Siapa nak jawab bila filem bahasa Cina The Journey pecah rekod kutipan filem tertinggi dalam sejarah negara? Saya tanya sebab filem ini sangat merendah diri, tiada hal-hal yang gempak yang boleh disebut sebagai gimik menjual. Tiada bintang paling popular, tiada tema popular malah tiada aksi ganas atau muka hantu yang hodoh. Jadi apakah pegangan filem Melayu selama ini salah? Apa yang difikir oleh pembikin filem Melayu hanya khayalan dan 'assume' apa yang penonton suka. Atau apakah pembikin filem Melayu cuba membodohkan penonton dengan lambakan kisah-kisah murahan dan dengan sendirinya merendahkan pemikiran penonton.
Memang sebelum The Journey, KL Gangster yang cipta rekod RM11 juta lebih. Agaknya itulah bukti formula terbaik. Kisah aksi bergaduh bertumbuk, wa langsi lu langsi, kereta terbang, kereta terbakar, gangster kelakar dan macam-macam lagi adunan yang sebiji macam filem Hong Kong atau Hollywood. Masa itu KL Gangster mengangkat martabat filem Malaysia. Tapi berita semalam, The Journey kutip RM12.92 juta tanpa ada formula seperti KL Gangster, ia sesuatu memeranjatkan kerana filem ini hanya cerita biasa jika dilihat pada senario filem-filem tempatan masakini. Cuba lihat sahaja judul-judul yang sedang menanti untuk tayangan.
The Journey berkisah tentang konflik dua generasi dan dua budaya. Bosan kan? Mana mungkin filem berkisar dalam sebuah keluarga dan perjalanan mencari sahabat boleh menjadi 'boom'! mana mungkin! Ini tak masuk akal. Filem kita sepatutnya mesti berlebih-lebihan. Kalau sedih biarlah keluar segala air mata, air mulut dan hingus. Kalau gangster tu seeloknya peluru mencucuk-cucuk sepanjang cerita dan berdarah-darah habis badan hero yang badannya mesti sasa dan heroinnya sungguh jelita. Kalau hantu tu eloklah muka hantunya berlopak-lopak dengan merah menyala matanya kemudia ketawa yang bergema-gema hingga menghantui sepanjang tidur. Kalau komedi ia mestilah komedi yang megekik-ngekik sampai senak perut, buat muka-muka kelakar, lelaki pakai baju perempuan atau kisah mat rempit jadi korporat dengan perangai tak cukup sifat. Itulah kisah yang penonton mahu. Jadi mana mungkin The Journey, sebuah filem lakonan pelakon tua dan kebanyakan pelakonnya tua-tua, hanya seorang dua sahaja muda boleh jadi meletup. Pakai bomoh kot. Apatah lagi ini filem Bahasa Cina. Mana ada orang Cina Malaysia tengok filem Cina tempatan, mereka suka filem China atau Hong Kong sahaja.
Jadi sekarang siapa nak jawab segala tohmahan, formula dan apa juga pernyataan mengenai industri kita? Saya merasa cukup bangga menonton The Journey. Ia sangat Malaysia. Ini juga yang cuba dibuat Allahyarham Yasmin Ahmad tapi banyak sekali suara-suara yang marah. Bila pengarah Chiu mengarah sebuah filem Malaysia berbahasa Cina tapi flavournya sangat Malaysia, ia sebenarnya sedang menampar bertalu-talu muka para pembikin filem kita. Kacamata Chiu mengungkap keindahan Malaysia bukan sekadar pada fizikalnya tapi pada adat dan budaya juga. Tidak ada kemewahan dalam filem ini, ia banyak memaparkan realiti. Kisah pekebun, Ah Chuan yang punya pandangan sendiri tentang tradisi. Tentang bagaimana tradisi itu harus mengalir pada generasi. Sangat menarik apabila adanya perbandingan di awal dan akhir cerita. Dibuka dengan majlis perkahwinan sahabat Ah Chuan yang mengambil mudah soal tradisi dan membiarkan orang muda meraikan dengan caranya, sehingga menimbulkan rasa kesal dan marah pada Ah Chuan dan ditunjukkan cara lama dalam semangat tradisi di akhir cerita. Sangat manis sekali gambaran Chiu mengenai tradisi. Dalam filem ini juga, Chiu menjual budaya Cina Malaysia dengan bijak dan cukup tersendiri, perayaan Tahun baru Cina di Pulau Pinang digambarkan secara besar-besaran. Ia mengujakan saya. Inilah Malaysia yang kaya dengan perayaan. Saya kira Chiu sengaja memanjangkan babak-babak semasa perayaan berlangsung. Memang dipaparkan konflik antara generasi tetapi konflik itu tidak menimbulkan benci kerana ia realiti, bagaimana si Gemuk menunjukkan sikap kurang ajar pada orang tua tapi pada masa yang sama Si gemuk berkompromi di dalam meneruskan warisan dan punya semangat kekeluargaan yang tebal.
Berlainan dengan Benji (bakal menantu Ah Chuan) seorang lelaki Inggeris yang awalnya melihat budaya Timur dari sudut yang berlawanan. Benji dan Bee (anak Ah Chuan) sudah bertunang dan Bee hamil hasil hubungan mereka. Namun Benji melihat ikatan antara dia dan Bee hanyalah antara mereka. Bukan satu perkahwinan keluarga dan budaya. Satu tamparan awal apabila Ah Chuan menghalang Benji dan Bee tidur sebilik. Benji anggap itu ketinggalan. beberapa insiden antara Ah Chuan dan Benji mengungkap perbezaan nilai timur dan barat. Perjalanan Ah Chuan dan Benji menjemput rakan-rakan lama Ah Chuan ke majlis perkahwinan adalah titik tolak perjalanan Benji mengenal budaya timur. Satu-persatu diselami sehingga menukar persepsinya tentang perkahwinan, tentang persahabatan, tentang adat budaya, tentang memahami pandangan dan latar hidup orang. Bijak sekali garapan ini. Kisah ini kedengaran berat namun ia disampaikan dengan santai sekali. Saya boleh menangis dalam ketawa.
Entah dari mana datangnya pelakon-pelakon ini semua, saya tidak pernah lihat mereka di filem atau di kaca TV sebelum ini. Tapi lakonan mereka sangat meyakinkan. Saya suka sekali melihat kemesraan Ah Chuan dan rakan-rakan lamanya. Itulah caranya kalau kita reunion dengan member sekolah. Kita jadi budak dan itulah yang terlihat dalam lakonan mereka. Aktor-aktor yang berusia itu tidak nampak mereka membodohkan diri memainkan semula ksi-aksi mereka semasa sekolah. Saya sendiri terimbau dengan kisah zaman sekolah. Ah Chuan seorang serius tapi sering sahaja kita tercuit dengan aksinya. Saya boleh ketawa masa aksinya menampal koyok di badan, betapa egonya tinggi. Dan saya dapat rasa sedih Ah Chuan waktu dia menunggu Bee yang tak pulang sedang dia sudah menyediakan hidangan istimewa. Tapi itu semua digarap dengan bersahaja. Keras Ah Chuan tidak menimbulkan benci atau meluat tapi kita menyelami hati ayah tua yang sedang melawan egonya. Dia berperang dengan dirinya, dia tidak tahu bagaimana mahu merendahkan egonya waktu hatinya sudah sedia untuk terima anak dan bakal menantu.
Banyak babak dan adegan yang menarik, saya paling suka babak Ah Chuan ke rumah Fatimah. Fatimah adalah satu-satunya pelajar Melayu/perempuan dalam kelasnya dan jauh di sudut hati, Ah Chun seperti menyimpan perasaan. Ini terlihat bila Ah Chuan menukar pakaian baru untuk bertemu Fatimah. Babak di rumah Fatimah sangat Malaysian. Suasana kampung dan kemesraan Fatimah melayan Ah Chuan dan Benji menghidupkan rasa persahabatan itu. Apatah lagi keletah cucu-cucu fatimah yang mengusik Benji.
Bila nak menulis entri ini, saya tidak merancang apa-apa, ia hanya mengalir dari penontonan saya. Mungkin tulisan saya ini melampau dan berat sebelah. Tapi tidak mengapa kerana saya hanya terpesona dengan cerita The Journey. Pada Ahad lepas saya bawa anak isteri ke Mid Valley untuk menonton sekali lagi. Tapi malangnya tiga tayangan dari jam 5.45pm ke 8.20 malam semuanya penuh. Dahsyat sekali The Journey.
Apa yang saya temui dari The Journey ialah mewariskan 'tradisi perlu ada kompromi'. Dalam hal tradisi adat budaya, ia bukan bersifat objektif tapi ia adaptasi. Ia harus menyusur terowong masa. Generasi berubah mengikut peredaran masa. Ia tidak statik, ia dipengaruhi lingkungan. Hanya kebijaksanaan dapat mengekalkan tradisi. Dan yang pasti tradisi itu adalah Roh. Roh itu kepercayaan, amalan dan pegangan yang perlu selalu dekat.
lepas ini layan Cuak pula.