Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, March 3, 2009

M.NASIR - GENIUS YANG SATU LAGI

Apakah impian dan harapan seorang penonton apabila pergi ke sebuah persembahan seorang lagenda muzik? Tentu sekali mengimpikan hidangan lagu-lagu dan persembahan muzik yang mampu mengheret mereka ke satu ruang ingatan, yang membuai perasaan dan mungkin sekali mengharapkan satu penontonan yang mengagumkan.Tetapi apakah pula impian dan harapan seorang penghibur lagenda apabila hanya mempunyai tempoh masa yang singkat tetapi memiliki repertoire lagu yang beribu. Memenuhi impian penonton- tentu sekali! Memenuhi konsep dan impian muzikalnya - tentu sekali! Memenuhi agenda dan kekangan produksi - itu cabarannya.
(ehsan NSTP)
Apabila saya hadir konsert Alam Muzik M.Nasir pada malam terakhir tempoh hari, saya tidak mengharapkan apa-apa yang istimewa. Saya hanya mahu mengalunkan jiwa saya dengan lagu-lagu M.Nasir. Saya pasti ramai penonton yang hadir pada malam itu juga mengharapkan begitu. Mengetahui seniman ini yang memiliki latar belakang kesenian yang luas dari seorang pelukis melangkaui nyanyian, lakonan dan pengarahan. Jadi apakah semua itu mahu ditumpahkan dalam satu malam. Tentu sekali konsepnya jadi cacamerba dan tak ketahuan.

Sewaktu memandu dari jalan U-Thant menuju ke Istana Budaya, ingatan saya memanggil-manggil kepada kisah lama saya di kampung Kubang Panjang, Pasir Mas. Sewaktu itu saya baru berusia sekitar 11-12 tahun, masih mentah dengan kehidupan tetapi saya sering dirujuk oleh kakak, abang dan jiran-jiran sebelah rumah tentang who's who dalam dunia hiburan. Pada waktu itu juga, keluarga saya memiliki sebuah kedai makan yang kecil, orang kampung panggil kedai kopi Tok Wan yang menjadi pusat tumpuan orang-orang tua pada sebelah pagi dan budak-budak muda pada sebelah petangnya. Jadi di dinding kedai kopi Wan saya tu, ada dua tiga jenis gambar dan foto yang ditampal dari iklan rokok hinggalah poster artis Malaysia. dan salah satu poster yang ditampal adalah poster kumpulan Kembara (ahlinya A.Ali, Sahlan dan M.Nasir). M.Nasir bergaya di tengah-tengah sambil dua tangannya memegang hujung jaket dan diapit oleh A.Ali yang memegang gitar dan Sahlan yang satu tangannya di dalam poket jeans. Saban hari saya asyik memerhati poster itu dan memang budak-budak kampung meminati kumpulan kembara kerana lagu-lagunya seperti Hati Emas, Ekspress rakyat, Duit, Gerhana dan bermacam lagi judulnya menjadi siulan.
Masa itu irama blues, pop dan folk influence menjadi kegilaan orang muda, apatah lagi identiti muzik Melayu pun masih mencari-cari arah selepas era 60an dan Disco berluasa. Muzik rock baru mencecah ruang budaya budak kampung semasa itu di mana Sweet Charity, The Unwanted dan beberapa lagi baru menapak dengan irama rocknya tetapi masih kuat Melayunya. Apabila Kumpulan Kembara yang muncul dengan campuran irama dan menyuntik senikata yang dekat dengan kehidupan belia-belia kampung, menjadikan kumpulan ini relevan dengan kehidupan dan citarasa mereka. Masa tu M.Nasir menjadi sebutan kerana kehebatan suara dan melodinya, malah kehebatannya menghasilkan lagu-lagu popular untuk artis-artis terkenal. Dan tentu sekali kumpulan Alleycats menjadi sinonim dengan lagu ciptaan M.Nasir (Bila David Arymugam dapat dato' lebih dahulu daripada M.Nasir, sayapun tertanya sebesar mana sumbangan Alleycats dan David kepada industri jika dibandingkan dengan sumbangan M.Nasir di dalam mengangkat persoalan, transisi muzik dan wadah jatidiri Melayu). Semasa itu ramai penyanyi mengidamkan lagu-lagu ciptaan M.Nasir sehingga memunculkan banyak kumpulan dan artis popular. Antaranya Yunizar Hossein dan Kumpulan Al-Jawaher. Tapi siapa saya semasa itu untuk mengikut galur muzik budak-budak muda, saya ajuk lagunya tapi tidak meminati kumpulan kembara kerana selera saya lebih kepada lagu-lagu Sudirman kerana ia lebih dekat kepada alam kanak-kanak saya.
Semasa M.Nasir muncul dengan album solo pertamanya yang berjudul SOLO pada sekitar tahun 89, saya berada dalam ruang yang sudah memiliki selera muzik yang baik . Saya mula menghargai lagu dan lirik yang dibawa M.Nasir. Mustika, Padang Lalang, Falsafah Cinta dan beberapa lagu lain dalam album ini menjadi kesukaan saya. Irama Mustika cukup kuat melekat dalam fikiran saya masa itu, sentuhan muzik gamelan yang diterapnya cukup kuat nuansa melayunya. Dan seingat saya , Mustika sebenarnya membawa saya lebih menghargai lagu moden berselera nusantara seperti lagu Balada Nusantara, Ratib Orang laut dan lain-lain lagu Sheqal. Di era ini, M.Nasir sudah teguh berdiri dalam industri, apatah lagi irama rock menguasai industri muzik Malaysia dan selera muzik itu seperti mesra dengan aliran yang di bawa oleh M.Nasir. lagu Fantasia Bulan Madu oleh Search bagai satu sentuhan ajaib. Sebahagian besar kumpulan-kumpulan rock pada masa itu menggunakan khidmatnya. Dan M.Nasir terus menghasilkan karya yang relevan dengan citarasa semasa.


(ehsan NSTP)

Oleh itu, apabila memasuki Panggung Sari, tiada lain yang saya mahu selain daripada mahu berhibur dan terbuai dengan suara dan irama M.Nasir. Dan nyata sekali ia mengusik dan mengimbau saya kepada kehidupan lampau dan bercermin melihat diri saya hari ini. Sebegini jauh saya berjalan rupanya M.Nasir hidup sebahagian daripada kehidupan saya.

Lagu Di Balik Cermin membuka persembahan dengan sebuah visual bagai mayat tergantung. putih warnanya. Satu perlambangan yang mengungkap intipati lirik Di Balik cermin. Sebenarnya kita sedang melihat satu mimpi tetapi satu realiti yang tidak disedari, M.Nasir seolah mengajak kita menyusur satu kisah perjalanan sama ada seorang manusia ataupun perjalanan pemikirannya. satu persatu lagu yang dialunnya bagai menghitung dan mengutara satu persatu persoalan. Bila lagu Hati Emas menyusul, dengan sendirinya ia mengheret saya kepada satu ruang mencari makna diri. Mencari siapakah roh yang mengisi jasad saya ini. Siapakah roh yang mengisi setiap jiwa dalam Panggung Sari malam itu. Memang saya datang untuk berhibur dengan lagu-lagunya, tetapi lagu-lagu M.Nasir jadi tidak bermakna jika tidak menghayati liriknya. Cubalah kita singkap lagu-lagu yang didendangkan pada malam terakhir itu; Rajawali Terbang tinggi, Bukalah hatimu, Phoenix bangkit, raikan Cinta, Ada, Suatu Masa, mentera Semerah padi, langgam pak dogol dan yang lainnya; pastinya kita menemui persoalan-persoalan yang bukan sedikit. Liriknya berat tapi ringan dan saya jadi terapung dengan provokasinya. Sayapun terfikir sendiri bila masa sebenarnya saya betul-betul meminati M.Nasir? tetapi bibir saya seakan sekata sahaja turut menyanyikan setiap lagu yang dibawanya

Rupanya bukan saya sahaja yang terbuai dan terlepas laku dek lagu-lagu M.Nasir. Satu panggung macam mabuk irama, mereka hilang taboo untuk bangun berdiri bertepuk tangan dan menyanyi bersama. Rupanya lagu-lagunya merentasi generasi. Ada yang saya lihat sudahpun melewati usia 50an. Kalau yang usia 50an pun bangun apa peliknya yang 20an. mereka menikmati persembahan malam itu tanpa curiga akan pada siapa milik irama itu. M.Nasir bagai dilahirkan untuk semua orang. Dari 70an sehingga kini M.nasir masih relevan dengan arus muzik, kenapa? Kerana dia adalah genius muzik yang hidup merentasi zaman, beliau tidak boleh diukur sama dengan Dato' Ahmad Nawab atau Dato' Wah Idris atau Dato' Johari Salleh atau Dato' Ahmad Jais atau Dato' Kathy Ibrahim atau Dato Yusni atau Dato M.Daud Kilau, Fauzi Marzuki, Manan Ngah atau siapapun seniman lama yang diangkat sumbangannya. Siapapun mereka, jika diukur pada sumbangan, kreativiti dan perkembangan industri muzik di negara ini. Saya percaya, M.Nasir cukup berjasa di dalam membina generasi kreatif, mengubah minda masyarakat dan paling nyata dia terus hidup sewaktu kreativiti mereka yang lain bukan sahaja kering malah tidak berkembang. Kerana itu dia relevan dan konsisten.


Dia menutup persembahan dengan bait "kepadamu kekasih, aku berserah, kerana kutahu kau lebih mengerti, apa yang terlukis di cermin, wajahku ini, apa yang tersirat di hati bersama amali..." kita melihat cermin dan menyingkap diri dan itulah kita melihat diri mengenal azali. Dari dia kita datang kepada-Nya kita kembali.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...