Saya sempat ke Panggung Sari pada malam terakhir pementasan Bidasari. Itu sebab terkesan dengan tulisan dalam akhbar Mingguan Malaysia yang memuji lakonan Raja Azura. Laporan itu menukar perasaan saya, saya rasa 'its ok tak tengok' kepada 'ishh kena tengok ni'. Begitu sekali kesan tulisan akhbar itu, dengan foto dan aksi-aksi Raja Azura. Jadi terus 'call' abang saya lah. Nasib baik dapat walaupun pada malam terakhir itu ramai sekali VIP yang datang, malah saya pun langsung tak bertemu muka dengan abang Jo. Tak mahu kacau kesibukannya.
Saya kira Bidasari sebagai sebuah persembahan, ia berjaya. Jalan ceritanya mudah difahami dan menarik. Kronologinya mudah, permulaan cerita yang membawa kepada Bidasari dihanyutkan sehinggalah Bidasari dijadikan tawanan istana. Tapi tidak dinafikan ada juga kelonggaran yang saya kira, tidak mengganggu penceritaan. Cadangan mementaskan Bidasari bukan baru. Sudah lama, sejak awal Istana Budaya dibuka. Abang Jo sudah lama impikan kisah Bidasari dipentaskan selepas Siti Zubaidah dan Tun Fatimah. Saya kerap mendengar cadangan Abang Jo. Dia memang peminat filem Melayu tegar. Malah lagu permaisuri bersiram memang diminati. Saya tahu itu. Tapi bila Bidasari dari filem arahan Jamil Sulung ke pentas Istana Budaya, ia menjadi berbeza. Tidak semua diceduk. Diubah-suai menjadi sebuah dongeng tafsiran baru.
Sepanjang persembahan ada sahaja adegan yang mencuit hati. Saya kira Raja Azura sudah sangat selesa dengan pentas IB. Kematangannya dalam bermain telah membina jurang yang luas antara dia dengan pelakon junior seperti Fathia dan Aiman. Kemunculannya ditunggu dan fikiran saya menanti saja 'apa lagi' yang akan keluar dari Kak Engku ini. Memang versatility yang dimiliki oleh Raja Azura meletakkan dia ditahap berbeza. keupayaannya menguasai lakonan dan kebolehannya menyanyi dengan baik meninggalkan dia jauh dari seri panggung Bidasari. Tidak hairanlah bila Mingguan Malaysia memuji lakonan Raja Azura, ia memang benar.
Agaknya sebab malam saya menonton adalah malam terakhir, lalu ada beberapa adegan yang sengaja ditambah atau dibuat sedemikian rupa. Saya gelak besar bila adegan, pelukis (lakonan Malek Osman) membawa lukisan gadis paling cantik pernah dihasilkan (Bidasari lah tu) untuk ditunjukkan kepada permaisuri. Namun bila dibuka, ianya potret Abang Jo. Masa inilah menguji kredibiliti pelakon, bagaimana dia mengawal karakternya. Saya pasti Raja Azura mahu ketawa begitu juga Malek. Tapi dikawal kerana wajah Abang Jo tiada dalam cerita. Cuma saya rasa, IB jangan buat selalu begitu, ia nampak macam main-main saja. Ia semacam off dari penceritaan. Termasuk juga seingat saya ada satu ketika permaisuri berinteraksi dengan penonton (saya rasa ada), di mana saya anggap ia sudah putus dari penceritaan. Ia semacam meletakkan Bidasari dalam kelompok teater lain. Agaknya ini cubaan baharu untuk melibatkan partisipasi penonton.
Ada satu dua kelemahan lain yang saya yakin boleh dibaiki dan ditambah baik. Sama ada ianya kesan daripada perbelajaan produksi atau kemisminan idea, saya kurang pasti. Tapi saya pasti ia boleh dielakkan. Ia berkaitan dengan rekaan produksi. Saya dapati ia sedikit caca merba. Saya tidak pasti premis masa dan latarnya. Kalau sekalipun ianya cerita dongeng atau rekaan, cerita harus ada satu premis yang jelas. Apatah lagi Bidasari seolah berlaku dalam sebuah kerajaan Melayu dan Islam. Jadi saya fikir itu sudah boleh jadi titik tolak kepada perekaan. Agak janggal apabila seluruh gadis kampung berkebaya labuh hanya Bidasari kostumnya berbeza, semacam ada designer sendiri. Tambah janggal ia lari dari konsep pemakaian keseluruhan cerita. Mungkin pereka mahu wujudkan 'tersendiri' pada diri Bidasari tapi saya yakin ianya boleh dibezakan dengan warna dan material. Begitu juga dengan rekaan set/prop set yang bercelaru dan ianya berbalik kepada soalan saya apakah bajet atau miskin idea? Rumah Bidasari yang cukup Melayu tapi dirosakkan dengan wakaf pemuzik dan wakaf balang ikan yang sangat lari dengan aliran induk yakni rumah itu. Saya cuba meneka mungkin wujud pengaruh Arab tapi macam tidak kena kerana pemakaian ibu dan ayah Bidasari jelas Melayu. Berbeza pula dengan kostum Baharin yang sangat jelas seperti khadam kisah padang pasir. Ada beberapa lagi kelemahan termasuklah kumpulan muzik di halaman dan lain-lain yang saya kira bukanlah major kepada pementasan tapi tentu sekali ia jadi cerminan profesionalisme di pentas prestij.
filem Bidasari - Tengok bagi yang belum pernah tengok
Saya kira Bidasari terperangkap dalam konsep magikal dan fantasi. Lalu Melayunya sedikit terjejas. Apatah lagi sepanjang persembahan dialog-dialognya sangat ringan. Tidak ada pemberatan daripada segi bahasa Melayu yang kaya dengan kiasan dan bunga-bunganya. Memang tidak disebut pun Bidasari sebuah bangsawan. Jadi ia satu lesen untuk bebaskan Bidasari dari bentuk tradisional. Namun begitu IB sepatutnya manfaatkan teater Bidasari sebagai sebuah teater bernilai klasik, yang kaya dengan rupa dan nilai Melayunya.
Saya tak mahu tulis panjang, kehadiran pelakon popular tidak mampu menggugah kemunculan 4 dara yang menjadi inang-inang istana. Aksi mereka memang mencuit hati. Tambah menari Malek Osman melatah secara spontan di hadapan penonton.
No comments:
Post a Comment