Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, November 25, 2008

FAUZIAH NAWI


Setiba kami di Stor Teater DBP, ada sebilangan penonton yang sudah menunggu. Suasana agak santai di mana Stefani sengaja meletak atur beberapa bangku di hadapan panggung. Saya suka cara ini kerana ia memberi satu rasa santai, ditambah ada jualan makanan dan minuman panas.
Secara jujurnya, saya agak kurang berkesempatan menonton teater-teater oleh STEFANI, ada sahaja halangan nya. Seingat saya yang pernah saya tonton adalah Dari Bintang ke Bintang dan Opera Ayu Cendana. Tidak ada rasa jelik menonton 2 persembahan itu malah semasa menonton dari Bintang ke Bintang saya cukup asyik dengan melodi gamelan dan alunan lagu-lagunya apatah lagi bila puisi-puisi Usman Awang diteaterkan.
Malam tadi, bila ada peluang menonton Cinta Julia, saya jadi suka sangat kerana dapat peluang dan beroleh masa menonton Fauziah Nawi di pentas setelah sekian lamanya. Saya tiada langsung pengalaman bekerja dengan kak Yah, tetapi mengagumi Fauziah Nawi sebagai pelakon bukan setahun dua ini tetapi ia bagai satu sejarah yang panjang. Saya mula jatuh hati pada lakonannya sewaktu usia saya 9 atau 10 tahun. Rasanya bila saya menonton beliau dalam filem Bintang Pujaan. Wataknya taklah besar dalam filem tu tapi impaknya sebagai pelakon cukup kuat. Masa tu saya dah kata... kenapa dia ni tak jadi heroin? Dan rasanya saya tidak jemu melihat dia di layar atau di pentas... lihat sahaja wataknya dalam Sayang Salmah...Norish dah jadi macam pasu bunga dalam filem tu dek kerana Fauziah Nawi.
Memang adakala kita lihat Fauziah nawi macam tipikal... main watak mak mak mak atau watak menangis menangis menangis tambah tambah lagi kebelakangan ini, bila aje hari raya adalah cerita lakonannya...sediiiih je lah. memang betul ia jadi typecast tapi adakah dia lakonkannya dengan gagal, nyatanya dia tidak pernah gagal. Anehnya, kita jadi begitu pesimis bila selalu sahaja melihat seseorang pelakon yang asyik mengulang watak dan sampai ketika kita dah tak mampu lagi nak melayan lakonannya. Berbeza dengan pelakon seperti Fauziah Nawi, biar wataknya sama tapi mereka memberikan dimensi lain dalam lakonannya. Ini membuatkan kita tak jemu. Mereka macam magnet yang menarik.
Berbalik pada monolog Cinta Julia, awalnya memang saya mula membaca watak-watak dan cerita yang muncul dalam naskhah itu. Tetapi lama-kelamaan semua itu dah tak penting bagi saya, fikiran saya macam dijolok dipulas dan dikuis-kuis supaya lupakan soal kisah Cinta Julia. Saya macam berperang dalam hati. Kotak fikir saya duk mencari apa sebenarnya keistimewaan Cinta Julia ini sehinggakan mata macam tak mahu berkelip dan badan tak mahu berkalih. Di pertengahan cerita, sewaktu kisah Julia mempersoalkan kerja ibunya sebagai penari joget saya mula hanyut bertemu apa yang sebenarnya yang saya lihat... Bodoh! Saya terpesona dengan Fauziah Nawi!
Dia saya lihat macam gadis, saya lihat macam ibu, macam perempuan seksi, perempuan gagah, teguh, ajaib dan macam-macam. Saya membaca dan menampi-nampi. Saya mula membeza banding dengan pelakon yang ada hari ni... saya benci budak muda sekarang yang dah syok jadi bintang, saya benci pada pelakon yang gila nak publisiti, saya benci pada pelakon yang tak tahupun apa yang dia cakap, saya benci pelakon yang gila datang malam anugerah dan gila tayang badan, saya benci pelakon yang macam clown muka mereka, saya benci saya benci saya benci. Itu semua bermain semasa Cinta Julia berlangsung. Bodoh betul! Kenapa saya lari dari niat asal saya niiii...
Akhirnya saya temu jawapan... Inilah dosa Fauziah Nawi. Di mana dia peroleh tenaga itu semua? Anda yang membaca entri ini, saya cadangkan pergilah menonton, tidak rugi... ketika kita menonton sebenarnya kita sedang menonton seorang lagenda.
CINTA JULIA DI STOR DBP SEHINGGA 2 DIS 2008.

4 comments:

ryann said...

terpana dengan entri saudara ini. terima kasih datang tonton.

D'Rimba said...

Buatla lagi cakap kat Fauziah Nawi. Saya amat mengagumi dia sebagai pelakon amat berkesan. Masih tersimpan di ingatan lakonan berkesan dia seperti mengutip nasi yang terjatuh di lantai makan balik, aduhai ya Allah masa tu.......Jadi orang tiada penglihatan.......macam-macam lagila memang cukup berkesan dan tiada tandingan. Saya suka semua lakonan dia dalam semua cerita Rashid Sibir arah dan tebitkan.

Unknown said...

Saya akui lakonan Fauziah Nawi dalam Bintang Pujaan amat baik...tapi saya lebih gemar akan lakonan yang ditonjolkan oleh Rubiah Suparman dalam filem tu. Babak lakonannya sedikit tapi impaknya sangat signifikan. Cara-cara dia melontarkan dialog sungguh berkarakter. Satu-persatu patah perkataan disebut jelas. Babak dia mengejek dan 'membasuh' Sharifah Aini dalam filem itu memang terbaik. Sewajarnya dia menang anugerah untuk watak itu.

P.S.: Pelik saya apabila Seniwati Saadiah dan Ogy Ahmad Daud mempertikaikan kemenangan Rubiah Suparman di FFM2.

chekem mirza said...

Nampaknya tuan Unknown banyak pengetahuan dalam perkembahan seni filem. Saya tidak tahun pun ada pertikaian tersebut

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...