Jom Kita Jadi Geng

Wednesday, December 18, 2013

AZEAN IRDAWATY: PERGINYA 'ANAK WAYANG'


Kak Yan dah pergi. Insan yang secara tidak langsung memberi inspirasi kepada saya. Mengenalkan saya kepada hidangan yang baru. Waktu dunia lakon Melayu masih kuat dengan pengaruh Jalan Ampas, Kak Yan muncul dalam sebuah drama yang mencetuskan satu stail lakon yang berbeza. Saya masih ingat kala itu saya sangat kecil, belum bersekolah rasanya. Menonton Kak Yan dalam drama Kelahiran, melalui slot Drama Minggu Ini. Beliau berganding dengan Aziz Singah. Waktu itu, saya sudah suka melihatnya dan kemudiannya saya sering mengikuti lakonannya. Saya masih ingat drama, Di Bawah Lembayung Petang (rasanya betul tajuk drama ini), lakonan Kak Yan bersama Razali Buyong. Ia sangat segar, kisah wanita yang enggan terima ketuaannya. Ya waktu itu saya masih budak, di sekolah rendah namun saya boleh duduk dan layan lakonannya.

Bila dia tampil di layar perak dalam filem Esok Masih Ada arahan dan lakonan Jins Shamsuddin, hati saya dah melonjak-lonjak mahu ke panggung. Namun di tahun 1980, saya baru darjah tiga dan 'nobody cares' tentang keinginan saya itu. Apatah lagi ke panggung itu satu hiburan mewah bagi keluarga kami. Jadinya saya terpaksa layan imaginasi akan kehebatannya bila baca URTV, UFF atau Variapop. Masa itu ada kawan kakak saya yang suka membeli majalah begitu. Dapatlah saya tumpang. Dalam tahun itu jugalah jadi sejarah buat industri filem Malaysia apabila Festival Filem Malaysia (FFM) dianjurkan. Dapatlah saya tumpang rumah jiran untuk tonton siaran langsung di TV. Kagum sekali saya melihat klip filem apabila Kak Yan dicalonkan. Memang festival itu terang-terang berpihak kepada Kak Yan. Dan malam itu jugalah Kak Yan lafazkan kata keramat " Lihatlah dunia... aku ni anak wayang". Saya rasa kesan dialog itu jugalah RTM terbitkan drama tajuknya 'Aku Anak Wayang' lakonan Kak Yan.


Selepas itu namanya mekar dan gemilang sekali. Perjanjian Syaitan, Mama oh Mama, Langit Petang, Bintang Malam dan berhenti selepas Perempuan. Masa itu dunia filem Melayu macam kurang lengkap walaupun meriah dengan kehadiran Ogy dan Noor Kumalasari. Kak Yan tumpukan pada perniagaannya. Namun kata orang, sekali melangkah ke dunia lakon, angin dan semangat itu tetap ada. Kak Yan kembali di awal 1990an. Banyak sekali lakonannya di TV. Antara yang diingati ialah Aishah 50 sen dan Ratu Jamu. Dan tentu sekali kita ingat lakonannya sebagai Puan Julie dalam Pengantin Popular. Kak Yan aktif dalam drama, filem dan teater. Kak Yan terlibat dalam teater Anugerah, Akulah Perempuan Itu, Members of The Club dan banyak lagi. Ia seolah melengkapkan perjalanan seninya. Filem terakhir lakonan Kak Yan ialah Talentime arahan Yasmin Ahmad. Dalam melawan sakitnya, Kak Yan tetap hebat.

Bagi saya, lakonan Kak Yan kekal di tahap yang tinggi dan sukar digugat oleh pelakon hari ini. Tiga filem yang kuat karakternya ialah filem Layar Lara, Waris Jari Hantu dan Langit Petang. Tiga filem ini menampakkan kualiti istimewa yang meletakkan Kak Yan sebagai seniwati hebat. Karakter berbeza dibawanya dengan baik sekali. Siapa aktres yang berupaya menjelmakan diri sebagai harimau diusia 50an? Kak Yan lakukan buktikannya.

Saya tidak kenal rapat dengan Kak Yan, tapi sempat bertemu dalam dua tiga acara. Saya tidak berpeluang bekerjasama dalam apa-apa produksi pun. Tapi saya jadi malu bila bertemu kali pertama, Kak Yan menyapa dan menyebut nama saya. Masa itu saya rasa sungguh bertuah. Rasa dihargai. Kak Yan menyebut lakonan saya dalam 1957 Hati Malaya. Ya memang saya rasa besar hati bila Kak Yan melihat bakat kecil saya ini.

Sesungguhnya Allah menguji umatNya dalam apa jua cara. Kanser yang menyerang waktu Kak Yan masih mahu meneruskan perjalanan seninya. Dia gagah dan cekal melawan. Ujian hidupnya sangat besar apatah lagi dalam melawan sakit itu, kes Benjy jadi sebutan. Hanya Allah yang tahu, hanya mereka yang dekat dengan Kak Yan sahaja yang menyelami bagaimana Kak Yan memperolehi kekuatan itu.

Dan berita malam tadi, pemergian Azean Irdawaty pada jam 8.25 malam adalah satu kehilangan besar buat negara. Kehadirannya bukan sekadar gemerlap bintang menyeri malam tapi bintang yang menyuluh dan memberi inspirasi buat anak-anak muda. Kita ada seribu bintang di langit, ternyata bintang Azean Irdawaty sangat bercahaya.

Semoga perjalanan Allahyarham menuju dunia abadi, tenang dan aman. Dan semoga Allah menempatkan dia di kalangan insan-insan yang beriman. Al-Fatihah. 

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...