Jom Kita Jadi Geng

Wednesday, December 10, 2014

LIRIK SANUBARI SITI NURHALIZA



SANUBARI
Lagu: Adi Priyo (Sixth Sense)
Lirik : Che Kem

Setiap kali memandangmu
Setiap Itu Ku Jatuh Cinta Kali Pertama
Setiap Kali Kau Lafaz Cinta
Setiap Itu Ku Ingat Pada Kali Pertama

Setiap Kali Menyebutmu
Setiap Itu Ku Inginkanmu Menemaniku
Setiap Kali Kau Tiada
Setiap Itu Ku Harap Dia Melindungimu

Kau Temukanku
Kau Berikanku
Sebuah Cinta Yang Teramat, Teramat
Indah

***
Ooooooo…
Engkau Sanubariku
Melengkapi Hidupku
Bagaikan Syurga Bertamu

Ooooooo…
Janganlah Cinta Pergi
Ku Tak Tahu Ertinya
Hidupku Tanpa Dirimu

Tiap Kekuranganku
Kau Yang Sempurnakannya

Jadi Nadi Kekuatan Untuk Ku Hidup Seribu Tahun Lagi

Tuesday, December 9, 2014

BENDALU
























Kamu seperti bendalu, seperti fakir meminta rezeki, 
mula menumpang kemudian melilit lalu memanjat. 
Kamu tidak punya kekuatan, tiada perjuangan dan jiwa kamu itu palsu. 
Kamu mengambil zat dari pohon beringin yang kian memasak tunjang untuk berdiri. 
Kamu mulanya menyeri dan meraikan keindahan pohon itu, 
rupanya demi kehidupan peribadimu. 

Dan hari ini kamu merasakan kekuatan 
kerana kamu sama-sama melilit dan mencengkam. 

Ya, kamu kuat tapi kamu adalah bendalu. 
Caramu hidup memalukan.

Thursday, December 4, 2014

MAKYUNG DALAM 'FORGOTTEN'





Ini sebuah filem pendek arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba. Dibikin untuk projek Ikal Mayang 2. Filem ini kisah rajuk primadona makyung ekoran kesenian itu diharamkan.

MAKYUNG PATTANI - SELATAN THAI

Tuesday, September 9, 2014

MASJOKO DALAM TEATER BAHAYANYA WANITA


Saya terjebak dalam teater ini. Bunyi macam dahsyat sekali, macam jatuh dalam lembah atau terlibat dalam kancah dosa. Tapi sebenarnya itulah dosa Erma Fatima dan Abang Joe (KP IB) yang berjaya menangkap saya di saat akhir sebelum pementasan. Memang saya ketahui Bahayanya Wanita dipentaskan di Singapura dan akan dipentaskan di Istana Budaya di penghujung Ogos. Saya tahu dan anggap sahaja ia akan berlangsung seperti biasa. 

Tapi pada tanggal 15 Ogos (Jumaat) satu mesej Whatsapp masuk .
Bunyinya "Salam dik, free tak next week di IB, Kak Erma ajak berlakon Bahayanya Wanita watak pak joko...show 20 til 24 rhsal monday"

Saya jawab "haha...watak jawa tu"

Beberapa mesej bertukar yang tak perlu saya catatkan, di mana pada awalnya saya keberatan kerana tempoh masa dan watak lelaki Jawa yang saya anggap saya takkan selesa dan tak bersedia. Tambah-tambah saya fikir saya tak mahu dek kerana saya, produksi jadi masalah. Al maklumlah semua orang dah latihan lama. Tapi memang Abang Joe hebat macam salesman yang handal, ada ayat-ayatnya membuat saya kata OK dan saya kata "Mmmm ok ler bang demi abangku".

Bila dikata 20 September persembahan dan latihan 18 September, makanya saya ada dua hari untuk latihan. Tunggu Jumaat ke Sabtu ke Ahad ke Isnin skrip belum saya terima walhal janjinya akan di email Jumaat. Haiiihhhhhhhh....


Jadi pagi Isnin itu saya ke pejabat dan hadir mesyuarat di Japan Foundation dan anggap sahaja, Erma sudah ada pelakon ganti. Tapi waktu makan tengahari di Puteri Brickfields, saya semak telefon ada mesej dari Erma. Saya telefonnya dan dia akan emailkan skrip. Mak Oiii!!! hari isnin baru saya dapat skrip. Berapa jam untuk saya baca dan hafal dialog, latihannya petang!. Tapi Erma kata, hari ini (isnin) tak ada latihan. Latihan esok (Selasa jam 5.00 petang) dan malamnya full run di pentas. Saya terduduk sekejap. Makan tengahari rasa tak tertelan. Menu pun saya salah pilih. Saya duduk hitung waktu dan jadual saya menjelang latihan petang Selasa. Ternyata saya tidak cukup waktu untuk baca skrip.

Tiba petang Selasa, saya lewat ke latihan, lebih kurang jam 6.00 petang kerana dari pejabat. Nasib saya baik bekerja dengan Penolong Pengarah, Rashid yang juga bekas pelajar saya serta artis budaya senior Istana Budaya yang memang tip-top daripada segi komitmen dan kami selalu bekerjasama. Masa itulah saya mahu memahami skrip, dialog dan aksi. Saya perlu peka dengan que yang diberi.

Malam, terus di pentas pada jam 8.30. Kerja gila!!! Saya belum pernah buat teater begini, Ini bukan budaya teater yang sihat. Kami buat run-thru dan saya perlu pick-up arahan secepatnya. Saya tidak boleh mencuba dan memilih lagi. Saya hanya perlu set kan watak bagaimana, gaya dan perwatakannya tidak terlalu internal. Semuanya extrovert. Itu lebih baik apatah lagi Bahayanya Wanita genre satira. Saya ada lesen untuk adlib dan improvise. Siapa tidak gementar bila di pentas semua A-Star aktor, dengan dialog dan aksi yang memang sudah melekat dengan wataknya, sedang saya masih pusing-pusing mahu tentukan karakter. 

Memang malam itu saya stress! Kepala hampir migrain! kenapa? Kerana hanya badan saya yang bermain tapi otak saya menolak, tidak setuju dan seolah tidak merelakan aksi-aksi yang saya buat. Ia lebih sekadar melaksanakan lakonan demi melancarkan"Runthrough'. Tapi Erma bijak, tidak demanding, kata-katanya beri motivasi, saya pasti Erma tahu keadaan saya yang 'tertekan' dengan tugasan itu. Sebenarnya nasib saya sama dengan Zulin Aziz dan Meor Mohd. Kami cuma diperuntukkan latihan 2 jam menuju 'runthrough'.

Add caption
Malam 20 hb dan persembahan-persembahan seterusnya, saya selesakan diri dengan watak. Cari lopong-lopong yang boleh saya isi supaya tidak seperti buat-buat. Saya mahu Masjoko itu saya. Nyata sukar. Itu sebenarnya teater, kenapa latihan perlu panjang kerana pelakon harus mesrakan diri dengan wataknya. dia harus menjadi watak bukan membawa diri-sendiri ke pentas. Kalau di luar dan di atas pentas adalah orang yang sama, maka itulah sebenarnya si pemain. Dia tidak langsung berlakon. Dia hanya melontar dialog dengan perangainya sendiri. 

Memang saya akui, hari ini orang tidak lagi bezakan jenis medium. Lakon tetap lakon. Lakon Lawak atau TV atau Filem atau Pentas. Kita boleh lihat seorang pelakon itu cara mainannya sama sahaja. Ia seperti langsung tiada homework, tiada usaha dari si pelakon, Walhal setiap medium yang saya sebut menuntut pendekatan yang berbeza. Atau mungkin kerana itulah kesukaan khalayak hari ini. Khalayak suka hiburan, yang ringan-ringan sahaja. Khalayak tak mahu apa yang mereka suka, berubah-ubah. Jadi tidak hairanlah bila ramai pelakon (termasuk pelajar ASWARA) bila berlakon di pentas, segan untuk membuka mulut dan melontarkan suara. Dan lebih malang lagi bila disiplin itu dibuat oleh pelakon yang sudah establish. 

Jadi yang sakit adalah pelakon seperti saya. Sakit dalam kehendak sendiri.

Terima kasih Abang Joe dan Erma Fatima.

Tuesday, September 2, 2014

PELAJAR ASWARA JADI RATU MALAYSIA


Seorang demi seorang pelajar ASWARA menempa nama, terbaharu Dewi Liana Seriestha telah dipilih sebagai Miss Malaysia World 2014. Dewi akan mewakili Malaysia ke Miss World 2014 International Pageant di London pada Disember 2014. Gadis keturunan Bidayuh ini bukan sahaja membanggakan ASWARA malah turut membanggakan rakyat Sarawak khususnya masyarakat etnik Bidayuh. Jika sebelum ini Pandalela Rinong juga adalah dari keturunan Bidayuh.

Dewi adalah pelajar Diploma Muzik pengkhususan Vokal Klasikal di ASWARA. Jika anda masih ingat, Dewi juga adalah peserta Mentor musim pertama dan merupakan protege kepada Liza Hanim. Bakat nyanyian yang dimiliki memberi bonus kepada Dewi dalam meluaskan impiannya mencipta nama dan mengharumkan nama Malaysia. Dengan ketinggian 179cm, Dewi menjadi peserta 'favourite' pertandingan ratu Malaysia kali ini. Ini dibuktikan dengan kemenanganannya dalam tiga lagi kategori sampingan iaitu Miss Talent, Miss Personality dan Miss Dr Alice awards.


Satu persatu kejayaan ditempa oleh Dewi, beliau baru sahaj mengharumkan nama Malaysia dalam pertandingan World Championship of Performing Arts di Hollywood (WCOPA) dengan membawa pulang beberapa pingat.  Gadis kebanggaan Sarawak ini punya keyakinan yang tinggi malah amat mudah bekerjasama dengan rakan-rakan di ASWARA. Sepanjang di ASWARA, Dewi turut menyumbangkan bakat nyanyiannya dalam album Aidilfitri ASWARA dan pementasan Bangsawan Hamlet. Di bawah ini klip video lagu Rindu nyanyian beliau.


Saya ucapkan syabas buat Dewi, Semoga berjaya di London nanti.

Monday, September 1, 2014

BAHAYANYA WANITA UNTUK 18SX

Tak sempat nak menulis mengenai penglibatan saya dalam teater Bahanya Wanita yang diulang pementasannya di Istana Budaya. Saya kira ia pengalaman menarik bekerja dengan superstar Malaysia semuanya. Saya cuma bahagia melayan dan melalui pengalaman bekerja dengan member-member Istaana Budaya. Yang lain tu seriously saya kata 'hardly' to sembang. Masing-masing banyak bahagian dan sibuk bersiap. Lagi pun saya muncul dalam produksi dua jam sebelum fullrehearsal. Terima kasih Erma Fatima dan Abang Joe atas jemputan. Saya sangat hargai dan itu yang terbaik dapat saya beri dalam tempoh yang singkat. Di bawah adalah artikel Harian Kosmo.

Bahayanya wanita atau lelaki?


ERRA FAZIRA yang melakonkan watak isteri nombor dua bernama Kamelia
GOYANG Erma Fatima, komedi dan jenaka spontan Zizan Razak, aksi gedik dan semput Nora Danish, ego Datin Paduka Umie Aida serta rengetan manja Erra Fazira, semua elemen hiburan dalam Bahayanya Wanita seperti yang pernah dipentaskan tahun lepas itu masih segar dalam kepala. Gamat ketawa dan tepuk penonton di Panggung Sari pada pementasan terdahulu masih kedengaran.
Persoalannya, adakah penonton masih boleh berhibur ketika disajikan hiburan yang sama? Mulanya, skeptikal itu berpuing-puing mengisi kotak fikir.
Masuk lagi ke ruangan tontonan untuk menyaksikan judul yang sama, hidangan babak pertama perlahan-lahan menenangkan fikiran.
Nyata sedikit perubahan plot Bahayanya Wanita yang digubah khas untuk persembahan istimewa di Esplanade Singapura memberi impak berbeza. Pementasan kedua Bahayanya Wanita di Istana Budaya tidaklah sekadar pengisi jadual panggung yang kosong.
Selain barisan bintang popular sebagai umpan penonton, lagu tema daripada filem Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Madu Tiga dan lagu-lagu lain yang dimuatkan seperti Jejaka Idaman, Seksis dan Goyang Inul membuatkan penonton terhibur.
Di tangan Erma Fatima sendiri yang bertanggungjawab sebagai penulis skrip dan pengarah, teater yang mengupas isu poligami itu menjadi lebih padat dan tidak meleret-leret dengan babak yang membuat penonton kerimasan.

TARIKAN utama Bahayanya Wanita boleh disandarkan kepada nama-nama besar yang membintangi teater ini.


Kelainan yang ketara, ada kemasukan dua watak baharu iaitu Raja Ema sebagai ibu kepada Farhana (Nora Danish) dan Neelofa (gadis Siam) dan tukang cerita yang digalas seorang pendatang baharu. Kemunculan orang lama dalam bidang teater, Che Kem yang membawa watak Mas Joko dan Zulin Aziz menggantikan tempat Ziela Jalil sebagai Murti berkesan menjadi penyegar yang memantapkan lagi gaya persembahan teater ini.
"Saya hanya dipanggil untuk melakonkan watak itu sehari sebelum pementasan. Kami berlatih selama dua jam pada 19 Ogos dan 20 Ogos terus buat persembahan di hadapan penonton," kata Che Kem yang sebelum ini pernah muncul dalam filem Hati Malaya.
Perasaan yang sama dikongsi oleh Zulin Aziz. Watak Murti, sahabat baik kepada Suti Lambong (Erma Fatima) kelihatan lebih muda dan bervariasi.
Selebihnya, Zizan sebagai Syed Maadon Al-Attas, Erra sebagai isteri kedua yang bernama Kemalia), Umie Aida yang memegang taraf sebagai isteri pertama (Sharifah Fatimah Maruka) dan Nora (isteri ketiga) masih memainkan peranan yang sama sebagai mana yang pernah disaksikan.
Bahayanya Wanita mengisahkan Syed Maadon Al-Attas, lelaki yang berjaya memadukan tiga orang wanita sebagai isteri. Tidak cukup dengan tiga, Maadon jatuh cinta dengan Suti namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

DARI kiri: Erra Fazira, Raja Ema, Nora Danish, Umie dan Zizan sedang berkonfrontasi soal hak masing-masing.


Suti, si janda Indonesia yang berniaga makanan di gerai bukanlah wanita hebat. Namun kecantikan Suti memang terkenal di kalangan penduduk Kampung Janda Molek termasuklah Mas Joko yang tergila-gilakannya. Pertemuan secara tidak sengaja dengan Maadon membuatkan Sunti jatuh cinta dengan Maadon. Prinsip Sunti yang mulanya tidak mahu jatuh dan menikahi lelaki yang bersuami terburai begitu sahaja kerana Maadon sendiri mempunyai tiga isteri.
Penilaian sesebuah teater komedi yang padat elemen hiburan seperti Bahayanya Wanita semestinya tidak boleh terlalu serius ke aspek teaterikal, metod lakonan atau hukum teater. Dalam Bahayanya Wanita, komedi dan hiburan dimain dan digaul semesra yang boleh. Zizan sebagai pelawak tentunya mempunyai ruang dan peluang keemasan untuk menjalankan tugas mutlaknya sebagai pelawak.
Ada ketika, pelakon senior seperti Umie Aida dan Erma Fatima sendiri tidak dapat menahan ketawa apabila ada penambahan dialog sendiri Zizan. Satu lagi perbezaan, dalam pementasan kali ini, Sharifah Fatimah Maruka sudah bertudung gara-gara perubahan Umie yang mula berhijab sejak awal Ramadan lalu.
Lakonan Umie Aida, Erma Fatima, Nora Danish pula tidak perlu dipersoalkan, walaupun masih membawa karakter yang sama, persembahan kali ini masih di tahap cemerlang. Kemunculan wartawan hiburan, Rudy Imran walaupun untuk satu babak masih boleh diterima kerana karakter itulah yang menemukan Maadon dengan Farhana.
Berbalik kepada judulnya Bahayanya Wanita, barangkali lebih tepat lagi teater ini diberi tajuk 'Bahayanya Lelaki'. Manakan tidak, sudah beristeri tiga, masih lagi bercita-cita hendak memenuhkan kuota empat. Dalam pada berjanji hendak menikahi wanita Indonedia sebagai isteri keempat, muncul pula seorang lagi wanita Siam yang mendakwa kekasih Maadon. Terbukti, bahaya-bahayanya wanita, segarang-garangnya isteri, bahaya lagi si lelaki mata keranjang.
Sudah namanya cerita hidup orang berpoligami, karya Erma Fatima yang satu ini selayaknya diberi label 18SX kerana dialog-dialog dalam kain yang terucap. Sama ada secara sengaja atau tidak, komedi dewasa yang dipaparkan tidak sesuai untuk tontonan golongan kanak-kanak.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_05.htm#ixzz3C2sZ0WT6 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, August 23, 2014

THE JOURNEY - HARIAN KOSMO

Artikel ini telah memetik beberapa pandangan saya mengenai filem ini.
KUTIPAN filem berbahasa Cina tempatan, The Journey yang mencecah RM13.11 juta sehingga 24 Februari lalu menjadi buah mulut ramai. Orang yang tidak pernah ambil tahu mengenai filem juga tiba-tiba beratur untuk membeli tiket The Journey yang khabarnya masih berjaya memenuhkan panggung walaupun sudah lebih sebulan ditayangkan.
Kejayaan filem arahan Chiu Keng Guan yang sebelum ini menghasilkan Woohoo! pada 2010 dan Great Day (2011) itu memadam rekod filem paling laris Malaysia sebelum ini. Rekod filem KL Gangster dengan RM11.74 juta dan Ombak Rindu (RM10.9 juta) sudah terhapus dalam sejarah. Itu sesuatu yang luar biasa bahkan dilihat sebagai satu fenomena baharu.
Ketika filem-filem Melayu mengeluh, The Journey yang ditayangkan sejak 30 Januari lalu tiba-tiba sudah jauh berada di hadapan. Siapa sangka, filem kekeluargaan, konflik perkahwinan campur dan cinta itu masih boleh menjadi kegilaan. Pendek katanya, 'boleh jual'. Sedangkan kalau dalam filem-filem Melayu, konflik sebegitulah yang dianggap konservatif, klise, membosankan dan ketinggalan zaman
Tahun ini, filem-filem Melayu seperti Balistik bergegar dengan tembakan bedil di sana sini sekadar cukup makan dengan kutipan sebanyak RM1.83 juta. Filem Muka Surat Cinta hanya memperoleh jualan tiket sebanyak RM80,000, Laga (RM160,000), Jangan Pandang Belakang Boleh? (RM1.09 juta) dan Kami Histeria (RM670,000) pula menerima nasib malang sebagaimana filem-filem Melayu sebelum ini yang sekadar datang dan pergi begitu sahaja. Angka-angka itu menunjukkan betapa tidak bersemangatnya gegaran filem tempatan untuk dua bulan pertama 2014 ini.
Barangkali, Sejoli lakonan Bront Palarae, Maya Karin dan Remy Ishak yang memulakan tayangan 20 Februari lalu masih membawa secarik harapan. Itu pun hanya secarik! Penulis tidak berani untuk bercakap lebih tentang filem Melayu kerana tiada jaminan yang boleh disandarkan kepada mana-mana judul pun. Filem yang baik pengisiannya, bagus ulasannya, tidak pula mendapat kejayaan yang seiring di panggung. Sebaliknya, filem yang biasa-biasa sahaja, itulah yang ditonton.
Kebangkitan tempatan
Sebenarnya, The Journey bukan satu-satunya filem Cina tempatan yang ditayangkan ketika ini. Filem-filem lain seperti Ah Beng the Movie dan Bullets Over Petaling Street (Mandarin) juga tidak menghampakan. Ah Beng the Movie mengutip sebanyak RM3.16 juta manakala Bullet Over Petaling Street masih bertahan dengan kutipan sebanyak RM1.44 juta.
"Tanggapan bahawa orang Cina tempatan tidak menonton karya bahasa Cina tempatan juga sudah tidak rasional. Dahulu mungkin benar, sekarang tidak. Kebangkitan penerimaan filem-filem berbahasa Cina tempatan ketika ini dibawa oleh filem-filem Cina dari Singapura.
"Rasanya orang Cina sendiri mahu tengok budaya Nusantara dalam karya Kantonis atau Mandarin, bukan semata-mata aksi kung fu atau kongsi gelap macam dalam filem Hong Kong dan China lagi," ungkap aktivis teater, Kamarulzaman Taib atau lebih dikenali sebagai Che Kem.
Katanya kejujuran rasa dan perasaan yang terzahir daripada The Journey membuatkan penonton tidak sedar bahawa filem itu sebuah filem tentang orang-orang Cina. Sebaliknya, The Journey boleh menjadi cerminan diri kepada sesiapa sahaja, daripada mana-mana etnik sekalipun.
"Saya ada seorang kawan yang turut menonton The Journey. Katanya, kejujuran perilaku, perbuatan, dialog dan cerita filem meresap tanpa dipaksa-paksa. The Journey sebuah filem orang Cina yang mengkritik budaya sendiri tanpa menimbulkan kemarahan dan menyentuh sensitiviti budaya mana-mana bangsa. Ia santai, ringan dan comel, tetapi isu yang dibawanya sangat besar.
Bosan hantu hodoh
"Kadang-kadang saya pelik juga, kalau filem Melayu, ada sahaja isu yang mengkritik cara hidup orang Melayu, akan muncul kontroversi dan perdebatan pendapat. Di situlah letaknya kebijaksanaan sentuhan dan pemikiran seseorang pengarah," beritahu Che Kem ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.
Mengulas semula artikelnya yang bertajuk The Journey formulanya berbeza dalam blog Ngadap Seni, Che Kem ada menyuarakan pendapatnya. Dia membandingkan formula filem Melayu yang mencacat Box-Office berbanding formula The Journey yang tidak disangka itu.
"Filem ini sangat merendah diri, tiada hal-hal yang gempak yang boleh disebut sebagai gimik. Tiada bintang paling popular, tiada tema popular malah tiada aksi ganas atau muka hantu yang hodoh.
"Apa yang difikir oleh pembikin filem Melayu hanya khayalan dan meramal apa yang penonton suka. Saya rasa, pencapaian The Journey ialah satu tamparan hebat kepada semua pembikin filem berbahasa Melayu," jelas Che Kem lagi.
The Journey dibintangi pelakon teater dari Australia, Andrew Pfeiffer dan bekas Ratu Cantik Miss Astro Chinese International, Joanne Yew dan Sai Peng Lee. Ia mengisahkan Pak Cik Chuan, seorang bapa konservatif yang tidak suka dengan pilihan hati anak perempuannya, Bee kerana dia berdegil mahu mengahwini pemuda Inggeris, Benji.
Dalam usaha mengambil hati si bapa, anak perempuan dan bakal menantu Chuan bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan termasuk melangsungkan perkahwinan mengikut cara lama dan menghantar sendiri kad undangan perkahwinan mereka.
Pengarah filem The Journey, Chiu Keng Guan sendiri melahirkan rasa terkejut kerana tidak menyangka filem ketiga arahannya itu mendapat kejayaan luar biasa.
"Tiada resipi khusus tetapi filem ini memaparkan kehidupan sebenar masyarakat di Malaysia," katanya Ken Guan yang berhasrat untuk cuba menghasilkan filem bahasa Melayu pula suatu hari nanti.
The Journey juga menunggu waktu untuk ditayangkan di Singapura dan Taiwan sekitar bulan ini dan April nanti.

BAHAYANYA WANITA - Sinar Harian

Apabila Zizan kahwin tiga... - Hiburan - Sinar Harian



APA yang akan berlaku apabila Zizan Razak berkahwin tiga dan berangan untuk menambah satu lagi?

Memang gamat jadinya apatah lagi apabila tembelangnya pecah dan diketahui isteri-isterinya yang bukan calang-calang orang.

Isteri pertama, Datin Paduka Umie Aida (Sharifah Fatimah Maruka); isteri kedua, Erra Fazira (Kamelia) dan isteri ketiga pula Nora Danish (Farhana). Tapi Zizan yang memegang watak Syed Maadon Al-Attas masih ada hati mahu memasang yang keempat.

Pementasan kali ini, Suti Lambung seorang janda dari Indonesia yang mempunyai misi untuk berkahwin dengan lelaki Melayu dilakonkan Eirma Fatima menghangatkan pentas dengan aksi-aksinya yang mencuit hati.

Pertemuan Maadon dan Suti membuahkan bibit-bibit cinta malah Maadon membohongi Suti dengan mengatakan dirinya masih belum berkahwin gara-gara mahu memenangi hati si janda.

Keletah mereka akan dapat anda saksikan sekali lagi dalam pementasan Teater Bahayanya Wanita yang kembali atas permintaan ramai buat kali terakhir di Panggung Sari Istana Budaya bermula 20 hingga 24 Ogos ini.

Barisan pelakon lama dikekalkan dan beberapa pelakon baru seperti Zulin Aziz (Murti), Raja Ema (Ibu Farhana) dan Che Kem (Mas Joko) tidak mengecewakan meskipun mempunyai waktu yang singkat untuk membuat latihan.

Sebagai teraju utama, Zizan akui berpuas hati kembali beraksi di pentas Bahayanya Wanita dan melihat penonton bergelak ketawa menyaksikan pementasan tersebut.

"Ini permintaan kali ketiga untuk ia dipentaskan. Alhamdulillah, kami semua nampaknya sudah matang dengan watak masing-masing untuk Bahayanya Wanita kali ini.

"Saya gembira dan puas hati apabila melihat penerimaan penonton...mereka ketawa, tepuk tangan," katanya ketika ditemui selepas pementasan, malam tadi.

Zizan turut mengakui perlu membuat kajian bagi memainkan watak Maadon yang suka memikat wanita dan berkahwin lebih daripada satu.

"Walaupun saya tak pernah berkahwin lagi, memang mencabar untuk saya lakonkan watak seperti itu.

"Saya perlu buat kajian bagaimana seorang lelaki yang berkahwin ramai," katanya.

Aksi Zizan di pentas yang begitu nakal berjaya membuatkan bukan saja penonton malah pelakon-pelakon yang sedang berada di pentas turut tidak dapat menahan gelak.

Sementara itu, pengarah teater ini yang merangkap penulis skripnya, Eirma Fatima memberitahu, meskipun penonton diajak bergelak ketawa sepanjang pementasan lebih tiga jam itu, namun komedi-komedi tersebut bukannya kosong.

"Di sebalik ketawa itu ada perkara yang saya cuba sampaikan. Agak sukar kerana kita sudah terbiasa dengan komedi tidak bermesej.

"Tapi sebenarnya ada sesuatu yang saya cuba nak sampaikan di sebalik isu poligami, hormat suami dan sebagainya," katanya.

Eirma turut memberitahu Bahayanya Wanita tidak akan dipentaskan lagi selepas ini ekoran beliau tidak gemar mengulang cerita yang sama.

Monday, July 21, 2014

DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH


Malam tadi berpeluang menonton teater muzikal Di Bawah Lindungan Kaabah arahan Rosminah Tahir terbitan CTRA production. Teater ini diadaptasi dari novel pengarang tersohor Indonesia, Hamka. Ramai pelakon hebat bermain dalam muzikal ini di mana ia dikepalai oleh Adi Putra dan Nasha Aziz. Barisan yang lain termasuklah Zahid AF2, Liza Abdullah, Fizo Omar, Elfira Loy, Sharul Mizad, Alina Hassan dan Dayana Roza. Pendek kata nama-nama popular turut menjadi taruhan muzikal ini. Saya juga herus berterima kasih kepada pihak produksi kerana bagi tiket percuma. Terima kasih dau keladi ya.

Waktu naskhah ini disebut akan dipentaskan di Istana Budaya sempena Tahun Melawat Malaysia, saya dah rasa meremang. Mana tidaknya, naskhah besar mahu dipentaskan. Apatah lagi orang kita yang mahu bikin. Saya pasti peminat sastera Melayu tidak asing dengan novel ini, apatah lagi filemnya pernah diterbitkan di Indonesia. Tentu sekali tarikan naskhah ini sangat kuat. Bagi saya, nama Hamka dan judul novelnya sudah memanggil saya untuk ke panggung. Membariskan nama-nama popular hanyalah satu bonus. Yang penting novel ini perlukan adaptasi yang hebat dan pelakon yang mengerti akan mainan semantiknya. Tafsiran bukan sekadar pada intonasi dan gerak badan tetapi hal-hal interpretasi yang melingkung novel ini sangat mustahak.

Jadi malam tadi mungkin malam yang malang buat saya kerana ianya malam terakhir. Mungkin pelakon banyak 'bermain-main', al-maklumlah malam melepaskan beban yang panjang. Tapi siksalah bagi saya yang menonton bila ada watak terkeluar dari perwatakan. menumpukan hal 'entertainment' dan suka bila dengar audien respon atau ketawa.

Malas nak ulas panjang.

Thursday, July 17, 2014

AL-FATIHAH SHARIFAH AINI: SUMBER ILHAMKU


Biduanita negara Datuk Sharifah Aini dah pergi buat selama-lamanya. Tapi secara spiritualnya Allahyarham selalu hidup dalam jiwa dan ingatan orang yang membesar bersama lagu-lagu dan karya seninya. Memang ayat itu bunyi sangat klise dan selalu ditulis orang, namun apalagi yang boleh saya katakan mengenai anak seni yang hebat ini. Bukan setahun dua sumbangannya dalam seni hiburan tanahair malah lebih dari usia saya yang sudah lebih 40 tahun ini. Bayangkan betapa luas dan lebarnya penjelajahan Sharifah Aini dalam dunia seni Malaysia. Tidak hairanlah, Sharifah Aini bukan hanya disanjung oleh orang Melayu sahaja malah bangsa-bangsa lain juga. 45 tahun dalam bidang seni dengan jumlah penghasilan album melebihi 100 buah dan beribu persembahan, ternyata pencapaian Sharifah Aini sukar ditandingi.

Saya dilahirkan pada tahun 1971, tahun di mana Sharifah Aini baru setahun dua menapak dalam bidang seni suara. Waktu itu namanya baru meniti di bibir namun tidaklah segah nama Biduanita Saloma. Dalam tempoh beberapa tahun selepas itu, Sharifah Aini benar-benar memberi impak kepada industri seni. beliau mencipta fenomena dan berada di carta tertinggi dalam kalangan penyanyi dan pelakon tanahair. Statusnya sangat istimewa bukan kerana kecantikan atau gayanya di majalah tetapi kerana kehebatan suara dan ketelitiannya dalam berkarya. Anak didik Allahyarham Kassim Masdor ini mula diangkat sebagai penyanyi terbaik tanahair di sekitar tahun-tahun 1976-1979. Di mana pada waktu itu saya sudah memahami dan mengenali nama dan wajahnya. Radio tidak boleh tidak menyiarkan lagu-lagunya. Bersilih rancangan, lagunya sering berkumandang bahkan rancangan televisyen juga menjadi istimewa apabila Sharifah Aini muncul di TV. Rancangan khas seperti hari raya atau tahun baru tidak lengkap tanpa Sharifah Aini. Beliau seperti bintang paling bersinar di dada malam. Saya masih ingat, sewaktu siaran langsung Pelancaran TV Warna, Sharifah Aini adalah antara artis yang membarisi persembahan istimewa itu. Malam itu hampir semua penyanyi tersohor tampil di TV. Dan tentu sekali kemunculan Sharifah Aini ditunggu-tunggu. Seingat saya, beliau mendendangkan lagu Teratai.


Sebagai budak kecil, imej-imej penyanyi dan pelakon di TV sangat mempengaruhi malah memupuk anganan saya. Tambahan lagi, saban malam sebelum tidur kakak saya yang sulung akan mengalunkan lagu-lagu Sharifah Aini, Uji Rashid dan Rafeah Buang. Waktu itu memang ia sudah melekat difikiran saya. Rumah kami tidak punya peti televisyen, kami hanya punya sebuah radio kecil menggunakan tenaga bateri. Letrik pun belum ada, hanya pelita dan lampu gasolin sahaja yang menerangi amalam kami. Jadi nyanyian kakak saya adalah hiburan percuma yang saya dapat. Kakak akan menyanyikan lagu Sharifah Aini di bilik ataupun di dapur. Sesekali kami akan berlari ke rumah jiran apabila ada rancangan kesukaan ditayangkan. Jika nasib baik dapatlah kami menumpang tengok, kadangkala belum sempat selipar kami ditanggalkan di tangga jira, sudah bunyi tingkap dan televisyen dipadamkan. Tandanya kami ini mengganggu. Sehinggalah kami punya peti TV sendiri pada tahun 1982 dengan menggunakan tenaga bateri kereta, Dalam seminggu kami perlu caskan satu atau dua kali. Sekurang-kurangnya kami tidak mengganggu jiran. Waktu itu, Sharifah Aini sudah sangat eksklusif, tidak selalu muncul di TV. Hanya bila dia menjadi hos atau rancangan istimewa sahaja. Apatah lagi semasa itu hanya rangkaian RTM1 dan RTM2 sahaja.

Beberapa filem lakonan Kak Pah menjadi ikutan saya dan paling mengesankan ialah Hapuslah Airmatamu. Filem itu seperti kisah Si Tanggang dan sedikit sebanyak berkait dengan kehidupan Sharifah Aini sebagai penyanyi. Bagi saya Kak Pah berjaya melakonkan watak dengan baik, tidak kaku dan dialognya betul pada 'intention'nya. Jika nak dibandingkan dengan pelakon-pelakon sezaman dengannya, dia memang berbakat besar. Lain-lain lakonannya ialah Sumber Ilhamku, Bintang Pujaan, Diva Popular dan terakhir Penanggal. Penampilan Kak Pah dalam Penanggal sangat tepat sebagai wanita berketurunan arab. Walaupun bakatnya sebagai pelakon terserlah dengan baik tapi saya kira kecintaannya terhadap seni suara lebih besar. Lakonan sekadar meluaskan kebolehannya. Bercakap pasal filem-filem Melayu, banyak juga filem menggunakan suara Kak Pah sebagai penyanyi lagu latar. 

Jika mau dihitung penglibatan Kak Pah rasanya tidak cukup untuk ditulis, tempoh yang panjang beliau dalam industri telah menempa sejarah dan memberi sumbangan besar dalam pembangunan kesenian. Saya pasti setiap dari kita apabila menyebut nama Sharifah Aini, yang kita boleh katakan adalah kehebatan beliau sebagai penyanyi yang melangkaui trend dan zaman. Sewaktu eranya masih berlenggok pop yeh yeh dan langgam, beliau sudah memacu hebat dengan lontaran suara dan artikulasi yang baik. Patah sebutannya sukar ditandingi. Dengar saja lagu Kudaku Lari, walau ia lagu lama tapi bila Kak Pah yang nyanyikan, nyata lagu itu miliknya. Jatuh bangun Kak Pah dalam kehidupan benar-benar menunjukkan beliau seorang insan. Insan tulen yang memperbaiki kehidupan melalui bakat dan kebijaksanaannya. Kesusahan waktu kecil membentuk dirinya menjadi orang yang kuat, membina nama dan jenama sehingga menjadi milik Malaysia. Beliau sebenarnya cermin anak seni sewajarnya, meletakkan maruah yang tinggi, pekerti yang baik, dihormati dan disanjungi masyarakat bersilih generasi.

Al-fatihah Sharifah Aini, 7 Ramadhan 1435 di usia 61 tahun. Amanlah perjalananmu.

Saturday, June 28, 2014

SANDERA : CARA SAYA MENJADI BUSAD



'Timing' sangat bagus, seminggu sebelum puasa tiba. Sandera melabuhkan tirai persembahannya pada 23 Jun 2014 yang lalu selepas memulakan pementasannya pada 19 Jun. Jika diikutkan pementasan untuk khalayak awam adalah pada 22 Jun kerana 23 Jun adalah pementasan khas untuk warga Dewan Bahasa dan Pustaka. Persembahan selama empat malam itu dilangsungkan di Auditorium DBP yang mana saya kurang arif untuk menyebut jumlah kehadiran penonton ataupun kapasiti yang boleh memuatkan penonton. Apa yang pasti saya kira setiap malam sambutannya sederhana.

Saya ditawarkan bermain Sandera oleh pengarahnya A.Wahab Hamzah di hujung April lalu di mana ketika itu, saya sudahpun bersetuju untuk menjayakan pementasan teater sebabak 'Dia Panggil Abang (DPA)' arahan Sakrani Samsuddin. Memang ikutkan hati saya tidak mahu bebankan kepala dan fizikal saya dengan dua naskhah yang memang jelas berbeza sekali keperluannya. Dalam DPA saya memainkan peranan utama sebagai Pak Mustar yang saya kira berat daripada segi dialog-dialognya. Dan memang ia juga menuntut latihan dan keintiman antara pelakon. Saya harus segera membina 'chemistry' dan nasib baik saya berpasangan dengan Ain Sufia yang banyak memberi dan membantu saya. Jadi bila Wahab Hamzah dan saya berbincang mengenai naskhah Sandera dan watak yang akan saya mainkan, saya tidak mampu untuk menolak. Sudah lama saya mencari naskhah berat di pentas teater. Selama bermain teater sejak 10 tahun kebelakangan ini, saya banyak terlibat dalam muzikal dan teater tradisional. Jadi Sandera seperti makanan yang sudah lama tidak saya nikmati. Jadi saya terima watak Busad selaku teraju utama dalam Sandera. 

Ya, memang ia kerja gila. Bermain dua watak utama dalam dua teater dalam tempoh sebulan. DPA dipentaskan pada 30 Mei-1 Jun 2014. Saya cuba mencabar diri saya untuk bekerja secara total ke atas dua naskhah ini. Saya pecahkan diri saya mengikut ruang waktu. Memang ia agak keliru dan menyesakkan apatah lagi dengan tugas hakiki saya di ASWARA. Saya cuma ada waktu antara jam 5.30 petang hingga 12 malam untuk latihan bagi kedua-dua naskhah. Bunyinya seperti tidak serius, masakan aktor pentas bekerja dengan dua skrip dalam satu masa. Sesungguhnya saya serius dengan kerja ini. 

Wahab Hamzah banyak membantu saya memahamkan Sandera. Memang Sandera bukan naskhah mudah kerana ia berdasarkan novel penting Malaysia karya Sasterawan Negara Arenawati. Sandera menyelusur sejarah perjuangan bangsa Melayu di nusantara. Saya akui semasa membaca skrip Sandera adaptasi oleh Wahab Hamzah, saya belum pernah membaca Sandera. Saya hanya pernah membaca ulasan novel saja. Jadi saya tidak punya pemahaman yang cukup untuk Sandera. Berulang kali saya membaca skrip tapi berulang kali itu jugalah pertanyaan demi pertanyaan muncul. Saya tidak jelas dan tidak dapat menyelami perwatakan Busad apatah lagi watak-watak lain. Bila Wahab Hamzah cuba menerangkan plot dan sebab musabab ceritanya, saya jadi marah dan kecewa. Kenapa saya kecewa? Kerana saya rasa tidak adil, mana mungkin saya bermain sesuatu watak hanya berdasarkan penerangan dari orang lain. Setiap perkataan itu memberi tafsiran berbeza. Saya hilang dalam menterjemah dialog-dialog itu.

Saya tidak marah pada Wahab Hamzah, memang beliau menulis dan mengangkat 17 babak dari novel yang berkisah sepanjang 30 tahun. Itu satu rentetan peristiwa yang sangat panjang. Wahab sudah seboleh mungkin merangkai inti cerita dan mengambil hasrat sebenar Pak Arena dalam Sandera. Saya fahami itu. Tapi saya sebagai pelakon yang mahu mainkan watak yang nyata latar dan aliran perwatakan dalam skrip sangat kabur, sungguh menakutkan saya. Pengalaman saya bermain beberapa watak, saya selalu melihat latar watak itu dan semahunya saya akan mendekati watak itu. Jadi hampir sebulan saya terkial-kial dengan Busad. Mencari hal-hal melibatkan psikologi-sosiologinya. Memang Wahab ada membantu saya, tapi saya anggap tidak cukup apatah lagi bila dalam monolog Busad ada bercerita tentang beberapa peristiwa dan watak. Bila saya lafazkan, saya rasa kering, tiada jiwa dan langsung tidak memberi nyawa. Malah saya sendiri rasa tidak percaya dengan apa yang saya ceritakan. 

Dalam 17 babak, watak Busad muncul dalam tujuh babak dan perwatakan Busad juga diceritakan oleh watak-watak lain. Masa awal-awal membacanya saya sudah mengesan bahawa karakter Busad cukup tawar, mendatar, tiada luahan emosi. Bebarapa babak yang melibatkan Busad dengan watak lain, Busad terlalu berdiplomasi kerana itulah juga keperibadiannya. Babak-babak itu langsung tidak menampakkan Busad sebagai orang yang melalui pengalaman hidup yang getir. Busad lebih banyak bercerita tentang ideologi perjuangan. Memang cara penulisan dialognya boleh dirasa ketenangan dan kebijaksanaan Busad mengawal emosinya. Jadi bilakah sebenarnya emosi Busad terserlah? Saya amati hanya dalam monolognya yang terpecah tiga. Bahagian inilah yang saya kira sangat berat. Beratnya kerana saya tidak menyelami teks Sandera dan hasrat asal pengarang. Saya tidak fahami konteks peristiwa dan watak. Lalu saya mula mencari ulasan, diskusi dan penulisan mengenai Sandera. Ada tapi tidak cukup. Sehinggalah saya terlintas untuk bertanyakan bapa mertua di kampung. Nasib saya baik, saya perolehi naskhah cetakan pertama Sandera. Bapa mertua poskan untuk saya. Alhamdulillah.

Bila novel itu saya baca, satu persatu imej muncul di hadapan saya. peristiwa dan gambaran watak yang dahulunya kabur kini memberi bentuk dan jiwa. Saya mula memahami apa yang diucapkan oleh Busad. Malah saya sudah boleh membezakan situasi dan mencairkan beberapa persoalan dan ketegangan yang saya bina sendiri dalam babak. Saya ingat soalan saya pada Wahab mengenai babak lapan, saya tidak faham akan pandangan dan duduk perwatakan saya kepada watak-watak yang sedang bercakap dengan Busad. Kerana dialog-dialognya seperti ada percanggahan tapi situasinya seperti mendengar sahaja. Novel membuka pemahaman saya. Begitu juga babak pertama bila Andang dan Sapiah datang tiba-tiba ke rumah dan mahu menyerah, awalnya saya tidak boleh terima kenapa Wahab minta Busad tunjukkan rasa persahabatan dengan Andang dan Sapiah sedangkan dialog-dialognya terasa seperti Busad sangsi dan 'reluctant'. Dan saya mula merasakan kesannya bila situasi itu saya rujuk pada novel. Memang betullah arahan Wahab itu, cuma saya yang terlalu percaya kepada naluri lakon sahaja. 


Kesan ketara yang mengubah cara lakon saya adalah babak-babak monolog. Dari pembacaan novel ia benar mengubah cara saya menzahirkan kata demi kata. Saya ingat waktu awal-awal saya bermonolog pada babak tujuh, langsung kosong. Kisah di laut Makassar dan kisah Jusuh dan Kalsom hanyalah andaian sahaja. Begitu juga tentang kisah ibu Busad, Sarriyah. Ia hanyalah andaian pada awalnya. Tapi bila saya hayati novel saya memahami cara Pak Arena melukis peristiwa Sarriyah diseksa oleh soldadu Belanda, ia memberi permaknaan lain buat saya. Saya terbawa-bawa dengan rasa benci dan dendam pada penjajahan. Derita ibu Sarriyah benar tergambar tiap kali dialog itu saya lafazkan. Monolog tentang kematian Andang sebenarnya tidak banyak dalam novel tetapi intipati novel yang menyingkap kisah 'unsung' heroes mendorong emosi saya di pentas. Kisah Busad dan Jubir memang dilukis dalam novel dan apabila dihubungkan dengan Andang, ia beri satu kesan kehilangan, kesan kasih, persahabatan dan bermacam rasa.


Proses ini sama semasa saya mainkan watak Tunku dalam 1957:Hati Malaya. Cuma Busad bukanlah watak wujud. Ia fiksyen. Semasa diberi watak Tunku saya cuma ada kurang sebulan sebelum ke lokasi. Saya hanya mendengar Shuhaimi bercerita dan menerangkan peristiwa di sebalik babak. dan nyata itu tidak mencukupi buat saya. Saya tidak puas hati lalu mendorong saya mendapatkan bahan arkib, video dan audio mengenai Tunku. Selain itu saya membaca apa sahaja buku berkenaan Tunku dari catatannya sendiri hinggalah catatan mereka yang pernah berada disekelilingnya. Begitu juga dengan buku-buku sejarah yang merakamkan sepanjang tempoh Tunku mendapat kemerdekaan. Dan saya mengambil inisiatif bertemu ahli keluarga Tunku. Bagi saya lingkungan dan memahami hal yang melatari watak itu sangat berguna. Dalah hal Busad, ia sedikit berbeza kerana Busad hanyalah watak rekaan yang dilahirkan oleh Arenawati. Yang menghalang saya adalah, banyak perkara yang diceritakan oleh Wahab membuatkan saya rasa bersalah. Pertanyaan dalam diri saya ialah 'Kenapa aku tak tahu ini?' pada setiap kali Wahab menerangkan situasi dan perwatakan. Saya bersoal dalam diri, 'kenapa Wahab saja yang tahu?'. 

Saya tidak pasti dengan rakan lakon yang lain. Saya tulis ini atas catatan peribadi dan proses yang saya lalui. Mungkin yang saya realisasikan dipentas tidak sama seperti yang saya catatkan. Atau mungkin ia sangat berbeza dengan apa yang dimaksudkan oleh Arenawati. Itu ada tafsiran peribadi saya. Saya percaya setiap pelakon, mereka punya cara berbeza untuk bermain. Ada orang langsung tidak mahu merujuk kepada novel asal kerana menganggap skrip adalah kerja kreatif yang berbeza. Mungkin ada juga yang meletakkan 100% kepada tafsiran dan kemahuan pengarah. Apapun apabila dipentas ia sudah jadi sebuah teater dan mediumnya sudah berbeza.

Memang saya akui banyak kekurangan yang saya sendiri dapat rasakan. Terutama dalam hal bertutur dalam slang Indonesia. Hal ini saya sungguh kecewa. Saya berasa tidak mencuba bersungguh-sungguh. Saya tersilap langkah kerana menumpukan kepada dialog dahulu sebelum pergi kepada melatih pertuturan loghat. Apatah lagi saya terjerat dengan status Busad yang asal Makassar lari dan berjuang di Tanah Melayu dan kemudiannya menjadi diplomat Indonesia. Status ini benar-benar menjerat saya. Akhirnya saya memilih cara penuturan mudah tanpa memberi penekanan khusus daripada segi air dan lenggok percakapan. Tumpuan saya lebih kepada sebutan vokal 'A' sahaja.

Saya kira teater Sandera banyak memberi pengalaman yang berguna buat saya. Bekerja dengan Badan Budaya DBP adalah peluang yang tidak ternilai. Badan Budaya DBP sudah terkenal sejak zaman Johan Jaafar dan Zakaria Ariffin lagi. Kini baru saya berpeluang bekerjasama. Sebagai pelakon saya cukup bertuah dapat sepentas dengan orang-orang hebat seperti Sabri Yunus, Sani Sudin, Bohari Ibrahim, Rosli Rahman Adam, Rasdi Daud, Badrol Hisham, Jamaluddin Osman dan Aris Othman. Malah lebih beruntung dapat berkongsi pengalaman dengan Mardiana Alwi, Eliza Mustapha, Razi Adnan, Afiq Ali, Ain Sufia, Rafiq, Along, Filzah dan ramai lagi. Mereka ini banyak memberi saya pelajaran yang berguna. Dan tentu sekali bekerja di bawah arahan A.Wahab Hamzah membawa saya kepada dimensi yang lain. 

Harap Badan Budaya DBP tidak serik dengan saya. 

Thursday, May 15, 2014

BILA ARTIS BERTUDUNG

diambil dari www.ilustrasiku.com
Saya tertarik dengan petikan akhbar Harakah yang ditulis di bawahnya 'sumber Sinar Harian'.  Bukanlah tajuk atau artikel yang sensasi pun. Ia sekadar cerita pelakon/penyanyi yang dulu tak bertudung dan sekarang dah bertudung. Yang menarik pada saya, kenapa sejak dua menjak ini soal rezeki orang bertudung sering diperkatakan terutama dalam kalangan artis wanita di Malaysia. Saya kira bertudung tiada kaitan dengan punca rezeki, ia berkaitan dengan hukum dan kesedaran individu. Rezeki itu datang dari punca mana kita bekerja dan berusaha untuk hidup. Saya kira artis yang baru bertudung, usahlah mengulas dan memberi komen soal rezeki makin kurang atau soal persepsi industri kepada mereka.

Dalam suasana yang memperjuangkan humanright ini, banyak perkara menjadi tak betul pada sesetengah pihak dan sebaliknya. Ia mengelirukan. Tapi pada masa yang sama kesedaran Islamik itu semakin meningkat sehingga kekeliruan antara Islamik dan 'trend' menjadi bolak balik. Bila mereka mengulas dan mengeluh akan nasib, akan keadaan industri yang kurang membuka ruang kepada imej baru mereka, saya kira ia juga membuka ruang kepada orang yang tidak berpihak kepada mereka. Dan selalu juga kita dengar orang berkata 'alah pakai tudung pun belum tentu baik', 'aku tak pakai tudung pun aku sembahyang tau'.

Tapi secara peribadi saya menyambut positif usaha artis wanita bertudung, memang banyak kongkongan dan kesulitan di dalam mencari ruang khususnya dalam bidang lakonan. Industri kita belum menerima dengan baik konsep drama Islamik. Konotasi nya bunyi berat. Jadi dalam suasana begini, inilah kelebihan yang perlu diambil oleh artis bertudung, mereka perlu berkreasi dengan mencari dan menghasilkan perkara baru yang sesuai dengan imej mereka, jangan bergantung harap kepada drama dan filem sahaja. Tetapi jangan pula menyanggupi kerja-kerja yang tidak mereka kuasai dengan baik. Pendeknya, ilmu dan kemahiran perlu diisi. Berbakat sahaja tak cukup hari ini.

Artis berhijrah yakin rezeki daripada Allah

HARAKAHDAILY | .
MUTAAKHIR ini, kalangan artis dan celebriti yang berhijrah mendalami agama Islam semakin ramai. Walaupun menghadapi cabaran akan hilang sebahagian mata pencarian, namun ada juga yang rezekinya makin melimpah ruah. Semua itu dihadapi dengan tabah oleh mereka demi kecintaan kepada agama.

“Rezeki saya masih ada dalam industri dan tawaran masih diterima. Namun, Kalau dulu, lakonan menjadi perkara utama, kini tidak lagi. Saya lebih mengutamakan kerja-kerja dakwah dan kebajikan terlebih dahulu. Ada tawaran yang diberi terpaksa ditolak atas kepadatan jadual. Selain itu, saya juga akan lebih 'selektif' untuk memilih jalan cerita dan watak, bersesuaian dengan imej saya kini.” ujar Yatt Hamzah.

"Kalau nak dibandingkan dengan dahulu, memang sekarang susah sikit nak cari makan dalam bidang lakonan. Tapi, saya anggap ianya sebagai rezeki dari Allah SWT. Jika saya tidak dipilih, itu maknanya bukan rezeki saya," jelas Lisdawati.

Tambah Lisda, kekurangan tawaran lakonan membuatkannya terpanggil untuk menerima tawaran dalam bidang motivasi dan ceramah bebas.

“Alhamdulillah, tawaran persembahan, berlakon dan mengacara masih banyak saya dapat. Syukur, setiap minggu saya akan dapat undangan persembahan di seluruh Malaysia." kata Siti Nordiana.

"Tawaran yang diterima masih sama seperti dahulu. Saya tidak rasa penghijrahan ini memberi masalah buat golongan artis seperti saya kerana ianya terpulang kepada rezeki masing-masing." terang Enot.

"Saya akui, sejak berhijrah, tawaran lakonan semakin berkurangan. Namun, saya memandangnya sebagai perkara positif dan menganggapnya sebagai satu ujian dari Allah SWT. Walaupun kurang tawaran, namun, saya masih terlibat dalam pengacaraan dan bidang penulisan buku." ulas Diana Amir.

Semoga mereka terus istiqamah dalam perjuangan sabar dalam mendepani apa-apa juga cabaran.

- Sumber: Sinar Harian

Thursday, March 27, 2014

MH370 ii

MH370 ii

Hilang...
Hilang...
Hilang...
Dirampas?

Hilang...
Hilang...
Hilang...
Terhempas?

Kuasa Allah
Teratas.

Wednesday, March 12, 2014

MH370


MH370

Berdoalah agar
Yang hilang muncul kembali
Yang meratap senyum kembali

Dalam kusut mencari lerai
Kita himpun dan panjatkan permintaan padaNya
Agar kabus yang tebal menutup pencarian
Muncul sinar menembus kekaburan

Jangan cuba bercerita
Jika ia sekadar menambah derita
Jika ia sekadar kisah lawak
Ini bukan waktu untuk suka-suka

8 Mac 2014
Getir membelah persada 
Hilang punca bukan hilang harapan
kita temu satu demi satu pintu
pintu manusia pintu pencipta
kita cari kunci pembuka

Berdoalah
Dia mendengar.

Thursday, March 6, 2014

BIDASARI: ADAPTASI SUKA-SUKA


Saya sempat ke Panggung Sari pada malam terakhir pementasan Bidasari. Itu sebab terkesan dengan tulisan dalam akhbar Mingguan Malaysia yang memuji lakonan Raja Azura. Laporan itu menukar perasaan saya, saya rasa 'its ok tak tengok' kepada 'ishh kena tengok ni'. Begitu sekali kesan tulisan akhbar itu, dengan foto dan aksi-aksi Raja Azura. Jadi terus 'call' abang saya lah. Nasib baik dapat walaupun pada malam terakhir itu ramai sekali VIP yang datang, malah saya pun langsung tak bertemu muka dengan abang Jo. Tak mahu kacau kesibukannya.

Saya kira Bidasari sebagai sebuah persembahan, ia berjaya. Jalan ceritanya mudah difahami dan menarik. Kronologinya mudah, permulaan cerita yang membawa kepada Bidasari dihanyutkan sehinggalah Bidasari dijadikan tawanan istana. Tapi tidak dinafikan ada juga kelonggaran yang saya kira, tidak mengganggu penceritaan. Cadangan mementaskan Bidasari bukan baru. Sudah lama, sejak awal Istana Budaya dibuka. Abang Jo sudah lama impikan kisah Bidasari dipentaskan selepas Siti Zubaidah dan Tun Fatimah. Saya kerap mendengar cadangan Abang Jo. Dia memang peminat filem Melayu tegar. Malah lagu permaisuri bersiram memang diminati. Saya tahu itu. Tapi bila Bidasari dari filem arahan Jamil Sulung ke pentas Istana Budaya, ia menjadi berbeza. Tidak semua diceduk. Diubah-suai menjadi sebuah dongeng tafsiran baru.

Sepanjang persembahan ada sahaja adegan yang mencuit hati. Saya kira Raja Azura sudah sangat selesa dengan pentas IB. Kematangannya dalam bermain telah membina jurang yang luas antara dia dengan pelakon junior seperti Fathia dan Aiman. Kemunculannya ditunggu dan fikiran saya menanti saja 'apa lagi' yang akan keluar dari Kak Engku ini. Memang versatility yang dimiliki oleh Raja Azura meletakkan dia ditahap berbeza. keupayaannya menguasai lakonan dan kebolehannya menyanyi dengan baik meninggalkan dia jauh dari seri panggung Bidasari. Tidak hairanlah bila Mingguan Malaysia memuji lakonan Raja Azura, ia memang benar.

Agaknya sebab malam saya menonton adalah malam terakhir, lalu ada beberapa adegan yang sengaja ditambah atau dibuat sedemikian rupa. Saya gelak besar bila adegan, pelukis (lakonan Malek Osman) membawa lukisan gadis paling cantik pernah dihasilkan (Bidasari lah tu) untuk ditunjukkan kepada permaisuri. Namun bila dibuka, ianya potret Abang Jo. Masa inilah menguji kredibiliti pelakon, bagaimana dia mengawal karakternya. Saya pasti Raja Azura mahu ketawa begitu juga Malek. Tapi dikawal kerana wajah Abang Jo tiada dalam cerita. Cuma saya rasa, IB jangan buat selalu begitu, ia nampak macam main-main saja. Ia semacam off dari penceritaan. Termasuk juga seingat saya ada satu ketika permaisuri berinteraksi dengan penonton (saya rasa ada), di mana saya anggap ia sudah putus dari penceritaan. Ia semacam meletakkan Bidasari dalam kelompok teater lain. Agaknya ini cubaan baharu untuk melibatkan partisipasi penonton.

Ada satu dua kelemahan lain yang saya yakin boleh dibaiki dan ditambah baik. Sama ada ianya kesan daripada perbelajaan produksi atau kemisminan idea, saya kurang pasti. Tapi saya pasti ia boleh dielakkan. Ia berkaitan dengan rekaan produksi. Saya dapati ia sedikit caca merba. Saya tidak pasti premis masa dan latarnya. Kalau sekalipun ianya cerita dongeng atau rekaan, cerita harus ada satu premis yang jelas. Apatah lagi Bidasari seolah berlaku dalam sebuah kerajaan Melayu dan Islam. Jadi saya fikir itu sudah boleh jadi titik tolak kepada perekaan. Agak janggal apabila seluruh gadis kampung berkebaya labuh hanya Bidasari kostumnya berbeza, semacam ada designer sendiri. Tambah janggal ia lari dari konsep pemakaian keseluruhan cerita. Mungkin pereka mahu wujudkan 'tersendiri' pada diri Bidasari tapi saya yakin ianya boleh dibezakan dengan warna dan material. Begitu juga dengan rekaan set/prop set yang bercelaru dan ianya berbalik kepada soalan saya apakah bajet atau miskin idea? Rumah Bidasari yang cukup Melayu tapi dirosakkan dengan wakaf pemuzik dan wakaf balang ikan yang sangat lari dengan aliran induk yakni rumah itu. Saya cuba meneka mungkin wujud pengaruh Arab tapi macam tidak kena kerana pemakaian ibu dan ayah Bidasari jelas Melayu. Berbeza pula dengan kostum Baharin yang sangat jelas seperti khadam kisah padang pasir. Ada beberapa lagi kelemahan termasuklah kumpulan muzik di halaman dan lain-lain yang saya kira bukanlah major kepada pementasan tapi tentu sekali ia jadi cerminan profesionalisme di pentas prestij.

filem Bidasari - Tengok bagi yang belum pernah tengok

Saya kira Bidasari terperangkap dalam konsep magikal dan fantasi. Lalu Melayunya sedikit terjejas. Apatah lagi sepanjang persembahan dialog-dialognya sangat ringan. Tidak ada pemberatan daripada segi bahasa Melayu yang kaya dengan kiasan dan bunga-bunganya. Memang tidak disebut pun Bidasari sebuah bangsawan. Jadi ia satu lesen untuk bebaskan Bidasari dari bentuk tradisional. Namun begitu IB sepatutnya manfaatkan teater Bidasari sebagai sebuah teater bernilai klasik, yang kaya dengan rupa dan nilai Melayunya.

Saya tak mahu tulis panjang, kehadiran pelakon popular tidak mampu menggugah kemunculan 4 dara yang menjadi inang-inang istana. Aksi mereka memang mencuit hati. Tambah menari Malek Osman melatah secara spontan di hadapan penonton. 

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...