Jom Kita Jadi Geng

Wednesday, April 25, 2007

HATI MALAYA: GEBANG: 1957-HATI MALAYA...

( Artikel asal berjudul - Gebang: 1957- Hati Malaya satu `tribute' kepada pejuang politik tanah air ini adalah sebuah catatan Oleh Roslen Fadzil roslen@bharian.com.my dalam Bi-Pop Berita Minggu 22 April 2007)



PEMBUATAN filem Melayu terus berjalan laju biarpun dari segi mutu penghasilan, ada yang masih lemah. Dari segi kuantiti, memang banyak filem tempatan sedang menunggu giliran tayangan sepanjang tahun ini dan akan berlarutan sehingga 2008. Ia memang petanda positif tetapi seperti yang pernah saya gebangkan sebelum ini, di setengah negeri dan pekan, panggung wayang pula tidak ada. Jadi, masalah ini perlu diatasi segera kerana kalau kita ada lebih banyak pawagam dan sinipleks, tentunya pulangan lebih lumayan akan diperoleh pembikin dan pengedar filem.Ketika menonton sebuah filem prekuel yang cukup disturbing, Hannibal Rising lakonan Gaspard Ulliel dan Gong Li, di Kuala Lumpur, minggu lalu, saya perhatikan trailer Waris Jari Hantu sudah muncul di pawagam.
Sekalipun tayangan umumnya hanya akan berlaku 31 Mei depan, promosi awal untuk filem thriller arahan Shuhaimi Baba ini sudah mula dilaksanakan.Kalau sebelum ini Shuhaimi berjaya menyelongkar kisah pontianak, kali ini pula dia cuba membongkar misteri ilmu saka datuk nenek harimau. Saya benar-benar berharap ngauman pak belang dalam Waris Jari Hantu akan mampu menggegar panggung kerana setakat ini, kesan bunyi Jangan Pandang Belakang adalah yang terbaik.
Dalam sibuk menunggu kemunculan Waris Jari Hantu, Shuhami terus berkurung dalam studio. Pengarah itu berkurung bukan kerana post-produksi Waris Jari Hantu, tetapi sedang ligat mempersiapkan proses suntingan untuk filem low-profile beliau, 1957 - Hati Malaya.Sehingga hari ini, tidak banyak diperkatakan mengenai filem lakonan Maya Karin, Ida Nerina, Sharifah Amani, Nasrizal Ngasri, Adlin Aman Ramlie, Iqram Dinzly, Kavita Sidhu, Liza Othman, Rusdi Ramli dan Nanu Baharuddin itu tetapi filem berkenaan cukup bermakna kepada pejuang kemerdekaan negara. Bajetnya boleh tahan kerana menelan kos tidak kurang daripada RM3.5 juta.Saya kira Shuhaimi tidak sempat hendak pukul canang menghebahkan 1957 - Hati Malaya kerana dia perlu menyiapkan filem terbabit dengan sepenuh fokus, teliti dan berhati-hati. Tentunya Shuhaimi sedang mengejar masa kerana filem menarik itu bakal ditayangkan menjelang September ini, sejurus selepas kita menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-50.

Ketika dihubungi Selasa lalu, Shuhaimi sempat meluangkan masa, bercerita mengenai filem berkenaan yang menonjolkan ramai tokoh politik terulung tanah air seperti Allahyarham Datuk Onn Jaafar, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Allahyarham Tun Sardon Zubir, Tun Tan Cheng Lock, Tun Tan Siew Sin, Datuk EEC Thuraisingam dan Tun VT Sambanthan. Selain itu, tokoh pemimpin British seperti Sir Malcolm MacDonald, Sir Harold MacMichael dan Sir Henry Gurney pun ada.
Saya difahamkan, sebelum mengarah filem itu, Shuhaimi membuat kajian kira-kira setahun termasuk merujuk kepada pengkaji serta penganalisis politik.Dia juga mengakui menghantar skrip filem itu kepada pihak Umno kerana 1957 - Hati Malaya sangat berkaitan dengan sejarah perjuangan Orang Melayu, tentangan terhadap Malayan Union yang akhirnya membawa kepada penubuhan Umno dan kemerdekaan Tanah Melayu. Sebagaimana yang kita tahu, Malayan Union yang diisytiharkan pada 1 April 1946 di King's House (kini Carcosa Seri Negara) adalah usaha pihak British yang mahu menghapuskan kedaulatan bangsa dan negara yang dibina sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.Pihak British juga sebenarnya berhasrat menguasai sumber ekonomi di sini, menjimatkan kos pentadbiran selain mengurangkan kuasa politik Melayu.Tentangan hebat dibangkitkan pemimpin tempatan ketika itu atas beberapa sebab. Antaranya, pihak British mengugut Raja-Raja Melayu yang menentang usul Malayan Union malah tidak diberi masa yang cukup untuk berunding dengan Majlis Mesyuarat Negeri. Di samping itu, Orang Melayu akan kehilangan status quo mereka sebagai pribumi dengan pemberian kerakyatan yang terlalu liberal kepada kaum pendatang.
"Asasnya jangka masa filem ini bertumpu pada 1946 hinggalah pada malam kita menyambut kemerdekaan pada 1957. Ia memaparkan mengenai cabaran yang dilalui dan pengorbanan yang dicurahkan bekas pemimpin negara. Mereka berani mempertahankan hak golongan pribumi dan mencurahkan bakti kepada rakyat dengan seikhlas hati serta membantu menaikkan taraf hidup golongan miskin."Filem ini bermula dengan cerita sekumpulan generasi masa kini yang mengimbas perjuangan datuk nenek mereka yang berusaha membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah."Selain fakta sejarah, saya juga menonjolkan watak-watak fictional lakonan Maya, Rusdi, Adlin dan Sharifah Amani," katanya Shuhaimi yang menggunakan khidmat kira-kira 300 pelakon tambahan.
Saya kagum kerana Shuhaimi tidak mempertaruhkan nama gah untuk memegang peranan penting iaitu Tunku Abdul Rahman dan Datuk Onn. Sebaliknya, masing-masing dilakonkan bakat baru, Mohd Kamarulzaman Taib (pensyarah di Akademi Seni Kebangsaan - ASK ) dan Zaefrul Nadzarine Nordin (pelakon teater).Apabila saya menyoal Shuhaimi apakah cabaran terbesar menghasilkan filem ini, dia berkata: "Keseluruhan filem ini sebenarnya mencabar. Bayangkan, dengan bajet yang terhad, saya perlu hasilkan sebuah filem yang besar, membabitkan ramai tokoh terkenal tanah air."Saya bersetuju dengan komen Shuhaimi itu kerana kalau di Hollywood, filem seumpamanya akan menelan kos yang berkali-kali ganda besarnya. Malah kalau di sana, jumlah bajet RM3.5 juta itu hanyalah mampu untuk membayar harga pelakon pembantu Kelas C.
Bagaimanapun, menerusi pengalaman, semangat dan kerjasama yang dihulurkan Kementerian Kebudayaan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), saya optimis Shuhaimi dan Pesona Pictures akan mampu menghadiahkan sebuah filem patriotik-kontemporari yang menarik lagi berkesan untuk renungan kita bersama.Bagi saya, usaha Shuhaimi dan Pesona Pictures menghasilkan filem seumpama itu haruslah diberikan sokongan kerana tidak semua pengarah kita berani menyahut cabaran dalam menyuntik semangat patriotisme ke lubuk jiwa masyarakat. Kita sudah mulai disogok dengan deretan filem hantu, puaka dan filem komersial sehingga kadangkala kita terlupa merenung kembali perkara yang lebih serius yakni perjuangan datuk nenek mahupun pemimpin kita sehingga makan dan pakai kita hari ini lebih daripada cukup.Kalau hendak memaparkan elemen patriotisme dalam filem pun, biarlah ia disuntik dengan cara yang cerdik, masuk akal dan boleh dibanggakan semua golongan, tidak kiralah daripada tukang sapu hinggalah pemimpin tertinggi negara.
Jumpa lagi minggu depan!

1 comment:

Fahmi Reza said...

kalau kamu suka filem sejarah macam "1957 Hati Malaya", kamu pasti enjoy filem pendek "Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka". Boleh ditonton secara percuma di youtube dan laman2 lain online. Ia menceritakan sejarah perjuangan kemerdekaan rakyat Malaya yang tak masuk dalam buku teks, yang sudah bermula 10 tahun sebelum merdeka!

10tahun.blogspot.com
10tahun.blip.tv

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...