Saya betul-betul mengenali Allahyarham dengan duduk bersembang berjam-jam mendengar beliau bercerita kisah-kisah silamnya sehinggalah impiannya. melihat beliau berceloteh seperti menonton sebuah drama. beliau memberi imaginasi yang cukup tinggi kepada saya yang mendengar. Asyik sungguh. Saya yang dahulu mendengar kisah dan peel perangainya dari orang-orang yang pernah bekerja dengannya membuatkan saya kurang gemar dengan ketokohannya. Namun prejudis saya itu terhakis sama sekali bila saya mula mendampinginya, kata orang tak kenal maka tak cinta. Saya sebenarnya jatuh cinta dengan Allahyarham.
Ya Allah, tuhan saja yang tahu betapa beruntungnya saya, yang dahulu hanya mendangar dan membaca kisah beliau. Semasa di UM saya mengkaji sumbangan beliau dalam perkembangan drama dan teater moden Malaysia. Akhirnya saya duduk semeja dan memandang, memeluk dan mendengar beliau berceloteh. Asyik masyuk saya jadinya.
Peluang itu saya peroleh, semasa saya mengendalikan bengkel di ASWARA di mana Fakulti Teater menjemput beliau untuk berbicara tentang teater di hadapan para pelajar teater ASWARA pada 1-2 april 2008 yang lalu. masa tu saya lihat, pelajar semacam tidak tahu bagaimana nak menghargai seorang tokoh di hadapan mereka. Tatkala beliau sedang berbicara pelajar lebih senang berbaring atau melayan game dan sms.
Macam-macam perasaan semasa mendengar ceritanya sari zaman kecilnya ke zaman Jepun hingga kisah-kisahnya di USA dan perjuangannya dengan teater. kecewa beliau pada birokrasi pada politik pada salah guna kuasa. Satu kekesalan beliau yang jelas diluahkan kepada saya ialah mengenai pementasan teater 'Keris'. Allahyarham melahirkan rasa tidak dihargai dan anugerah seniman negara yang diterimanya hanyalah satu mainan orang birokrasi. katanya "kau bayangkan kamarul, Keris tu diarah dan ditulis oleh saya seniman negara dan senirekanya oleh Dato' Syed Jamal seniman negara juga... bagaimana 2 seniman negara ini berkarya tetapi tidak dipandang oleh Istana Budaya malah campakkan kami ke DBP. kalau begitu jangan ada seniman negara kalau kementerian yang bagi tapi mereka yang tak menghargainya". Tapi nadanya tidak keras...tenang saja namun gelodak dalam dadanya menggoncang gemuruh saya.
Oktober lalu semasa pementasan Muzika Tun Razak di ASWARA, saya terpandang beliau... saya sapanya dan saya kata "apa pun dato' saya nak peluk dato'..nanti kita jumpa'. kami berpeluk dan itulah detik pertemuan terakhir kami.
AL-FATIHAH BUAT ALLAHYARHAM DATO SYED ALWI SEMOGA ROHNYA DITEMPATKAN DI KALANGAN ORANG YANG BERIMAN. AMIN.