Jom Kita Jadi Geng

Wednesday, October 16, 2013

KESAH KASIH MAT KILAU DAN MEK MUNAH

dari kiri Mek Munah, Mat Kilau, Mat Kelantan dan Raja Ibrahim Tan Kechik
Jangan kata saya mengarut bila tajuk entri kali ini begitu. Tapi maklumat ini saya peroleh waktu belek-belek koleksi majalah lama pak mertua. Al-maklumlah bosan menunggu hari raya haji. Jadi saya pun beleklah jilid MASTIKa tahun 1970. Helai ke helai sampailah pada Mastika keluaran April. Mata saya tertumpu pada tajuk artikel tulisan Ishak Hj. Muhammad. Dalam hati cakap, bukan calang-calang orang yang menulis, ini Pak Sako. Tokoh yang saya kagumi dan bukan cerita yang merapu. Tajuk artikel itu ialah " Kesah Kasih Sayang Mat Kilau Dengan Mek Munah".

Sebenarnya rencana ini adalah salah satu rencana tulisan Pak Sako mengenai Mat Kilau selepas Mat Kilau isytiharkan dirinya Mat Kilau pada Disember 1969. Banyak yang menarik dalam catatan-catatan itu. Tapi kisah cinta ini saya tuliskan kerana jarang sekali kita dengar kisah cinta Mat Kilau.

Percintaan yang tidak menjadi ini terpisah lebih tujuh puluh tahun. Usia Mek Munah sewaktu bertemu semula Mat Kilau sudah menceceah 90 tahun dan Mat Kilau hampir 122 tahun. Detik pertemuan semula Mek Munah dengan Mat Kilau diatur di Balai Pertanian, Paya Besar, Gambang, Kuantan Pahang dan turut dihadiri oleh Mat Kelantan iaitu seorang pahlawan Kelantan dan sahabat Mat Kilau di zaman menentang British. Waktu kali pertama Mek Munah di bawa dekat Mat Kilau, terpancar daripada mulut Mek Munah ialah "Oh, Allah...Abang mat chomel lagi...!". Dan disambut oleh Mat Kilau yang sudah berlinang air mata "Apa boleh buat Mek, tidak ada jodoh kita, mengaku adek-beradeklah kita dunia akhirat..." Pak Sako menceritakan bahawa ketika itu pipi Mek Munah basah disirami air mata dedar, yang dipancarkan oleh arsa gembira, pilu, sedih dan hiba. Saat itu juga Mek Munah seolah-olah mahu mendakap dan mencium kekasih pertamanya itu.

Mek Munah yang dibawa oleh anak perempuannya dari Pasir Niring,Kuala Berang, Terengganu turut bercerita yang Mat Kilau adalah anak angkat kepada ayah dan maknya. Mat Kilau tinggal lama di rumahnya dan menjaga ayahnya yang sedang sakit. Waktu itu Mek Munah berusia 14 tahun dan Mat Kilau sudah mencecah 30an. Mek Munah yang digelar Tok Renek kerana tubuhnya yang kecil molek. Bukan sahaja kecil malah dulu-dulu kulitnya putih seleput, berambut panjang lebat dan ikal mayang. Menurut Pak Sako, dalam renungannya dia boleh merasakan bahawa Mek Munah semasa mudanya seorang yang cukup cantik dan chandi (saya kurang pasti perumpamaan ini) sebagaimana terucap dalam lirik lagu yang memuji kecantikan gadis desa seperti lagu "Melati Di Tapal Batas".

Pak Sako mengorek sikit-sikit dari Mek Munah mengenai kisah cintanya. Mek Munah yang malu-malu bercerita sebagaimana dicatat oleh Pak Sako " Mat Kilau pada masa itu sudah berumor lebih 30 tahun, seorang muda yyang sangat kacak, lawa, hebat, hidungnya mancung, kulitnya putih kemerah-merahan, tinggi lampai dan banyak kepandaiannya. Dia pandai mengaji, pandai berlagu, pandai berpantun dan bersyair. Dia juga pandai bergayong, bermain gasing. Peramah orangnya, baik budi bahasa dan perangainya, lepas lakunya." Dari gambaran itu ia seperti gambaran seorang hero dalam filem Melayu klasik. Seperti Nordin Ahmad dalam Gurindam Jiwa atau P.Ramlee dalam Hang Tuah. Jika benar apa diceritakan Mek Munah maka betullah seoraang anak muda perlu diperlengkapkan dengan segala macam kepandaian termasuklah bijak dalam berpantun dan bersyair, malah punya pekerti yang tinggi.

Dalam cerita Mek Munah lagi yang saya anggap sangat klasik dan penuh romantis apabila dia disembunyikan oleh Mat Kilau. Menurut ceritanya

" Pada suatu hari ada orang-orang mari nak keleh ambo...."
"Abang Mat bawa ambo lari dalam sawah padi " sambungnya dalam senyuman manis tulis pak sako.
"Padi sudah tinggi pada masa itu. Orang tak dapat keleh ambo dengan Abang Mat"
Pak Sako tanya "Tok Wan dudok dekat-dekatlah dengan Tok Aki Mat Kilau dalam padi itu?"
"Iyolah" jawab Mek Munah tegas. Kemudian dia menutup mulutnya dengan tapak tangan kanannya.

Pak sako bertanya "Masa itu Tok wan pakai bunga apa pada sanggul Tok Wan?" "Tok Wan pakai bunga antui", jawabnya. "Bunga itu makin lama dipakai makin sedap baunya".

Tambah Mek Munah lagi "Abang Mat tu tak mau makan minum di rumah orang lain".

Pak Sako pun menulis dengan imaginasinya "Dalam fikiran saya terbayang gambaran Mek Munah duduk bersandar pada bahu Mat Kilau, menyondol dan menggesel2 penuh manja, ingin didakap dan dikuchupi oleh kekasehnya, oleh Abang Mat Kilau yang muda lela, yang kachak dan hebat, yang gagah berani, yang mempunyai pelbagai kepandaian, beraneka daya penarek, dan disayangi oleh ibu bapa serta sanak saudara, orang ramai di kampongnya yang indah dan aman damai".

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...