Jom Kita Jadi Geng

Friday, November 29, 2013

TRAGEDI DALAM MAKYUNG

Saya cukup suka dengan poster ini. Nampak misteri.
Juhara yang memainkan dua watak Puteri Cempaka Emas
dan jelmaan Puteri Bota. Mata antara Jari jemari itu adalah
rahsia sebenar yang tersirat. Sangat tipikal jika poster makyung
sekadar wajah pakyung dan puteri tanpa mengungkap
cerita atau konflik dalam naskah.
Ini kali kedua saya di pentas Panggung Sari dalam produksi makyung. kali ini saya terbang dan tergantung di tempat yang sangat tinggi. Saya sebagai hala Mak Rimau Besar Sejang Kilat Sejalur Wangi. Ia seolah membawa saya ke tahun 2003.

Saya ingat lagi dalam Raja Tangkai Hati, Zizi sangat berobjektif pada setiap babak yang mahu diangkat ke pentas. Dia tidak suka babak yang tidak memberi kesan. Teknologi Istana Budaya semasa itu, tahun 2003 digunakan sepenuhnya. Masa itu belum ada lagi harness belt. Jadi Zizi banyak manipulate kecanggihan pentas IB. Pentas yang boleh turun naik, ke kiri kanan dan belakang depan. Oleh kerana saya ini wataknya Dewa Betara Guru yang memiliki kesaktian luar biasa lalu Zizi cuba visualkan kesaktian dan kebesaran watak saya itu. Lalu saya diturunkan dari wagon yang sudah diangkat tinggi. Visualnya memang cantik dengan bantuan tatacahaya yang hebat oleh arwah Jalil Ngah dan smokes. Dewa Betara Guru seolah-olah berada di dunia lain dan melihat kecurangan di dunia. Saya beraksi dalam 'timing' wagon diturunkan. Memang saya gemar sekali. Tambah masa itu kostum saya direka oleh Fifi dari UiTM. Tujuan Betara Guru turun adalah untuk menyelamatkan dua beradik yang telah dicampak jatuh ke laut oleh Puteri Bota.

Dua beradik itu Malim Bisnun dan Malim Bongsu, dimainkan oleh Mardiana Ismail dan Yuni Norleitey jatuh dan dibenamkan di wagon kedua. Jadi apabila Dewa Betara Guru datang menyelamat, Effectnya adalah Dewa Betara Guru menggunakan kuasa saktinya menarik dua beradik itu (timingnya ialah wagon yang dibenamkan naik ke aras pentas). Memang menariklah cara babak ini menyerlahkan kesaktian Dewa Betara Guru. Tapi nak dijadikan cerita waktu saya sudah 'berpikir dalam hati' menyeru sakti dan mahu 'mengangkat' wagon ke atas - wagon tersekat dan tidak bergerak. Sepatutnya saya membuat gerakan kiri dan kanan lalu wagon itu muncul di permukaan tapi malangnya saya melakukan gerakan kiri kanan berkali-kali secara improvisasi. mata saya sudah nampak Mardiana dan Yuni yang 'lost' kerana wagon tak naik. Sambil melakukan gerakan saya nampak Eijatt selaku SM dan Zizi seakan memberi isyarat kepada saya bahawa wagon rosak. 

Jadi saya yang di tengah pentas yang tidak mahu jadi orang bodoh terus bermain. Otak saya berpusing-pusing mencari idea. memikirkan bahawa jika wagon itu rosak ia beri kesan kepada babak-babak seterusnya. Kerana watak dua beradik itu sepatutnya saya campak dan jatuhkan ke sebuah kapal. Saya lihat tangan Zizi di tepi pentas sudah menunjuk ke atas. Saya tidak dengar dan tidak faham. Mata meliar melihat sambil badan beraksi dan mulut mengucap dialog yang entah apa saya lupa, supaya penonton tidak sedar bahawa kami sedang bergelut dengan masalah besar. Semasa itulah idea datang lalu saya mencipta dialog demi menyelamatkan persembahan malam itu. Seingat saya dialog saya ketika itu memberitahu bahawa saya sudah menyelamatkan dua beradik dengan menukarkan menjadi teritik dan menyangkut di sebuah kapal.... blablabla sehinggalah kedua beradik terdampar di sebuah pulau (Ye ke Zizi?). Tujuannya adalah supaya babak yang melibatkan wagon dapat dilangkau. Jika saya tidak kata begitu, cerita akan tersekat. 

Memang ketika di pentas waktu itu, tiada siapa yang boleh tolong saya. Muzik terus tungtang-tungtang, arahan Eijatt dan Zizi tak membantu saya kerana saya tak faham. Maka yang tinggal hanyalah otak dan badan sahaja. Nasib baik ia cerita makyung di mana pemain harus selalu bersedia untuk improvisasi. Bukan saya mahu kata saya ini bagus tapi saya yakin bahawa pengalaman banyak membantu saya ketika itu. Show kena jalan. Apabila anda berlakon anda sebenarnya petugas yang harus menjayakan objektif persembahan. Anda tidak boleh selfish, hanya mengambil tahu bahagian sendiri sahaja! Pelakon perlu bertanggungjawab walaupun diluar perwatakannya. Itu es-pri-d-cor yang secara konvensyen nya dipersetujui dalam produksi. 

Di malam terakhir persembahan, sekeping kad saya terima. Kad terima kasih dari Zizi. Saya terharu atas kata-katanya. masih saya simpan. Dalam banyak perkara saya menghormati Zizi sebagai pengarah. Dia sangat berwawasan dalam kerjanya. Mesti ada sentuhan yang magik darinya.


Kini Istana Budaya sekali lagi membawakan makyung ke Panggung Sari selepas Raja Tangkai hati dan Anak Raja Dua Serupa. Kesaktian Anak Raja Gondang adalah cerita asal Batak Raja Gondang. Teknologi pentas semakin meningkat dan sinografer sudah meneroka luas ke bermacam dimensi. Jadi datanglah menonton makyung di Istana Budaya dari 29 Nov - 2 Dis 2013 8.30 malam.  

Monday, November 25, 2013

LAGU MAKYUNG DALAM KLASIKAL


Semalam pergi menonton konsert Koir Kebangsaan Malaysia di Matic. Konsert kali ini bertemakan Kembara Muzikal Teater dan Filem. Amri Zain bertindak sebagai konduktor manakala Syafinaz Selamat selaku pengarah persembahan dan artistik. Sebenarnya sudah lama saya tidak menonton persembahan koir, rasanya sejak Koir Kebangsaan dipindahkan di bawah JKKN. Saya terlepas persembahan-persembahan sebelum ini termasuklah Tribute to Sudirman dan No Wrong Notes.

Bila masuk panggung Matic, saya dapat rasa kesungguhan JKKN menghidupkan seni persembahan koir ini. Malam tadi pun panggung Matic 'full house'. Jadi ia bukanlah acara yang tidak laku sebab masa saya mahu beli online, saya lihat hanya beberapa 'seat' sahaja yang ada dan tempatnya kurang menarik lalu saya hubungi rakan saya Rosnan untuk mengadu nasib. Alhamdulillah nasib saya baik, ada pas untuk tetamu. Maka dapatlah saya tonton konsert semalam. Memang sepanjang malam selama hampir dua jam itu, kita dialunkan dengan lagu-lagu yang cukup mesra telinga. Lagu dari muzikal popular seperti Phantom of the Opera dan Olivier sudah dijangka. Dan jarang sekali kita dengar lagu-lagu dari filem dinyanyikan secara harmoni seperti lagu dari filem Star Wars, Azura, Pontianak Harum Sundal Malam ataupun lagu dari filem James Bond. Saya kira ini langkah popular dalam strategi menarik khalayk baru meminati persembahan  koir.

Tapi yang membuka mata dan telinga saya adalah apabila lagu Menghadap Rebab didendangkan dalam nyanyian klasikal. It was a goosebump performance. Gandingan Syafinaz dan Rosnan yang memukau telinga saya. Ia tidak kedengaran pelik malah sangat istimewa. Tidak janggal di telinga saya. Kiranya kalau ada lagu makyung lain dinyanyikan Syafinaz atau lain penyanyi pun ia kira boleh menjadi. Lagu Menghadap Rebab itu kadangkala ia kedengaran seperti sebuah lagu dalam bahasa latin bila Syafinaz sebut baris ini "Eeee... bembae gugo di tapok, sludae cik we mningga mayae... ayooo tue we... sepeti sulo memain angin gaak...". Gaya lagu ini sangat classy dan elegant sekali. Apatah lagi Syafinaz dengan kostum gaun malam yang menawan berganding dengan Rosnan yang lengkap berkostum pakyung. Ia satu duet yang cukup dramatik.

Persembahan malam itu dipecahkan kepada dua segmen. Saya layan sahaja kedua-dua segmen itu. Cuma saya tidak berapa gemar bila ada aksi lakon oleh ahli koir seperti muncul watak Julia Robert untuk lagu Pretty Woman. Saya kira biar sahaja nyanyian dan sedikit koreografi untuk persembahan. Jika mahu suntikan lakon, maka ia perlu jadi dramatik bukan sekadar menempel dan kelihatan amatur. Walau bagaimana pun ia tidaklah mencacatkan konsert. Ada beberapa lagu yang saya kira gubahannya bagus dan sedap sekali, antaranya ialah Pulangkan, Sound of Music dan Sivaji the Boss. Saya kira Sivaji the Boss adalah klimaks yang sangat menjadi, satu panggung bertepuk dan bangkit bergoyang. Its a brilliant composition.


Mendengar lagu koir kita tidak boleh pisahkan dengan susunan lagu yang menghampiri gaya klasikal. Apatah lagi range vokal juga dikelompokkan mengikut range seperti klasikal, ada soprano, alto, bass dan tenor. Jadi bila kita dengar lagu-lagu inggeris dalam koir, ia bukanlah sesuatu yang istimewa. Malam itu, hanya beberapa lagu melayu sahaja dipersembahkan. Tentu lebih istimewa kalau lagu dari filem Melayu klasik dan filem-filem mutakhir dipersembahkan dilebihkan. Bagaimana jadinya jika lagu dari filem Laila Majnun, Ali Setan, KL Drift atau lagu Hati dari filem Hati Malaya dipersembahkan?

Tahniahlah buat Kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia yang terus bertahan. Tahniah ini tentu sekali buat insan yang sangat 'passion' pada kumpulan ini iaitu Syafinaz Selamat danTunku Marina.

Thursday, November 21, 2013

VANIDAH CARI AIR


Malam tadi Vee mendekati saya semasa saya duduk menunggu babak saya.
Vee tanya "kak cik kak we, jangae lah dok baaloh. Betul ke?" Tanya Vee pada saya.
"bbaloh tu tak betul". Sambung saya lagi "Vee kena stress kat huruf 'b' bukan pada 'a'".
Vee ulang lagi "ok, kak cik kak we jangae lah dok balloh".
"No" pintas saya. "Jangan tekan pada 'L'"
"kak cik kak we, jangae lah dok bbaloh"
"aaa... betul" jawab saya.

Vee tanya yang lain lagi. "yang ni pulak macam mana?"
"pakayae... kak cik kak we ado... denga adik ni..."
Masa Vee lafazkan dialog tu, lenggoknya lembut dan beralun. Ia betul bukan salah tapi tidak tepat.
"Vee, tujuan kata tu untuk stopkan kak cik kak we bergaduh pasal pakaian hilang kan?"
"Ya" jawab Vee.
"kalau begitu Vee tak boleh lembut dan beralun, Vee kena cantas untuk stop kan mereka"
"Oooo... jadi dia bunyi macam ni... pakayae kak cik kak we ado dengan adik ni!
"yup! tapi rasa tak payah sebut 'pakayae' tu sebab ia dah jadi pengulangan. Kan diorang dah sibuk pasal pakaian hilang".
"habis tu?" tanya Vee.
"kak cik kak we! ni ado dengan adik ni!"
Vee mengiakan dialog itu sebab banyak kali kata 'pakayae; di sebut dalam adegan itu.

Vanida rajin bertanya, dia pelakon yang ada matlamat. Kalau mahu buat sesuatu, ianya tidak boleh setakat 'ok'. Ia mesti bagus dan selesa untuknya. Tambah lagi dengan pengalaman berbelas tahun berlakon, saya kira Vee tidak mahu dilihat sebagai orang amatur walaupun dalam makyung yang sangat baru untuknya. Dia tanya saya, dia tanya Asrul dan dia tanya sesiapa yang dia rasa boleh dirujuk. Kesungguhan Vee mempelajari lenggok dan air dialek Kelantan patut dipuji. Dia tidak mahu mengandai sesuatu perkataan untuk disebut, dia mahu sebutan yang betul dan sesuai. Macam semalam Vee masih mencari cara betul mengalunkan lagu Mengulek. Vee mahu sesedap orang yang dah lama dengan makyung, di mana itu amat sukar dalam tempoh yang pendek. Jadi Vee jumpa formula untuk menyanyi kena tempo, tidak sumbang dan dikira sesuai.

Susahnya main makyung ini bukan sekadar memahami karakter sahaja tetapi banyak hal-hal teknikal dalam permainannya yang harus dikuasai oleh pelakon. Pemain tak boleh kata dia sudah main makyung jika hanya jadi pak lawak sebagai peran. Apatah lagi kalau sekadar jadi watak supernatural atau orang kampung. Pemain makyung harus pelajar hal-hal asas. Semua harus tahu apa itu Barat Anjur Barat Cepat, Kena tahu bila mahu guna 'Saa' dan bila mahu guna 'Pikir dalam hati'. Begitu juga tahu tempo dan lagu untuk kirat dan hilang royat. Itu sudah jadi ciri dan struktur dalam makyung yang mesti diketahui. Apatah lagi jika pemain itu tidak tahu berdialek Kelantan. Ia tambah sukar kerana menutur sesuatu dialek bermaksud memahami maksud dan melenggokkan air bahasanya. Anda mungkin faham maksud tapi kalau salah air lenggoknya maka salahlah juga 'intention' penuturnya.

Dalam hal Vee ini saya kira dia sudah capai peratusan baik. Mendapatkan lenggok bukan senang sebab ia mengalir semulajadi. Ia praktikal yang perlu berlangsung sehari-hari. Kita boleh kenal orang itu penutur asal atau tidak dari cara percakapannya. Begitulah caranya waktu saya mainkan Tunku. Saya tumpukan pada air lenggoknya kemudian baru cari sebutan yang betul.

Jadi kalau nak tengok Vee dan Sofia Jane main makyung, datanglah ke persembahan Makyung Kesaktian Raja Gondang di Istana Budaya pada 29-30 N0v dan 1-2 Dis 2013. 

Tuesday, November 19, 2013

SOFIA JANE DAN VANIDAH MAIN MAKYUNG


Hari ini sudah 18 November, makin dekat menuju hari persembahan. Saya pun masih mencari-cari gerak yang sesuai untuk watak Hala. Berbeza sekali main watak kali ini kerana ia memerlukan gerak fizikal. Jika sebelum ini saya mainkan watak Jin Hitam Pasak Penunggul dalam Dewa Indera Indera Dewa yang tuntutannya lebih kepada gerak-gerak besar. Tapi watak Hala - Mak Rimau Besar Sejang Kilat Sejalur Wangi ini memerlukan saya menguasai pentas dengan gerak kecil gerak besar, gerak atas gerak bawah dan menampilkan gesture dan mannerisme seekor harimau. Saya masih mencari itu. Di usia 40an ini, mahu beraksi lebih-lebih pun boleh jadi penyakit hahaha...
Memang ada orang kata main makyung senang saja sebab banyak improvisasi tapi bermain makyung di Istana Budaya sedikit berbeza, pelakon perlu menetapkan gaya dan cara lakonnya. Ia sudah jadi sebuah teater moden yang melalui proses latihan di mana setiap hari kita mengulang aksi dan dialog yang sama. Di mana saya pun kurang bersetuju. Sepanjang saya main makyung, seboleh mungkin saya tidak mahu menetapkan aksi (memang dalam permainan makyung ada aksi tetap untuk sesetengah watak macam Hala), supaya masih bermain dalam sekitar improvisasi tapi kehendak pentas perdana dan kehendak khalayak baru, lalu transformasi dalam bermain makyung juga turut berlaku. Kalau ikutkan cara Kak Asmah mengajar dan mengarah kami, beliau sebenarnya masih terikat dengan cara lama. Beliau sentiasa sahaja berubah dalam memberi ucat dan dialog. 
Saya ingat lagi pengalaman main peran bersama Juhara dan Rosman, kami tidak melalui proses latihan tapi kami duduk dan berbincang sahaja objektifnya. Bila masuk rehersal pun kami cuma beri 'Q' kepada teknikal sahaja. Kami simpan aksi dan dialog untuk persembahan. Nyatanya bermain secara improvisasi lebih seronok. Penonton memanglah akan seronok dan kita sebagai pemain juga selalu terima kejutan daripada rakan lakon. Yang lebih menarik kita harus memberi respon pada aksi dan dialog rakan yang pada masa yang sama memberi kejutan kepada rakan. Itu improvisasi, di mana pelakon harus selalu bersedia untuk beraksi di luar jangkaan.
Ahad lepas keluar rencana mengenai makyung Kesaktian Anak Raja Gondang, penulis Amirul memberi fokus kepada dua pelakon tersohor yang pertama kali bermain makyung. Bacalah pengalaman Sofea Jane dan Vanida Imran.

SOFIA, VANIDAH 'KECEK KLATE'
Oleh AMIRUL HASWENDY ASHARI
Seni persembahan teater tarian kuno makyung diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) sebagai karya agung warisan kemanusiaan bersama 42 lagi karya agung kebudayaan dunia pada 25 November 2005 di Paris, Perancis.
Bunyinya membanggakan tapi masih ramai anak tempatan seolah-olah tidak memperakui, apatah lagi mengenali seni warisan dunia ini secara keseluruhan. Pelbagai usaha dilakukan Kementerian Kebudayaan dan Kesenian serta perseorangan untuk memperkayakan seni persembahan ini ke tahap sepatutnya. Cerita dalam makyung pula mempunyai 24 versi. Selain kisah Dewa Muda, Bongsu Sakti dan Raja Tangkai Hati, kisah Kesaktian Anak Raja Gondang tidak kurang menariknya.
‘Royak hilang berita nak timbul, timbul nak royak, seorang raja sebuah negeri, seorang raja sebuah menteri, raja ada dengan menama, negeri ada dengan bergelar’ antara bait lirik dalam lagu Mengadap Rebab yang menjadi antara lagu wajib didendangkan dalam seni persembahan makyung.
Berita baik buat peminat seni teater apabila makyung dipersembahkan pada ruang lingkup besar di Istana Budaya pada 29 November hingga 2 Disember ini. Lebih menarik apabila dua artis terkenal, Datin Sofia Jane dan Vanidah Imran menjadi tunjang utama pementasan ini sebagai Tujuh Puteri Negeri Hampa Beranyut bersama Rosnan Rahman. SELEBRITI Metro Ahad berkesempatan meng­ikuti sesi latihan yang dijalankan. Peminat teater ini pasti teruja menantikan kejutan serta ke­unikan seni makyung kali ini berbanding persembahan sebelum ini.

Ini kali pertama Sofia bermain teater makyung.

Kata­nya, cabaran utama dihadapinya ialah menguasai loghat Kelantan yang menjadi latar dialog utama seni makyung.

“Saya dari dulu memang suka dengar loghat Kelantan dan saya beruntung sebab suami boleh bercakap loghat itu kerana berasal dari Kelantan dan Terengganu.

“Saya hanya perlu luang­kan lebih banyak masa bercakap dalam loghat itu supaya bila saya cakap, orang faham dan bunyinya betul.

“Namun sekarang, cabarannya lebih dari itu sebab masa latihan tinggal beberapa minggu lagi. Saya anggap ini sebagai cabaran untuk me­ngetahui sejauh mana saya boleh pergi,” katanya.

Kata Sofia, dia tiada masalah menari kerana ada asas tarian balet. Dia juga terima tawaran sebagai tanggung­jawab sosial sebagai anak seni.

“Walaupun seni persembahan makyung masih dipersembahkan di Kelantan, ia jarang diadakan di Kuala Lumpur dan negeri lain kecuali di institusi pengajian tinggi tempatan.

“Segala-galanya berbalik kepada proses pendidikan awal. Jika di pering­kat awal persekolahan kita diperkenalkan dengan seni persembahan halus seperti makyung, ia pendedahan menarik dan sesuai dengan jolokan makyung yang diang­kat di peringkat dunia.

“Tidak kira seni apa sekalipun, sama ada Asyik, Ulik Mayang, Gamelan, tarian India atau Cina, segala-galanya berbalik kepada sistem pendidikan kita,” katanya mengenai nasib yang menimpa makyung.
 

Masalah menguasai loghat Kelantan juga antara cabaran utama dihadapi Vanidah apabila menjayakan pementasan ini. Pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir itu akui dia lebih mudah menggunakan loghat utara kerana berasal dari Pulau Pinang.

“Saya berusaha berbual dalam loghat Kelantan bagi memantapkan persembahan. Banyak perkara perlu dipelajari dan dikuasai dalam masa singkat.

“Paling saya takut ialah menyanyi sebab saya tak pandai menyanyi dan mendapatkan lenggok dalam nyanyian Makyong.

“Saya banyak dibantu pengarah persembahan yang juga primadona makyung, Fatimah Abdullah dalam mendapatkan lenggok nya­nyian yang betul,” katanya.

Vanidah akui pernah ditawarkan menjayakan persembahan makyung sebelum ini tetapi baru kali ini pintu hatinya terbuka untuk mencuba.

Katanya, sebelum ini dia tidak berani terima tawaran buat persembahan makyung sebab tak yakin.

“Apabila sering ditawarkan, saya rasa kenapa tidak saya sahut cabaran ini. Memang sukar kerana sesuatu yang tradisional tidak mudah dipelajari berikutan ia memerlukan kesabaran dalam mendapatkan kelembutan seni tradisi itu.

“Alhamdulillah, saya pernah mendapat tunjuk ajar dalam seni tarian Asyik dan Gamelan satu ketika dulu dan seni makyung yang bakal dipersembahkan kelak adalah satu tambah nilai bermakna buat saya sebagai anak seni yang cintakan budaya,” katanya.

Persembahan teater Ke­saktian Anak Raja Gondang mengisahkan Raja Gondang yang pergi mengembara dan menjelajah dari negeri ke negeri selepas diminta oleh bonda­nya, Puteri Gak Petera.Setibanya di Negeri Hampa Beranyut, Raja Gondang bertemu Tujuh Puteri Anak Raja Besar di Kolam Banjaran yang tanpa pengetahuan sebenarnya sudah bertunang dengan Tujuh Putera. Ketika bersiram di Kolam Banjaran itulah, Raja Gondang jatuh cinta dengan Puteri Bongsu. Raja Besar yang mendapat tahu terus murka dan menjatuhkan hukuman mati ke atas Puteri Bongsu atas nasihat Puteri Sulong.

Menurut Rosnan, walaupun biasa dengan seni persembahan makyung dan kepelbagaian cerita dalam makyung, kisah Kesaktian Anak Raja Gondang sangat baru baginya.

“Ada tiga kisah dalam trilogi popular dalam kisah Kesaktian Anak Raja Gondang, tetapi kisah Batak Raja Gondang adalah baru dan tidak pernah dipersembahkan oleh saya.

“Kami memilih kisah Batak Raja Gondang untuk menambah dokumentasi Makyong sedia ada, lagipun melalui cerita ini banyak watak boleh ditampilkan,” kata Rosnan.

Katanya, antara kejutan ialah adanya babak romantis membabitkan Batak Raja Gondang dan Puteri Bongsu terbang, dan ia kali pertama terjadi di dalam seni persembahan tradisional makyung. Selain Sofia dan Vanidah, persembahan turut diserikan dengan pelakon lain seperti Sabri Yunus, Che Kem, Isey (Bintang Mencari Bintang) dan beberapa nama besar lain dalam bidang teater.


Tuesday, November 12, 2013

SUPERMOKH KE SUPERKENNY?

ambil dari Kosmo
Bukan kerja mudah untuk pentaskan kisah hidup orang yang pernah hidup dan mereka yang pernah disekelilingnya masih ada. Saya alami itu bila mahu jadi Tunku. Perasaan takut lebih besar dari keyakinan. Lesen kreatif sebenarnya tidak banyak bila lakonkan kisah manusia sebenar. Mungkin 30% atau kurang yang boleh kita gunakan lerjemahan kreatif selebihnya harus berpandukan fakta dan peribadi sebenar. Bila Awie mainkan Mokhtar Dahari, saya agak cuak kerana faktor fizikalnya agak kurang tepat. Awie jadi titik tumpu persembahan. Dia utama dan sangat penting. Bila menonton malam semalam saya kira Awie sedaya mungkin cuba mendekati fizikal Mokhtar. Sesekali ada wajah Mokhtar muncul di pentas. Susah juga mahu cari wajah sedekat itu apatah lagi perlu ambil kira kebolehan pelakon untuk menyanyi dan berlakon. Yang mana Awie punya itu semua.

Hampir semua teater Tall Order saya tonton kecuali Lawak ke Der. Dari Cuci - Lat dan kini Supermokh saya kira Hans Isaac selaku penerbit sudah cukup pengalaman untuk menerbitkan teater. Dulu masa Cuci agaknya ia lebih mudah sebab fiksyen dan cerita komedi. Jadi formula masukkan Nabil dan Afdlin menjadi. Malah lawak mereka berjela-jela hingga showpun habis dekat jam 12 malam. Tapi kali ini, Supermokh, ia bukan cerita ringan, ia satu biografi untuk mengangkat kehebatan seorang lagenda. Elemen komedi tidak boleh jadi umpan. Tidak boleh juga terlalu serius hingga tegang aja sepanjang malam. Pengalaman saya mementaskan Muzikal Tun Razak lebih rumit berbanding Supermokh. Ia tiada bahan hiburan atau universal yang boleh dikongsi semua. Tun Razak penuh dengan dasar dan politik yang saya kira bila mahu mengangkat ketokohannya ia berpusat kepada sumbangannya, seperti Supermokh bolasepak itu jadi 'tool' untuk mendekatkan audien akan kehebatan Mokhtar.

Tapi saya nampak cerita Supermokh berhempas pulas untuk mencipta drama. Macam tiada drama, kurang konflik yang boleh menjelmakan Mokhtar itu sebagai wira. Walhal Mokhtar sudahpun dianggap Supermokh dan Wira Bola negara. Namun saya kira naskhah ringan, konfliknya nampak kecil hingga kesan kenapa dia dianggap Supermokh lemah. Ia berbeza bila tonton dokumentari National Geographic Mokhtar Dahari. Perjuangan Mokhtar untuk menjadi pemain handal dan terbilang jelas dan berkesan. Adakah teater muzikal ini cuba meringankan perjuangan Mokhtar? Jadi sangsi pula bila Mokhtar enggan wakil Malaysia tapi mahu main untuk Selangor sahaja, kenapa? Banyak kali soal lencana dibangkit tapi lencana apa? Malaysia atau Selangor? Apa yang buat Mokhtar itu terbilang bagi negara? Latar belakang Mokhtar tidak kukuh, saya tidak tahu apa yang menolak Mokhtar untuk jadi pemain bola handal? Kenapa dia berkahwin dengan bola? Desakan apa yang buat dia pilih jadi pemain bola? Apa konflik besar Mokhtar selain hanya berdepan dengan kritikan wartawan? Konflik marahkan isteri sebab marahkan penyokong - itu konflik cukup besarkah? Banyak kali diulang Mokhtar tidak suka Ina ke stadium. Bagaimana Mokhtar yang tarik diri pada tahun 1979 dan terbuka bermain semula untuk Malaysia boleh tercetus? Adakah hanya peristiwa tiga kanak-kanak main bola depan rumah Mokhtar? Politik wang dalam bolasepak - ia mungkin isu besar yang ditentang Mokhtar tapi diterjemah dengan cara yang ringan. Walhal itu penting dan relevan dengan isu hari ini. Konflik Mokhtar melawan penyakitnya walau dia tidak tahu dia menghidap motor neuron disease, dia terus menyumbang tenaga. Itu bukan konflik kah? Tapi apapun teater adalah pilihan pengarah untuk memilih 'event' mana bagi menyerlahkan penceritaanya.

Kalau saya kata pengarah dan penulis cerita ini bukanlah peminat Mokhtar Dahari, jahatlah pulak pernyataannya. Itu andaian saya sahaja. Mungkin Harith Iskandar peminat sejati dan mengagumi Mokhtar. Tapi plot dan peralihan babak ke babak macam longgar dan lemah objektifnya. Memang ada babak-babak penting dalam dunia bolasepak seperti 'coach' marahkan pemain waktu rehat separuh masa pertama. Tapi babak di kelab, babak depan pintu masuk Home Team, babak gerai makan, babak depan budak tiga orang macam tawar - macam kurang idea untuk wujudkan spirit hero di situ.

4 babak pertama saya kira sedap dan menarik, mengenalkan 'alam' yang bakal penonton terokai, alam bola sepak, wira bola sebagai pekerja dan wira bola sebagai suami. Babak pertama di stadium nampak meriah, chaos dan bersemangat. Saya kata menarik juga stadium masuk panggung. Tapi bila masuk sahaja babak di kelab- Arumugam nyanyi saya dah rasa lain macam. Babak paling menarik yang saya rasa ia sebuah muzikal apabila Kenny bertemu Mokhtar dan rakan-rakan di pejabat. Babak itu dicipta cukup harmonis daripada segi koreografi, dialog dan lakonnya. Satu lagi babak yang kira menarik ialah babak di supermarket. Dina menonjol dan dominasi tiap kali muncul. Ada dua tiga kali waktu peralihan babak, ia seolah diada-adakan, mengisi masa set bertukar contohnya masa Kenny takut seorang diri di pejabat. Itu tak perlu tapi untung bagi Douglas kerana memberi ruang untuknya menyerlah. Lain babak yang saya kira macam 'perlu ke' bila transisi muzik joget.

Sepanjang malam itu, yang paling ditunggu dan menyerlah adalah Douglas Lim. Saya tidak pasti apakah Kenny itu watak fiksyen atau pernah hidup. Tapi setiap kali Kenny keluar, penonton terhibur. Kenny menenggelamkan watak lain termasuk Awie. Kenny menguasai pentas dengan dialog dan lakon yang menyengat. Mokhtar Dahari pun terpaksa bagi laluan pada Kenny. Watak Dina juga menarik tapi dah jadi typecast lah pulak. Maya tidak berbeza dengan lakonnya di layar. Awie sedap nyanyiannya tapi sesekali rasa disconnect dengan teater, rasa macam nyanyi untuk show. Ada seorang dua pelakon nyanyiannya sumbang dan flat. Muzik oleh Micheal Veerapan rasanya kurang sesuai untuk sebuah muzikal. Ia macam terpisah. Lagu terakhir soliloki Ina itu sepatutnya jadi lagu berhantu, ia luahan isteri tentang suami/kekasih, malangnya lagu itu jadi tawar. Tapi lagu duet Mokhtar dan Ina di rumah cukup manis dan mesra telinga. Lagu-lagu solo Mokhtar boleh jadi potensi lagu popular. Tarian oleh Azwa tiada menawan mata saya. Cuma gerak orang berlari sahaja yang saya ingat. Cubaan membawa koreografi illuminate atau Tron Dance bagi babak perlawanan Selangor lawan Johor saya kira menarik tetapi masih ada kelemahannya. Perlu dielakkan krew melintas dan ternampak waktu mengangkat penari. Tapi saya tahu ia bukan koreografi yang mudah.

Apapun Supermokh sebuah muzikal bukanlah teater yang gagal. Ia menghiburkan dan boleh ditonton. Mungkin saya agak kritis. Bagi saya Supermokh boleh dianggap sebagai sebuah teater pencetus di dalam mengangkat tokoh-tokoh negara selain pemimpin. Bila Tall Order mengangkat Mokhtar saya kira selepas ini bolehlah tokoh-tokoh lain diangkat. Ramai lagi insan terbilang di Malaysia yang kita tidak kenal perjuangannya. Sebelum ini Tall Order angkat Lat. Mungkin selepas ini akan ada kisah pejuang seni atau sasterawan atau tentang kisah insan biasa dijadikan teater. Kita tidak tahu di dalam tiap rumah ada drama yang cukup dramatik.


Supermokh akan berlangsung di Istana Budaya sehingga 18 November 2013. Rujuk foto di atas untuk dapatkan tiket.

Sunday, November 10, 2013

BULAN LEBIH INDAH

diambil dari Rumah Anak Teater
Mungkin saya masih terperangkap dalam terowong lama dan tidak berkembang dan tidak berubah-ubah bila melihat bentuk yang baru. Mungkin sekali saya suka dan yang itulah jadi 'benchmark' nya. Mungkin saya ada prejudis? Tidak mungkin lah sebab waktu mahu menontonnya fikiran saya sangat terbuka. Saya hanya mahu lihat kerja orang hebat. Kerja kawan lama...

Trilogi yang dipersembahkan adalah cerita lama yang berkembang dari satu cerita pendek untuk tujuan malam anugerah Boh Cameronian Award. Malam itu, naskhah dan karya Namron diangkat mewakili generasi baru dan generasi alternatif di pentas berprestij seperti Boh Awards. Mardiana mainkan watak Bintang. Dengan rambut tidak rapi, berkemeja putih besar dengan suara lantang dan bertenaga dia meniti penuh hati-hati di atas satu garis yang saya anggap itu titian yang membelah dosa pahalanya. Mardiana membuka malam itu dengan hebat sekali. Dewan Mandarin Oriental menaakul maksud cerita Namron walau itu cerita mirip kisah yang menjadi tatapan muka depan akhbar.

Malam menonton Aku Nak Jadi Bintang persembahan Sharifah Amani, perasaan saya jadi jahat. Saya heret semula pengalaman menonton Mardiana walhal sepatutnya saya tidak harus begitu. Tapi imej Mardiana terlalu kuat untuk saya lepaskan. Amani bermain dengan ringan sekali. Dia seperti pari-pari yang terbang dari satu bintang ke bintang. Perasaannya cantik, comel, manis sekali. Dia tidak kelihatan seperti seorang yang mirip 'Norita' (Itu pun yang dibisikkan kepada saya oleh seorang pelakon dan pengarah filem hebat pada malam itu). Sesekali Amani meniti tapi titiannya tidaklah satu beban yang berat. Kisahnya mahu jadi bintang jadi satu fantasi seorang perempuan cantik.

diambil dari Rumah Anak Teater
Cerita kedua adalah Laut Yang Tenang. Kisah ini jadi pelengkap dua cerita terawal iaitu Aku Nak jadi Bintang dan Laut lebih Indah dari Bulan. Dua pelakon yang sudah punya pengalaman di pentas beraksi, Vanida dan Aqasha.

Aqasha punya sosok tubuh yang cocok untuk jadi Laut (seperti Haniff - lelaki disabit bunuh Norita) dan ada ciri bijaksana. Namun permainan soal jawab antara Aqasha dan Vanidah semacam ada yang tidak cukup. Ia seolah berlaku dalam mahkamah, seperti seorang pendakwa menyoal tertuduh. Sesi ini jadi sangat tegang walaupun dalam bicara itu ada hal-hal yang boleh diringankan. Kisah peribadi kedua-dua watak saya kira menarik, tapi dua aktor ini memilih untuk persembah cara begitu. Dua naskhah awal malam itu bawa fikiran saya jadi berat. Dalam hati kata 'cepatlah Sofia keluar'.


Waktu Sofia memulakan cerita Laut Lebih Indah Dari Bulan, saya kata 'oh dia pilih sebagai orang yang naif' tapi saya salah. Bila dia bersoal tentang 'jadi baik' dan 'jadi jahat' saya kata kenapa nadanya begitu? Marlenney lebih baiklah. Tapi Bulan di tangan Sofia meningkat dan berkembang dari plot ke plot. Sofia membedah perwatakan Bulan jadi seorang isteri dan wanita yang cukup menawan. Dengan hanya sebuah kerusi dan majalah yang bertaburan, permainan Sofia meyakinkan. Dia memberi imaginasi pada setiap ruang dan aktivitinya. Saya melihat Bulan sakit luar dan dalamnya apabila satu persatu kejahatan Laut terbongkar. Sakit dan sakit sungguh saya lihat Bulan ketika itu.

Memang bulan itu metafora kepada wanita dan Namron menafsir watak bulan pada naskhah ini cukup baik. Sofia pula memberi nyawa pada Bulan. Mewarnai karakter Bulan dengan sifat dan sikap yang meyakinkan. Bulan mesra dengan sinar , mudah menyerap dan menyeri gelap malam. Bulan adakala gerhana dan ketika itulah Sofia melontar dan menghujah satu-satu kecewanya. Percayanya pada Laut luluh satu-persatu. Lakonan Sofia beranjak dimensi ke dimensi. Penonton pun hanyut melayan kisah Bulan. Bulan mencuit dan berbahasa pada penonton. Ceritanya turun naik buat saya selaku penonton pun turun naik. Syabas Sofia!

Apapun produksi Teater Kompilasi Namron ini menghidangkan yang istimewa. Syabas buat Namron dan Rumah Anak Teater. Kalau boleh pentaskan semula Lembu dan Mat Deri Kola Perlih. Atau mungkin ada naskhah baru yang bawa semula gandingan Eijat + Namron atau Mardiana + Namron.

Monday, November 4, 2013

MENUNGGU LAMPU HIJAU


Monodrama Menunggu Lampu Hijau tamat petang semalam. Saya kira ia berjaya setelah sekian lama tidak ada projek monodrama di ASWARA. Naskhah yang ditulis oleh penulis tersohor dan juga penerima Anugerah SEA Write Award 2008, Dr Hatta Azad Khan jadi signifikan kepada bentuk teater hari ini. Dr. Hatta saya lihat cuba mendekati khalayak baru melalui bentuk sebegini. Seperti kita ketahui beliau adalah Rektor ASWARA dan bekas Ketua Pengarah Istana Budaya serta pernah mementaskan teater di panggung bertaraf dunia itu. Jadi bila beliau pilih teater kecil seperti blackbox, saya kira ini langkah orang hebat berstrategi baru.

Jika dilihat kepada perkembangan teater hari ini, khalayaknya sudah berbahagi-bahagi. Kalau dahulu kita ada kelompok teater Inggeris dan Melayu (siapa yang pecahkan begini saya tidak tahu, walhal kalau namanya teater ia tetap teater). Tapi mutakhir ini, sejak Istana Budaya (IB) muncul dengan imej prestij dan hi-tech, lalu teater-teater kecil bermain di pinggiran. Ketika IB merancang membangun khalayak teater dengan cara mereka, membawa selebriti dan mengangkat citarasa muzikal ke pentas, rupanya ramai yang berubah angin kembali kepada bentuk biasa 'straight theatre'. Lalu premis teater Stor DBP, Blckbox ASWARA, Blackbox Map, Pentas 2 KLPac, PJLArts dan terbaru DPAC mula memancing perhatian. Produksi-produksi kecil tumbuh dengan subur sekali, malah mereka ada 'followers' yang bukan calang-calang yang terdiri daripada anak muda yang berpelajaran. Maka kelompok ini seolah tidak lagi hairan dan endah dengan pentas IB. Mereka tidak lagi wujud dalam kelompok Ingerris atau Melayu, tapi wujud sebagai kelompok ikut aliran. Bagi mereka, berkarya itu lebih mustahak. Apatah lagi mementaskan teater sudah jadi mahal, mana ada lagi produksi mega yang aktif pentaskan teater seperti dalam tahun-tahun 1990an. Dek kerana mahallah kat IB pun ada banyak konsert kerana itu lebih untung.

Berbalik kepada Menunggu Lampu Hijau (MLH) lakonan Sharul Mizad Asaari atau Eijat ini, ceritanya agak mudah. Secara dasar kita fahami ia berkisar soal poligami dan hubungan suami isteri serta kisah manusia dengan perkahwinan. Secara permukaannya kita dapat menelah konflik manusia dengan manusia dan manusia dengan dirinya. Bukhari yang berhadapan statusnya sebagai lelaki bujang yang belum berkahwin di usia 45 tahun, dikelilingi oleh mereka yang memiliki ragam berkeluarga. Mentornya Profesor Syed Mahfuz yang taat kepada isterinya Syarifah Edora walaupun punya niat untuk tambah pasangan. Manakala abangnya Ahmad Bakti beristeri empat yang kesemuanya bekas ibu tunggal dan ibubapanya yang rukun berumahtangga tetapi rupanya ada rahsia yang mengejutkan. Tambah mengejutkan, Syed Mahfuz peroleh lampu hijau tiga hari sebelum kematiannya hingga membawa kepada Bukhari menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwini Syarifah Edora. 'Twist' cerita yang disampaikan menarik dan ada kejutannya. Apa pula isu dan hal yang tersembunyi dibalik cerita MLH ini? Saya kira hal besar dalam cerita ini adalah Ego lelaki, keinginan yang berpusat pada satu wanita. Ada banyak jalan menuju keinginan itu cuma tergantung kepada pilihan, sama ada mahu ikut aturan atau langgar di mana akhirnya detinasi tujuan tetap sama Wanita.  Tiga watak lelaki iaitu Syed Mahfuz, Ahmad Bakti dan Bapa Bukhari memperlihatkan tiga jenis contoh di hadapan Bukhari bagaimana mahu memiliki wanita namun Bukhari menemui dengan cara berbeza.

Sebenarnya menunggu lampu hijau dalam realiti adalah kejadian hari-hari. Bagaimana manusia memenuhi kehidupannya. Menyiapkan tugasan atau melaksanakan tanggungjawab. Ia juga seperti kita yang berdepan dengan banyak jalan, mahu yang 'short cut' atau mahu ikut 'highway' atau 'ikut saja jalan jauh yang berliku. Ketiga jalan itu punya tujuan yang sama tapi ia tentu sekali beri pengalaman yang berbeza. Dalam hidup hari ini, di mana-mana pun orang berpolitik. Sering kita jumpa kaki kipas untuk memanjat naik ke jawatan tinggi, sering juga kita jumpa orang yang 'high passionate' buat kerja macam nak mampus, siang malam kerja tapi menunggu berbelas tahun untuk naik satu tangga. Dan kita juga selalu jumpa orang yang buat apa saja kerja untuk mewah yang penting ada kereta, gadget mewah, rumah besar dan segala macam kesenangan hingga tidak endah lampu mana yang dilanggar asalkan tujuan capai lalu terjunlah dia dalam rasuah, khianat, tipu, jatuh menjatuh, perah keringat dan segala macam hal yang menolak hak orang. Dunia hari ini sudah tunjuk macam-macam, orang sanggup jual maruah pun untuk jadi terkenal.

Lakonan Eijat saya anggap hebat. Membawa 12 watak bukan senan apatah lagi berada seorang diri di pentas selama 90 minit. Tenaga mana yang dijana Eijat hingga begitu bagus. Biasa saya lihat 45 minit pun cukup lama apatah lagi 90 minit. Ia taraf superactor. Memang ada sana-sini kelemahan di pentas bila Eijat mahu bezakan satu watak dengan watak yang lain apa tah lagi wujud pertindihan dialog antara karakter. Kelam kabut jugalah Eijat mengubah ikatan selendang untuk identitikan watak empat isteri itu. Bagi saya, MLH berjaya kerana lakonan baik Eijat. Dia menghantar imaginasi yang bagus sekali. Kita boleh membayangkan bagaimana Kak Rogayah yang tidak digemari Bukhari. Watak super ego Syed Mahfuz yang tidak mahu mengaku dia takut bini dan watak Bapa Bukhari yang mengandung 1001 misteri. Menarik sekali cara Eijat bermain yang saya kira ini memang makanannya. Saya anggap Eijat antara pelakon pentas terbaik masa kini. Sudah berapa monolog dan monodrama dia main dan tidak mengecewakan. Saya ingat lagi lakonannya dalam Lembu yang saya kira itu masterpiecenya. Begitu juga lakonannya dalam Proses berganding dengan Juhara Ayub. Jadi bila Dr.Hatta pilih Eijat memainkan MLH, ia adalah pilahan yang tepat. Eijat merealisasikan tuntutan lakonan lelaki tulen dan menepati tuntutan watak perempuan. Itu sudah cukup hebat kan?

Pengarahan Dr.Hatta tidak kompleks. Banyak kali lampu gelap cerah bagi membataskan segmen. Di mana di skrin boleh kita baca babak-babaknya. Penggunaan set ruang tamu dan ruang pejabat sudah cukup mudah berbanding hanya bongkah atau sebuah kerusi sahaja. Jadi kerja mencipta premis dan mengatur adegan jadi lebih mudah.

Syabas juga diucapkan kepada tenaga produksi yang terdiri daripada anak-anak ASWARA. Kemas dan tersusun caranya. Selalulah berproduksi begini ya, Berbayar atau tidak keinginan berteater itu harus selalu diserlahkan pada tahap yang tinggi. Kalau bermalas-malasan tidak boleh jadi orang teater. Cuba belajar dari Eijat, dia punya banyak sejarah.

Saturday, November 2, 2013

MAKYUNG UNTUK KHALAYAK BARU

Ini wajah saya. Saya pegang watak kecil dalam makyung ini,
sebagai harimau jadian. Memang ia berbeza daripada
makyung tradisional kerana makyung istana budaya
mendekati realiti dan mengurangkan aspek improvisasi.
Foto-foto di bawah saya ambil sewaktu kami 'script reading'.
Nampak tak cara baru pentaskan makyung.
Dulu mana ada script reading.

Ada nampak tak orang itu, yang berbaju putih itu
Isey Salak Madu atau popular dengan kumpulan Titan BMB
di bawah mentor Sabri Yunus. Sebelahnya orang hebat
Asrul Kamarulzaman - Jaha Budak Kelantan,
Asrul ni memang saya hormati sebagai
orang muda yang kasih dan mendalami kesenian Kelantan.
Mereka berdua berpasangan sebagai Peran.


Dua insan popular. Di tengah itu Vanida Imran.
Ini kali pertama Vee akan bermain makyung.
Sering dia luahkan ketakutannya. Tapi saya kira
pengalamannya sebagai aktor berkaliber,
main makyung cuma masalah minor, apatah lagi
makyung versi Istana Budaya. Wajah paling dekat itu
adalah Pakyung paling popular dewasa ini,
Rosnan yang akan pegang watak utama Anak Raja Gondang.
Yang dihujung sana itu Gee Habsah namanya.
Dia adalah pakyung kedua selepas
Rosnan dalam mana-mana pementasan IB.


Ini otai-otai Istana Budaya yang hanya petik jari sahaja dalam
buat sesuatu. Yang berbaju biru itu namanya Norsiah Yatim,
orang hebat dalam lakon dan tari. Masa saya mula kerja di KBN dulu,
saya tergamam sekejap bila bertentang Norsiah.
Saya minat tariannya dalam Mekar Sejambak.

ini sebahagian lagi otai IB. Yang paling kiri itu musuh saya yang
paling mesra,  Sharifah Raha namanya. Dia pernah muncul sebagai
Mahsuri dalam dramatari Mahsuri berpasangan dengan Umesh Shetty.
It was awesome!

Batak Raja Gondang akan menemui anda di Panggung sari Istana Budaya dengan
judul  Kesaktian Raja Gondang pada 29-30 Nov dan 1-2 Dis 2013.

Ismadian dalam cerita Dewa Indera Indera Dewa

Kali ini, IB ambil pendekatan popular dengan memasukkan selebriti tersohor dalam pementasan. Selain Vanida Imran, Makyung Kesaktian Raja Gondang juga akan menampilkan Sofia Jane dan Sabri Yunus. Selain itu ada wajah baru di pentas makyung nanti, ditampilkan Ismadian Ismail iaitu anak didik Fatimah Abdullah. Kami sekarang sudah masuk studio untuk latihan 'poket'. Saya yang akan jadi Harimau yang memerlukan stamina tinggi, harus memulakan senaman. Senaman? memanglah sangat!!! Takutnya sebab ia watak yang bermain fizikal. Dulu masa main Ulat Bulu dalam Siti Di alam Fantasi, badan saya macam awan yang kehujanan.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...