Jom Kita Jadi Geng

Thursday, August 26, 2010

NASI KERABU DAN SAYA

Gambar hiasan 
Selamat berpuasa. Saya ni bukanlah jenis yang cerewet pasal memilih makanan tapi lidah ni akan menolak jika tak mengikut piawaian yang ditetapkan. Misalnya kalau kuihnya popia maka ia mestilah cukup jenis sayurannya, kulitnya tidak keras, sosnya tidak terlalu pedas, kalau ada udang atau ayam maka bonuslah penjual tu dapat. Hmmm inilah halnya bila saya singgah untuk membeli juadah berbuka di pasar Ramadhan, semenjak bermastautin di KL dari tahun 1991 maka pancaroba inilah yang dihadapi oleh saya. Masa mula-mula berpuasa di KL, agak janggal bagi saya apabila berbuka dengan kuih karipap apatah lagi kalau kuihnya donat. Apa nak buat selama 20 tahun membesar dan tidak keluar dari tanah kelahiran Pasir Mas, lidah ni dah sebati dan lali dengan kuih dan manisan semasa berbuka, bunga tanjung, nekbat, nonde, akok kedut dan bermacam lagilah jenis kuih manisan. Namun yang lebih bermasalah apabila berbuka dengan nasi kerabu dan yang dibeli tetapi tidak menepati citarasa langsung. Susahnya kerana saya ni anak peniaga nasi kerabu di Kampung Kubang Panjang Pasir Mas. Tiap-tiap pagi waktu bersekolah dahulu, itulah yang saya hadap sebagai sarapan. Jadi saya menguasai pemakanan nasi kerabu dan agak mahir dengan citarasa saya (pastinya disuburkan oleh air tangan Mek saya lah).
antara bahan-bahan asas (tidak termasuk pisang)
Bulan Ramadhan ni, memang ramai betul orang berminat untuk berniaga dan ramailah pula yang ingin menunjukkan bakat dengan tujuan untuk memenuhi kehendak rakyat Kelantan yang berhijrah ke KL selain daripada mengambil kesempatan ke atas kehendak melampau orang-orang Kelantan kepada makanan kebanggaan mereka. Yang menghampakan, sering sahaja saya terbeli nasi kerabu yang cantik di mata...warnanya membiru dengan pelbagai jenis lauk pauk yang mahu digandingkan dengan nasi kerabu. Namun hakikatnya indah khabar dari rupa, bila saya dapati ulamnya penuh dengan taugeh dan kobis (kobis tu bukan ulam itu sayur) dan dicampur juga dengan daun selom serta semestinya cik kalsom. Kecewa betul! Tambahan lagi kalau kerabunya kelapa lebih banyak daripada ikan manakala budunya hanyalah semata-mata budu. Tambah lebih mengecewakan nasi kerabu diletakkan sambal belacan! Belacan ok belacan! manalah tak menyirap darah keturunan Noriah bt Mat ini. Saya tak hairan kalau nasi kerabu makan bersama daging bakar, ikan goreng, ikan masin ke, telur masin ke tapi saya cukup tak berkenan kalau nasi kerabu diganding dengan gulai ayam atau ikan goreng pedas, ini memang pantang dan menyalahi undang-undang nasi kerabu! 
daun serai kayu
Mari saya ceritakan kenapa saya jadi sangat emosional pasal nasi kerabu ni. Seperti saya ceritakan di atas yang Mek saya peniaga nasi kerabu, arwah mula berniaga semasa saya di darjah 4. Dan ianya membanggakan kami kerana ramai yang memuji nasi kerabu Mek di mana kesedapannya terletak pada Tumisnya...lemak manis. Maknanya nasi kerabu arwah Mek ni popular menjangkaui kampung-kampung lain. Masa saya di darjah 5 dan 6 saya sering disuruh oleh arwah mek untuk ke pasar bagi membeli bahan-bahan untuk jualan esoknya. Jadi Arwah Mek akan minta saya tuliskan bahan-bahan yang nak dibeli dan saya tulis satu persatu bahan-bahan untuk setiap masakan. bahan-bahan untuk nasi kerabu, untuk nasi berlauk dan kadang kala untuk nasi dagang. Sekali dua memang pilihan saya tidak memenuhi apa yang Mek jangkakan (Ya lah budak darjah 5 pergi pasar besar Pasir Mas). Tapi dari situlah saya mula kenal jenis-jenis ikan, jenis-jenis ulam dan bagaimana mencari yang sesuai mengikut kemahuan Mek saya. Ingat lagi handle basikal saya penuh dengan plastik ghokghat bawa balik ke rumah...(tak terbayang oleh saya untuk harapkan anak bujang saya Aish ke pasar). Jarak antara rumah ke pasar (dulu pasar Pasir Mas adalah Bazaar sekarang) tidaklah jauh tapi jauhlah bagi saya yang berusia 11 tahun pada ketika itu. Masih saya ingat saya akan ulang ke gerai atau makcik-makcik yang menjual sayur...sehingga ada yang sudah cam dengan saya dan mereka akan berikan yang elok-elok. 
saja masukkan montage Rumah hehehe
Tapi bukan saya yang membantu Mek untuk menyediakan bahan untuk jualan, saya mestinya sibuk di padang dan halaman rumah bermain. Arwah Mek dan Wan akan bangun seawal 4 pagi untuk menyiapkan jualan, biasanya kakak-kakak saya yang akan membantu. Kalaupun saya disuruh hanyalah untuk kerja-kerja seperti menumbuk serai, menggoreng kelapa, kacau tumis maksudnya yang ringan-ringanlah. Pernah saya dimarah Mek sebab membiarkan santan mendidih...habis pecah minyak santan Mek. Dari situ saya belajar bagaimana menjaga santan Tumis dan menganggar semasak mana kelapa bila digoreng.
Kalau saudara dapat menyelam bagaimana akrabnya saya dan nasi kerabu, itulah sebabnya saya tidak boleh terima kalau mereka yang menjual nasi kerabu sekadar cukup syarat... ala kadar saja. Memang angin lah saya.  Memang saya tidak nafikan citarasa masing-masing, tapi kalau dah ulamnya kobis mana nak sedapnya nasi kerabu tuu. Sebab itulah kalau nak puaskan hati, saya dan adik beradik akan buat dan masak sendiri nasi kerabu. Tambah-tambah di bulan puasa ni...banyak yang menghambat, bukan sahaja keinginan nak makan nasi itu tapi ia turut terbawa dek nostalgia dan memori semasa di kampung. Maka bergotong royonglah kami memasak nasi kerabu!
Biasanya kami masak nasi kerabu putih sahaja, memang adakala Mek menjual nasi kerabu kuning atau hitam (actually biru lah). Masa tu seingat saya Mek akan minta saya kutip pucuk mengkudu (mesti kenal kan) untuk dijadikan pewarna nasi, biasanya apabila menggunakan daun mengkudu, nasi akan bertukar menjadi warna biru kelabu. Adakalanya Mek menggunakan Bunga Telang (yang warna purple/biru) untuk mewarnakan nasi tapi yang ini agak jarang sekali sebabnya agak susah untuk mendaptkan bunga ini (dulu ada kat rumah Pokli Mokcik Som). Maklumlah kita kat kampung jadi banyak dicari di dalam belukar atau rumah-rumah jiran sahaja.
mengkudu
bunga telang

Untuk Ulam, Mek akan pastkan jenis-jenis ulamnya. Tak perlu banyak tapi cukup rasanya. Ia mestilah daun kesom, kacang panjang, timun batang (yang kurang bijinya) dan daun serai kayu (daun samak: kenal ke? memang susah nak dapat sekarang) serta kadang kala dicampur juga bunga kantan. Kalau ada bunga kantan memang sedaplah.Biasanya untuk kerabu, Mek akan gaulkan isi ikan kembung bakar, serai, bawang, kelapa goreng, garam dan gula. Dan nasi kerabu mek tak kan tinggalkan sambal Tumis, biasanya santan tumis Mek pekat dan naik minyaknya. Ia hasil ramuan kepala santan, cili kering, serai, bawang, asam, gula melaka dan garam...hmmm sedap nii. Tak lengkap rasanya makan nasi kerabu tanpa Tumis. Sebab itulah kalau saya mencari nasi kerabu, saya cari gerai yang ada Tumis. Budunya pulak, jika tidak dimasak, Mek akan letakkan limau kerat lentang dan cili burung. Tapi jika dimasak maka budu itu dimasak bersama serai, bawang dan gula melaka..hmm sedap ni wangi betul.

etok (bukan nama makcik tu ya!)
Nasi kerabu akan berpalut jika makan bersama etok...tapi mana nak cari di KL ni. Kalau tidakpun makanlah dengan ikan selayang goreng atau telur masin atau solok lada atau bawang putih jeruk atau solok ikan atau daging atau ayam bakar. Hmm memang berpalut molek!!!


Hari Ahad yang lalu 22 September, saya dan abang saya, Dr. Ghazali berpakat untuk masak nasi kerabu bagi juadah berbuka. Jika nak dibanding, Ghazali lebih pakarlah berbanding saya sebabnya dia lebih banyak membantu Mek dulu. Saya lebih mahir ke pasar membeli bahan-bahannya.  Jadi pada Ahad yang lepas kami menikmati nasi kerabu, nasi ulam, ayam percik, pegedil ikan dan solok lada. Hmmm puas hati. Ayam percik tu kiranya untuk habuan anak-anaklah.

Saturday, July 31, 2010

RAI DAN MERAIKAN

Memang sudah lama saya tidak memasukkan cerita dan kisah-kisah di blog ni. Saya rasa antara punca utama adalah kealpaan melayan Facebook yang nyatanya sudah menjadi media paling sibuk mutakhir ini. Wahh bunyi macam serius lah kan. Memang FB dah jadi macam agenda utama dalam seharian, mencari dan menerima berita dan maklumat daripada kawan-kawan. Jadi kerja-kerja mengemaskini blog ini...seakan jadi secondary pulak. kesian lah pulak rasanya pada tapak blog ni. Tapi saya tidaklah melupakan laman yang saya sudah bertapak sejak tahun 2006 ni. Saya tahu ramai yang masih mendapatkan maklumat dan mengikuti perkembangan saya melalui laman ini. Terima kasih.
Sejak tidak mengemaskini blog ini, memang banyak sungguh keraian yang berlangsung. Macam-macam lah. Di pejabat, di rumah malah majlis-majlis bersama rakan lama pun berlangsung. Saya juga akui kesibukan dengan beberapa perubahan yang berlaku di pejabat turut menjejaskan mood saya untuk menulis di laman ini. Jika nak ditulis tentang pengalaman seni. apresiasi saya pada seni persembahan ...memang banyaklah nak dikongsi tapi malaslah...


mengambil foto adalah kerja yang saya gemari bila berada dalam sesuatu majlis. macam-macam cara untuk mendapat shot yang menarik. apatah lagi handphone pun sudah ada aplikasi kamera jadi ia memang amat memudahkan untuk kerja-kerja merakam moment-moment terindah. Terima kasihlah mereka yang jadi model ya.

Biasalah kalu buat keraian.. makan lah paling penting kalau tak macamana badan nak besar ya. Makanan kat atas ni adalah hidangan semasa meraikan majlis harijadi isteri saya dan anak saya yang disambut pada 13hb Mei dan 15hb mei yang lalu. Yang istimewanya Mama dan Abah turut turun dari Kepala Batas.

Inilah rakaman kami sekeluarga. Terima kasihlah pada keluarga abang saya Zulkifli dan adik saya Zawawi serta anak saudara saya Siti Nurhayati yang menjadi orang penting dalam memastikan majlis berlangsung. Majlis ni tidaklah dirancang dari awal...tiba-tiba sahaja terdetik nak meraikannya. Pukul 3.00petang saya decide... pukul 5.00petang semua berkumpul. Sayangnya abang saya Ghazali tidak dapat hadir.

Ini pulak makan-makan pada 12 Jun sempena Hishamyang turun ke KL masa cuti sekolah. Sempatlah dia sekeluarga melawat adik-beradik di sini dan beberapa tempat menarik termasuklah Putrajaya dan KLCC. Napok gayo tok daghat doh dio lepah ni hehehe. Gambar atas ni adalah empat orang sepupu dari kiri Umairah, Kalish, Faqihah dan Rhea.
Gambar atas ni pulak adalah foto di rumah abang saya Zulkifli. Saya dan famili membuat kejutan dengan membawa sebiji kek untuk meraikan harijadinya yang ke 43. Memang jarang sekali abang saya ni meraikan harijadinya. kesibukannya berniaga membuatkan dia lupa untuk diri sendiri. Apa salahnya sekali sekala meraikan saudara sendiri. Sebiji kek walau kecil besar maknanya dalam mengerat silaturrahim. Sambutan harijadinya pada 28 Mei lepas.
Gambar paling atas yang dua dari kiri adalah foto-foto semasa kami sekeluarga dan anak saudara, Along meraikan harijadi saya yang ke 39. Kami raikan di Delicious at Dua. Itupun seminggu selepas 15 Jun kerana semasa tarikh tersebut saya bertugas di Singapura sempena Communicasia 2010.
Memang membahagiakan bila kita dileklilingi mereka yang menyayangi. Hidup ini tidak akan meriah dan ceria jika kita tidak berusaha mewarnainya. Bahagia tidak akan hadir kalau kita duduk dan menunggu ianya berlaku...kita harus mencorak, mewarna dan mencipta keseronokkan itu. Terima kasih keluargaku, sahabatku dan anda sekelian yang menjadi sebahagian daripada warna dalam hidupku.

Friday, July 9, 2010

LAMA SUDAH

LAMA SUNGGUH TIDAK KE BENDANG,
HABISLAH PADI DILILIT KANGKUNG;
LAMA SUDAH TIDAK MENGARANG,
HABISLAH JARI KERAS KEKUNG.


***
DARI SELAMA KE INDERAGIRI,
DIGIGIT NYAMUK DI BUKIT PUTUS;
SUDAH LAMA TIDAK KE MARI,
BANYAK YANG GEMUK DARI YANG KURUS

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...