Jom Kita Jadi Geng

Monday, July 29, 2013

FILEM THE NEW VILLAGE DIGANTUNG



Filem The New Village bakal menemui penonton di pawagam mulai 22 Ogos 2013, tarikh itu hampir dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara malah ia lebih awal berbanding dengan jadual tayangan filem kenegaraan Tanda Putera. The New Village diwar-warkan sebagai sebuah filem sejarah tanahair yang mengupas perjuangan masyarakat Cina semasa tempoh Darurat. Dalam trailer di You Tube, sinopsis filem ini menyebutkan

"The New Village" adalah sebuah filem yang menceritakan kesusahan dan kesengsaraan bangsa cina semasa zaman penjajahan British di tanah air ini. Seramai 500,000 penduduk cina tempatan telah dipaksa oleh British pindah masuk ke 480 buah "re-settlement camps" di seluruh semenanjung malaya dari tahun 1949 hingga 1954. "Re-settlement camps" tersebut sebenarnya adalah Kampung Baru Cina (New Village). Pada hari ini. masih terdapat 450 buah Kampung Baru Cina di seluruh Malaysia dan diduduki oleh lebih daripada satu juta bangsa cina. Kesemua Kampung Baru tersebut mempunyai sejarah yang agak sama. "The New Village" ingin memberi penghargaan tinggi kepada penghuni-penghuni Kampung Baru Cina di seluruh Malaysia."

Jika dibaca pada sinopsis di atas, kita faham akan maksud filem ini yang cuba mengupas program Resettlement yang dianjurkan oleh kerajaan British melalui Rancangan Briggs bagi menangani masalah keganasan Komunis yang sering mengganggu orang awam khususnya di pendalaman. Apatah lagi, Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) yang mengangkat Parti Komunis Malaya secara majoritinya dianggotai oleh orang-orang Cina. Gerakan mereka tertumpu kepada anti penjajahan. Jadi Rancangan Briggs adalah usaha untuk menangkis penyebaran fahaman Komunis. Sinopsis di atas, secara jelas menerangkan maksud cerita dan objektifnya untuk memberi penghargaan kepada penduduk cina yang terlibat.


Namun, bila kita menonton trailernya, sepintas lalu dapat kita menangkap beberapa sub-cerita yang cuba diangkat oleh pengarahnya. Ada beberapa adegan yang ditonjolkan memperlihatkan kekerasan yang digunakan oleh pihak British ke atas penduduk Cina, hubungan antara gadis cina dengan anggota PKM, tindakan keras tentera British ke atas penduduk dan beberapa aksi yang menampakkan sisi berlawanan antara pihak pemerintah, sisi baik pada watak hero dan sisi antagonis pada si tentera pemerintah. Namun itu adalah pengamatan saya pada trailer yang cuma panjangnya 2 minit 20 saat itu.

Ada beberapa blog sudah menyuarakan protes mereka akan tayangan filem ini, perbandingan dibuat dengan Tanda Putera. Tanda Putera lebih dilihat bernasib malang, terpaksa menempuh beberapa kali tundaan tarikh sehinggalah akan ditayangkan pada 29 Ogos nanti. Namun, The New Village nyatanya menggunakan strategi yang bagus, dalam diam mereka menyiapkan filem dan mendapat tarikh tayangan tanpa diketahui ramai. Tetapi tentu sekali ia perlu melepasi LPF. Di mana peranan LPF sebenarnya jika betul filem ini bersifat menghasut minda penonton mengasihani komunis? Takkan baca sinopsis sahaja? Di mana pula peranan penerbit Astro Shaw yang sepatutnya lebih sensitif di dalam mengangkat isu dalam filem. Tak kan melepaskan lesen kreativiti itu kepada pengarah sahaja? Saya nampak ini seolah wujud double standard dalam hal ini. 

Double standard ini saya rujuk kepada kesan yang diterima oleh Tanda Putera di awal promosinya. Filem itu dihentam, dikatakan bersifat racist sehingga menakutkan pihak yang sepatutnya menyangkannya. Walhal trailernya tidak menampakkan ketara seperti trailer The New Village. Apatah lagi Tanda Putera telah ditayang secara tertutup dan menerima reaksi positif. Namun ia tetap dianggap malang kerana selepas dua tahun terperap, baru boleh keluar panggung. 

Hari ini, imej dan filem adalah medium terbaik dan terpenting dalam menghantar propaganda. Sewaktu gerakan antisemitism memuncak yang bermula di German, kebencian Barat dan Timur terhadap kaum Yahudi begitu tinggi. Sehingga ramai Yahudi mengelak untuk mengakui keturunan mereka dan menukar nama mereka kepada nama-nama biasa barat. Tetapi Yahudi adalah kaum yang bijak, melalui filem digerakkan sentimen kemanusiaan. Banyak sekali filem-filem arahan dan terbitan Yahudi mengangkat tema kemanusiaan tetapi ditonjolkan melalui watak-watak Yahudi. Ini kita dapat lihat dalam filem seperti Schindler's List, Europa Europa, Holocaust, Chariot of Fire, Yentl dan banyak lagi. Sesetengah filem yang dihasilkan oleh pengarah Yahudi ini tidaklah secara terang-terangan mengangkat isu Yahudi, tetapi mereka mengangkat manusia Yahudi dalam tema cinta, romantik broadway, komedi dan sebagainya. Lama-kelamaan persepsi menolak Yahudi itu hilang dan kemudiannya mereka diangkat sebagai hero. Apatah lagi nama-nama besar seperti Spielberg, Elia Kazan, Barbra Streisand, Agnieszka Holland dan ramai lagi sangat berpengaruh dalam industri hiburan dunia. 

Tidaklah saya menyamakan pengarah Wong Kew-Lit dengan mereka di atas, cuma saya anggap itulah usaha yang cuba dimainkan. Mahu menukar persepsi dan merubah fahaman secara halus. Cuba mengangkat hero baru dalam sejarah tanahair. Jika benar filem ini mahu mengangkat perjuangan penduduk cina di kampung-kampung baru, kenapa pula antagonis itu terlihat pada tentera pemerintah? Dan kebiasaannya percintaan akan melahirkan belas kasihan. Bila si heroin bercinta dengan hero, seorang anggota komunis yang diburu pemerintah tentu sekali konflik cinta itu akan menghukum pihak yang menghalang iaitu pemerintah. Jika benar begitu, saya kira Kew-Lit memang bijaksana. Sejarah boleh dilihat dari mana-mana sudut bergantung pada niat orang yang mengangkatnya. Saya masih ingat sebuah dokumentari mengenai Singapura, bagaimana mereka mengolah fakta sehingga langsung tidak menyebut peranan Malaysia, langsung tiada fakta tentang asal-usul Singapura di Nusantara ini dan peranan bangsa Melayu. Yang diungkap bagaimana Singapura dilahirkan oleh British dan kepimpinan Lee Kuan Yew. Saya percaya ramai rakyat Singapura percaya tentang sejarah itu. 

Zahid Hamidi sudah mengarahkan menarik balik New Village ke panggung, soalan saya, kalau ini filem tentang sejarah, tak kanlah tidak terdetik pun dihati penerbit untuk menayangkan kepada pihak berwajib, kalau pun kerajaan bukan orang filem tapi bukankah ia juga menyentuh sensitiviti. Nampak sangat cuba main belakang! Lepas ni mari kita tengok bagaimana masalah ini ditangani. 

Saya ni dah menulis panjang, filem belum tengok hanya tengok trailer. Kalau filem ini kena haram, macam Din Turtle juga, saya akan cari juga untuk tonton sendiri apa wawasan Wong Kew-Lit sebenarnya. 

P/S: Wong Kew-Lit adalah rakan seasrama saya di 5th College UM. Memang Kew-Lit seorang yang berhemah dan berfikiran jauh. Kami sama-sama menganggotai Jawatankuasa Asrama.

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...