Jom Kita Jadi Geng

Sunday, July 26, 2009

MENGENANG YASMIN AHMAD


Saya baru sahaja menerima berita ini...YASMIN AHMAD telah kembali ke Rahmatullah. Saya tidak pasti berita benar atau tidak. Namun saya mendoakan agar beliau sejahtera walau di mana dan bagaimana dia berada. Saya bukanlah peminat fanatik Yasmin Ahmad namun kehadiran beliau ke dalam industri seni tanahair begitu dirasai. Bermula dengan Rabun sebuah filem untuk cereka TV disusuli dengan SEPET yang menggegarkan industri, disambung dengan GUBRA dan MUKHSIN, terbaru TALENTIME. MUALAF sedang menunggu giliran untuk tayangan.


Pandangan dan pemikiran nya mengenai kisah-kisah masyarakat Malaysia jelas dan meletakkan karyanya sebagai karya tentang Malaysia sebenarnya. Filemnya tidak memaparkan sebuah cita-cita yang terawang-awang. beliau bercerita dalam romantis dan menyentuh. Isunya ringan namun berat sebenarnya. Bagaimana orang Melayu mahu menolak realiti bahawa cinta gadis melayu pada pemuda cina penjual vcd haram? bagaimana pula kisah bilal yang menyentuh ajning atau berjiran dengan pelacur? macam-macam cerita dan persoalan yang dilontarkan beliau dalam filemnya. Ramai yang protes dan menolak secara membuta tuli dan ramai juga yang menampi-nampinya. Filem SEPET betul-betul meletakkan pembikin filem Melayu arus perdana untuk bercermin diri melihat hakikat sebenar apa yang mereka perkatakan. Filem bermesej? Filem bermoral? mendidik khalayak? dan macam-macam lagi namun hakikatnya mereka tidak mampu bercerita dengan baik.


Yasmin melihat kehidupan Melayu dan masyarakat cina dan india secara artistik. budaya dan kepercayaan bukanlah halangan untuk membeza banding keuniversalan sifat dan sikap manusia. satu titik yang menemukan antara manusia...cinta. Cinta menjadi persoalan penting dalam karyanya. Lihat sahaja dalam sepet...gubra..malah cinta yang terlahir dalam mukhsin. Bila menonton filemnya saya pun jadi lupa kepada filem yang penuh dengan CGI...fiksyen..dan letupan letusan...aksi dan apa saja...saya anggap itu semua filem bermodal yang tiada modal kreatif. contentnya sangat cetek.
Mengapa di Facebook dan di blog hangat bercerita tentang tragedi yang melanda Yasmin Ahmad? kerana kita merasa kehadirannya. Jika dia telah pergi....AL-FATIHAH

Saturday, July 18, 2009

DUA TEATER FITRAH NOORDIN HASSAN

Dah berbulan tak update. Memang rasa hilang sesuatu dalam hidup. Desakan abang saya di Osaka dan rakan saya Mr. Salim Maldern membuatkan saya duduk dan menulis entri ini. Sejak tak menulis entri banyak sungguh liku dan aktiviti yang saya lalui sama ada yang saya gemar ataupun yang memang kena buat.
Jun dan Julai ni ada dua pementasan teater karya Dato' Noordin Hassan dengan konsep teater fitrahnya, saya berpeluang menonton. Mana Setanggi arahan Zaifri Husin di Istana Budaya dan Intan Yang Tercanai arahan A.Wahab Hamzah di Dewan Bahasa dan Pustaka. Menonton kedua-duanya memang memberi persepsi dan pengamatan yang berbeza. Mana Setanggi, saya lihat menekankan kepada aspek fizikal dengan rekaan set yang literal dan gaya lakon yang bercaampur aduk antara stylized dan biasa-biasa. Saya kagum dengan kesan teknikal dan keindahan seni rekanya. Teksnya yang berat hilang dalam kelonggaran penterjemahan oleh lakonan. Akhirnya saya tak temui Juda dalam diri Tony Eusoff, saya nampak Shaharudin Thamby mengambil alih lakonan di tambah dengan pilihan lakonan stylized oleh Rudy de Luna dan Fateh. Kelihatan dan kedengaran hebat lakonannya tetapi saya rasakan pemahaman pada teksnya terapung-apung. Ini mungkin membuatkan Zaifri memilih menumpukan kepada paparan visual dan fizikal.

Intan yang Tercanai, saya menemani abang joe malam tu, ramai VIP termasuklah Dato' Noordin pun turut hadir. Saat jejak ke dewan yang punya sejarah kepada negara itu, ia mengagumkan saya. Sebuah dewan (seperti dewan sekolah) tetapi telah ditransformasikan menjadi sebuat teater arena. saat melangkah itu terdetik rasa syahdu bila melihat warna putih kesucian. Pujian harus saya beri kepada sinografernya, Hamzah Tahir. Inilah yang mengukur kehebatan seorang pengarah seni dan sedalam mana ia memahami teks yang dikerjakan. Cerita Intan yang Tercanai agak mudah berbanding Mana setanggi, kisah seorang mualaf yang ke Mekah mencari kawan/kekasihnya Engku Intan yang hilang semasa tragedi Terowong Muasem tahun 1990. Seperti mana naskhah cikgu noordin yang lain, beliau menggerakkan cerita dengan naration oleh watak-watak dan merujuk peristiwa dan tauladan yang seumpama sebagai renungan. Mudah ceritanya dan penuh Islamik. Saya puji lakonan Mardiana Alwi, bakat baru kelahiran ASWARA, lakonan Juhara dan Zizi tidak perlulah saya ulas kebagusannya. Kostum, geraktari, muzik dan lakonan terlihat kesatuannya. Itulah Teater Fitrah. Mendengar lagu Intan Yang Tercanai ciptaan Hafiz Askiak betul betul meruntun dan melekap di telinga. Saya suka dan salut pada karya beliau yang ini! Saya sempat bisikkan pada Cikgu Noordin "yang ini saya lebih rasa fitrahnya".
Buat Cikgu Noordin Hassan, seperti magis naskhahnya pada saya. Sewaktu menyiapkan Tesis untuk Sarjana Muda 15 tahun lalu, jatuh cinta saya pada karyanya tidak pernah surut dan sentiasa mekar. dari Bukan lalang di tiup angin sehingga Intan Yang Tercanai, ia bagai melengkapi keseluruhan idea dan falsafah Teater Fitrahnya. Sebagaimana tajuk tesis saya Teater Fitrah: Noordin Hassan Mengukuh Identiti.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...