Jom Kita Jadi Geng

Wednesday, March 12, 2008

PILIHANRAYA : INI SATU SUARA





Malaysia sudah bergerak ke satu arah yang berbeza, Pilihanraya 2008 memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia telah berubah pemikiran dan pandangan mereka tentang Malaysia. Kecintaan mereka kepada negara ini bukan sekadar melihat keharmonian tetapi menjangkaui satu pemanduan kepimpinan,kebebasan memberi pendapat, kebebasan mendapat maklumat dan bermacam lagi keinginan yang lama terbelenggu.
Bila keputusan pilihanraya menunjukkan Barisan Nasional gagal mencapai 2/3 di Parlimen, ia menimbulkan sedikit kegusaran kepada segolongan rakyat dan mereka merasakan rakyat Malaysia sudah tidak memikirkan kesentosaan, rela melihat negara ini goyah dan tidak bersyukur kepada kepimpinan yang menerajui negara sejak 50 tahun dulu.

Saya pun jadi bingung dengan pandangan itu. Saya berasakan bahawa Malaysia kini sudah berada di satu tangga yang berbeza, kita sudah lama tinggalkan ketakutan kepada anasir komunis, itu cukup menakutkan. Sebenarnya musuh kita ada dalam diri . ia menguasai hati dan jiwa sehingga membuatkan kita tidak mahu menganjak diri kerana selesa, kita takut menempuh satu fasa lain yang menguji kekuatan perpaduan dan kestabilan hidup kita.
Saya percaya, setiap orang yang memberi suara memilih adalah bertanggungjawab , tidak ada niat untuk melihat Malaysia kacau bilau dan berada di kancah kemiskinan atau melarat. Semua orang berhak memberi sumbangan kepada negara ini.
Kita sudahpun bersuara dan Malaysia akur dengan suara majoriti, pemerintah mula menyingkap kesilapan dan kelemahan mereka serta mencari ramuan yang boleh memulih kepercayaan rakyat kepada mereka. Saya amat berharap sikap sembunyi habuk bawah tikar perlu dihapuskan, sikap mengampu dan melobi diri untuk menjadi pemimpin patut dihentikan, sikap menyapu bersih segala kuasa dan kekayaan untuk anak beranak memang kena disisihkan. Rakyat bukan bodoh, walau media utama menutup kecurangan ini namun dunia global sudah menyinggah dan membongkar kepincangan malah menambahkan kekecewaan rakyat. Kenapa kita harus jadi takut dengan bayang-bayang, kenapa kita tidak akui saya kelemahan diri dan jangan salahguna kepercayaan orang pada kita.
SUDAH 50 TAHUN DRAMA INI,
RAMAI BENAR PELAKONNYA,
SEORANG DUA SAHAJA YANG MENYENTUH HATI,
USAHLAH JADI PELAKON
KALAU UNTUK JADI PEROSAK!

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...