Hari ini sudah 18 November, makin dekat menuju hari persembahan. Saya pun masih mencari-cari gerak yang sesuai untuk watak Hala. Berbeza sekali main watak kali ini kerana ia memerlukan gerak fizikal. Jika sebelum ini saya mainkan watak Jin Hitam Pasak Penunggul dalam Dewa Indera Indera Dewa yang tuntutannya lebih kepada gerak-gerak besar. Tapi watak Hala - Mak Rimau Besar Sejang Kilat Sejalur Wangi ini memerlukan saya menguasai pentas dengan gerak kecil gerak besar, gerak atas gerak bawah dan menampilkan gesture dan mannerisme seekor harimau. Saya masih mencari itu. Di usia 40an ini, mahu beraksi lebih-lebih pun boleh jadi penyakit hahaha...
Memang ada orang kata main makyung senang saja sebab banyak improvisasi tapi bermain makyung di Istana Budaya sedikit berbeza, pelakon perlu menetapkan gaya dan cara lakonnya. Ia sudah jadi sebuah teater moden yang melalui proses latihan di mana setiap hari kita mengulang aksi dan dialog yang sama. Di mana saya pun kurang bersetuju. Sepanjang saya main makyung, seboleh mungkin saya tidak mahu menetapkan aksi (memang dalam permainan makyung ada aksi tetap untuk sesetengah watak macam Hala), supaya masih bermain dalam sekitar improvisasi tapi kehendak pentas perdana dan kehendak khalayak baru, lalu transformasi dalam bermain makyung juga turut berlaku. Kalau ikutkan cara Kak Asmah mengajar dan mengarah kami, beliau sebenarnya masih terikat dengan cara lama. Beliau sentiasa sahaja berubah dalam memberi ucat dan dialog.
Saya ingat lagi pengalaman main peran bersama Juhara dan Rosman, kami tidak melalui proses latihan tapi kami duduk dan berbincang sahaja objektifnya. Bila masuk rehersal pun kami cuma beri 'Q' kepada teknikal sahaja. Kami simpan aksi dan dialog untuk persembahan. Nyatanya bermain secara improvisasi lebih seronok. Penonton memanglah akan seronok dan kita sebagai pemain juga selalu terima kejutan daripada rakan lakon. Yang lebih menarik kita harus memberi respon pada aksi dan dialog rakan yang pada masa yang sama memberi kejutan kepada rakan. Itu improvisasi, di mana pelakon harus selalu bersedia untuk beraksi di luar jangkaan.
Ahad lepas keluar rencana mengenai makyung Kesaktian Anak Raja Gondang, penulis Amirul memberi fokus kepada dua pelakon tersohor yang pertama kali bermain makyung. Bacalah pengalaman Sofea Jane dan Vanida Imran.
SOFIA, VANIDAH 'KECEK KLATE'
Oleh AMIRUL HASWENDY ASHARI
Seni persembahan teater tarian kuno makyung
diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) sebagai karya agung warisan kemanusiaan bersama
42 lagi karya agung kebudayaan dunia pada 25 November 2005 di Paris, Perancis.
Bunyinya membanggakan tapi masih ramai anak
tempatan seolah-olah tidak memperakui, apatah lagi mengenali seni warisan dunia
ini secara keseluruhan. Pelbagai usaha dilakukan Kementerian Kebudayaan dan
Kesenian serta perseorangan untuk memperkayakan seni persembahan ini ke tahap
sepatutnya. Cerita dalam makyung pula mempunyai 24 versi. Selain kisah Dewa Muda, Bongsu
Sakti dan Raja Tangkai Hati, kisah Kesaktian Anak Raja Gondang tidak kurang
menariknya.
‘Royak hilang berita nak timbul, timbul nak royak, seorang raja sebuah negeri,
seorang raja sebuah menteri, raja ada dengan menama, negeri ada dengan
bergelar’ antara bait lirik dalam lagu Mengadap Rebab yang menjadi antara lagu
wajib didendangkan dalam seni persembahan makyung.
Berita baik buat peminat seni teater apabila makyung dipersembahkan pada ruang
lingkup besar di Istana Budaya pada 29 November hingga 2 Disember ini. Lebih menarik apabila dua artis terkenal, Datin Sofia Jane dan Vanidah Imran
menjadi tunjang utama pementasan ini sebagai Tujuh Puteri Negeri Hampa Beranyut
bersama Rosnan Rahman. SELEBRITI Metro Ahad berkesempatan mengikuti sesi latihan yang dijalankan.
Peminat teater ini pasti teruja menantikan kejutan serta keunikan seni makyung
kali ini berbanding persembahan sebelum ini.
Ini kali pertama Sofia bermain teater makyung.
Katanya, cabaran utama dihadapinya ialah menguasai loghat Kelantan yang menjadi latar dialog utama seni makyung.
“Saya dari dulu memang suka dengar loghat Kelantan dan saya beruntung sebab suami boleh bercakap loghat itu kerana berasal dari Kelantan dan Terengganu.
“Saya hanya perlu luangkan lebih banyak masa bercakap dalam loghat itu supaya bila saya cakap, orang faham dan bunyinya betul.
“Namun sekarang, cabarannya lebih dari itu sebab masa latihan tinggal beberapa minggu lagi. Saya anggap ini sebagai cabaran untuk mengetahui sejauh mana saya boleh pergi,” katanya.
Kata Sofia, dia tiada masalah menari kerana ada asas tarian balet. Dia juga terima tawaran sebagai tanggungjawab sosial sebagai anak seni.
“Walaupun seni persembahan makyung masih dipersembahkan di Kelantan, ia jarang diadakan di Kuala Lumpur dan negeri lain kecuali di institusi pengajian tinggi tempatan.
“Segala-galanya berbalik kepada proses pendidikan awal. Jika di peringkat awal persekolahan kita diperkenalkan dengan seni persembahan halus seperti makyung, ia pendedahan menarik dan sesuai dengan jolokan makyung yang diangkat di peringkat dunia.
“Tidak kira seni apa sekalipun, sama ada Asyik, Ulik Mayang, Gamelan, tarian India atau Cina, segala-galanya berbalik kepada sistem pendidikan kita,” katanya mengenai nasib yang menimpa makyung.
Ini kali pertama Sofia bermain teater makyung.
Katanya, cabaran utama dihadapinya ialah menguasai loghat Kelantan yang menjadi latar dialog utama seni makyung.
“Saya dari dulu memang suka dengar loghat Kelantan dan saya beruntung sebab suami boleh bercakap loghat itu kerana berasal dari Kelantan dan Terengganu.
“Saya hanya perlu luangkan lebih banyak masa bercakap dalam loghat itu supaya bila saya cakap, orang faham dan bunyinya betul.
“Namun sekarang, cabarannya lebih dari itu sebab masa latihan tinggal beberapa minggu lagi. Saya anggap ini sebagai cabaran untuk mengetahui sejauh mana saya boleh pergi,” katanya.
Kata Sofia, dia tiada masalah menari kerana ada asas tarian balet. Dia juga terima tawaran sebagai tanggungjawab sosial sebagai anak seni.
“Walaupun seni persembahan makyung masih dipersembahkan di Kelantan, ia jarang diadakan di Kuala Lumpur dan negeri lain kecuali di institusi pengajian tinggi tempatan.
“Segala-galanya berbalik kepada proses pendidikan awal. Jika di peringkat awal persekolahan kita diperkenalkan dengan seni persembahan halus seperti makyung, ia pendedahan menarik dan sesuai dengan jolokan makyung yang diangkat di peringkat dunia.
“Tidak kira seni apa sekalipun, sama ada Asyik, Ulik Mayang, Gamelan, tarian India atau Cina, segala-galanya berbalik kepada sistem pendidikan kita,” katanya mengenai nasib yang menimpa makyung.
Masalah menguasai loghat Kelantan juga antara cabaran utama dihadapi Vanidah apabila menjayakan pementasan ini. Pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir itu akui dia lebih mudah menggunakan loghat utara kerana berasal dari Pulau Pinang.
“Saya berusaha berbual dalam loghat Kelantan bagi memantapkan persembahan. Banyak perkara perlu dipelajari dan dikuasai dalam masa singkat.
“Paling saya takut ialah menyanyi sebab saya tak pandai menyanyi dan mendapatkan lenggok dalam nyanyian Makyong.
“Saya banyak dibantu pengarah persembahan yang juga primadona makyung, Fatimah Abdullah dalam mendapatkan lenggok nyanyian yang betul,” katanya.
Vanidah akui pernah ditawarkan menjayakan persembahan makyung sebelum ini tetapi baru kali ini pintu hatinya terbuka untuk mencuba.
Katanya, sebelum ini dia tidak berani terima tawaran buat persembahan makyung sebab tak yakin.
“Apabila sering ditawarkan, saya rasa kenapa tidak saya sahut cabaran ini. Memang sukar kerana sesuatu yang tradisional tidak mudah dipelajari berikutan ia memerlukan kesabaran dalam mendapatkan kelembutan seni tradisi itu.
“Alhamdulillah, saya pernah mendapat tunjuk ajar dalam seni tarian Asyik dan Gamelan satu ketika dulu dan seni makyung yang bakal dipersembahkan kelak adalah satu tambah nilai bermakna buat saya sebagai anak seni yang cintakan budaya,” katanya.
Persembahan teater Kesaktian Anak Raja Gondang mengisahkan Raja Gondang yang pergi mengembara dan menjelajah dari negeri ke negeri selepas diminta oleh bondanya, Puteri Gak Petera.Setibanya di Negeri Hampa Beranyut, Raja Gondang bertemu Tujuh Puteri Anak Raja Besar di Kolam Banjaran yang tanpa pengetahuan sebenarnya sudah bertunang dengan Tujuh Putera. Ketika bersiram di Kolam Banjaran itulah, Raja Gondang jatuh cinta dengan Puteri Bongsu. Raja Besar yang mendapat tahu terus murka dan menjatuhkan hukuman mati ke atas Puteri Bongsu atas nasihat Puteri Sulong.
Menurut Rosnan, walaupun biasa dengan seni persembahan makyung dan kepelbagaian cerita dalam makyung, kisah Kesaktian Anak Raja Gondang sangat baru baginya.
“Ada tiga kisah dalam trilogi popular dalam kisah Kesaktian Anak Raja Gondang, tetapi kisah Batak Raja Gondang adalah baru dan tidak pernah dipersembahkan oleh saya.
“Kami memilih kisah Batak Raja Gondang untuk menambah dokumentasi Makyong sedia ada, lagipun melalui cerita ini banyak watak boleh ditampilkan,” kata Rosnan.
Katanya, antara kejutan ialah adanya babak romantis membabitkan Batak Raja Gondang dan Puteri Bongsu terbang, dan ia kali pertama terjadi di dalam seni persembahan tradisional makyung. Selain Sofia dan Vanidah, persembahan turut diserikan dengan pelakon lain seperti Sabri Yunus, Che Kem, Isey (Bintang Mencari Bintang) dan beberapa nama besar lain dalam bidang teater.
No comments:
Post a Comment