Jom Kita Jadi Geng

Wednesday, May 20, 2015

RAHIMIDIN ZAHARI: MENGENANG ORANG BAIK


Sudah genap seminggu dia pergi. Tapi masih terkenangkan sosok tubuh dan senyum lembut dia. Tuturnya yang tak meninggi dan adakala bahasanya berkias. Saya kenal namanya dah lama semenjak saya di tingkatan enam tapi mengenalinya secara peribadi baru beberapa tahun kebelakangan ini. Saya mengenali nama dan karyanya lewat sebuah antologi puisi Melarik Kasih, sahabat saya Shaidah Shafie yang memperkenalkan saya kepada sajak-sajaknya. Waktu itu aya baru berjinak-jinak menulis puisi. Namanya selalu sahaja sahaja baca di surat khabar. mekar namanya sebagai penulis muda.

Rupanya bila saya menyertai skim Pegawai Kebudayaan, dia sudah pun bergelar pegawai kebudayaan. Semasa itu dia bertugas di negeri dan saya di Panggung Negara. Saya tahu dia tapi dia tak kenal saya. Tidak mengapa sebab saya peminatnya. Tahun berganti tahun, peluang bertemu dan berbual dengan dia bila dia bertugas di Istana Budaya. Melalui rakan-rakan di Istana Budaya dapatlah saya melunturkan rasa segan untuk duduk dan bersembang dengan dia. Masa tu saya panggil dia Rahimi.

Jarang sekali saya bertemu dan berbual dengan dia walau selalu saja saya ada peluang begitu. Saya mendengar dna melihat karya drama pentasnya di Panggung Sari. Waktu saya di ASWARA, kerap dia bertandang di bilik Ridzuan Harun yang mengadap bilik saya. Tapi saya tak menyertai perbualan mereka sebab saya rasa itu sesi penyair. Sehinggalah saya tergerak menjemput dia mengajar di ASWARA untuk kursus wayang kulit. Berdasarkan latar pengalaman dan kebolehan beliau dalam seni budaya, memang dia sesuai untuk subjek itu. Dan dari situ kami acap bersembang dalam konteks hal ehwal kursus. Lama-lama saya berani untuk bertanya dan bersembang kepada perkara yang lebih luar, tentang makyung, main puteri dan apa sahaja. Seronok dan tenang selalu sembang kami. Kalau saya tanya kat mana ada main puetri dia akan bagi maklumat dan cerita orang itu ini yang boleh ditemui. Memang dia pun berada dalam lingkungan orang itu ini pun. Bezanya dia sudah jadi penyair besar.

Dia memang pengarang Majalah Pentas Istana. Di bawah kendaliannya lah Pentas menjadi sebuah rujukan yang berguna dan melebar bidang penulisannya. Dan saya sekali sekala mengulas teater di blog Ngadapseni ini. Saya anggap sekadar menulis secara suka-suka dan mentah. Sehingga lah saya sedar tulisan saya juga dibaca dia. Satu malam itu dia merapati saya dan menyapa "Kem bagi artikel satu, yang demo tulis dalam blog tu menarik. kembangkan sikit untuk artikel Pentas". Dalam hati saya "Allah, dia baca!". Saya balas "Abe Mi, buleh ko tulis lagu tu jah, tak berani lah nok tulis artikel... takut oghe pesoal". Dia jawab "buleh doh tu, hantar deh!". Saya senyum dan diam. Saya tak sahut ajakan dia. Sampai ke sudah artikel tak sampai ke mejanya.

Kali tu saya ke pejabatnya di IB. Saya minta tolong dia carikan artikel tulisan Pak Nakula. Dia ajak ke pejabatnya. Bila masuk ke biliknya saya bukan terkejut tapi terdiam. Buku-buku melambak dilantai dan di rak. Dia nampak kecil dan tersorok di balik buku-buku itu. Banyak lukisan tergantung dan disandarkan di dinding. Biliknya tidak berselerak sebab dia tahu mana nak capai buku dan bahan kerjanya. Cuma biliknya melambak. Dia kata ramai nak tolong kemas cuma dia segan nak bagi takut susah nak cari buku. Nampak sangat percintaan dia dengan buku-bukunya. Hari tu, dia fotokopi kan tulisan Pak Nakula untuk saya bukan sehelai dua tapi hampir 100 helai muka surat. Saya cuak rasa menghambakan penyair besar. Tapi itulah diri dia. Selepas selesai urusan itu, kami dalam satu kereta ke bengkel. Keretanya rosak. 

Saya tidak tahu nak mengulas tentang siapa dia. Nak mengungkap bagaimana rasa bertuah mengenali dia. Tapi saya tahu ramai yang mengasihi dan menyayanginya. Dalam berkawan dia meletakkan saya seperti adiknya. Dan figura abang dalam dirinya sangat kuat. 

Saya tidak rapat dan berkongsi banyak cerita dengan dia, 10 hari dia ditidurkan, airmata senang sekali jatuh tiap kali menatap titipan sahabat buatnya.

Al-Fatihah Abe Mi. Tenanglah perjalananmu. Yang tinggal cuma ingatan yang baik-baik saja.

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...