sebagai beautiful blogger, maknanya saya lah pulak kena namakan blogger-blogger yang lain. Hmmm susah ni. nantikan tak pasal2 orang simbah slurpee kat muka (macam dalam Glee) sebab tak pilih dia. Hmm siapa ya... dibuang mati emak ditelan mati bapak... hmmm. Oklah saya terpaksa lambung dadu...siapa yang dapat kira nasiblah...inilah pemenangnya:

Aku sebut tak ikut ranking ya...sebut ja

1. Yusof Sadjirin : sebab budak ni budak aswara. senyap tapi suka menulis. Monolog dia sajalah
2. Dr.AidilFadzil : sebab dia kawan baik saya masa sekolah dulu. lagipun kesian sebab dia nak habiskan Phd
3. Fendiosmanlah: kenapa? sebab dia panaassssss
4. LAISI : kau orang patut baca macamana dia tulis. interseting.. orangnya dah pencen tapi macam wartawan kampung
5. Adika : Budak ni dia generasi baru teater... bacalah tengok apa dalam kepala dia
6. wanharun: diam-diam ubi orang nya...pedass betul bilah dia lenyekkan cili
7. ShamJusoh : sebab dia satu-satunya adik aku yang ada blog.

Cukuplah tu...alah yang saya tak senaraikan bukan tak bagus...tapi malas nak naip nya. Jadi untuk yang disebut tu hari ini Chekem anugerahkan anda THE BEAUTIFUL BLOGGER AWARD ....eh eh senyum nya!

Tunggulah kat muka pintu...nanti ada sirih junjung dangan bunga emas menyambut.

Friday, April 23, 2010

PENGUMUMAN! PENGUMUMAN!

Lama sungguh tidak menaikkan entri terbaru. kali ini saya ingin mememaklumkan beberapa aktiviti yang dianjurkan oleh ASWARA di bawah Bahagian Pengajian Teras AKademik. Kalau ada masa datanglah menonton dan bertandang ke tempat acara berlangsung:

Makyung 'Sindo'
23-25 April 2010
8.30 malam
di panggung Eksperimen ASWARA

Bangsawan 'Syakuntala'
30 April - 1 Mei 2010
8.30 malam
di Panggung Eksperimen, ASWARA

Wayang Kulit
4-7 mei 2010
8.30 malam
Amphitheatre Menara KL

Mek Mulong8-9 Mei 2010
8.30 malam
Panggung Eksperimen, ASWARA

Jualan sempena Keusahawan Senioleh para pelajar Ijazah Sarjana Muda
8-9 Mei 2010
2.00 petang - 8.00 malam
Dataran ASWARA



Aktiviti anjuran Fakulti Penulisan
Puisi Alam di Tanjung Rhu, Langkawi
28 April-2 Mei 2010
Diskusi Kumpulan Puisi 3 Penyair
dan Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara
Menulis Puisi Tun Abdul Razak
11 Mei 2010
10.00pg - 1.00tgh

di ASWARA


Nampaknya dari hujung April hingga awal Mei ini banyak betul persembahan Teater Tradisional yang akan berlangsung. Datanglah menyokong dan meningkatkan penghayatan anda pada seni budaya...chewah!
Apapun inilah salah satu peranan ASWARA dan pastinya melatih seramai mungkin generasi muda menghayati seni budaya tempatan.


ASWARA.....melangkah ke hadapan bersama tradisi...

Thursday, March 11, 2010

MAIN ZAPIN DRESS REHERSAL

Tahniah buat Fakulti Tari atas usaha dan komitmen yang tinggi di dalam menjayakan 'Main Zapin'. 3 hari persembahan (5-7 Mac) yang menyendatkan ruang panggung ET membuktikan tari tradisional mampu membawa masyarakat kontemporari ke panggung, namun semestinya dalam bentuk dan selera masa kini. Bagi saya walau apa pun wujud komen dan persepsi negatif atas usaha ini, semua itu adalah bersifat individu. Apa yang penting Fakulti Tari sebagai sebuah organisasi sudah menyajikan satu hidangan yang menyelerakan. Pandangan yang diberi, jika membina, harus diambil; jika sebaliknya...Lupakan sahaja. Bak kata Wonder Pets 'Apa yang penting?"...."KERJASAMA"!!! Tahniah!!!!









Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...