Terima kasih KOSMO, Sabtu 5 September, kerana menyiarkan makalah mengenai Angin Wayang anjuran PuTRA. Terima kasih buat wartawan Nabiha Mohd Yusof.
Keunikan
10 variasi suara watak
Oleh NABIHA MOHD. YUSOF
Foto SHIDDIEQIIN ZON
Suara rendah dan kasar perlu digunakan untuk memainkan watak gergasi atau jin. |
Kelihatan bayang-bayang Tuan Kecik Raden Arjuna lenyap dan mencederakan
pihak lawannya. Pertarungan tersebut begitu mendebarkan.
Penonton yang menyaksikan persembahan wayang kulit berjudul Anak Kera
Belira Sakti di ruang legar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara)
tidak sempat untuk mengerlipkan mata, kerana tidak mahu terlepas menyaksikan
babak-babak menarik. Menariknya, tok dalang iaitu orang yang mempersembahkan sesebuah cerita
wayang kulit bukanlah calang-calang orang yang berasal dari Kelantan.
Tok dalang bernama Eyo Hock Seng, 60, merupakan satu-satunya tok dalang
kaum Cina yang masih mengekalkan warisan negeri Che Siti Wan Kembang itu.
"Minat saya terhadap wayang kulit lahir sejak kecil lagi ketika
berumur sembilan tahun. Saya kerap menonton wayang-wayang kulit bersama
rakan-rakan," katanya yang lebih mesra dipanggil Pak Chu.
Sambil menghirup secawan teh, Pak Chu menceritakan, perjalanannya
menjadi seorang tok dalang tidak semudah yang disangka.
Adiguru Pak Nasir membantu Pak Chu mempersiapkan diri sebelum persembahan |
"Untuk menjadi tok dalang seseorang kena rajin belajar, banyak
bersabar dan minat yang mendalam terhadap wayang kulit. Saya nasihatkan ia
perlu bermula dari usia muda.
"Terdapat beberapa peringkat untuk menjadi tok dalang dan memakan
masa yang lama," ujarnya dalam loghat Kelantan.
Sebelum dia menjadi tok dalang, Pak Chu yang dikenali oleh masyarakat
Kelantan dengan nama Melayunya iaitu Syafie, membiasakan diri menghadiri
persembahan wayang kulit setiap kali jika berpeluang.
Dia meneliti persembahan pada malam itu sebelum pulang ke rumah dan
menghasilkan wayang kulit sendiri daripada kertas, dedaun dan kayu.
Kemudiannya, dia akan mempersembahkan kepada ahli keluarga.
Pak Chu memberanikan diri dan berbaik-baik dengan tok dalang terdahulu
dengan harapan supaya mereka dapat menerimanya sebagai anak murid.
Ketika dia berumur sembilan tahun, gurunya tidak membenarkan Pak Chu
mempelajari wayang kulit kerana masih terlalu muda. Jadi, guru beliau mengajarnya perkara asas wayang kulit iaitu
memahirkan diri bermain alat muzik tradisional. Selama 42 tahun memceburkan diri dalam bidang itu ia bukan jangka masa
yang pendek.
Beliau belajar bermain alat-alat muzik seperti serunai, gong, gendang,
geduk, kesi, gedombak dan canang selama lima tahun sebelum menjadi tok dalang
muda. Pak Chu memberitahu, minatnya tidak pernah dihalang oleh keluarganya
malah mereka lebih mendorong dan sanggup membelikan alat-alat muzik untuk dia
berlatih. Seni budaya seperti wayang kulit sebenarnya tiada jurang jantina,
bangsa mahu pun agama kerana ia boleh diminati oleh masyarakat umum.
Kamarul Baisah bertindak sebagai Dalang Muda pada malam itu |
Namun begitu, kaum wanita tidak dinasihatkan untuk menjadi tok dalang
kerana kurang sesuai. Hal ini kerana kebanyakan wanita tidak dapat menghasilkan
suara rendah.
"Wayang kulit bukan setakat pandai bermain dengan boneka itu
sahaja. Tok dalang perlu ada ilmu pengetahuan mengenai muzik di samping
mempunyai suara lantang," katanya yang pernah cuba melatih wanita menjadi
tok dalang tetapi gagal.
Hal ini kerana, tok dalang perlu mempunyai suara yang pelbagai
sekurang-kurangnya 10 variasi seperti tona rendah untuk memainkan watak lelaki. Selain tona, suara tok dalang juga perlu mempunyai intonasi berbeza
seperti tona rendah tetapi kuat dan kasar untuk memainkan watak gergasi atau
jin. Di samping itu, tok dalang yang bagus harus pandai improvasikan atau
mempelbagaikan jalan cerita wayang kulit supaya tampak lebih menarik.
Misalnya dalam cerita Anak Kera Belira Sakti, Pak Chu menyelitkan
elemen lawak jenaka dan mengurangkan sedikit kepekatan bahasa Kelantan supaya
difahami oleh penonton.
"Itu yang saya maksudkan, menjadi tok dalang bukanlah satu perkara
yang senang, masih banyak yang perlu dipelajari," selorohnya.
Alat muzik yang digunakan dalam wayang kulit ialah gong, serunai dan
gendang.
Angin Wayang Dalang Cina merupakan persembahan dan bengkel wayang kulit
bersama Pak Chu yang dianjurkan oleh Pusat Seni Pentas Tradisional (Putra)
Aswara.
'Angin' bermaksudkan jiwa seni Pak Chu dalam mempersembahkan
cerita-cerita wayang kulitnya kepada penonton. Kali ini, penontonnya adalah
para pelajar Aswara.
Wayang kulit merupakan satu bentuk teater tradisional yang menggunakan
prinsip pencahayaan dan bayang-bayang. Pak Chu membawakan kisah Anak Kera
Belira Sakti yang merupakan salah satu hikayat daripada Epik Ramayana.
Dalam cerita tersebut, terdapat tujuh babak yang dipersembahkan. Pada
babak pertama dimulakan dengan lima orang pengasuh yang telah diperintah oleh
raja Seri Rama untuk datang menghadapnya. Seri Rama gusar kerana anaknya, Tuan Kecik Raden Lakpeleman telah
hilang apatah lagi sayu melihat seorang lagi anaknya, Tuan Kecik Raden Arjuna
merindui adiknya. Tuan Kecik Raden Arjuna tidak lalu makan dan tidur kerana begitu sedih
melihat nasib menimpa adiknya. Oleh itu, Seri Rama memutuskan supaya
pengasuh-pengasuh itu menemani Tuan Kecik Raden Arjuna untuk mencari Tuan Kecik
Raden Lakpeleman. Dalam perjalanan mencari Tuan Kecik Raden Lakpeleman, mereka bertembung
dengan angkatan raja kerajaan Bendera Kuning yang mencari sesiapa dapat
menewaskan Bapa Gergasi Agong. Hal ini kerana Bapa Gergasi Agong telah menculik Puteri Cempaka Waling
dan sesiapa berjaya menyelamatkan tuan puteri, dialah yang bakal mengahwini
puteri itu. Tuan Kecik Raden Arjuna dengan sukarelanya menawarkan diri. Selepas
berdepan dengan Bapa Gergasi Agong, Tuan Kecik Raden Arjuna bertarung nyawa
membunuh gergasi itu. Akhirnya dia berjaya menewaskan gergasi menggunakan panah naga
bersakti. Dia membawa pulang tuan puteri untuk menghadap ayahandanya, Seri
Rama.
Sesi apresiasi para pelajar bersama Pak Chu |
Namun, Seri Rama begitu bengang kerana tujuan asal Tuan Kecik Raden
Arjuna untuk mencari adiknya telah menyimpang. Maka, berlakunya pertelingkahan
dalam keluarga tersebut. Dalam pada itu, salah seorang pengasuh dikenali sebagai Pak Dogol
mendapat berita bahawa Tuan Kecik Raden Lakpeleman diculik oleh Anak Kera
Belira Sakti. Anak Kera Belira Sakti mempunyai agenda jahat iaitu menculik seramai 40
anak-anak raja supaya dia mendapat semula kuasa dan ingin menghancurkan dunia.
Tanpa berlengahkan masa, Pak Dogol yang juga merupakan seorang pahlawan
bertindak memusnahkan Anak Kera Belira Sakti.
Walaupun kisah tersebut mempunyai elemen lawak jenaka seperti
penggunaan bahasa-bahasa asing seperti good morning dan sawadikap, jalan cerita
itu penuh mendebarkan.
Sementara itu, tok dalang muda di Aswara, Kamarul Baisah Hussin, 32,
mengatakan karier sebagai seorang tok dalang memang mencabar.
"Kita mungkin rasa dah bersedia tetapi hakikatnya tok guru yang
menilai persembahan kita mengatakan masih banyak yang perlu diperbaiki.
Terutama sekali dari segi vokal suara," katanya.
Terdapat banyak teknik-teknik yang perlu diterokai seperti penggubah
suara menggunakan lidah. Contohnya, jika kita menggulung lidah dan
meletakkannya atas lelangit, suara yang dihasilkan berbeza.
"Tiada manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan dan sebagai
tok dalang kadang-kadang akan tersasul. Jika perkara tersebut berlaku, kita
akan teruskan babak seterusnya atau menyelitkan lawak jenaka seperti yang Pak
Chu katakan, improvasi persembahan," jelasnya.
Sementara itu, salah seorang pelajar Aswara berasal dari Sabah, Jusalin
Osman (umur) begitu teruja menyaksikan persembahan wayang kulit itu.
"Ini pengalaman saya buat pertama kali dan ia sangat mengagumkan.
Saya suka babak-babak melucukan apabila pengasuh-pengasuh bertutur dalam bahasa
Inggeris.
"Ada juga babak yang tidak faham kerana penggunaan bahasa Kelantan
tetapi ia sangat menyeronokkan," katanya.
Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3l0fUOELe
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment