Artikel ini ditulis oleh Shazryn Faizal dan disiarkan dalam The Rakyat Post. Terima kasih atas sokongan.
Selasa 25 Ogs, 2015
‘Angin Wayang’ tampilkan tok dalang Cina ulung
Menerusi program Gema Seni Tradisional anjuran Pusat Seni Pentas
Tradisional (PuTRA), Akademi Seni dan Warisan Negara (Aswara), Kuala Lumpur,
persembahan 'Angin Wayang' yang akan diterajui oleh Tok Dalang Pakchu akan
diadakan secara percuma di Dataran Aswara bermula pukul 8.30 malam ini. - Foto
Aswara
KUALA LUMPUR, 25 Ogos:
Dek kerana minat yang cukup mendalam terhadap seni budaya Melayu sejak
berusia sembilan tahun lagi telah mendorong Eyo Hock Seng untuk terus
mendekatkan diri dengan kesenian tradisional terutama wayang kulit.
Baginya, wayang kulit memiliki kesenian yang cukup indah dan telah
berjaya memikat hatinya sehingga dia berusaha untuk mempelajarinya walaupun dia
sedar dia bukanlah orang Melayu.
Namun, kata Hock Seng atau lebih dikenali sebagai Pakchu di
tanah kelahirannya di Kelantan, itu bukanlah satu masalah kerana minat terhadap
seni dan budaya tidak pernah mengenal erti agama, bangsa mahupun latar
belakang.
Malah, ibu bapanya sendiri tidak pernah menghalang minatnya itu dan
sanggup membelikan alat tradisional persembahan wayang kulit untuk Pakchu agar
dia dapat terus mendekatkan diri dengan kesenian itu.
“Saya dibesarkan di persekitaran yang semuanya adalah orang Melayu.
Jadi, secara tidak langsung ia telah mendedahkan saya kepada seni dan budaya di
Kelantan terutama wayang kulit.
“Sehingga saya sanggup belajar untuk mengukir patung wayang kulit seawal
sembilan tahun daripada daun Medang. Semakin saya meningkat usia, minat itu
terus bercambah sehingga saya berusia 14 tahun apabila ketika itu saya mula
mempelajari muzik tradisional di bawah didikan Hashim Isa atau Pakcik Asin,”
kata Pakchu kepada The Rakyat Post sewaktu dihubungi,
baru-baru ini.
Menyambung bicaranya, Pakchu yang turut dipanggil dengan nama Melayu,
Syafie itu sempat berkongsi pengalamannya bagaimana dia sanggup bersusah-payah
untuk menonton persembahan wayang kulit yang diketuai oleh tok dalang ternama
seperti Karim Parido dan Dollah Baju Merah.
Bukan itu sahaja, seandainya dia mendapat perkhabaran tentang mana-mana
persembahan wayang kulit di Kelantan, dia akan pastikan untuk tidak ketinggalan
menontonnya.
Eyo Hock Seng atau lebih dikenali sebagai Pakchu merupakan satu-satunya
tok dalang berbangsa Cina yang terus aktif membuat persembahan wayang kulit di
Kelantan. – Foto Aswara
“Daripada setiap persembahan yang saya tonton, saya akan membuat
pemerhatian dan belajar secara perlahan-lahan kerana setiap persembahan yang
saya tonton itu adalah proses pembelajaran.
“Semua itu telah membuka mata dan minda saya untuk mengetahui lebih
lanjut tentang dalang, patung, kelir dan muzik yang merupakan nadi utama dalam
setiap persembahan wayang kulit,” kata Pakchu yang dilahirkan pada tahun 1955
ini panjang lebar.
Hasil daripada minatnya itu jugalah, Pakchu berjaya menubuhkan kumpulan
wayang kulitnya sendiri yang diberi nama Sri Campuran sejak tahun 1977 dan
terus aktif sehingga ke hari ini.
Menariknya, kumpulan itu turut dianggotai seramai 28 orang yang terdiri
daripada kaum Melayu, Cina dan Siam yang membolehkan mereka membuat persembahan
wayang kulit dan dikir barat.
Untuk itu, secara eksklusifnya, Pakchu akan membuat persembahan Angin
Wayang di bawah program Gema Seni Tradisional anjuran Pusat Seni
Pentas Tradisional (PuTRA), Akademi Seni dan Warisan Negara (Aswara), Kuala
Lumpur.
Bakal mementaskan cerita yang berjudul Anak Kera Belira Sakti,
pastinya ini adalah peluang terbaik buat pencinta seni dan budaya tradisional untuk
menikmati sebuah persembahan yang akan memberikan pengalaman baharu khususnya
kepada warga kota.
Dipersembahkan secara percuma, pastikan anda mengambil peluang ini
dengan mengunjungi Dataran Aswara pukul 8.30 malam ini untuk melihat sendiri
bagaimana seorang tok dalang berbangsa Cina mempersembahkan persembahan wayang
kulit yang kini semakin jauh dipinggirkan dan dilupakan terutama generasi
baharu.
Tags: Angin Wayang, Aswara, Eyo Hock Seng, tok dalang, tradisional, wayang kulit
Read more: http://bm.therakyatpost.com/buzz/2015/08/25/angin-wayang-tampilkan-tok-dalang-cina-ulung/#ixzz3jn9r923H
No comments:
Post a Comment