Jom Kita Jadi Geng

Thursday, January 31, 2008

NATURALISASI TIDAK NATURAL


Jumaat lepas (25 Januari) saya menonton persembahan teater yang dipersembahkan oleh sekumpulan anak muda ASWARA. Teater ini pernah dipentaskan sebelum Raya Haji yang lepas tetapi saya tak sempat menontonnya. Membaca judul dan melihat posternya, ia memang memikat dan menarik minat orang untuk menontonnya. Berada di dalam panggung, memang memaku punggung kita di kerusi untuk melihat kesudahannya.
Naturalisasi adalah karya Namron yang dihasilkan semasa beliau masih menuntut. Bila Namron menulis, isunya berani dan jarang diungkap di dalam teater Melayu, kalau diungkap pun lebih tertumpu kepada kisah lelaki lembut sepertimana teater Ghazal Parti. Bagi saya Isu ini mengungkap kebenaran yang ada tetapi seakan tersorok atau terbuku di dalam jiwa Melayu yang memulihara kesopanan timur. Tiada aksi yang melampau dan tiada dialog yang cela. Ia disusun dan dipilih dangan baik malah dipersembahkan dengan manis sekali namun di sebaliknya ia berkias dengan tikaman.
Apabila naskhah ini diserah ke tangan orang muda yang bernama Fared Ayam dan dimainkan pula oleh tiga pelakon iaitu Amirul, Zahiril dan Qurratul Ain, ia menjadi semacam tidak lengkap asam garamnya. Mungkin mereka mentah atau tidak masak pengalaman untuk mengungkap persoalan yang ingin diungkap oleh Namron. Kerja Fared lebih tertumpu kepada mengatur dan meletak pelakon, yang mana kita boleh mengagak di mana dan ke mana pelakon akan berada, apatah lagi aturan setnya begitu predictable. Saya rasa Fared kurang mampu mengolah dan menyuntik jiwa ke dalam dua pelakon utama yang akhirnya saya melihat Amirul dan Zahiril bermain dalam lentok lakon yang pernah dilihat, mereka tidak membina graf lakon sehingga tidak wujud dimensi dan tempo yang menarik. saya lebih tertarik kepada ceritanya bukan kepada arahan dan lakon. Bila saya menonton persembahan ini, saya teringat percakapan saya dengan Joseph yang sedang sibuk dengan PhD seni persembahan di mana kami berbicara tentang kata-kata seorang tokoh teater yang mengatakan bahawa pemusatan teater itu adalah kepada lakonan kerana ia yang melontar dan menterjemah lambang, mesej dan makna. Jadi aspek lain hanya menyokong kepada penceritaan.
Apapun pementasan ini tidak mengecewakan dan Blackbox pada malam tu padat dengan pelajar ASWARA, UiTM dan Sunway College. Saya juga melihat kehadiran beberapa personaliti turut hadir. Bagi saya Kebolehan Fared dan teamnya mementaskan naskhah ini patut dipuji, cuma mereka perlukan masa untuk menjadi seperti namron atau mereka yang lain. Teruskan perjuangan!

Friday, January 25, 2008

KE MANA HALA MAKYUNG IB?


Saya berpeluang menonton pra-tonton persembahan makyung ENDENG TEJELI oleh Artis Budaya Istana Budaya. Persembahan ini bagi memperlengkapkan diri kumpulan ini untuk bergelar kumpulan makyung profesional pertama di Malaysia. Menonton mereka ini seperti menonton ahli keluarga bermain-main kerana semua yang di pentas saya kenali mereka malah sejak 12 tahun yang lalu. jadi ini lebih memudahkan saya melihat peningkatan dan kebolehan mereka di dalam permainan seni tradisional ini.
Seperti biasa makyung Istana Budaya menghidangkan Rosnan Abdul Rahman sebagai tarikan persembahan memandangkan beliau muncul sebagai pakyung lelaki tunggal yang ada di Malaysia. Apabila rakan saya ini dipentas kita jadi lupa untuk memerhati dan melihat potensi artis budaya yang lain. Kuasa 'outshine' yang ada pada Rosnan cukup kuat dan memikat sekali apatah lagi keupayaan bakat yang dimilikinya serta kesungguhan beliau mendalami bidang seni makyung ini membuahkan hasil. Saya kagum dan puji sikap positif yang ditunjukkan oleh Rosnan kerana dia dan makyung seperti besi berani saling menarik dan cukup kuat sekali. Kesungguhan beliau ketara dan berbeza sekali jika dibandingkan komitmen yang ditunjukkan oleh artis budaya yang lain. Saya bertanya kepada diri sendiri, sebenarnya siapa yang nak dipulih dan diprofesionalkan? Artis Budaya atau Rosnan? Jika benar ada transisi status mereka maka mereka perlu menunjukkan usaha dan iltizam yang tinggi untuk mendalami seni makyung sebagaimana Rosnan tunjukkan.
Mengenali budaya kerja artis budaya (pengalaman saya mengendalikan mereka selama 5 tahun), mungkin mereka tiada pilihan, mungkin mereka menunggu program yang diatur sahaja? mungkin mereka tidak berani untuk bersuara? mungkin terlalu banyak beban tugas lain sehingga hilang masa untuk belajar makyung? mungkin mereka buat atas arahan? Mungkin mereka impi peranan besar tapi mulut mereka terkatup? dan banyak pertanyaan lain lagi yang boleh dipersoalkan tetapi pokok asalnya di mana kita mahu tempatkan mereka ini yang dikatakan sudah berusia dan tidak ada seri untuk mengisi pentas-pentas tarian yang dihadiri oleh VIP atau pelancong. Adakah betul Istana Budaya mahu mewujudkan sebuah kumpulan makyung profesional? atau hasrat itu lahir sewaktu semangat berkobar-kobar bila makyung diangkat oleh UNESCO dan warisan negara. Jika benar mahu mewujudkan sebuah kumpulan profesional yang dianggotai oleh Artis Budaya atau kerabat Istana Budaya maka pergorbanan perlu lebih besar dan Istana Budaya perlu lakukan lebih daripada sekadar membuat pementasan makyung secara berkala.

Saya melihat potensi kumpulan ini amat besar, IB memiliki sekumpulan pemuzik tradisional yang berpengalaman dan antara yang terbaik di dalam permainan muzik pergendangan, penari-penari tradisional yang terlatih dan luas pengalamannya, mempunyai peruntukan yang khusus untuk program pengembangan apatah lagi adanya usaha kerjasama dengan KEKKWA di bawah Jabatan Warisan. Jadi potensi untuk membangunkan kumpulan ini sebagai kumpulan profesional, rintangannya adalah sekecil lubang jarum. Namun halangan yang kecil itu akan menjadi nanah dan ranjau terbesar sekiranya tidak ditangani dengan bijak. Saya melihat masalah sikap di kalangan mereka yang ingin atau ditugaskan menyertai makyung ini apatah lagi di kalangan mereka yang menangani kumpulan ini. Banyak sangat campur aduk kerja-kerja lain sehingga meletakkan usaha menubuhkan kumpulan profesional makyung bagai melepas batuk di tangga. Berapakah nilai 'priority' yang diberikan kepada makyung? jika di dalam jumlah 10 apakah nilainya mencapai 9 atau 6 atau sekadar 1 atau 2? Hal ini perlu diletakkan di bawah wawasan IB. Adakah projek makyung ini sekadar picisan atau melukut yang sekadar membuktikan IB masih memelihara tradisional. Apabila saya berbicara tentang hal ini, saya jadi marah atau saya akan disebut sebagai orang yang tertinggal dibelakang dan masih mengheret rentetan kegemilangan aman KBN.
Dulu IB atau KBN bergerak dengan banyak topi iaitu sebagai agen penggalak senibudaya, agen eksperimentasi, agen pemuliharaan seni, agen pendidikan malah agen pemusat kegiatan seni tradisional dan kontemporari. Dulu di KBN/ PN aktivis kesenian sama ada berjiwa Melayu atau barat semuanya berkampung di sana. Sehinggakan sekelilingnya muncul anak-anak teater yang menghidup dan melahirkan seniman jitu. Tapi kini IB dengan dengan semangat dan jiwa barunya mungkin merubah wawasannya. Kurang sekali kita mendengar, menonton atau membaca tentang IB melalui kumpulan residennya menghasilkan satu kerja eksperimentasi atau eksplorasi dalam kesenian. Yang kita temui adalah satu 'recycle' persembahan khususnya dalam seni tari dan masih terlingkung dalam ruang 'touristic'nya.

Berbalik kepada makyung ini, bukanlah tidak ada peningkatan di kalangan ahli kumpulannya tetapi saya cuba menampi dan menepis beberapa kebodohan yang ada dalam kepala saya dan mengelak untuk meletakkan kayu ukur secara membabi buta, saya cuba bandingkan bagaimana bentuk pembelajaran yang mereka peroleh dengan apa yang dipratikkan di ASWARA. Saya banding dan hitung dan saya rasa inilah yang meletakkan kekurangannya. Mungkin IB hendak bergerak secara perlahan namun tidak boleh perlahan sangat kerana ahli-ahlinya pun dah senior. Jikalau seorang pelajar ASWARA memerlukan 4 bulan untuk mempelajari teknik, kemahiran dan ilmu teori Makyung dan 4 bulan untuk kelas praktikal bagi produksi, dan ASWARA masih terkial-kial mencari bakat dan pelajar yang betul-betul menguasai seni makyung apatah lagi jika mahu meletakkan makyung sebagai mata pencarian dan digelar mereka sebagai profesional. Kita harus bertanya apakah isi yang kita bagi untuk mengisi tuntutan batiniah seseorang pelakon, maksudnya ilmu lakon. Jangan kita bercakap soal makyung semata-mata, tetapi melihat lakon dalam skop yang luas. Berapa ramai di kalangan anggota kumpulan makyung IB yang dilatih dalam lakon/teater untuk mengenal aspek vokal, pengucapan, interpretasi teks, gerak, bloking, pacing, intonasi, ekrpresi, improvisasi dan bermacam-macam terminologi. Apatah lagi untuk menghayati seni makyung yang banyak sekali falsafah tradisionalnya, adakah mereka mengerti formasi yang dibuat, lafaz kata yang ditutur dan apakah mereka sudah menemui lenggok intonasi, sastera dan gaya lakon makyung. Malangnya apa yang saya perhatikan mereka masih merangkak tetapi saya tidak menafikan kebolehan terpuji mereka di dalam tari dan nyanyian.
Seperti yang saya katakan di atas, IB mempunyai potensi yang besar untuk memiliki sebuah kumpulan makyung profesional yang terbaik sekiranya niat menubuhkannya dikotakan dengan satu usaha yang maksimum. Sebagai orang yang pernah berada di datas pentas makyung, saya dapat rasakan semangat dan roh untuk bermainnya. Tiap kali lagu Menghadap Rebab berlagu tangan saya mencari hadap dan mulut saya memburu notasi rebab. Aduh! payah sekali hendak saya ungkap apabila semangat seni makyung teresap dalam diri. Kalau tak percaya tanya sahaja pada Juhara, Zizi atau Rosnan, dari mana datangnya angin makyung dan dari mana mengalirnya darah itu ?

Thursday, January 17, 2008

RHEA MIRZA DAH 3 TAHUN

Sudah 3 tahun usia anak saya hari ini. Tak sangka tiga tahun sudah berlalu. saya masih teringat-ingat sewaktu menerima kehadiran Rhea, saya keseorangan menunggu Nida melahirkannya. tak tentu arah saat tu, memikirkan nasib kedua-duanya. Masih teringat lagi ketika saya alunkan Qamat di telinganya, tangisannya bertukar rengekan yang amat manja. Syukur kerana Allah kurniakan kepada saya sepasang cahayamata.
Berbeza dengan abangnya, Rhea amat manja tetapi keras hati. Cakapnya lemah lembut boleh redakan kemarahan dan terbuai. Tetapi jika dia mahukan sesuatu dia akan pastikan dia mendapatnya, kalau menangis dia pastikan sekuatnya...adusss. abangnya Aish, nampak sahaja outspoken dan kasar tetapi jiwa dia lembut dan senang dikendurkan. Hari tu, masa kami bawa Rhea bertemu doktor kerana dia sering sahaja merungut sakit perut, kami jadi risau manalah tahu apa-apa sympton yang kami tak tahu. Bila doktor periksa, katanya "anak encik ni bijak daripada segi IQ nya tetapi lemah daripada segi emosi, kerana itu dia luahkan perasaan atau apa yang nak dikatakannya melalui kesakitan". Saya terdiam dan sesekali nak tergelak memikirkan helah yang dibuat anak saya ini.Dia sudah pandai mengalunkan lagu-lagu, sayapun belajar menghafal lirik lagu Sehati Berdansa melalui Rhea. Dia mudah ingat dan melodinya melekat. Cepat betul dia ingat melodi sesebuah lagu. Saya perhatikan Rhea kalau dia diam atau perhatikan kita, dia perhatikan gerak bibir kita. itu sebab kalau dia mengucapkan sesuatu perkataan yang ada abjad 'L', bunyi 'L' jelas sekali kedengaran. Satu malam tu dia sedang bermain-main dengan microfon rosak, dia nyanyi macam-macam lagu...nenek-nenek, air pasang dalam, papa kupulang dari kota dan beberapa lagi. Sambil tu kami bertanya dia, apa yang cikgu tadikanya tanya atau buat, dia tidak endahkan kami, dia terus menyanyi. Kami tanyakan lagi, dia tetap menyanyi dengan mikrofon tu, lalu Maminya ambil mikrofon dan suakan mikrofon padanya sambil bertanya "Siapa yang Poopoo dekat bilik TV" lalu dia menjawab "sukses! sukses!". Terdiam kami berdua.Buat Rhea, ini sepotong puisi tulisan Khalil Gibran
"bersamalah engkau dalam setiap keadaan
kerana kebahagiaan tersedia bagi mereka yang menangis,
bagi mereka yang disakiti hatinya, bagi mereka yang mencari,
bagi mereka yang mencuba
dan bagi mereka yang mampu memahami erti hidup bersama
kerana mereka itulah yang menghargai pentingnya
orang-orang yang pernah hadir dalam kehidupan mereka..."
Buat anakku Rhea Mirza, baba doakan semoga selalu sihat dan menjadi anak yang selalu dekat dengan ibubapanya. Kasih sayang babah dan Mami tidak pernah surut.
SELAMAT HARI JADI KE-3 TAHUN!

Wednesday, January 16, 2008

ATONEMENT: DOSA YANG TERLEWAT



Saya berpeluang menonton filem British Atonement arahan Joe Wright yang telah dipilih sebagai Best Picture di Golden Globe. Filem lakonan Kiera Knightley dan James McAvoy ini bergerak dengan perlahan tetapi memegang pemikiran dan perasaan saya sebagai penonton. Sebelum bermula filem ini saya sudah ingatkan Kema jika sekiranya saya tertidur dan berbunyi, kejutkan saya saja. tapi nyatanya mata saya tak layu dan terlelap langsung. Saya terpaku dengan rentetan jalan ceritanya, temanya amat ringkas tetapi kompleksiti di dalam penceritaan itu menjadikan kita tertanya dan berdebar menunggu kesudahaannya dan apa di sebalik makna 'penebusan' itu.
Filem ini berlatarkan masa sebelum dan sewaktu Perang dunia ke 2, kisah mengenai Brioly (13 tahun) yang agak misteri dan sering berkreasi dengan imaginasi nya. Imaginasinya itu diterjemahkan dalam penulisan drama. Dalam diam dia menaruh hati dengan Robbie sepupu/pekerja di rumah agamnya tetapi pada masa yang sama Robbie dan Cecelia mempunyai perasaan dalam diam. Satu hari atas kesilapan Robbie kepada Cecelia telah membuatkan Robbie mengutus sepucuk surat kepada cecelia melalui Briony yang akhirnya mencetus banyak konflik. Aduh menarik sekali cerita ini. Saya terbuai dengan lakonan mereka dan dalam hati menaruh untuk mendapat peranan seperti Robbie...mimpi saja. Secara kasarnya filem ini mengupas tentang dosa yang dilakukan oleh Briony akibat daripada salah sangka, cemburu dan naif tentang sebuah cinta yang akhirnya mengorbankan kehidupan cinta abadi manusia lain. Dia cuba menebus namun terlewat dan tebusannya dalam cara dan sifat yang amat imaginatif....



Saya ingat dialog Robbie kepada Briony, bila Briony mohon maaf. Katanya " bila harus kau sedar bahawa pengakuan kau itu benar atau penipuan, adakah usia 13 tahun kau tidak boleh membezakan apa yang benar dan apa yang bukan? atau perlukah kau menunggu di usia 18 tahun baru kau tahu yang mana benar yang mana salah..tahukah engkau di usia 18 tahun sudah berapa ramai tentera seusia engkau yang mati kerana negara?" Briony kesal namun tidak setitik pun airmatanya gugur!
BILA SAYA FIKIRKAN KATA-KATA ITU, FIKIRAN SAYA TERUSIK DAN BERTANYA SENDIRI "APAKAH TIAP KATA DAN KEPUTUSAN YANG KITA AMBIL ITU JUJUR ATAU SATU HELAH KEPADA KEBENARAN YANG LAIN" ADUH! MANUSIA SEKELILING KITA SERING SAJA BERSANDIWARA YANG AKHIRNYA MEMAKSA KITA MENJADI SANGAT JAHAT!

Tuesday, January 15, 2008

PASSWORD...


AKHIRNYA SAYA BERJAYA MENEMUI SEMULA PASSWORD BLOG SAYA ATAS BANTUAN JIRAN SAYA BALKIS. TERIMA KASIHLAH BALKIS ATAS BANTUAN AWAK NANTI SAYA BELANJA. UNTUK MEREKA YANG PERNAH MEMBELEK BLOG SAYA TERIMA KASIH ATAS KESABARAN DAN KESETIAKAWANAN ANDA. CERITANYA, SATU HARI SAYA HAMPIR PUTUS ASA DAN PENDAM RASA FRUST SAYA KERANA BANYAK PERISTIWA DAN KEJADIAN YANG TAK TERCERITA OLEH SAYA SEPANJANG KEHILANGAN PASSWAORD ITU... ANYWAY HARAP SEMUA GEMBIRA SEGEMBIRA SAYA...HA HA HA

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...