Jom Kita Jadi Geng

Thursday, October 3, 2013

MAKYUNG TAK DAYUS


Agak terlewat saya menulis mengenai persembahan Makyung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) ini. Persembahan yang telah pun berlangsung pada 20 September 2013 sahaja sempena DFP Seni Festival. Istimewanya persembahan ini kerana ia dijayakan oleh Kumpulan Makyung Kijang Mas dari Jabatan Kebudayaan Kesenian Negeri Kelantan di bawah bimbingan Puan Rohani (Isteri Allahyarham Saari Abdullah yang merupakan dari kumpulan Sri Temenggung). Buat pertama kali makyung dipentaskan selepas Badan Kesenian Petronas dibubarkan.

Oleh kerana persembahan makyung Raja Besar Ho Gading ini hanya berlangsung satu malam sahaja, maka ramai yang tidak mahu lepaskan peluang. Saya tentulah tidak mahu ketinggalan memandangkan sahabat saya, Rosnan Abd Rahman yang beraksi sebagai Pakyung. Rosnan yang sangat aktif di pentas kebelakangan ini berjaya mempopularkan kesenian ini, malah tidak dinafikan Rosnan telah berjaya menghimpun kelompok muda meminati makyung. Dewasa ini, Rosnan muncul sebagai pakyung lelaki tersohor.

Memasuki dewan persembahan, saya bersama rakan sekolah lama, pemilik blog Lady Windsor  berada di barisan belakang yang saya kira cukup untuk mendapat pemandangan yang baik. Di pentas tersergam pintu gerbang ukiran Melayu dengan sedikit 'emphasized' dari segi corak ukirannya. Ia nampak gah walaupun tidak mewakili mana-mana kerajaan Melayu. Dua kain panjang di kiri kanan gerbang itu direntang dan disangkutkan pada dua tiang berukir Pohon Beringin. Ada anak tangga di antara tiang gerbang dan di tepi kiri kanan tangga ada hisan pokok beringin. Simboliknya? Saya tidak tahu.Tapi saya kira ini dosa KBN yang memperkenalkan pohon beringin dalam persembahan repetoire tariannya pada tahun 1998 dan selepas itu merebak menjadi props sambutan dan hiasan pentas sehingga ramai menggunakan pohon beringin atas tujuan untuk mencantikkan bukan punya fungsi khusus.

Para pemuzik berada di satu aras lebih tinggi dari arena lakonan. Namun yang sedikit ralat, pemuzik berada di belakang pintu gerbang. Secara tradisi dan sepatutnya dalam mana-mana persembahan makyung, ensembel muzik adalah penggerak utama persembahan. Mereka juga jadi sebahagian kekaguman persembahan, kinestetik yang terlangsung sepanjang persembahan menjadi sebahagian tarikan. Apatah lagi antara ciri muzik dalam makyung ialah spontan. Jadi bila diletakkan di belakang gerbang dan suram cahayanya, saya anggap ensembel muzik hanyalah kumpulan pengiring.

Makyung bermula dengan persembahan Menghadap Rebab. Kali ini Menghadap Rebab tidak bermula dengan intro raja berkisah tapi terus dengan 'Bong Wei'. Mungkin mahu dipendekkan tempohnya tapi secara peribadi sya kurang syok sebab intro itu yang buat meremang bulu roma. Dari Menghadap Rebab hingga Pecah Cerita mengambil masa yang terlalu panjang, kami penonton yang faham bergelak ketawa dengan telatah dua peran yang bermain lawak. Tapi bagi penonton luar negara sudah beberapa kali berkalih duduk dan mengeluh. Bahasa tubuh mereka seperti kurang selesa dan tidak puas hati. Sampailah mereka bangun dan meninggalkan panggung sebelum cerita bermula. Ini sebenarnya masalah dalam persembahan makyung dewasa ini, ramai peran beraksi melampaui batas sehingga mencuri masa yang panjang. Ia merugikan kerana dialog-dialog mereka tidak membawa cerita. Sebagai sebuah persembahan di pentas kontemporari, pengarah harus mengawal aksi supaya ia tidak membazir. Makyung sebuah drama ia bukan lawak jenaka. Segmen panggil Peran sehingga Peran mengadap Raja bukan segmen lawak yang perlu dipanjang-panjangkan. kecualilah kalau makyung ini dipersembahkan tiga malam bersambung.

Namun begitu, tidaklah saya nafikan kedua-dua Peran pada malam itu baik lakonan mereka tapi hadkan lawak yang tidak perlu, pilih satu atau dua lawak dan kembali kepada cerita. Itu lebih baik. Pengulangan lawak dalam segmen panggil Peran bukan lagi kejutan dan jadi malang kalau ia jatuh muak. Jadi harus ada buah lawak yang baru, padat dan tidak berjela-jela. Peran harus merancang tidak boleh syok bila terima reaksi dari penonton. 



Kisah Raja Besar Ho Gading ini boleh jadi baik tapi malam itu hambar sekali. Kisah dengki khianat antara saudara boleh menjadi isu yang baik dalam masyarakat hari ini. Tetapi saya kira pengarah tidak menjual tema dalam cerita ini. Ia sekadar menonjolkan magik makyung sahaja. Sayangnya kisah perebutan kuasa antara adik-beradik menjadi sekadar plot kecil. Konflik berlaku apabila Raja Besar menilik mencari siapakah bakal menggantikan baginda. Hasil tilik bomoh raja, Si Bongsu adalah pengganti terbaik. Lalu menimbulkan kemarahan putera sulung dan menghasut adik-beradik yang lain untuk membunuh si bongsu. Rancangan membunuh putera bongsu dibuat dengan teliti tetapi kesilapannya, 6 beradik itu mencampak si bongsu ke dalam perigi. Mereka menganggap Bongsu mati di dalam telaga itu. Tuah nasib Bongsu, dia selamat dek seketul batu dan diselamatkan oleh seorang fakir dan anaknya yang kurang akal. Keramat yang ada pada Bongsu telah menukarkan kehidupan si fakir menjadi kaya. Sehingga muncul sebagai kuasa kecil di pinggir negeri Ho Gading. Kematian Bongsu diratapi isteri Raja Besar. Konflik kedua yang besar adalah apabila pertemuan Bongsu dengan Raja Besar Ho Gading tetapi kesannya tidak diserlahkan.

Pengarah Raja Besar Ho Gading gagal menggarap dengan teliti dan tidak jumpa titik tumpuan. Pengarah gagal menemui hal-hal besar di dalam cerita ini. Lebih dukacita apabila adanya propset dalam persembahan. Propset telaga saya anggap membazir. Kekaguman dalam makyung adalah improvisasi. DFP bukanlah pentas yang baik untuk teater dan sepatutnya pengarah menggunakan kekurangan itu untuk menunjukkan keistimewaan makyung dalam sisi tradisi. Buat apa ada perigi, ia patut dibuat dalam koreografi ataupun improvisasi. Tetapi ini bukanlah pertama kali berlaku, ramai pengarah makyung gagal menterjemah makyung dalam sifat tradisinya. Ramai yang gagal kerana menjadikan makyung sama seperti teater lain yang mewah dengan set dan propnya dan lebih malang lagi ada yang keliru antara cara lakonan makyung dengan bangsawan. 

Walau bagaimanapun, kumpulan makyung Kijang Mas telah mempersembahkan sebuah persembahan pada tahap yang baik, ia sudah memiliki sifat profesional dan standard yang memuaskan. Kualiti kostum dan tarian cukup baik. Muzik dan nyanyian saya anggap penyelamat persembahan. Tetapi lakonan masih dalam lingkungan amatur, untuk muncul sebagai kumpulan makyung profesional tiga elemen utama lakon-tari-muzik harus terbaik. Nyatanya lakonan khususnya enam beradik sangat amatur lakonan mereka. Kemunculan Rosnan adalah penyeri tetapi sampai bila Kijang Mas nak bergerak dengan Rosnan. Kena ingat Rosnan tidak mewakili kumpulan, dulu beliau bersama Istana Budaya dan apabila beliau tinggalkan kumpulan istana Budaya, apa jadi dengan kumpulan tersebut? Baca link ini. Jadi kumpulan Kijang Mas perlu mencari dan melatih pemainnya agar muncul seorang pakyung dalam kalangan mereka.

Baiklah itu saja entri saja kali ini. Jangan marah atau kecil hati dengan tulisan ini. Ini semua untuk pelestraian makyung.

1 comment:

Lady Windsor said...

Saya pun bergelak ketawa dengan tingkah laku Peran berdua itu, tapi kalau disaring betul-betul, pada pandangan saya..mereka ada mesej tersendiri yang boleh diambil iktibar oleh penonton. Cuma malam itu saya memilih untuk 'berhibur' berbanding sebelum ini 'membuat laporan' jika menonton makyung..

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...