Jom Kita Jadi Geng

Saturday, February 8, 2014

ASWARA: ANDA PILIH MENJADI BERBEZA

Pendidikan seni dan budaya ada masa depan

Oleh KHARIZAL MAT KHALID
"SIAPA itu Kassim Selamat lawyer, hakim, majistret?" tengking Mak Dara kepada anaknya Sabariah. "Tak ibu, ahli muzik," jawab Sabariah. "Memang pantang keturunan aku ahli muzik," pekik Mak Dara kembali.
Babak daripada filem Ibu Mertuaku itu menggambarkan betapa bencinya seorang ibu apabila anaknya memilih bakal suami berlatarbelakangkan bidang seni.
Beberapa dekad lepas masyarakat sememangnya memandang rendah pekerjaan dalam bidang seni kerana mereka dianggap golongan tidak mempunyai masa depan dengan pendapatan yang tidak stabil.
Walaupun kewujudan pelbagai institusi dan pusat pengajian seni di universiti, bagaimanapun hakikatnya ia tidak mudah untuk mengikis stigma negatif tersebut dalam kalangan masyarakat. Namun hakikatnya, hari ini kerjaya dalam bidang seni bukan sahaja menjanjikan pekerjaan tetap bahkan dengan pendapatan lumayan.
Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang ditubuhkan pada tahun 1994 antara institusi pendidikan yang melahirkan ramai pakar dalam bidang seni seperti tarian, teater, animasi, muzik dan penulisan kreatif. Bahkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim menyatakan, bahawa 96 peratus graduan Aswara memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian.
Berkongsi kisah dengan tiga pelajar Aswara, Redzuan Mohd. Fauzi, 20, dari Fakulti Teater, Ean Siew Yieen, 23, (Fakulti Seni Halus) dan Charles Nilberd, 22, (Fakulti Filem dan Video) masing-masing mengakui pernah dilemparkan dengan pandangan negatif mengenai bidang seni.
Halangan keluarga
Hasrat Redzuan contohnya untuk melangkah kaki ke Aswara pernah dibantah keras oleh ibunya, Suraya Salleh. Namun, Redzuan membulatkan tekad untuk mendalami dunia lakonan walaupun hampir setahun ibunya tidak menjenguknya setelah dia mendaftarkan diri di Aswara.
"Takkan kau nak jadi artis sampai kau tua, cuba kau tengok orang lain kerja akauntan, jurutera, doktor, kau ingat jadi artis boleh bagi kau senang ke?" soal ibunya yang tidak bersetuju dengan pilihan Redzuan.
"Saya nak buktikan kepada ibu yang saya boleh jadi sehebat Ahmad Yatim, pelakon dibayar mahal kerana kualiti lakonannya. Walaupun saya tahu masyarakat sekeliling hebat mengecam, namun prinsip saya mudah, usah peduli dengan tafsiran negatif itu kerana menjadi orang berjaya harus melalui pelbagai rintangan," kata anak sulung empat beradik yang berasal dari Negeri Sembilan itu.
Redzuan tidak menafikan buat masa ini dia terpaksa bekerja sambilan sebagai penyanyi, pengacara dan pelakon khusus untuk menampung perbelanjaannya di Aswara. Dia juga bersyukur dengan sumbangan bantuan dermasiswa 1Malaysia berjumlah RM500 daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang meringankan bebannya.
"Setiap persembahan, saya akan memperoleh bayaran antara RM300 hingga RM500, ada juga saya meminjam wang daripada keluarga namun tidak selalu. Apa yang penting saya harus berkorban dari segi tenaga dan wang ringgit demi perjalanan sebagai anak seni," katanya sambil memberitahu hubungan dengan ibunya sudah pulih setelah melihat dia menjayakan persembahan pentas Peniup Seruling sebagai watak utama beberapa tahun lepas.

ASWARA telah melahirkan ramai bakat seni dalam bidang teater, tarian dan animasi.


Impian bergelar pelukis profesional
Siew Yieen pula membuat pilihan menyertai Aswara setelah gagal dalam semua permohonannya ke institut pengajian tinggi awam untuk mengejar impian sebagai pelukis profesional.
"Saya ada memohon di Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Kelantan dan beberapa universiti lain, namun tidak diterima. Pada mulanya saya mati akal, namun setelah mencari dalam talian internet baharu saya tahu kewujudan Aswara," katanya yang kini sudah berada dalam tahun tiga.
Siew Yieen turut berdepan dengan tohmahan masyarakat yang mempertikaikan keputusannya menyertai Aswara, walhal dia boleh menjadi guru dengan kelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang dimilikinya.
"Ada seorang jiran yang sanggup menolong saya bergelar guru, namun saya berkeras kerana tidak meminati profesion itu. Kecenderungan saya adalah dalam bidang lukisan," katanya yang meminati lukisan abstrak.
Filem
Berlainan dengan Charles yang mendapat galakan daripada ibu bapanya, Philip Robert dan Nalinee. Ayahnya ialah seorang pemuzik dan menggalakkannya belajar di Aswara.
"Saya dibiayai sepenuhnya oleh ayah untuk belajar di sini. Ayah tidak kisah walaupun lebih RM3,000 wangnya dihabiskan untuk membiayai pengajian saya yang kini sudah masuk tahun ketiga," katanya yang menuntut dalam jurusan diploma daripada Fakulti Filem dan Video.
"Kalau saya boleh buat filem yang boleh mengubah tanggapan masyarakat kepada bidang seni saya akan buat. Cita-cita saya ingin membawa hasil karya saya ke luar negara untuk dipertandingkan," katanya yang telah mengarahkan dua filem pendek berjudul Let Me Live dan Dreams sepanjang menuntut di Aswara.
Walaupun pelbagai kecaman perlu dilalui Redzuan, Siew Yieen dan Charles, namun mereka percaya masyarakat akan kembali sedar untuk menaiktaraf golongan anak seni setanding dengan pekerjaan peguam, hakim dan majistret. - Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2shgDznkm 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...