Ada dua teater yang tela dijayakan oleh para pelajar ASWARA dan bekas pelajar sepanjang februari yang lalu. Dua teater daripada bentuk dan aliran yang amat berbeza sekali. Sepatutnya saya turut terlibat di dalam salah satunya namun memandangkan saya mempunyai komitmen kepada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina maka terpaksalah saya menarik diri.
DON'T LOOK BACK 2-10 Februari 2007
Teater ini disebut sebagai site responsive theatre di mana ia merupakan sebuah teater bentuk baru yang mebawa penonton mengalami peristiwa dan situasi di dalam pementasan itu. Sebenarnya di Malaysia ia bukanlah sebuah persembahan yang tidak pernah dipentaskan kerana Krishen Jit (jika saya tidak silap) pernah mementaskan sebuah teater sebegini rupa di tahun 90an dengan berlatarkan sebuah rumah banglo lama. Apatah lagi di Eropah teater ini sudah dilihat sebagai sebuah teater yang sudah lama dipersembahkan. memangpun teater bentuk ini dikatakan berasal dari sebelah sana. Don't Look Back diarahkan oleh TristanSharps dari Dreamthinkspeak yang dibawakan oleh British Council sempena ulangtahun British Council ke 50 tahun di Malaysia. Jabatan Teater ASWARA telah diundang oleh pihak British Council untuk bekerjasama di dalam mementaskan teater ini, semua pelakon adalah dari kalangan para pelajar Tahun 1 Jabatan Teater dan beberapa orang pelajar Tahun 2 Teater dan seorang pelakon undang Thor Kar Hong. Saya sendiri pun tidak pasti apakah tujuan British Council (BC) memilih bentuk teater ini sebagai mengenang kegemilangan hubungan British Council di Malaysia? Apa yang saya rasakan adalah pementasan ini cuba menjual satu budaya yang bukan budaya kita dan mempergunakan seboleh mungkin tenaga kita. Mungkin para pelajar ASWARA dapat mengutip banyak pengalaman di dalam menjayakan pementasan ini, pengalaman melihat dan berinteraksi dengan profesional daripada luar negara. Namun apakah pengalan yang mereka kutip sebagai seorang aktor? Apakah development dan hubunganyang wujud di dalam pementasan ini? Adakah pelajar ASWARA mengutip dan boleh aplikasikannya di dalam pembelajaran mereka sedangkan mereka masih bertatih mengenal bentuk teater moden? Banyak juga yang boleh saya bertanya namun hakikatnya pengalaman itu hanya datang sekali mungkin tiada lagi pengalaman seumpama ini yang akan mereka kutip. Jadi kutip sajalah!
Photo : Extra Turn
BANGSAWAN RAJA LAKSMANA BENTAN 9-11 Februari 2007
Bangsawan ini diarahkan oleh Sharul Mizat Asaari dan dibantu oleh Juhara Ayub. Ia merupakan satu projek kerjasama di antara ASWARA dan JKKN. Di mana JKKN di bawah KEKKWA menghidupkan Bangsawan sepanjang tahun dan Panggung Bandaraya dijadikan Panggung Bangsawan. Pujian harus diberikan kepada pihak JKKN di atas usaha murni dan tahniah harus diberikan kepada mereka yang terlibat di pementasan ini khususnya ASWARA yang menjadi kumpulan yang membuka tirai. Pementasan Raja Laksamana Bentan dijayakan sepenuhnya oleh graduan dan bekas pelajar ASWARA. Apabila menyaksikan persembahan mereka saya rasa terharu kerana membayangkan betapa ASWARA yang dulunya ASK sebenarnya telah melahirkan ramai insan yang sedar tentang seni bangsawan biarpun ada di antara mereka gagal penganjiannya namun pengetahuan mereka tetap berbekas dan ditambah lagi persembahan ini seolah satu perhimpunan lepasan ASK sejak tahun 1994 sehingga 2006. Jadi kita dapat melihat perbezaan yang ketara daripada segi umur, perwatakan, pengetahuan dan reputasi mereka sendiri.
Menyentuh mengenai persembahan dan kualiti ia sebagai sebuah bangsawan, siapalah saya kerana saya sendiri memiliki pengetahuan dan pengalaman yang kecil mengenai bangsawan. Namun melalui pengamatan daripada bebarapa persembahan bangsawan sama ada ianya ditangani oleh orang baru ataupun tokoh bangsawan sendiri, maka saya ada beberapa perhitungan dan tahu di mana mahu meletakkan persembahan Laksamana Bentan ini. Bentan ditunjang oleh lakonan A.Aris sebagai Orang Muda dan Hanimah Samsuddin sebagai Seri Panggungnya (Kedua-duanya adalah lulusan Diploma Tari) menunjukkan kebolehan yang memikat setelah diteliti latar seni mereka. Aris yang dikenali sebagai koreografer muda memiliki pengetahuan lakonan bangsawan yang baik apabila diperhati daripada segi gesture, adap dan lenggok lantunan dialognya. Manakala Hanimah, dia memiliki pekerti yang sesuai untuk seorang puteri dan seimbang untuk seorang ibu (meyakinkan) namun beliau masih meiliki kelemahan daripada segi lenggok bahasannya dan penghayatannya, namun saya yakin jika diberi lebih masa Hanimah mempunyai kemampuan yang besar. Untuk Aris, saya melihat cara permainannya amat tersusun dan adakalanya seperti 'play save' dengan lakonannya. Bagai koreografi dia bagai menyusun atur lakonannya, tetapi ini tidaklah menafikan kebolehannya sebagai pelakon.
Bagaimana pula dengan lakonan dan arahan? Saya rasa lakonan yang lain-lain meyakinkan apatah lagi pemilihan Samoza sebagai Raja amat sesuai dengan fizikalnya. Zamzuriah, Zack Kool, Abu, Sherry dan yang lain-lain adakalanya tergelincir daripada cara lakon bangsawan namun ia masih boleh diterima. Apabila bercakap hal ini saya selalu 'reflect' dengan cara budak-budak ASWARA yang masih menuntut dan ketika belajarnya sering sahaja menunjukkan ketidak selesaan melakonkan cara bangsawan. Ia! Nyatanya lakonan bangsawan sedikit melo dan melankolik sifatnya, namun ia tidak akan terjadi sebegitu jika sifat dan semangatnya ada dalam perwatakan mereka, ini lebih serius apabila dibandingkan penghayatan mereka di dalam lakon makyung. Ada yang terus menjadi moden dan kontemporari sehingga hilang terus air makyungnya.
Saya rasa Eijat telah menangani Bentan dengan baik sekali, tidak ada babak yang kosong jiwanya. maksud saya, sering sahaja saya menonton bangsawan yang berbabak-babak tetapi ada babaknya tidak memberi signifikan. Bagi saya sepatutnya setiap babak itu ada binaannya dan itulah yang cuba dibuat oleh Eijat dan dia seperti menyusun sebab musabab untuk membawa kepada penyelesaian. Eijat ini yang saya kenal memang seorang yang introvert - tak mahu ke depan dan sering saya mengalah dan adakala orang kurang sedar kewujudannya sedang dia seorang pelakon, pengurus dan pengarah yang bagus. Atas kebolehannya itulah orang sering lupa memberi peluangnya sebagai pengarah atau pelakon kerana mahukan kebagusannya sebagai pengurus pentas. Cara arahan Eijat memang menampakkan jiwa orang muda dan buah tangan dari orang yang berilmu dalam teater. Kerana itu apabila babak-babak pertelingkahan Eijat menyuntik lenggok dan lagu lakonan moden tetapi masih berangka bangsawan (dalam lakonan Zamzuriah).
Sebenarnya dalam sebuah bangsawan itu, selain cerita dan lakonan seri panggung dan orang muda, kita selalu menunggu apakah pengisian extra turn. Saya yang berpeluang menonton persembahan pada malam ke 3, bernasib baik kerana dapat menonton persembahan extra turn oleh mereka yang memiliki bakat terpendam. siapa sangka Ismaliza, saifullah, Marlenny memiliki suara yang baik dan mengalunkan lagu dengan merdu sekali. Tarian yang dipimpin oleh Syed Mustaffa menarik dan penuh warna-warni ditambah lagi dengan mengiringi persembahan bagi lagu nyanyian Ismadian dan lagu duet 'Aku cari lelaki gagah' oleh Balkis dan Sherry....memang hura hura!
Inilah keistimewaan ASWARA, kita melatih membimbing dan menghasilkan insan seni yang berpengetahuan dan bersedia menempuh gelombang masa. Senang untuk berkarya kerana mereka sudah senang untuk bekerja sebab latar mereka sudah terisi dengan ilmu seni persembahan. Di ASWARA kita tidak bergantung sangat kepada 'outsource' kerana kita memiliki individu yang bersedia bekerja dan memiliki nostalgia yang panjang dengan sekolah ini....!
No comments:
Post a Comment