
Saya perlu bermain rebab! Hahaha mahu tergolek-golek rasanya sebab tak terfikir ini perkara yang perlu saya lakukan. Memang Rebab bukan asing dari mata dan pendengaran saya tapi ia terlalu jauh dari sentuhan dan petikan jari saya. Bahkan saya boleh katakan saya tidak pernah menggesek rebab. Aduhai saya dicabar seorang pengarah untuk mainkan watak pemain rebab. Memang saya akui dalam tempoh yang singkat, sebuah lagu untuk saya mainkan adalah mustahil... sangat mustahil. Jadi saya ambil inisiatif untuk mempelajari teknik asas bermain, jika tidak keluar bunyi yang bagus, paling kurang gerakan tangan dan jari saya meyakinkan penonton yang menengok nanti.
Lalu saya pun memulakan episod belajar bermain rebab, dalam hati niatnya untuk dapat main intro lagu menghadap rebab sahaja. Sebab dengar macam mudah sahaja. Lalu saya pun mengadap dua orang lulusan ASWARA, Liyana (pemain rebab wanita tunggal di Malaysia) dan Fared (yang punya teknik yang baik dalam permainan). Ya Allah, tuhan saja yang tahu kesukarannya. Saya rasa macam cacat, anggota badan bagai tak berfungsi, tidak terlentur, jari tak bergerak selama 2 jam belajar. Cara gesekan sumbang malah tidak sustain bunyinya. Jam pertama, Fared menunjukkan cara sebenar kedudukan jari dan kedudukan tangan. Bagaimana mahu memegang dan bagaimana jari bergerak mencari melodi. Kat sini saja saya dah melilau dan macam nak menjerit marahkan diri sendiri. Tangan saya berpeluh ketiak pun basah. Susahnya!
Dua jam dengan Fared membuka minda saya bahawa saya tidak memanfaatkan keindahan yang kita ada. Saya anggap ini bukan kerja saya. Bila dua anak muda di awal dua puluhan menunjukkan kesungguhan, kecintaan mereka pada seni tradisi, saya jadi sangat malu.
![]() |
Inilah Liyana, pemain rebab wanita tunggal Malaysia |
Jadi kesudahannya, saya cuma ambil yang perlu untuk karakter pemain rebab, kedudukan jari, tagan, kinestetik badan untuk sesetengah lagu dan bagaimana mata dan ekspresi pemain waktu menggesek. Pemain rebab itu seorang ahli, menguasai setiap lagu kerana dia bagai nyawa kepada permainan makyung. Kepada guru-guru rebab, orang-orang muda yang sudah menguasainya, tahniah dan syabas. Saya mengagumi kebolehan tuan-tuan. Tuan-tuan adalah warisan hidup. Waktu ramai menolak untuk meneruskan seni tradisi ini, tuan-puan menyahutnya untuk terus hidup kepada generasi seterusnya. Saya mencintai kesenian tradisi namun saya tidak sehebat tuan-puan menguasainya.
1 comment:
wahhh hebatnya Liyana ni..kalau saya masih bekerja, nak saja saya interview Liyana ini..ada no tepon dia ke cekem?
Post a Comment