Poster rekaan Myra pelajar Tahun 1 Diploma Rekaan Komunikasi Visual |
Malam esok 13 Mei 2015 jam 8.30 malam di ASWARA akan bermain makyung. Main Makyung malm esok agak berlainan dengan persembahan makyung di sekitar Kuala Lumpur yang kebiasaannya kita tonton. Apatah lagi kalau mahu bandingkan persembahan Main Makyung dengan makyung di Istana Budaya atau pun di panggung-panggung proscenium yang gah. Main Makyung sangat sederhana. Ruang pentas yang kecil, hanya bersaiz sebuah bangsal dan dalam ruang itulah jong-jong gendang dan rebab serta pemain-pemain makyung akan beraksi. Tiada ruang belakang pentas ataupun ruang untuk pemain menunggu giliran. Semuanya dapat disaksikan oleh penonton.
Penonton hanya dipisahkan dalam jarak yang pendek. pemain mungkin akan melepasi sempadan bangsal dan penonton pula boleh melihat sekiranya pemain lupa atau menerima isyarat untuk beraksi. Semuanya berlangsung dalam bangsal itu. Dan lebih santai lagi, penonton boleh memilih cara bagaimana mereka selesa untuk menonton, mahu bersila, berdiri, duduk-duduk di pangkin atau duduk sambil menikmati kopi panas dan makan burger. Main Makyung merelakan ruang penonton milik penonton asalkan tidak mengganggu penonton yang lain.
Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) adalah sebuah jabatan baharu di bawah ASWARA. Sebuah jabatan yang menumpukan kepada usaha melestarikan seni tradisi. Mungkin akan bertanya apakah bezanya dengan persembahan makyung oleh pelajar-pelajar ASWARA sebelum ini? Bezanya ialah, PuTRA membawa tokoh dan pemain yang berpengalaman dalam bidangnya, mereka bermain dalam ruang dan sedekat mungkin mengekalkan permainannya. Atas pengalaman mereka jugalah maka tiada skrip, latihan ataupun hal-hal bersifat produksi teater seperti hari ini, para pemain akan bertemu pada petangnya, berbincang cerita dan pecah kerja dan malamnya mereka akan bermain makyung. No Rehearsal ya! Saya sangat teruja.
Pada malam esok PuTRA menjemput dua pemain makyung dari Kampung gabus To'Uban Pasir Mas, pasangan suami-isteri Pak Wan Midin dan Che Nisah. Mereka akan bermain dengan orang-orang ASWARA. Che Mat Jusoh dari USM pun ada. Satu kolaborasi yang menarik.
Dengar khabar ramai juga orang-orang lama makyung yang ada di Kuala Lumpur akan menyertai persembahan. Pendek kata, Main Makyung akan jadi satu ruang persegar angin.
Mari lah tengok. Percuma sahaja.
No comments:
Post a Comment