Jom Kita Jadi Geng

Friday, January 20, 2017

MAKYUNG DI HAWAII

Persembahan di Waimea Valley; Macam-macam ruang kami persembahkan. Dengan jumlah ahli seramai 7 orang kami maksimakan peranan dan sangat fleksibel

2016 banyak merakam ingatan manis saya bersama PuTRA. Mengendalikan sebuah pusat yang memberi tumpuan khusus kepada usaha membangun dan mengembangkan seni pentas tradisional bukanlah satu kerja yang mudah. Berhadapan dengan cabaran dunia tanpa sempadan yang langsung tidak mengekang kemasukan budaya baru dan sangat asosiasi dengan generasi Y menjadikan usaha membina khalayak baru dan mendidik generasi ini menggemari seni tradisional adalah ujian yang berganda.

Persembahan eksklusif untuk tetamu terpilih di Shangri-La, sebuah mansion milik Yayasan yang menjaga dan memelihara kesenian Islam. Walhal ia milik seorang wanita bukan Islam.
                 
Selain membangunkan khalayak tempatan, adalah tidak wajar jika seni tradisional tidak menjangkau khalayak dunia dan rata-rata mula memandang Asia sebagai hidangan penuh perisa. Kini 'fusion' dan 'hybrid' sudah tidak lagi asing kepada Barat. Mereka mula menjadikan Asia sebagai satu platform bereksperimen dan mencedoknya menjadi satu 'invention' yang beridentitikan mereka. Malah tidak hairan dalam kalangan budayawan Barat sudah menjadi pakar kesenian Melayu dan Asia. 

Artist Talk; bersama penggiat seni dan penggemar kesenian Hawaii

Kesempatan membawa Makyung dan Wayang Kulit ke Hawaii di bawah anjuran East-West Center, Hawaii adalah satu peluang yang cukup besar buat PuTRA. Seperti dijangka masyarakat di sana yang sangat mesra dengan budaya Asia amat mengagumi seni persembahan makyung dan wayang kulit. Beberapa individu penting yang saya temui sangat tertarik dengan bentuk, bahan, kehalusan seni yang kita pamerkan. 


Dalam satu sesi di Jafferson Hall, EWC sewaktu kami mempersembahkan untuk pelajar-pelajar sekolah rendah, apabila ditanya bahagian mana dalam persembahan yang mereka gemari. Nyatanya mereka cukup tertarik dengan aksi dalam makyung sewaktu babak pertarungan antara Jin dan Pakyung dan mereka sangat memerhati bagaimana mekanisma dalam permainan patung wayang kulit. Ada juga yang cukup meminati muzik pergendangan. Ternampak di situ tiada batas minat dalam diri mereka. Sebuah seni persembahan dilihat dalam bentuk estetikanya.


Pak Nasir seorang adiguru dan 'performer' yang total. Kehadiran beliau dalam persembahan menjadikan kerja berkumpulan bertenaga dan positif.

Inilah kami 7 orang mewakili PuTRA, ASWARA menjelajah Hawaii USA dengan menjayakan 10 persembahan dan beberapa bengkel, demonstrasi dan bicara. 


Sesi bersama para mahasiswa University of Hawaii adalah sesuatu yang sangat produktif. Kami berkongsi perkara yang sama. PuTRA bawakan teknik persembahan wayang kulit Kelantan dan mereka tunjukkan kami cara permainan patung yang mereka belajar dalam kuliah. Istimewnya UHM ini mereka sangat dekat dengan Asia.

Persembahan untuk Junior School.
Selama dua minggu di Hawaii, menemukan kami dengan pelbagai jenis orang. Dari golongan atas hingga masyarakat di pasar. Makyung dan Wayang Kulit membawa kami merentas lautan Pasifik. Sesuatu yang mengujakan apabila kita tahu kita telah lakukan sesuatu yang terbaik untuk negara dan seni budaya bangsa.

PuTRA... seni rupa bangsa.

1 comment:

Normala Saad said...

usaha yang bagus...saya sampai ketua tak berapa tahu pasal makyung. Ada pendedahan dan info tapi mungkin tidak mengambil berat pasal begini.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...