Jom Kita Jadi Geng

Friday, September 27, 2013

SITI NURHALIZA HEBAT MENYUMPIT


Konsert Lentera Timur Siti Nurhaliza telah pun melabuhkan tirainya pada selasa lalu. Menutup dengan seribu kemanisan. Sesuai dengan nama konsert 'Lentera Timur', Siti berada di kelas tertinggi dalam seni hiburan tanahair dan menyerlahkan cahaya seni yang penuh berbudaya. Konsert yang bermula 20 - 23 September 2013. dan pada 24 September adalah persembahan untuk para jemputan sahaja yang dihadiri oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan. Malam itu, walaupun bunyinya satu malam yang formal namun hiruk pikuk penonton tidak dapat dibendung. Para penonton enggan melepaskan keindahan malam itu begitu sahaja. Saya bertuah kerana berpeluang menontonnya sebanyak 2 kali. Apa yang berbeza? Tiada langsung! Cukup lemak manis masam masin nya malam itu. Suara Siti tidak kedengaran lemahnya. Usik gurau di kedua-dua malam itu memang ada bezanya, namun ia cukup untuk menyegarkan sebuah persembahan. Siti tidak berlebih kurang, sedap mata melihat sedap juga telinga mendengar.

Konsert dimulai dengan prolog makyung. Siti tampil berduet bersama Rosnan Rahman mempersembahkan lagu Sedayung Pakyung. Ada gerak tari dalam beberapa kirat. Manis sekali prolog itu walaupun untuk diri saya, mahu lebih lagi mendengar Siti mengalunkan lagu makyung. Mungkin faktor masa lalu lagu itu dipilih tapi ia kena dengan fungsinya sebelum pecah persembahan. Lentera Timur benar-benar dibuka dengan dua lagu dari album Sanggar Mustika iaitu Nirmala dan Kurik Kundi. Nirmala sebuah lagu yang cukup dramatik, tanpa tarian pun ia cukup mengujakan. Pengkisahan dalam lagu itu dengan form yang berbagai benar-benar menguji vokal penyanyi dan Siti membuka Lentera Timur bagai sebuah ceritera. Tatkala bila Siti alunkan "Diciptakan seorang insan, lembut hati bak.. redup pandangan.. pabila berkata seluruh alam menyaksikan kesyahduan...". Ramai mengaitkan bait itu dengan menggambarkan peribadi Siti. Saya tidak menafikannya walaupun isi lirik itu ada kisah yang lain. Dari Nirmala ia bersambung dengan Kurik Kundi, sebuah lagu yang boleh kita istilahkan 'the tapestry of Malaysia'. Sebuah lagu yang menghimpun pelbagai irama dari negeri-negeri di Malaysia. Memang ia lagu untuk tarian dan lagu untuk mengukur ketajaman penyanyi menguasai setiap loghat. Pada lagu pembukaan ini pun, Siti sudah menyuntik unsur kekaguman dengan menyumpit belon. Dan nyata ia tepat pada sasaran. Sisi maskulin yang ditunjukkan ini sangat bagus daripada sudut feminisme.
Pak Ngah selayaknya digelar Bapa Irama Malaysia. Dosa Pak Ngah
adalah kerana menghasilkan lagu Melayu yang hebat. Gabungan dua insan ini
mencetus fenomena Irama Malaysia. Bila tengok mereka berdua, saya boleh senyum
sendiri bila mengenang kisah Siti dan Pak Ngah di studio.
Sepanjang malam persembahan, interaksi Siti dengan penonton sangat baik. Jika di awal kemunculan Siti sebagai penyanyi banyak sekali teguran negatif. Saya kira pengalaman mendewasakan Siti, usikan dan jeritan penonton disambut dengan selamba dan mengena. Siti tidak hilang perkataan, memanglah ada yang diskripkan tetapi reaksi spontannya cukup baik. Banyak segmen dalam 2 jam persembahan itu. Ia bukanlah sebuah perjalanan kesenian dan tiada konsep yang jelas. Dari lagu pertama ke lagu penutup, semuanya tindih bertindih dan timpa bertimpa. Segmen tidak dipecah berdasarkan irama atau aliran pengaruh tetapi ia lebih kepada fungsi irama tradisional. Lalu Lentera Timur digarap dengan segmen Orang Merajuk, Muzikal, Dikir Timur, Patriotik, Tribute to Pak Ngah, Bersama artis undangan dan beberapa lagi. Cubaan membawa lagu pop dalam iringan tradisional cukup baik, lagu Biarlah Rahsia berupa hits Siti yang berhantu. Saya bayangkan hanya gamelan sahaja mengiringinya. Biar kita dengar vokal dan bunyi dentingan tembaga sahaja. Tapi ia dipersembahkan dengan iringan fusion kontemporari sehingga modern rythm section lebih dominan daripada bunyi alat tradisional. Hampa jugalah tapi OK sebab lagu itu sangat sedap. Dan saya harus puji barisan Backup Vocal yang cukup mantap.

Jadi Lentera Timur telah memberi satu kesimpulan bahawa Siti Nurhaliza adalah penyanyi tiada tolok bandingannya di ketika ini. Penguasaannya dalam lagu-lagu melayu dan irama Malaysia sangat hebat dan setara kehebatannya dalam irama pop. Bagaimana bagusnya Siti mengalunkan Bukan Cinta Biasa dan Purnama Merindu begitulah bagusnya Siti menyampaikan Patah Hati dan Cindai. Saya tidak boleh memilih lagu mana paling sedap pada malam itu, telinga saya serap semuanya. Tapi aksi dan suntikan pengarahan persembahan yang cukup melekat dan terbawa hingga ke rumah adalah keajaiban Dato' M.Daud Kilau menukar 10 baju dalam 2 lagu, Aksi minimal tapi mengancam oleh 4 Dara dan kemunculan Isey Salak Madu dalam segmen Dikir Timur. Mereka ini menyeri Lentera Timur dan melengkapkan kesedapan malam itu.
Thanks Budiey. 
Kekurangan? Mana mungkin tidak ada. Saya kira pengarah muzik berlebihan dalam gubahannya. Saya bayangkan Orkestra Tradisional Kebangsaan hanya menggunakan alat muzik tradisional sahaja tapi silap, kebergantungan pada instrument moden masih kuat. Adakah alat muzik tradisional tidak cukup untuk melantun iramanya? Saya tidak percaya. Segmen Sedayung Pakyung dan Dikir Barat elok saja bunyinya. Jadi di masa akan datang ada baiknya Orkestra Tradisional menumpukan pada alat tradisional sahaja. Gitar bass, drum atau piano mungkin eloknya kita cuba lupakan. Satu lagi, elemen fusion hadir dalam sebahagian besar lagu sehingga dalam lagu Damak pun ada elemen cina. 

Sinografi, saya kira multimedia dan propset tidak banyak membantu dan tidak mewakili apa-apa konsep. Tidak semacam menonton konsert M.Nasir yang lalu. Masakan separuh persembahan struktur sangkar tergantung begitu sahaja. Penggunaan bangku, tangga rumah adalah sangat literal dan memerlukan banyak keluar masuk. Eloknya dihasilkan sebuah pentas yang boleh mewakili banyak segmen memandangkan Lentera Timur bukanlah persembahan realis semata-mata. 
M.Daud Kilau contoh performer yang hebat. Dua kali saya menonton,
dua kali saya boleh terkekek-kekek ketawa. Siapa designer baju dia?
Tarian, saya kira ia beri impak pada persembahn. Tambah lagi pada segmen-segmen muzikal dan 3 lagu terakhir termasuk Popaleh Weh. Cuma saya tercari-cari tarian tradisional sepanjang malam itu. Semuanya kreasi baru. Gerak tari dalam Sedayung Pakyung bukanlah tarian, ia lebih kepada gerak improvisasi pakyung. Hampir kesemua lagu tariannya kreasi baru. Banyak gerak-gerak kontemporari sehingga sepanjang malam itu saya lihat tariannya sama sahaja, yang berbeza adalah rentaknya. Sayanglah Lentera Timur adalah konsert tradisional. Koreografer harus merancang mana lagu dan segmen yang perlu tonjolkan seni tari asli.  Apapun Artistana Istana Budaya hebat dan kostumnya menarik.

Saya mahu tutup entry ini dengan ucapan beribu-ribu Tahniah kepada Siti Nurhaliza Production dan Istana Budaya. Bukan senang usaha mengangkat seni budaya dalam arus globalisasi ini. Waktu Irama Malaysia sekadar mengisi radio Klasik Nasional, kedua-dua pihak berani mengambil inisiatif menyegarkan kembali irama yang pernah menjadi fenomena di dekad lalu. Saya percaya mereka yang hadir sangat menghargai keindahan lagu-lagu Melayu, mengagumi kehebatan Siti Nurhaliza dan berbangga dengan keunikan irama Malaysia. Saya sangat berharap gelombang yang di bawa Siti ini membawa kepada kebangkitan semula irama Malaysia.

1 comment:

Lady Windsor said...

m daud kilau tu legend tau chekem. saya sentiasa ingat dia kalau berposing mesti gaya melekat kat dinding..ekekeke

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...