Semalam saya menghadiri majlis Penyerahan Tugas Menteri KEKKWA kepeda Menteri baru Datuk Mohamad Shafie Apdal. Saya bertindak sebagai pengacara, sebenarnya moment ini telah saya lalui dan ini adalah kali ketiga. Dan seperti kebiasaannya di kementerian ini, kita menunggu sahaja apakah wawasan menteri dan ke mana nak dibawa kementerian ini. Dalam ulasan saya semasa majlis penyerahan tugas semalam, sebagai mewakili majlis melahirkan rasa terima kasih di atas budi dan bakti Dr. Rais dan berharap kejayaan dan sejarah-sejarah baru akan terlakar di bawah menteri yang baru.
Untuk Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim
mudah mudahan,
cahaya sampai ke pintu,
seri sampai ke muka,
tuah mengikut sepanjang jalan.
Selamat datang diucapkan buat Datuk Mohd Shafie dan seperti mana mereka yang pernah memayungi kami,
yang akan menjadi tempat kami meminta petua,
tempat kami bergantung tuah,
tempat kusut diselesaikan,
tempat keruh dijernihkan.
SELAMAT BERTUGAS.












Bila keputusan pilihanraya menunjukkan Barisan Nasional gagal mencapai 2/3 di Parlimen, ia menimbulkan sedikit kegusaran kepada segolongan rakyat dan mereka merasakan rakyat Malaysia sudah tidak memikirkan kesentosaan, rela melihat negara ini goyah dan tidak bersyukur kepada kepimpinan yang menerajui negara sejak 50 tahun dulu.
Saya pun jadi bingung dengan pandangan itu. Saya berasakan bahawa Malaysia kini sudah berada di satu tangga yang berbeza, kita sudah lama tinggalkan ketakutan kepada anasir komunis, itu cukup menakutkan. Sebenarnya musuh kita ada dalam diri . ia menguasai hati dan jiwa sehingga membuatkan kita tidak mahu menganjak diri kerana selesa, kita takut menempuh satu fasa lain yang menguji kekuatan perpaduan dan kestabilan hidup kita.
Saya percaya, setiap orang yang memberi suara memilih adalah bertanggungjawab , tidak ada niat untuk melihat Malaysia kacau bilau dan berada di kancah kemiskinan atau melarat. Semua orang berhak memberi sumbangan kepada negara ini.
Kita sudahpun bersuara dan Malaysia akur dengan suara majoriti, pemerintah mula menyingkap kesilapan dan kelemahan mereka serta mencari ramuan yang boleh memulih kepercayaan rakyat kepada mereka. Saya amat berharap sikap sembunyi habuk bawah tikar perlu dihapuskan, sikap mengampu dan melobi diri untuk menjadi pemimpin patut dihentikan, sikap menyapu bersih segala kuasa dan kekayaan untuk anak beranak memang kena disisihkan. Rakyat bukan bodoh, walau media utama menutup kecurangan ini namun dunia global sudah menyinggah dan membongkar kepincangan malah menambahkan kekecewaan rakyat. Kenapa kita harus jadi takut dengan bayang-bayang, kenapa kita tidak akui saya kelemahan diri dan jangan salahguna kepercayaan orang pada kita.


