Jom Kita Jadi Geng

Sunday, September 15, 2013

PEMERKASAAN BUMIPUTERA: NAJIB PUJUK BALIK



Berkobar-kobar semangat Melayu saya bila mendengar ucapan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pagi tadi di Universiti Teknologi MARA. Lokasi perhimpunan dan ucapan penuh sejarah itu dilakukan di lokasi yang cukup signifikan. Sebuah mercu tanda keilmuan bumiputera. Institusi yang telah melahirkan ramai sekali ahli korporat, profesional, cendikiawan dan cerdik pandai Melayu. Bila sebut bumiputera dengan sendirinya kita keturunan Melayu sebagai majoriti dan selebihnya adalah keturunan lain yang berbagai agama dan budaya.

Sepanjang ucapan PM tadi memang cukup bersemangat dan meletakkan kita berasa sangat bertuah berada di bumi Malaysia ini. Sebagaimana kata-kata beliau di hujung ucapan:

"Maka, berpasak dan bertunjang dengan Majlis Ekonomi Bumiputera ini, kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera, usahlah berbimbang-bimbang dan bergundah-gundah, kerana, selagi ada bulan dan bintang, selagi hayat dikandung badan, survival Melayu dan Bumiputera tetap menjadi keutamaan dan pelita perjuangan kita sampai bila-bila".

kata beliau lagi sebelum itu:

"Certainly! We are doing what is fair, we are doing what is right, and we are doing what is equitable. Maknanya, kita tidak mempunyai apa-apa nawaitu, atau sekelumit pun rasa prejudis terhadap bangsa-bangsa lain".

kata-kata itu berasaskan kepada pengisytiharan yang dibuat oleh sembilan Raja-Raja Melayu:
"Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain" .

Apa perasaan dan keyakinan anda bila mendengar ucapan begitu, adakah keyakinan kita meningkat kepada kerajaan Barisan Nasional? Apakah masih sangsi dan was-was dengan akur janji PM itu? Apakah anda kurang selesa dengan frasa yang digunakan oleh PM di dalam mengagihkan kekayaan negara?

Di awal ucapan PM, seperti biasa beliau banyak menabur gula-gula, al maklumlah kesemua yang hadir mendengar dan pastinya disedari beliau bahawa ucapannya disiar oleh media perdana maka saya kira gula-gula yang ditabur sudah diambil-kira banyak sudut. Yang saya masih tertanya-tanya ialah kenapa sesi sebegini diadakan? Kenapa diadakan selepas pilihanraya dan bukan sebelum? Kenapa ia diadakan selepas ramai orang Melayu rasa kurang senang dengan 1Malaysia? Adakah sesi ini dibuat kesan sokongan masyarakat Cina yang menolak calon-calon BN? Apakah PM mula sedar kesilapan lalu ekoran terlebih bagi gula-gula demi memancing mereka? Saya kira, peristiwa PSY di Pulau Pinang akan dikenang PM sampai bila-bila. Jadi adakah kesan begitu maka PM menyatakan begini:

"Setelah selesai Pilihanraya Umum yang lalu, kita mendengar pelbagai rungutan, pelbagai keluh-kesah serta ketidakpuasan hati, yang dibangkitkan oleh masyarakat Bumiputera, tentang nasib, masa depan dan halatuju, bersama anak-anak cucu mereka, di bumi tanah tumpah darah kita.

Sememangnya, kita mendengar rintihan tuan-tuan dan puan-puan. Kita juga, menyelami denyut nadi serta resah gulana tuan-tuan dan puan-puan......, Yes... indeed!!!... we hear you... we hear you loud and clear"


Saya rasa PM terlalu bersungguh-sungguh menyatakan keperihatinan kerajaan kepada bumiputera. Terlalu bersungguh-sungguh. Kalau dalam lakonan ia memberi tafsiran lain juga. Tapi saya yakin PM benar-benar sedar bahawa selama ini bumiputeralah yang menegakkan Barisan Nasional.

Masa banyak sekali iklan macam ini, saya pun rasa jauh hati
Jadi dalam sesi pagi tadi, PM telah menyentuh banyak perkara dan sempat memberi habuan kepada UiTM pun. Untunglah UiTM! Di awal ucapan PM pun beliau merintis perjalanan awal negara Malaysia. Bagaimana negara ini dibangunkan atas kesedaran untuk membangkitkan kaum bumiputera khususnya di dalam persaingan ekonomi. Peranan Tun Razak sangat disanjung. Kalau tiada usul polisi DEB, saya kira Malaysia tiada langsung polisi yang membawa kepada Rancangan Malaysia ke-10 seperti hari ini. RMK yang masih dilaksanakan  dan terus mendahulukan kepentingan bumiputera. 

Cuma saya kurang gemar bila PM mengukur pembangunan negara kita melalui purata isi rumah, purata pendapatan, purata pemilikan aset dan apa sahaja diambil kira secara purata. Pengiraan secara purata ini sangat tidak tepat dan ia hanyalah andaian sahaja. Bagaimana PM boleh lega dan selesa menyebut purata pendapatan bulanan isi rumah pada tahun 2012 adalah RM 4,457.00. Apakah itu tepat untuk menggambarkan realiti kehidupan bumiputera? Kita harus terima realiti bahawa wujud jurang pendapatan dalam masyarakat. Kalau purata itu mengambil kira pendapatan 1000 orang, antara RM500 ke RM30,000 sebulan dan diperolehi purata pendapatan bulanan, saya kira ia sangat-sangat tidak adil. Jika pembangunan ini berpandukan cara begitu yang diamalkan oleh negara-negara maju dunia, saya anggap memang patutlah kerajaan merasa OK bila harga rumah teres kini mencecah RM400,000. 

Saya percaya Malaysia harus mencari cara lain untuk mengukur taraf kehidupan rakyatnya. Macam-macam cara pun ada selain ikut cara Bank Dunia yang pakai GDP (Gross Domestic Product), GNP (Gross National Product) dan GNI (Gross National Income). Dulu kaedah Human Development Index (HDI) pernah diguna dan kaedah seperti Gini coefficient dan Gini Index pun ada. Harap PM sangat teliti bila melihat kualiti kehidupan rakyat dan jangan sekadar berpandukan purata semata-mata. Kasihanlah para petani, peniaga kecil dan orang-orang kampung yang bekerja kais pagi makan pagi yang selamanya akan tertinggal dan dianggap mendapat pendapatan bulanan RM4,457 walhal RM10 belum tentu sehari.

Walau bagaimana pun hasrat yang diaju oleh PM haruslah kita sambut baik. Memang bukan kerja senang untuk membahagiakan semua orang. Jadi bila PM lancarkan 5 strategi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, eloklah kita menyambutnya dnegan baik kerana saya yakin semua sudut sudah diteliti. Berikut 5 stategi:

1. MENDAYA MODAL INSAN BUMIPUTERA
     fokus kepada meningkatkan keupayaan bumiputera di dalam pelbagai cabang khususnya akademik dan kemahiran. Strategi ini cuba membuka ruang dan meluaskan peluang bumiputera yang tidak bagus akademik, yang menganggur, yang bekerja tapi kelayakan rendah dan menambah lebih ramai profesional.

2. MEMANTAPKAN PEMILIKAN EKUITI BUMIPUTERA DALAM SEKTOR KORPORAT
     Fokus pada skim baru Amanah Saham Bumiputera 2 di mana pemegangan saham ditingkat sehingga 10 billion unit dan skim baru disebut Skim jejak jaya Bumiputera bagi membimbing bumiputera dalam perniagaan.

3. MEMPERKUKUH PEMILIKAN ASET BUKAN KEWANGAN BUMIPUTERA
    Yang ini saya tidak nampak berkesan selagi kerajaan tidak tegas dan kawal harga aset rumah. Kekecewaan kerajaan pada peratusan pemilikan aset peribadi bumiputera tidak bermakna apa-apa selagi dominasi pemaju dalam menetapkan harga pasaran. Berapa ramai kakitangan awam mampu membeli rumah berharga RM400K dengan pendapatan RM3000 sebulan? Di bandar khususnya KL memang ramai bumiputera tetapi rata-rata bekerja dengan pendapatan bulanan yang rendah bukannya RM4,000 ke atas. Jadi silaplah kalau kerajaan resah melihat peratusan rendah di kalangan bumiputera berbanding kaum lain.

PR1MA yang wujud tidak membantu semua hanya yang layak sahaja. Berapa lamakah kerajaan melalui PR1MA mampu menangani keperluan bumiputera? Jenis kediaman juga mempengaruhi gejala sosial. Kita bukan Singapura yang tidak ada tanah, tapi tanah kita sangat mahal untuk peribumi. Jadi tanah hanya untuk yang kaya sahaja. hari ini rumah teres cecah RM400K, entah berapakah nilai untuk generasi anak kita?  

Tapi kata PM, bumiputera khususnya orang Islam tidak pandai urus aset memang saya percaya dan ia membawa akibat harga aset jadi rendah.

Bang, pandanglah kami dan lihat kami dari dekat bukan
dari jauh. 
4. MEMPERHEBAT KEUSAHAWANAN DAN PERNIAGAAN BUMIPUTERA
    Strategi ini benar-benar memperkasakan bumiputera di mana GLC dan GLIC diberi tanggungjawab untuk memajukan syarikat-syarikat bumiputera untuk berkembang. Berapa banyak? Siapa? Jangan bunyi sedap tapi pelaksanaannya hanya menguntungkan para kapitalis. Memang di peringkat PM sudah OK tapi yang di bawah, apakah benar-benar terlaksana maksudnya nanti? PM menjaminkan bahawa pengagihan kepada vendor dan pelaksanaan beberapa projek mega yang menguntungkan bumiputera termasuklahempat projek tambahan yang telah dikenalpasti untuk menyertai program ini ialah Projek Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, MATRADE Exhibition Centre dan Program Pembangunan Institut Penyelidikan Getah Sungai Buloh.

Saya kira perhatian kerajaan juga harus dipertingkatkan kepada usahawan kecil dan sederhana di luar bandar di mana mereka inilah golongan bumiputera yang cubah meningkatkan taraf hidup. Baguslah peruntukan untuk Amanah Ikhtiar ditingkatkan. Kesedaran dan kemahiran perlu diperlengkapkan kepada para belia dan orang-orang luar bandar. Di kampung saya masih ada yang bekerja untuk RM10 sehari.

5. MEMANTAPKAN EKOSISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN
kata PM "Unit-Unit Pembangunan Bumiputera atau UPB akan diwujudkan di semua kementerian. Unit Pembangunan Bumiputera ini bertanggungjawab bagi merangka cadangan dan melaksana inisiatif Agenda Bumiputera".


Yang menariknya, sesi pagi tadi menyungguhkan lagi bahawa Malaysia memang sangat bagus dalam mencipta akronim. Hari ini PM telah memperkenalkan SUPERB yang bermaksud Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera. SUPERB menyediakan geran sehingga RM500 ribu untuk usahawan baru yang punya idea kreatif dan inovatif yang dilihat berpotensi di masa hadapan. tapi perlukah SUPERB? Tidak adakah satu akronim Melayu sesuai dengan pemerkasaan Bumiputera?


1 comment:

Lady Windsor said...

Chekem,
sejak angkat kaki dari kilang kertas, saya tak baca paper dah..

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...