Jom Kita Jadi Geng

Monday, October 14, 2013

RAYA HAJI DI KELANTAN TIDAK MERIAH!

Klass!!!! Tuanku sendiri yang sembelih
Sejak lebih 20 tahun menetap di Kuala Lumpur, bila tiba sahaja musim raya haji, statement yang selalu keluar oleh orang luar Kelantan ialah "...tapi di Kelantan, Raya Haji lagi meriah dari Raya Puasa." Bila tiap kali keluar statement itu, saya selalunya akan bagi satu jawapan yang agak political yang berbunyi "... meriahlah tapi raya puasa pun meriah cuma raya haji banyak rumah buat kenduri". Cuma soalan yang bermain dalam kepala saya, siapakah yang bagi idea pada orang yang bagi statement itu? Adakah dia pernah berada di Kelantan atau dia sudah lakukan survey di kalangan orang Kelantan dan mereka mengiyakan pernyataan itu?

Saya lahir dan dibesarkan di Pasir Mas, sebelum berkahwin memang setiap tahun saya beraya Haji di kampung. Saya pun tidak ada idea untuk berkata raya haji lagi meriah. Kenapa? Sebab memang cara dan semangat sambutannya berbeza sekali dengan raya puasa. Jika dulu masa kecik, raya puasa sangat dinanti dengan baju raya, kasut raya dan kuih rayanya. Setiap rumah macam tidak sabar mahu menyambutnya. Apatah lagi kami yang budak-budak oleh sebab teruja mahu beraya, mak bapak terpaksa sorokkan baju baru dek kerana setiap hari mahu tengok dan tunjukkan pada kawan. Berbeza dengan Raya Haji, seingat saya baju raya untuk raya haji adalah baju raya puasa. Tiada yang baru.

Mek saya tauke ketupat. Musim raya puasa dia takkan menang tangan membuat tempahan. Malah adakalanya tertinggal sembahyang sunat kerana mahu siapkan tempahan. Tapi raya haji tempahannya tidaklah sebanyak raya puasa. Begitulah juga bila kami berkunjung ke rumah jiran, hidangan di meja tiadalah biskut raya yang bermacam tapi sekadar ketupat palas atau nasi dagang ataupun bihun goreng. Tidak beria-ia macam hari raya puasa. Biasanya Raya haji cukup dua hari saja. Kunjung mengunjung kurang berlaku tapi lebih kepada menghadiri kenduri. Duit raya jarang diberi berbanding raya aidilfitri.

Jadi di mana meriahnya? Mungkin statement itu dibuat apabila perbandingan dibuat antara cara orang kelantan dengan negeri-negeri di Pantai Barat. Kalau perbandingan begitu, saya setujulah yang di Kelantan lagi meriah. Kenapa meriah? Jika di KL atau negeri pantai barat, biasanya korban dilakukan di masjid atau surau dan diagihkan kepada orang ramai. Jadi urusan pengagihan daging korban itu selesai di masjid bukannya di rumah. Kecualilah ada kenduri aqiqah. Selepas acara korban, ia seolah tamat di situ sambutan aidiladha. Tapi di Kelantan, korban banyak dilakukan secara persendirian iaitu korban dianjurkan oleh individu bukan melalui masjid. Banyak rumah akan buat kenduri sama ada aqiqah atau kenduri untuk bersedekah pada Raya kedua. Jadi raya haji masih berlangsung pada hari kedua dan ketiga bergantung kepada jamuan. Dalam satu kampung bukan satu dua rumah yang buat kenduri, banyak sekali lalu suasana kunjung mengunjung inilah yang bangkit kemeriahannya.

Macam-macam jenis masakan disediakan berasaskan daging - sup tulang,sup perut, daging goreng, dalca, gulai darat, gulai buku besar dan macam-macam lagi. Lauk-lauk itu di makan bersama nasi dan dihidang bersama masakan lain seperti agar-agar dan ayam. memang tidak saya nafikan, kami boleh mabuk daging sebab makan daging berlebihan dalam dua tiga hari itu.

Tambah meriah lagi, anak-anak Kelantan memang akan pulang beraya walaupun cutinya hanya dua hari. Jadi penuhlah bandar Pasir Mas dan bandar-bandar lain di Kelantan. Ini tambah lagi meriah berbanding negeri lain. Nilai kekeluargaan masih tinggi dan semangat beraya haji itu masih kuat di Kelantan berbanding di sebelah Pantai Barat. Di mana pengalaman saya masa di awal menetap di sebelah KL mendukacitakan. Sangat lesu dan muram. Tiada inisiatif untuk memeriahkannya.

2 comments:

Ija Rased said...

kl sepi..kampung sentiasa meriah dengan sanak saudara... selamat hari raya korban cik kem

STF said...

Baru saya faham

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...