Jom Kita Jadi Geng

Sunday, July 28, 2013

BAJU MELAYU TERAKHIR: AL-FATIHAH

Catatan Intan:
Selama ini arwah tidak pernah kisah
tentang baju Melayu. Namun tahun ini
 arwah mahu dua pasang baju Melayu
 untuk Hari Raya,
satu krim dan satu lagi hitam. Katanya,
 dia mahu ibu juga memakai baju raya
 berwarna hitam sedondon
dengan baju Melayu hitamnya.

Allah maha pengasih maha penyayang, 
sewaktu kita merancang yang terbaik untuk dia, 
Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuknya.

Entah apa perasaan di dalam ini, bila membaca catatan Dr. Tengku Intan Marlina. Berbaur, cuba menyelam tetapi tidak kesampaian kerana saya tahu beban itu tidak terpikul oleh saya. Dia sedang mengendong emosi yang berat. Perasaan seorang ibu direntap, kehilangan tiba-tiba anakandanya dalam sekelip mata. Anakanda sulungnya meninggal akibat kemalangan jalan raya. 

Entah apa perancangan Allah kepada hambaNya, di bulan Ramadhan dan di kala Syawal kian hampir. Bulan dan hari-hari yang selalu bertamu dengan kenangan dan kerinduan. Bulan yang selalu buat kita tersenyum mengenang hari-hari lepas, mengenang mereka yang pernah hadir. Tapi, hari ini Allah mengetuk pintu kegembiraan itu dengan kedukaan. Ujian ini sangat besar buat Intan. Saya yakin, walau sesiapa pun di tempat Intan, air mata adalah lautan. Pasang-surutnya bersilih ganti pada setiap kali wajah anakanda muncul.

Sebelum ini, saya ada membuat catatan mengenai kematian adik Nawal Iris akibat 'heat stroke'. Catatan itu hampir sama, tetapi kali ini rasa itu berbeza, ia menimpa sahabat saya. Ya Allah, Engkau berikanlah kekuatan buat Intan dan keluargnya, juga buat mereka yang kehilangan insan tersayang di bulan Ramadhan ini.  Semoga aman perjalanan mereka. Al-Fatihah.

Ini catatan Intan di facebooknya @Elyna Hasnulnawi:

Buat Allahyarham anakanda, Muhammad Hasnul Imran (21.11.96 - 24.7.13), damailah anakanda di alam barzakh. Bonda redha atas pemergianmu, namun bonda masih tidak dapat menahan air mata daripada terus mengalir sehingga ke saat ini.

Anakanda telah dipinjamkan kepada bonda dan ayahanda hampir 17 tahun, terlalu banyak kenangan manis bersamamu. kasih sayang bonda terhadap anakanda tidak dapat digambarkan melalui kata-kata, namun Allah lebih menyayangimu. Terbayang-bayang wajah, senyum manis, gelak tawa dan kelembutanmu di segenap ruang rumah dan mata ini.

Bahagialah anakanda di alam barzakh sana kerana anakanda meninggal dunia syahid kecil Insya-Allah, dalam tiga keadaan:
1) Meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya.
2) Meninggal dunia kerana menuntut ilmu.
3) Meninggal dunia dalam keadaan berpuasa, dan di bulan Ramadhan yang mulia.

Anakanda seorang anak yang sangat baik, tidak pernah meninggikan suara, sentiasa menghiburkan hati bonda. Segala kebaikan ada pada diri anakanda. Bonda ampuni segala kesalahanmmu, bonda halalkan makan minum dan segalanya.

Bonda tidak tahu bagaimana keadaan bonda tanpa dirimu dalam meniti kehidupan yang sementara ini, namun bonda tahu bonda harus terus tabah. Semoga kita dapat bertemu di Syurga kelak. Al-fatihah.

1 comment:

Unknown said...

Terima kasih sahabatku Kamal atas simpati, doa dan sokongan. Saya sangat menghargainya. Hidup harus diteruskan walaupun saya tahu jiwa saya akan merindui arwah setiap masa. Kehilangannya ibarat saya sudah hilang separuh daripada nyawa saya. Walau setinggi mana kasih sayang saya terhadap arwah, namun Allah lebih menyayanginya, saya redha.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...